Khamis, 1 November 2012

ISU SOSIAL : Adab dan pembinaan peribadi ummah


Oleh : Johan Jaafar
 
Adab menurut Kamus Dewan bermakna tingkah laku serta tutur kata, budi bahasa atau budi pekerti yang halus. Adab datangnya daripada perkataan Arab dan dalam Islam, adab membawa makna yang lebih besar, termasuk tatacara atau perilaku dalam menunaikan amalan agama seperti solat. Maka itu adab mempunyai makna istimewa dalam masyarakat Melayu dan Islam.

Dalam masyarakat yang mementingkan kepatuhan bersama sebagai kunci hidup bermasyarakat maka adab dan akhlak diberikan perhatian yang serius. Ada kalangan orang Melayu menganggap bahawa nilai leluhur seperti budi bahasa dan adab sopan tidak relevan lagi. Ada pemimpin Melayu yang mengajak bangsanya menjadi kurang ajar. Ada kalangan yang menyalahkan budi bahasa orang Melayu sebagai bukti kelemahan diri dan jati diri mereka.

Semuanya ini memberikan isyarat yang mengelirukan pada anak-anak muda kita. Dalam sistem kekeluargaan orang Melayu budi bahasa diletakkan di tempat yang tinggi. Cara menghormati orang tua, perlakuan dalam majlis rasmi dan tindak tanduk seharian melambangkan peribadi dan akal budi seseorang. Dalam proses sosialisasi, semua ini dianggap penting.

Maka itu ada kalanya kita terkejut dengan tindak tanduk anak-anak Melayu sendiri yang menghina peradaban, budaya, nilai, malah raja-raja dan ketua mereka. Dalam konteks berpolitik ada kalanya kaedah menghalalkan cara. Penolakan terhadap sesuatu fahaman tidak seharusnya menjadikan kita biadab dan kurang ajar. Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju tetapi biarlah dengan cara yang waras, sihat dan bertamadun.

Dalam soal beragama, kurangnya toleransi terhadap penganut agama lain malah sesama agama semakin membimbangkan. Semuanya ini menampakkan perubahan sikap dan nilai masyarakat moden hari ini.

Ada juga yang menyalahkan media sosial yang mencambahkan budaya biadab di kalangan generasi muda. Medium baru itu menjadi pekan koboi yang tidak punya undang-undang dan peraturan. Lesen kebebasan di alam siber disalahgunakan. Dunia itu menjadi dunia penuh kebencian, dendam dan marah, diapikan pula oleh perbezaan politik dan pendirian.

Memang benar ada kalangan yang menggunakan ruang siber untuk menghina, memfitnah dan memburuk-burukkan orang lain. Tetapi bilangan mereka kecil berbanding dengan banyak lagi yang menggunakannya untuk kebaikan. Kita tidak perlu membakar kelambu kerana nyamuk yang sedikit. Alam siber bermuat pelbagai ilmu, maklumat dan pengetahuan yang boleh memperbaiki hidup manusia.

Demikian juga kita tidak boleh menggunakan kayu ukur sebilangan pemandu yang tidak beradab di jalan raya sebagai bukti kehancuran nilai dalam masyarakat. Kita tidak boleh menyalahkan sistem sekolah semata-mata kerana sebahagian anak-anak muda kita tidak menghormati orang lain. Individu dicorakkan oleh pelbagai faktor persekitaran, bukan sekolah sahaja. Ada yang kecewa bahawa terdapat anak-anak muda kita yang mengisytiharkan kemerdekaan daripada buku dan disiplin apabila keluar sekolah.

Adab lebih penting lagi dalam amalan beragama. Maka itu, dalam sistem pendidikan Islam, adab menjadi salah satu mata pelajaran utama. Adab dianggap penting dalam konteks pembinaan keperibadian Muslim. Adab dikaitkan dengan akhlak dan kelakuan. Oleh yang demikian, seorang Islam yang baik harus juga menunjukkan adab yang baik selain mengamalkan cara hidup yang diredhai.

Hari Raya Aidiladha punya makna yang besar bagi bagi umat Islam. Semangat pengorbanan perlu dihayati oleh setiap orang. Maka itu Hari Raya Korban menuntut perlakuan yang terpuji di kalangan umat Islam. Sekali lagi alam siber bermuat dengan pelbagai cerita tentang keangkuhan atau riak serta perilaku yang buruk pada hari yang sepatutnya mencerminkan nilai terpuji.

Cerita mereka yang menjadikan korban sebagai simbol status yang baru tentulah menyedihkan. Ada orang kaya Islam bangga mengisytiharkan berapa banyak lembu dan kambing yang mereka sumbangkan di masjid atau surau. Ada yang melakukannya atas tujuan publisiti bagi menunjukkan keupayaan dan kemewahan. Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah membuat kenyataan yang penting baru-baru ini, menyeru umat Islam agar mengelak amalan korban untuk tujuan bermegah-megah.

Kita juga mendengar pelbagai cerita bagaimana petugas upacara korban bersikap tidak adil, mengumpulkan bahagian terbaik daripada haiwan yang disembelih untuk diri sendiri atau mengenepikan orang lain. Ada kalanya sesebuah masjid menjadi tempat korban puluhan ekor lembu tetapi oleh sebab sistem pengagihan yang tidak betul menyebabkan tidak semua penduduk setempat menikmatinya.

Di tengah semangat korban, elok rasanya umat Islam mula menanyakan soal adab dan akhlak ini. Kita mahukan umat yang bukan sahaja kuat, berilmu, kukuh ekonominya tetapi juga mengamalkan perilaku dan akhlak yang dituntut oleh Islam. Kita sepatutnya menunjukkan contoh yang baik.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Bukan Melayu tak senada mansuh kelas peralihan


Oleh : Profesor Teo Kok Seong
 
Cadangan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk menyeragamkan beberapa aspek kurikulum, khususnya antara sekolah kebangsaan dengan sekolah jenis kebangsaan, tidak diterima secara sama oleh bukan Melayu. Dua antaranya, pemansuhan kelas peralihan dan penggunaan sukatan pelajaran sama untuk mata pelajaran bahasa Melayu, diterima baik oleh kaum India, tetapi tidak kaum Cina.

Sebenarnya pemansuhan kelas peralihan adalah cadangan kaum India yang diajukan ketika Kajian Semula Pendidikan Negara. Mereka sedia menangani ketidakcekapan pelajar India dalam subjek Bahasa Melayu, dengan cara baru, bukan melalui kelas peralihan. Ini berlainan dengan kaum Cina yang belum sedia dengan apa cara pun dan ingin terus menangani masalah ini dengan cara lama.

Kaum India menerima baik syor menggunakan sukatan pelajaran sama untuk bahasa Melayu bagi Tahun Empat hingga Enam. Sebaliknya kaum Cina yang ingin meneruskan kelas peralihan tidak bersetuju dengan penyeragaman ini. Pelbagai alasan diberi dan boleh dikatakan kebanyakannya memperlihat keengganan kaum Cina untuk bersifat lebih integratif dalam menjayakan sistem pendidikan negara yang lebih bersepakat. Sistem begini penting untuk melahirkan generasi muda yang berkongsi satu asas dan perspektif sama mengenai nasionaliti Malaysia, dalam keadaan kita mengamal pelbagai aliran persekolahan. kaum Cina bukan saja terus melindungi bahasa Mandarin, malah terlalu mempertahankannya sehingga boleh dianggap melampau dalam beberapa kes"

Kebimbangan, sama ada yang tersurat, iaitu penyeragaman ini mengurangkan masa untuk pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda Cina, atau tersirat, yakni akan menghakis jati diri etnik Cina, bukan saja tidak berasas, tetapi boleh dianggap perkauman. Kebimbangan ini memperlihat betapa tidak percayanya Cina kepada kaum Melayu.

Penyeragaman ini bertujuan merapatkan jurang pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu, iaitu bahasa negara kita semua, antara mereka yang menghadiri dua aliran persekolahan ini, khususnya apabila memasuki sekolah menengah. Namun, dengan tujuan semurni ini yang akan membolehkan pelajar Cina mengikuti semua pelajaran dalam bahasa Melayu, lebih mudah dan jayanya pula apabila mereka berada di sekolah menengah, ia masih diragui akan keikhlasannya.

Dengan keengganan ini dan beberapa tindakan lain untuk mengembangkan pendidikan Cina, tidak dapat dinafikan lagi kaum Cina bukan saja terus melindungi bahasa Mandarin, malah terlalu mempertahannya sehingga boleh dianggap melampau dalam beberapa kes. Mereka sanggup mengetepikan semangat di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung selaku satu kerukunan, sama ada sebagai sesuatu yang diharuskan daripada kelompok bukan asal atau untuk tujuan perhubungan yang lebih tulen dengan kelompok asal.

Kaum Cina perlu mengikuti semangat kaum India. Tindakan mereka bukan saja menguntungkan generasi muda mereka yang akan dapat mengikuti pelajaran di sekolah menengah dengan lebih berkesan. Pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan Tamil adalah bertahap tinggi.

Namun, lebih penting ia tidak merumitkan lagi PPPM yang sudah direncamkan dengan pelbagai aliran persekolahan, kini disulitkan pula oleh sekolah jenis kebangsaan yang tidak sama ketetapannya antara aliran Mandarin dan Tamil. Ketidaksamaan ini akan meremehkan wibawa sistem pendidikan negara ini, selain menjadikannya amat kompleks.

Oleh itu, penyeragaman yang hanya membabitkan kandungan, baik dari segi kosa kata dan istilah serta struktur dan gaya bahasa Melayu perlu diterima dengan hati terbuka oleh kaum Cina. Sebenarnya anak kecil kita bukan saja cepat memanfaatkannya, tetapi akan menguasai bahasa Melayu tahap tinggi dengan baik sekali.

Dengan cadangan ini dalam PPPM, anak bangsa kita, khususnya lepasan sekolah jenis kebangsaan, bukan saja mahir dalam bahasa ibunda mereka, tetapi cekap pula dalam bahasa negara ini, iaitu bahasa Melayu. Itulah tujuan murninya!

Penulis ialah Profesor Linguistik di UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Wujudkan dunia selamat untuk kanak-kanak


Oleh : Mohamed Maliki Mohamad Rapiee
 
Pada 1952, Kesatuan Kebajikan Kanak-Kanak Antarabangsa membawa satu usul penting ke Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu yang mendesak agar setiap negara anggota badan dunia itu mengiktiraf Hari Kanak-Kanak Sedunia sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib serta kebajikan kanak-kanak seluruh dunia.

Akhirnya mulai 1953, setiap negara anggota PBB menjadikan hari Sabtu terakhir Oktober pada setiap tahun sebagai Hari Kanak-Kanak peringkat kebangsaan di negara masing-masing.

Ketetapan ini satu langkah penting warga dunia untuk mengambil peduli terhadap nasib kanak-kanak sejagat yang sewaktu itu menjadi mangsa keadaan dunia yang baru menamatkan Perang Dunia Kedua. Sejak tarikh itu banyak usaha dilakukan agar tahap kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak sentiasa meningkat dari setahun ke setahun.

Namun, usaha mewujudkan dunia yang selamat dan sejahtera kepada kanak-kanak bukan suatu usaha mudah yang mampu dijayakan segelintir individu atau kumpulan atau juga sebuah negara.

UNICEF atau United Nation Children’s Fund iaitu organisasi di bawah PBB yang bertanggungjawab mengawal selia isu pembangunan, pemeliharaan dan pembelaan kanak-kanak seluruh dunia menyatakan bahawa tahap kesihatan dan kesinambungan kehidupan kanak-kanak terletak di tengah kemajuan manusia. Ini bermakna, maju mundur golongan kanak-kanak ada kaitan langsung dengan cara pemikiran, keputusan serta tindakan golongan dewasa. Walaupun kesedaran mengenai perlunya membela nasib kanak-kanak telah muncul sejak awal 1946, namun ia masih gagal menghalang ancaman terhadap golongan yang lemah ini.

40,000 mati setiap tahun

Pada 1986, UNICEF menyatakan ada 40,000 kanak-kanak yang mati pada setiap tahun. Maknanya, sejumlah besar kanak-kanak yang sepatutnya menyambung kehidupan generasi masa depan lenyap sekelip mata akibat kejadian kebuluran, kekurangan zat makanan, serangan penyakit, dan konflik peperangan akibat perbezaan ideologi dan perseteruan kaum.

Kini, walaupun UNICEF kelihatan begitu serius untuk memastikan pembangunan manusia khasnya kanak-kanak dapat dipertahankan untuk jangka masa panjang namun ia masih gagal menyekat kejadian peperangan dan konflik terbaru sehingga menyebabkan kematian kebuluran dan kematian kanak-kanak berterusan.

Dalam situasi kemelesetan ekonomi kini, dikhabarkan ada satu bilion umat manusia yang jatuh miskin dan sudah pasti kanak-kanak juga menjadi mangsa yang terburuk. Hakikatnya, dalam dunia peperangan dan kelaparan ketika setiap orang mengejar waktu untuk hidup, maka kanak-kanak sering terkebelakang dari segi keutamaan atau hak.

Kanak-kanak dipaksa menggalas senjata

Malah lebih buruk lagi, bukti menunjukkan terdapat kanak-kanak yang dipaksa menggalas senjata untuk menjadi pembunuh atas kepercayaan untuk mempertahankan maruah dan kepentingan.

Sesetengah pemimpin dan orang berpengaruh di rantau yang bergolak menipu kanak-kanak dengan menghulur sebuku roti yang berlapikkan pisau di tangan kanan dan memaksa kanak-kanak ini pergi ke ‘medan perang’ atas nama perjuangan, sedangkan di tangan kirinya telah terhunus sepucuk pistol yang akan memecahkan kepala kanak-kanak ini sekiranya mereka enggan menurut perintah.

Kanak-kanak ini membesar dengan kepercayaan palsu bahawa mereka adalah pejuang tulen yang sama taraf seperti watak ‘Rambo’ dalam paparan perang Amerika melawan Vietnam. Istilah kemanusiaan, kasih sayang, simpati dan kesakitan dalam diri kanak-kanak malang ini amat jauh sekali maknanya dengan piagam PBB terhadap kanak-kanak seperti yang dipersetujui oleh keseluruhan negara anggotanya.

Kanak-kanak di Malaysia lebih baik

Suasana dan persekitaran yang wujud untuk kanak-kanak di Malaysia pastinya jauh lebih baik berbanding paparan yang dinyatakan di atas. Sebahagian besar kanak-kanak di Malaysia dilahirkan dalam suasana yang menggembirakan. Kekuatan institusi sosial yang berasaskan nilai kekeluargaan dan ditambah lagi dengan sokongan prasarana kesihatan yang baik menjadikan kelahiran bayi yang selamat serta sihat amat tinggi di negara ini.

Namun, kita tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian yang ada ini. Memahami bahawa negara masih menghadapi cabaran pembangunan yang masih belum sekata dengan pelbagai aspek perbezaan sosioekonomi serta demografi, maka adalah penting buat kita semua menjadikan aspek pemeliharaan, perlindungan serta pemulihan kanak-kanak sebagai keutamaan kita. Perlu lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diwujudkan untuk memantau dan memperjuangkan isu ini pada setiap sudut kehidupan.

Masih ramai kanak-kanak yang yang terpaksa berpisah dengan induk keluarga atas masalah yang ditimbulkan oleh orang dewasa. Perceraian ibu bapa sering menjadikan kanak-kanak mangsa keadaan yang menjejaskan keseluruhan kualiti hidup. Masih ramai kanak-kanak (khasnya anak-anak yatim) kita yang terkeliru di antara paksaan untuk mencari dana pengajian agama di madrasah dengan makna tanggungjawab memenuhi tuntutan sebagai penganut yang taat.

Amatlah malang seorang anak yatim yang ditetapkan haknya sebagai asnaf sepatutnya dilindungi umat Islam terpaksa menghabiskan sebahagian usia remaja dengan menjadi peminta sedekah.

Penulis ialah ialah Presiden Majlis Belia Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/