Kepada anak-anak pelajar SPM dan STPM tercinta, didoakan agar anda semua dikurniai kekuatan untuk menempuh peperiksaan dengan tenang, beroleh bimbingan Yang Esa dan seterusnya berjaya menjawab soalan peperiksaan dengan betul, sempurna dan teratur....AMEEN!
Ahad, 4 November 2012
ISU PENDIDIKAN : 472,541 calon duduki SPM mulai Isnin
KUALA LUMPUR: Seramai
472,541 calon akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di
3,590 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai Isnin ini hingga 6 Disember.
Sebanyak 415,530 calon daripada
sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, manakala
7,708 calon daripada sekolah di bawah agensi kerajaan selain kementerian dan
7,946 calon daripada sekolah menengah agama negeri.
Lembaga Peperiksaan, Kementerian
Pelajaran dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini, berkata turut
menduduki peperiksaan tahun ini ialah 11,309 calon sekolah swasta yang
berdaftar dengan kementerian, 28,148 calon sekolah menengah agama rakyat dan
1,900 calon persendirian.
Kenyataan itu berkata seramai
30,239 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan
lancar.
Lembaga Peperiksaan mengingatkan
calon untuk merujuk jadual waktu peperiksaan, arahan dan amaran yang perlu
dipatuhi semasa peperiksaan serta membuat persiapan awal bagi menghadapi
perkara yang mungkin menghalang atau melewatkan mereka sampai ke pusat
peperiksaan mengikut jadual yang ditetapkan.
"Mereka diingatkan membawa
kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan
dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar.
"Calon juga sentiasa diminta
untuk peka dan mengikut perkembangan terkini melalui media sekiranya berlaku
sebarang pindaan jadual atau perubahan pusat peperiksaan," kata kenyataan
itu.
Semua Pengarah Jabatan Pelajaran
Negeri juga telah dimaklumkan mengenai Ops Payung berkaitan banjir dan sekolah
yang berisiko tinggi, dan telah diarah untuk menyediakan bilik peperiksaan
alternatif yang selamat.
Bantuan tempat tinggal, makanan
dan keperluan asas akan disalur kepada calon yang terjejas akibat banjir dan
Kementerian Pelajaran akan bekerja sama dengan Majlis Keselamatan Negara,
Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan calon dapat menduduki peperiksaan
dengan selamat, kata Lembaga Peperiksaan.
Bilik Gerakan Peperiksaan SPM
akan beroperasi sepanjang peperiksaan berlangsung bermula dari jam 7.30 pagi
hingga 5.30 petang dan boleh dihubungi di talian
03-88843024/03-88893551/03-88893601 atau 03-88893520. - BERNAMA
ISU PENDIDIKAN : 67, 202 Calon Duduki STPM Mulai Isnin
KUALA LUMPUR : Seramai
67,202 orang calon akan menduduki peperiksaan Penggal 1 Sijil Tinggi
Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2013, iaitu peperiksaan berdasarkan sistem
pentaksiran baru STPM di 771 buah pusat peperiksaan di seluruh negara mulai 5
hingga 8 November 2012.
Menurut Majlis Peperiksaan
Malaysia (MPM), daripada jumlah itu, 66,465 orang adalah calon sekolah
kerajaan, 658 calon sekolah swasta, 69 calon persendirian individu dan 10 calon
sekolah kerajaan negeri.
"Mereka ini merupakan calon
kohort pertama yang menduduki peperiksaan STPM berdasarkan sistem pentaksiran
baru STPM yang mengikuti pengajian tingkatan enam bawah mulai Mei 2012,"
kata MPM dalam satu kenyataan.
Kesemua calon dinasihati supaya
sentiasa membawa kad pengenalan dan Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC)
sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung.
Calon juga boleh mencetak LPKC
masing-masing melalui portal MPM di http://www.mpm.du.my.
Bagi menghadapi sebarang
kemungkinan seperti banjir semasa peperiksaan berlangsung, MPM membuka Bilik
Gerakan yang boleh dihubungi di talian 03-61302666 dari jam 7 pagi hingga 6
petang.
Talian lain yang boleh dihubungi
ialah 03-61369663 (am), 03-61302664/03-61302646.-BERNAMA
ISU PENDIDIKAN : Pembangunan pendidikan perlu inovasi berterusan
Oleh : Dr Muhamad Razak Idris
Kurikulum kena ikut pasaran
kerja semasa
Daya saing bidang pendidikan
banyak bergantung kepada tahap kualiti kurikulum pengajiannya. Oleh kerana itu,
kita dapati banyak inisiatif penyelidikan dilakukan oleh pakar pendidikan
tertumpu dalam pembangunan aspek ini pada masa kini. Ia bagi menjamin
pendidikan benar-benar dapat memenuhi peranan asasinya sebagai wadah atau
saluran terpenting pembangunan manusia, seterusnya memastikan generasi yang
dibangunkan dapat bersaing secara yakin di pentas dunia baru yang serba
mencabar pada masa depan.
Dalam makalah Voice terbitan The
University of Melbourne, (vol 8, no 8), Gabrielle Murphy misalnya memulakan
tulisannya dengan persoalan, apakah bentuk kerjaya yang bakal diceburi oleh
seorang kanak-kanak yang dilahirkan pada 2012 selepas beliau menamatkan
pendidikan tinggi pada 2035?
Bentuk pekerjaan berubah
Dalam telahan Murphy, kanak-kanak
ini berkemungkinan besar sudah tidak lagi dapat menceburi bidang pekerjaan yang
kebiasaan dilakukan oleh ibu bapa mereka hari ini selepas 23 tahun akan datang.
Kepesatan perubahan dan pencapaian dalam kehidupan manusia hari ini terutama
dari ilmu, maklumat, kemahiran dan kemudahan, akan menjadikan bentuk-bentuk
pekerjaan pada masa depan juga berubah sepenuhnya.
Ini adalah antara asas yang
mendorong pakar pendidikan hari ini memberikan tumpuan khusus dalam merencana
program pembangunan kurikulum pendidikan yang mengandungi kualiti daya saing
yang tinggi bagi memastikan generasi pelajar hari ini mampu berdepan dengan
perubahan pekerjaan dan kehidupan yang serba mencabar dan tidak menentu pada
masa depan.
Dalam kata lain, kurikulum
pendidikan harus sentiasa bersifat responsif terhadap perubahan dan dinamik
dari segi pengamalannya. Kurikulum pendidikan dan pembelajaran yang bersifat
beku atau jumud akan berdepan dengan persoalan relevensi atau kesesuaiannya
dalam menyumbang kelahiran generasi berdaya saing mendepani cabaran perubahan.
Dalam dekad-dekad mendatang,
dunia akan terdedah dengan pelbagai penciptaan baru dan ia akan mempengaruhi
gaya hidup manusia dan cara mereka melakukan pekerjaan. Realiti perubahan ini
bukan suatu yang terlalu sukar untuk kita fahami. Lihat saja kesan yang sudah
disumbangkan oleh kemajuan di bidang komunikasi dan media terhadap kehidupan kita
hari ini. Pembangunan teknologi baru di bidang ini sudah mengubah cara manusia
memperoleh maklumat, berhubung dan berhibur.
Konsep televisyen, misalnya sudah
berubah sepenuhnya sekiranya dibandingkan sejak dua tahun yang lalu.
Manifestasinya tidak lagi statik, tetapi kini bercorak digital dan mudah alih.
Teknologi komunikasi yang canggih ini juga mempengaruhi corak manusia berurusan
dalam bidang kewangan, perubatan, perdagangan dan lain-lain lagi. Bidang
pendidikan juga tentu tidak kebal daripada menerima kesan perubahan dunia ini.
Untuk itu, ia perlu bersiap siaga secara lebih efektif bagi mendepaninya.
Apakah bentuk persediaan yang
perlu dilakukan bidang pendidikan bagi mendepani realiti perubahan ini? Bagi
pakar pendidikan, pembangunan kurikulum pendidikan yang bersifat inovatif
adalah antara aspek teras yang mesti diutamakan kini. Ia adalah jalan keluar
yang akan memastikan generasi yang dibangunkan hari ini tidak ketinggalan oleh
arus deras perubahan masa depan.
Inovasi kurikulum pendidikan ini harus
menyeluruh mencakupi kandungan ilmu yang harus diketahui pelajar serta kaedah
atau teknik pembelajaran setiap bidang pengajian. Program inovasi ini juga
harus menggabungjalinkan seluruh ruang, persekitaran dan teknologi pembelajaran
bagi memberikan kesan tertinggi terhadap pencapaian pendidikan.
Dalam beberapa penemuan berkenaan
model kurikulum pendidikan berinovasi, pakar pendidikan mengesyorkan aspek
membabitkan pembelajaran ilmu bercorak merentas disiplin, pengukuhan daya
kepemimpinan, penghargaan kepelbagaian budaya dan pembinaan generasi berwatak
global perlu diperluaskan pelaksanaannya serta harus menjadi teras penting
pembangunannya. Bagi tujuan itu, pembangunan teknik pembelajaran berasaskan
pemikiran kritis, keterampilan meneroka keluasan dan kekayaan sumber ilmu serta
kemahiran bekerja secara berpasukan hendaklah diterapkan dalam proses
pembelajaran.
Kesepaduan kaedah pembelajaran
Inovasi dalam pembangunan
kurikulum pendidikan juga disyorkan memberi tumpuan dari segi kesepaduan kaedah
pembelajarannya. Komponen formal dan tidak formal dalam sistem pendidikan harus
saling berperanan secara melengkapi. Menerusi model ini, proses penguasaan ilmu
tidak hanya lagi tertumpu dari segi pengajian secara formal di dalam kelas atau
buku teks tetapi dalam masa yang sama dijayakan melalui kaedah tidak formal
membabitkan pembangunan persekitaran dan budaya pembelajaran yang kreatif dan
segar dalam sesebuah institusi pendidikan.
Model ini menganjurkan agar ruang
dan peluang interaksi antara pelajar sesama pelajar dan pelajar dengan komuniti
diperluaskan pada tahap maksimum. Ini akan membabitkan banyak pelaburan dari
segi persediaan prasarana pembelajaran seperti keperluan memperbanyakkan ruang
interaksi dan diskusi, memanfaatkan infrastruktur seperti bilik darjah,
bangunan, kantin, surau dan perpustakaan sebagai pusat sumber pengetahuan dan
galakan kegiatan mobiliti pelajar bersama komuniti setempat atau antarabangsa.
Penulis ialah pensyarah di
Fakulti Pengajian Islam, UKM
Sumber : http : //www.bharian.com.my/