Oleh : Marhaini Kamaruddin
SIDANG Kemuncak ASEAN Ke-21
akhirnya melabuhkan tirai dengan penyerahan jawatan pengerusi daripada Kemboja
kepada Brunei Darussalam.
Selepas hampir seminggu, bandar
Phnom Penh menjadi tuan rumah bagi delegasi dari serata dunia, yang menyaksikan
kesesakan lalu lintas luar biasa, keadaan kembali seperti sedia kala selepas
ketua-ketua kerajaan berlepas pulang meninggalkan bandar yang dihuni kira-kira
2.2 juta penduduk ini.
Dalam tempoh tiga hari sidang
kemuncak itu dan sidang-sidang kemuncak berkaitan berlangsung, banyak kejayaan
yang dicatatkan oleh gagasan berusia 55 tahun ini.
Antaranya pelancaran Kerjasama
Perundingan Ekonomi Serantau (RCEP), dianggotai 10 anggota ASEAN bersama-sama
China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand - yang bakal
membentuk blok ekonomi terbesar di dunia dengan pasaran lebih tiga bilion orang
dan keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar mencecah AS$17 trilion.
Peningkatan taraf hubungan
ASEAN-Amerika Syarikat (AS) daripada rakan dialog kepada perkongsian strategik
juga suatu pencapaian membanggakan.
Perkongsian Trans Pasifik (TPP),
satu lagi kerjasama ekonomi dipromosikan Amerika Syarikat melibatkan 11 negara
dengan empat daripadanya anggota ASEAN termasuk Malaysia juga bakal dimuktamadkan
tahun depan.
Sidang kemuncak kali ini juga
mencatatkan kemajuan signifikan apabila meluluskan Deklarasi Hak Asasi Manusia
ASEAN (AHRD), sungguhpun terdapat bantahan pihak tertentu yang mendakwa dokumen
itu tidak menepati piawaian antarabangsa, sekali gus mencerminkan kesepakatan
dan komitmen gagasan itu untuk melindungi hak asasi manusia mengikut acuannya
sendiri.
ASEAN sebenarnya telah mencipta
rekod kemajuan hak asasinya lebih awal daripada pemeteraian AHRD dengan
perkembangan demokrasi di Myanmar dan penyelesaian pergolakan di selatan
Filipina menerusi pembentukan wilayah Bangsamoro, hasil inisiatif Malaysia.
Kehadiran Presiden Barack Obama
turut diambil kesempatan oleh Malaysia dan Indonesia selaku dua negara Islam,
untuk menyampaikan suara umat Islam dan masyarakat antarabangsa yang prihatin
dengan nasib penduduk Palestin.
Sebagai sekutu Israel, siapa lagi
yang paling layak disampaikan gesaan agar dihentikan keganasan yang berlaku di
genting Gaza itu jika bukan Presiden AS.
Malangnya, di sebalik pelbagai
kejayaan yang direkodkan oleh ASEAN, media antarabangsa menggembar-gemburkan
seolah-olah kumpulan rantau Asia Tenggara tersebut gagal berfungsi - hanya
kerana isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan. Sedangkan bukannya tiada
kemajuan langsung yang dicapai dalam pertikaian wilayah maritim tersebut.
Pertikaian wilayah, walau di mana
ceruk dunia sekali pun, adalah isu yang sangat kompleks atau rumit yang
memerlukan masa untuk diselesaikan. Ia tidak boleh diputuskan dalam sehari dua.
Apatah lagi apabila melibatkan
banyak pihak, lebih-lebih lagi negara.
Namun apa yang penting, dalam isu
Laut China Selatan ini, negara yang terlibat dalam tuntutan bertindih di
wilayah maritim itu iaitu China dan empat anggota ASEAN (Malaysia, Brunei,
Filipina dan Vietnam) mahu menyelesaikannya secara aman dan rasional, bukan
dengan muncung senjata yang akan menjejaskan kestabilan dan kemakmuran rantau
ini. Satu lagi negara yang terlibat dalam pertikaian adalah Taiwan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak, ketika mengulas isu Laut China Selatan di akhir Sidang Kemuncak
ASEAN Ke-21 dan sidang-sidang berkaitan berpendapat; Kita
perlu mengurus isu ini sebaik-baiknya. Kita tidak patut mengambil tindakan yang
boleh meningkatkan ketegangan. Pokoknya jangan melakukan apa yang boleh
mencetuskan masalah."
Reaksi Perdana Menteri China, Wen
Jiabao, semasa menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur EAS) yang menganggap Kod
Tatalaku Pihak- pihak di Laut China Selatan (COC) yang dirangka ASEAN sebagai
kesinambungan logik bagi Deklarasi Tatalaku (DOC) yang diperakukan republik itu
selama ini, membayangkan penyelesaian positif pada masa depan.
Apa pun yang pasti, bagi ASEAN
dan juga China, hubungan kedua-duanya bukan terbatas kepada isu Laut China
Selatan sahaja.
Hakikatnya, hubungan ASEAN dan
China adalah cukup luas, strategik dan penting.
Sejak 2009, China adalah rakan
dagangan terbesar ASEAN. Jumlah dagangan dua hala China-ASEAN melonjak daripada
AS$7.9 bilion pada 1991 kepada AS$292.7 bilion pada 2010.
Nilai perdagangan dua hala dalam
tempoh enam bulan pertama 2011 pula mencatatkan sejumlah AS$171.1 bilion, iaitu
peningkatan sebanyak 25 peratus setahun. Pelaburan China di rantau ini bagi
setengah tahun pertama tahun lalu berjumlah AS$1.49 bilion, meningkat 34.3
peratus berbanding tempoh sama pada 2010.
Pemeteraian dua protokol ke dalam
Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) pada Sidang Kemuncak
ASEAN-China Ke-15 yang baru berlangsung akan memperkukuh dan menggalakkan lagi
perdagangan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak.
Justeru tentu tidak berbaloi
untuk hubungan yang cukup bermakna itu hendak dikeruhkan hanya oleh isu Laut
China Selatan. Brunei, salah sebuah negara yang terlibat dalam tuntutan
bertindih, sudah pun mengambil alih baton sebagai pengerusi baru Sidang
Kemuncak ASEAN 2013.
Sementara isu Laut China Selatan
itu sekali lagi akan menjadi buruan media dan perhatian pihak-pihak
berkepentingan, tumpuan juga tidak patut dialihkan daripada pelbagai inisiatif
lain termasuk Komuniti ASEAN pada 31 Disember 2015, yang menanti masa untuk
direalisasikan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/