Oleh : MOHD. FAUZI ZULKIFLI
RASUAH adalah satu masalah besar
bagi sebuah negara berdaya maju dan bercita-cita tinggi seperti Malaysia.
Sekiranya ia tidak dibendung, barangkali segala dasar dan perancangan yang
diatur pihak pemerintah akan gagal begitu sahaja.
Diakui juga rasuah merupakan
masalah yang menjadi kebiasaan dalam kehidupan masyarakat zaman moden.
Sesetengah mereka bersedia untuk menerima rasuah dan memberi rasuah untuk
mendapatkan sesuatu yang menguntungkan tanpa menyedari bahawa ia merupakan
'barah' tersembunyi yang boleh meruntuhkan sebuah tamadun dan struktur binaan sebuah
negara bangsa.
Namun begitu, rakyat Malaysia
sewajarnya bersyukur dan berbangga kerana berdasarkan pencapaian negara dalam
Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) 2012 yang dikeluarkan oleh
Transparency International (IT) menunjukkan bahawa bumi bertuah ini berada
dalam kedudukan lebih baik berbanding tahun 2011.
Kedudukan di tangga 54 daripada
176 negara berbanding ke-60 daripada 183 negara telah membuktikan bahawa segala
usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk membanteras 'jenayah rasuah' sudah
membuahkan hasil dan kejayaan yang baik melalui program-program yang
dilaksanakan.
Malah Malaysia berjaya mengatasi beberapa negara ASEAN lain dengan memungut (49
mata) serta menduduki tempat ketiga selepas Singapura (87 mata) dan Brunei (55
mata). Walaupun jumlah mata dikumpul agak jauh ketinggalan berbanding negara
jiran, Singapura, namun yang lebih penting adalah kesungguhan dan komitmen
kerajaan untuk mengurus 'jenayah rasuah' dalam dunia tanpa sempadan.
Jelaslah bahawa Pelan
Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta Bidang
Utama Keberhasilan Negara (NKRA) mula memberi maklum balas positif sepanjang
pelaksanaannya.
Kerjasama Unit Pengurusan
Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) juga memberi impak baik terhadap pelbagai sektor di negara ini.
Penulis amat yakin dan optimis
bahawa dengan perancangan dan usaha yang berterusan oleh pihak kerajaan pasti
akan dapat mengurangkan lagi 'jenayah rasuah' pada masa depan. Sektor awam dan
swasta serta masyarakat juga mesti berganding bahu dan bekerjasama untuk
menghapuskan 'budaya jijik' ini.
Sekiranya semua pihak sebulat
suara dan bertekad untuk bersatu, pasti Malaysia dapat meletakkan dirinya dalam
kalangan negara bebas rasuah suatu hari nanti dan ini sudah tentu akan
membanggakan kita semua sebagai rakyat Malaysia yang menolak rasuah dan
cinta akan negara.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/