Selasa, 20 November 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Pekerja Malaysia keempat paling berdedikasi


Kuala Lumpur : Pekerja Malaysia adalah yang keempat paling berdedikasi di dunia selepas India, Brazil dan Itali, demikian satu kajian sebuah perkhidmatan pelancongan dalam talian.

Kaji selidik berkaitan deprivasi percutian 2012 oleh agensi pelancongan dalam talian Expedia.com.my mendapati sembilan daripada 10 pekerja di Malaysia sukar melupakan kerja, walaupun ketika bercuti.

Kaji selidik itu mendedahkan pekerja di Malaysia menghabiskan kira-kira 40 jam seminggu bekerja tetapi menerima purata 14 hari cuti tahunan dan ia antara yang terendah di dunia.

Menurut kajian itu lagi, sebab utama pekerja negara ini tidak memanfaatkan cuti mereka ialah kegagalan menyelaraskan cuti bersama rakan.

Sebanyak 40 peratus pekerja yang dikaji berkata, mereka enggan mengambil cuti kerana tidak pasti sama ada ketua meluluskan cuti, manakala 15 peratus pula bimbang percutian mereka akan memberi gambaran negatif terhadap kerjaya profesional, menurut kenyataan Expedia.com.my, semalam.

Kaji selidik itu membandingkan tabiat bercuti membabitkan lebih 8,000 orang dewasa yang bekerja di 22 negara di Asia, Australasia, Amerika Utara dan Selatan serta Eropah.

Sumber : BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Latih guru berfikir sebagai usahawan


KUALA LUMPUR 20 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bakal guru perlu dilatih untuk menjadi seorang pemikir dan berupaya menyelesaikan masalah serta berfikiran sebagai seorang usahawan.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, langkah itu penting dalam usaha untuk melahirkan guru yang memiliki kemahiran abad ke-21 dan melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat.

"Saya berharap guru-guru akan sentiasa menunjukkan dan mengamalkan pemikiran yang kreatif dan berfikir sebagai seorang usahawan.

"Pemikiran yang kreatif, pemikiran yang 'luar biasa' dan 'berfikir di luar kotak' merupakan pemikiran yang mampu melahirkan senario baharu yang lebih dinamik dan mencabar serta berkemampuan untuk melahirkan tenaga kerja pada suatu masa nanti," katanya berucap merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Dalam Pembelajaran dan Pembangunan Guru di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Wan Khazanah Ismail dan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Datuk Dr. Haili Dolhan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, dengan lahirnya insan berfikiran kreatif, Malaysia tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada firma asing dan mereka sudah tentu dapat memenuhi peluang dan harapan dalam pelbagai situasi bagi menjamin kehidupan yang lebih baik.

Kata Muhyiddin, guru-guru seharusnya berkemampuan serta mempunyai kemahiran untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang bukan sahaja dihadapi oleh murid, malah dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang.

Menurut beliau, cabaran dan masalah dalam kehidupan ini perlu diselesaikan dengan cara yang berbeza kerana setiap manusia mempunyai kaedah penyelesaian berbeza.

"Walau siapapun kita, sama ada seorang ustaz, ustazah, guru, mentor atau sebagainya, kita perlu memiliki keupayaan untuk menyelesaikan sebarang masalah.

"Mereka yang memiliki kemahiran seperti ini merupakan golongan insan yang sangat diperlukan oleh mana-mana organisasi," ujarnya.

Muhyiddin berkata, pendidik bertanggungjawab memastikan generasi akan datang bukan sahaja menguasai pengetahuan tetapi juga berupaya memiliki kemahiran berfikir aras tinggi dan berkemahiran memimpin dalam pelbagai situasi.

"Selain itu, kita juga perlu memastikan para pelajar yang menamatkan persekolahan boleh bertutur menggunakan pelbagai bahasa dan memiliki keperibadian yang seimbang dan harmonis sebagaimana yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan," jelasnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Bersama berjihad memerangi rasuah


Oleh : DR AMINUDIN MANSOR

Rasuah adalah jenayah paling berbahaya dalam masyarakat dan negara. Jika gejala ini tidak diperangi secara serius rakyat dan negara akan hancur.

Amalan tidak baik iaitu rasuah menyebabkan seseorang itu sentiasa tamak, tidak pernah berasa cukup dengan apa yang ada dan tidak jujur dalam melaksanakan pekerjaan.

Justeru, rasuah jangan hanya dijadikan isu politik, tetapi semua pihak harus memandang jijik perbuatan ini dan membanterasnya.

Semua agama dan bangsa di dunia ini benci akan perbuatan rasuah yang merupakan penyakit masyarakat jika dibiarkan.

Perbuatan ini bukan sahaja keji tetapi amat dikutuk oleh ALLAH SWT. Justeru, orang yang kaya kerana hasil rasuah sering berasa tidak tenang dan diburu oleh kebimbangan dan ketakutan dalam kehidupannya.

Penegak hukum yang tegas dan adil dapat membanteras rasuah yang boleh meruntuhkan akhlak, kerukunan hidup masyarakat dan kekuatan sesebuah negara. Hukuman yang berat dapat mengelakkan rasuah dalam kalangan mereka yang mengamalkannya.

Kamus Dewan mendefinisikan rasuah sebagai pemberian (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (dulu diberi wang dari belakang ikut rusuk) juga dikenali wang “bawah meja” kini (sogok, dan suapan).

Jika dahulu perkataan tumbuk rusuk amat dibenci oleh masyarakat. Kini ia umpama penyakit yang menular secara senyap dalam masyarakat. Kini rasuah bukan hanya dalam bentuk wang malah segala kesenangan, kemewahan, hiburan dan keseronokan yang ditawarkan oleh pihak pemberi rasuah.

Agama Islam memberi amaran dengan azab yang amat pedih kepada individu yang terlibat dengan jenayah rasuah melalui sabda Rasulullah SAW: “Orang yang memberi rasuah dan menerimanya (akan dilemparkan) ke dalam api neraka di akhirat kelak”.

“Akan datang bagi manusia suatu zaman di mana orang tidak peduli apakah harta yang diperolehnya halal atau haram.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Dalam masyarakat yang mementingkan kebendaan, rasuah sangat sukar dikesan dan sangat rumit untuk diatasi. Ini disebabkan ia melibatkan beberapa individu tertentu sahaja dan dilakukan secara sulit dan terancang.

Justeru, pemberi rasuah harus faham bahawa perbuatannya itu adalah terkutuk dan penerima rasuah harus ingat wang diterima adalah haram untuk diri, anak-anak dan keluarganya.

Sementara itu, Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabdanya tentang harta yang diperoleh secara tidak halal, “Orang yang paling dirundung penyesalan pada hari kiamat ialah orang yang memperoleh harta dari sumber yang tidak halal lalu menyebabkannya masuk neraka”.

Jelaslah orang dan harta yang diperoleh daripada hasil rasuah adalah haram. Oleh itu, semua pihak mesti berusaha memainkan peranan yang tegas dalam memerangi gejala rasuah.

Orang ramai khususnya ahli masyarakat boleh menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa di peringkat bawahan yang telah dilantik untuk memerangi rasuah untuk memberi laporan segera tentang perbuatan rasuah yang diketahuinya.

Tindakan tegas mestilah diambil tidak mengira, sama ada orang yang berkuasa dan orang bawahan mestilah menerima hukuman setimpal.

Jihad memerangi gejala rasuah ini mestilah dilakukan melalui pendidikan di sekolah melalui mata pelajaran Agama Islam dan Pendidikan Moral, seminar dan penerangan jihad.

Melalui didikan dan kesedaran kepada pelajar, gejala rasuah yang dapat dikaitkan sebagai ‘najis rasuah’ dapat dibendung supaya tidak memusnahkan masyarakat dan negara.

Selain guru-guru, ibu bapa juga boleh mendidik anak-anak mereka tentang kejijikan gejala rasuah ini kepada kehidupan generasi akan datang.

Tentang didikan anak-anak ini Rasulullah SAW bersabda; “Tiadalah yang lebih utama yang dibisikkan oleh seorang ayah kepada anaknya selain daripada akhlak yang baik”. (Hadis riwayat Tarmizi).

* Penulis pengamal media. Phd Persuratan Melayu, UKM.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU GLOBAL : Teks ucapan pembentangan usul isu Gaza


Tuan Yang di-Pertua,

Saya mengucapkan terima kasih kepada kesemua Ahli Yang Berhormat yang hadir walaupun notis yang dikeluarkan mengenai sidang hari ini adalah secara tergempar. Saya amat berterima kasih kepada atas keprihatinan Ahli-Ahli Parlimen Malaysia, tidak mengira agama, bangsa atau haluan politik kerana bersedia membahaskan bersama satu isu yang sangat rapat di hati rakyat Malaysia, iaitu penderitaan semasa yang dialami oleh saudara kita di Palestin dan masa depan keamanan dan keselamatan bagi negara Palestin. Semuanya terancam akibat serangan berterusan ke atas wilayah Gaza, Palestin oleh Rejim Zionis di Israel baru-baru ini.

Sesungguhnya, tindak tanduk tentera Israel melancarkan operasi Pillar of Defence dari 14 November 2012  - melalui pengeboman dari udara, laut dan darat secara besar-besaran di beratus-ratus kawasan di Gaza, Palestin sehingga ke hari ini - merupakan satu tindakan angkuh dan tanpa berasa belas ihsan terhadap warga Palestin yang menetap di Gaza. Serangan-serangan kejam ini telah mengakibatkan banyak nyawa warga Palestin terkorban termasuk kaum wanita, kanak-kanak dan warga tua yang tidak mampu untuk mempertahankan diri mereka. Tentera Israel terus membedil wilayah Gaza dan melakukan kerosakkan serta pemusnahan harta benda. Tindakan kejam oleh Zionis Israel di wilayah Gaza perlu dikecam dan dikutuk oleh seluruh dunia.  Keganasan Israel ini juga melibatkan pencabulan undang-undang antarabangsa, pencerobohan dan kezaliman ke atas manusia yang dilakukan oleh manusia juga.

Sebagai sebuah negara yang telah sekian lama lantang dalam perjuang rakyat Palestin, kita harus bersepakat menjelaskan kepada seluruh dunia akan pendirian Malaysia terhadap tindakan yang tidak berperikemanusiaan oleh Rejim Zionis ke atas saudara kita di Palestin, khususnya mereka yang berada di wilayah Gaza yang pada ketika ini dizalimi secara terang-terangan.

Tuan Yang di Pertua,

Maka dengan ini, saya ingin mencadangkan;

BAHAWA mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 27(3) Dewan ini mengambil ketetapan-ketetapan berikut:-

BAHAWA, Israel telah melancarkan serangan ketenteraan yang dinamakan Operasi ‘Pillar of Defence’ pada 14 November 2012 ke atas Wilayah Palestin di Gaza meliputi pengeboman dan serangan udara, laut dan darat;

BAHAWA, serangan Israel ke atas Wilayah Palestin di Gaza merupakan tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta merupakan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 mengenai Perlindungan Orang-Orang Awam Dalam Masa Perang;

BAHAWA, rakyat Malaysia berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas Wilayah Palestin di Gaza dan dengan itu menolak tindakan hukuman kolektif yang diambil ke atas rakyat Palestin di Gaza; dan

BAHAWA, rakyat Malaysia berasa sangat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutamanya, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk menghentikan dengan serta-merta keganasan Israel yang dilakukan ke atas Wilayah Palestin di Gaza.

DENGAN INI Dewan ini mengambil ketetapan seperti berikut:

(1)  Mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas Wilayah Palestin di Gaza yang mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin, termasuk golongan wanita, kanak-kanak, bayi dan warga tua dan kemusnahan harta benda dan infrastruktur serta menggesa pengunduran menyeluruh Israel dari Wilayah Palestin di Gaza dan Tebing Barat;

(2)  Menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membuat ketetapan supaya Israel menghentikan dengan serta-merta serangan ketenteraannya ke atas Wilayah Palestin di Gaza melalui gencatan senjata dan memutuskan untuk menempatkan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menguatkuasakan gencatan senjata tersebut;

(3)  Menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya mengadakan Sesi Tergempar Khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu - “Uniting For Peace” -di bawah Resolusi 377A(V) sekiranya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu gagal menjalankan tanggungjawabnya;

(4)  Menggesa pihak-pihak yang terlibat supaya menyambung semula usaha terhadap proses damai serta melaksanakan dan mematuhi pelbagai resolusi yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung isu Palestin dan konflik Arab-Israel;

 (5)  Memutuskan Malaysia bekerjasama dengan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mengambil tindakan yang lebih konkrit bagi mendukung prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam menangani konflik yang berlaku di Timur Tengah sekarang;

(6)  Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat;

(7)  Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu-padu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat;

(8)  Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Wilayah Palestin di Gaza dengan serta merta;

 (9)  Menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menyiasat dan mengambil tindakan bagi maksud pendakwaan ke atas penjenayah perang Israel yang disyaki terlibat dengan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin; dan

(10)  Mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua Dewan Perundangan dan Parlimen yang berkenaan, khasnya Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Presiden Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Tuan Yang di Pertua,

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang di Pertua kerana membenarkan Dewan yang mulia ini membahaskan isu serangan Israel ke atas Wilayah Gaza pada hari ini. Izinkan saya memberi sedikit latarbelakang mengenai serangan terbaru oleh rejim zionis ini.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, pada 8 November 2012, tentera Israel telah bertindak dengan menembak di sebuah kawasan awam iaitu di Pekan Abassan di Selatan Gaza. Tembakan tersebut telah mengenai seorang kanak-kanak berusia 13 tahun yang sedang bermain bola sepak bersama rakan-rakannya dan beliau meninggal dunia beberapa minit kemudian.

Selang beberapa hari iaitu pada 10 dan 11 November 2012, Israel telah membedil beberapa kawasan awam di Gaza yang telah mengakibatkan 6 warga Palestin terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih dari 40 warga Palestin.

Serangan-serangan Israel tersebut telah mengakibatkan pihak Hamas melancarkan serangan balas roket ke atas Israel. Bermulanya dari situ, Israel telah menggunakan serangan Hamas berkenaan sebagai alasan untuk melancarkan operasi ‘Pillar of Defence’ pada 14 November 2012. Operasi ini melibatkan serangan terancang melalui pengeboman udara, laut dan darat ke atas Gaza. Serangan udara Israel telah membunuh Ahmed Al-Jaabari, seorang pemimpin Hamas dan orang awam termasuk seorang wanita hamil, kanak-kanak dan seorang guru United Nations Relief and Works Agency (UNRWA) dan mencederakan ramai rakyat Palestin. Sebagai langkah untuk memperrtahankan diri, pihak Hamas telah melancarkan serangan balas roket yang telah membunuh 3 warga Israel.

Tuan Yang di-Pertua,

Pada hari ini, sekurang-kurangnya 106 warga Palestin di Gaza telah terkorban di Gaza manakala lebih dari 700 orang telah cedera. Keadaan di Gaza dijangka akan bertambah buruk akibat sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan, khususnya bahan perubatan, dari negara-negara luar ke Gaza bagi merawat mangsa-mangsa kekejaman Israel.

Pada 14 November 2012, Wakil Tetap Mesir ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengutuskan sepucuk surat kepada India yang memegang jawatan sebagai Presiden Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bagi bulan November 2012 untuk mengadakan mesyuarat tergempar UNSC bagi mendesak Israel untuk menghentikan serangannya ke atas penduduk Palestin di Gaza. Malangnya, UNSC tidak mengambil sebarang keputusan kerana terdapat beberapa negara yang telah mempertahankan tindakan Israel melancarkan serangan ke atas Gaza sebagai langkah mempertahankan diri dari serangan roket Hamas. Sungguhpun demikian, terdapat beberapa buah negara di dalam UNSC seperti Afrika Selatan dan Pakistan yang telah menyeru agar UNSC mengambil tindakan segera ke atas Israel yang bertindak keterlaluan melalui serangan-serangan yang dilakukannya ke atas Gaza dan menyeru agar serangan balas roket dari Gaza dihentikan.

Kita sedar bahawa Majlis Keselamatan PBB telah beberapa kali gagal menjalankan tanggungjawab dan memenuhi obligasi serta mandatnya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa. Kegagalan ini lazimnya disebabkan oleh kuasa veto yang diberikan kepada Anggota Tetap Majlis Keselamatan PBB yang seterusnya telah menyekat badan tersebut daripada bertindak terhadap Israel.

Akibatnya, selepas 7 hari operasi Pillar of Defence dilancarkan oleh tentera Israel, serangan hebat Israel ke atas Gaza tidak dapat dihentikan oleh masyarakat antarabangsa dan masih berterusan. Warga Palestin di Gaza terus dibedil oleh rejim Zionis Israel yang mengakibatkan lebih ramai rakyat Palestin yang terkorban dan cedera. Bekalan makanan, bahan bakar, ubatan dan keperluan-keperluan asas terus berkurangan hari demi hari. Bekalan bantuan dari dunia luar tidak dapat sampai kepada mangsa-mangsa serangan yang memerlukannya kerana jalan-jalan ditutup dan tidak selamat bagi pembantu-pembantu untuk bergerak bebas. Barang bantuan juga tidak dapat sampai menerusi pantai Gaza kerana lautan sekeliling Gaza di kepung dan disekat secara haram oleh Israel.

Tuan Yang di-Pertua,

Serangan ke atas wilayah Gaza kali ini adalah yang terburuk pernah dilakukan oleh Rejim Zionis terhadap Palestin sejak operasi Cast Lead yang dilancarkan oleh Israel pada tahun 2008/2009. Operasi ini telah mengakibatkan lebih dari 1,400 warga Palestin terkorban dan ribuan lagi cedera. Kita tidak mahu peristiwa hitam seperti ini sekali lagi melanda warga Palestin sepertimana yang mereka telah alami pada tahun 2008/2009.

Harus diingati, Kerajaan Malaysia tidak akan berputus asa sekiranya usaha pihak-pihak berkenaan tidak dapat menamatkan keganasan Israel terhadap Palestin. Malaysia akan terus berusaha dan berkerjasama dengan negara-negara yang bersependapat untuk meminta Presiden Perhimpunan Agong PBB mengadakan Sidang Tergempar Perhimpunan Agong berlandaskan Resolusi No.377 A(V) tahun 1950 - “Uniting for Peace” sekiranya UNSC masih berdiam diri. Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri akan memastikan Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB di New York akan terus mengetengahkan perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Malaysia berasa amat sedih dan kesal dengan situasi yang berlaku di Gaza akibat serangan dan tindakan kejam tentera Israel. Serangan ini telah melumpuhkan sebuah wilayah kecil yang tidak berupaya mempertahankan dirinya dari serangan kejam Israel yang dilancarkan ke atas Gaza secara bertubi-tubi. Sekatan atau dengan izin, “blockade”, yang dilakukan oleh tentera laut Israel sejak 2007 telah menyekat bantuan memasuki Gaza melalui laut. Malaysia hampa dengan kegagalan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan menghentikan serangan ini, terutama kegagalan UNSC yang masih belum mengambil sebarang tindakan tegas ke atas Israel.

Oleh yang demikian, usul bertajuk Mengecam Serangan Kejam oleh Israel ke atas Wilayah Palestin di Gaza ini merupakan salah satu cara bagi Malaysia untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai sebuah negara yang prihatin terhadap warga Palestin di Gaza yang di tindas oleh Rejim Zionis Israel. Masyarakat antarabangsa secara keseluruhan mengutuk tindakan Rejim Israel menyerang Gaza. Malangnya, ada juga pihak yang tidak bersikap adil dan menyalahkan sepenuhnya pihak Palestin di Gaza dalam memulakan krisis ini.  Namun demikian, Ahli Yang Berhormat sekalian haruslah sedar bahawa tiada cara lain yang boleh digunakan oleh pihak Palestin untuk mempertahankan bumi Gaza yang masih dikepung oleh Israel yang sering kali menyerang penduduk di Gaza mengikut sesuka hati mereka.

Tuan Yang di Pertua,

Mengambil kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada Ahli-ahli Dewan yang mulia ini untuk turut membantu usaha murni ini dengan menggalakkan semua rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat untuk membantu rakyat Palestin yang kini berada dalam keadaan yang amat daif akibat serangan tentera Rejim Zionis. Selaku masyarakat Malaysia yang sentiasa prihatin dan simpati kepada kesengsaraan golongan yang tertindas, marilah kita sama-sama menghulurkan sedikit sumbangan ikhlas bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.

Bersama-samalah kita memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa agar bencana kemanusiaan yang tragis ini dapat dihentikan serta-merta.

Tuan Yang di Pertua, saya mohon mencadangkan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/