Terima kasih tidak terhingga diucapkan buat seluruh ahli
keluarga tercinta atas sokongan kalian....Terima kasih juga buat semua rakan
sejawat dan jiran yang memberikan sumbangan dan bekalan sama ada berbentuk
nasihat, kewangan mahupun sokongan moral untuk perjalanan ini...Terima kasih
kepada anakanda sekalian kerana memahami dan merestui pemergian ayah dan umi ke
Tanah Suci Makkah....Iringi pemergian kami ke Makkah dengan DOA moga kami
dikurniai kesihatan yang terbaik untuk mengerjakan ibadah haji dengan sempurna dan
seterusnya memperoleh HAJI MABRUR....AMEEN!!!
Ahad, 22 September 2013
Jumaat, 20 September 2013
ISU PENGAJIAN TINGGI : 27 IPGM mungkin digabung jadi universiti
TANJUNG MALIM - Kerajaan sedia menimbang cadangan menggabungkan 27 buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menjadi sebuah universiti pendidikan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata,
bagaimanapun ia perlu mengambil kira pelbagai aspek seperti tempoh masa, bidang
dan kemahiran yang akan diajar serta bentuk-bentuk pengajaran yang akan
digunakan.
"IPGM pun tarafnya seperti
sebuah universiti cuma yang terlatih di situ adalah untuk dijadikan guru di
sekolah-sekolah rendah. Bagaimanapun, ia satu cadangan yang baik.
"Sama ada IPGM akan
berganjak, dinamakan semula atau
diletakkan sebagai satu universiti yang besar, ini cadangan yang kita boleh
kaji," katanya pada sesi dialog perjumpaan khas warga Universiti
Pendidikan Sultan Idris (Upsi) dengan Timbalan
Perdana Menteri di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini, hari
ini.
Muhyiddin berkata demikian bagi
menjawab cadangan seorang alumni Upsi agar 27 IPGM di seluruh negara diletakkan
di bawah kendalian universiti itu di sebalik ura-ura memansuhkannya.
Hadir sama, Menteri Besar Perak,
Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Zakaria
Kasa.
Sebelum ini, Kesatuan Kebangsaan
Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) juga pernah meminta
Kementerian Pendidikan menaikkan taraf IPGM kepada taraf universiti.
Pada 13 Julai 2005, Jemaah
Menteri meluluskan 27 buah Maktab Perguruan di Malaysia dinaik taraf kepada
Institut Pendidikan Guru (IPG) yang boleh menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda
Perguruan berbanding hanya mengeluarkan graduan berkelulusan diploma dan sijil.
Menjawab soalan lain yang
menyentuh penempatan guru, Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan berkata,
hanya graduan pendidikan yang benar-benar layak akan ditempatkan di sekolah
rendah dan menengah di seluruh negara.
Katanya graduan yang telah
menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan IPGM perlu memohon
jawatan Gred DG41 kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
"Prosedur penempatan
automatik selepas tamat pengajian tidak dilaksanakan lagi. Mulai 2012, semua
graduan pendidikan perlu mengemukakan permohonan kepada SPP.
Mereka (graduan) perlu melalui
proses tapisan SPP dan temuduga. Ini
penting untuk difahami," katanya.
Jelas Muhyiddin, sebanyak 7,607
graduan keluaran 2012 telah lulus temu duga SPP dan dilantik sebagai guru DG41
pada 1 Julai lepas.
Ia meliputi 3,921 calon lepasan
IPGM dan 3,686 calon lepasan IPTA, termasuk 1,815 graduan UPSI, katanya.
Beliau berkata bagi graduan tahun
ini, SPP masih dalam proses menguruskan penjadualan temu duga.
Selepas acara itu, Muhyiddin
bersama warga universiti berkenaan menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampus
Sultan Azlan Shah, universiti itu. - Bernama
Khamis, 19 September 2013
ISU PENGAJIAN TINGGI : Ranking universiti dan permasalahannya di Malaysia
SETIAP tahun, kita akan sibuk
membincangkan isu ranking atau kedudukan universiti-universiti Malaysia di
persada dunia, yang terbaru adalah senarai yang dikeluarkan oleh QS World
University Rankings di mana universiti-universiti kita berlegar di kedudukan
200-300 dunia.
Pandangan dan respon terhadap
ranking ini terbahagi kepada dua. Pandangan pertama melihat penyenaraian
universiti-universiti dunia ini adalah sesuatu yang positif kerana ia boleh
memberikan satu bentuk ukuran kepada tahap pencapaian sesebuah universiti itu.
Pandangan kedua pula lebih
melihat penyenaraian ini hanyalah satu bentuk eksploitasi di mana
kriteria-kriteria yang digunakan tidak tepat dan tidak memberikan gambaran
sebenar pencapaian dan falsafah penubuhan sesebuah universiti itu.
Malah, ada pihak yang menyatakan
ranking ini adalah satu strategi pemasaran bertujuan untuk merendahkan
kemampuan universiti-universiti dari negara membangun dan membanggakan
seterusnya mempromosikan universiti-universiti di negara maju.
Namun, walau apa pun pandangan
kita, sama ada pandangan pertama atau kedua, kita haruslah bersetuju bahawa
universiti-universiti kita wajib menggiatkan usaha agar setaraf dengan universiti-universiti
terkemuka dunia.
Ini kerana sejarah telah
membuktikan bahawa kejayaan dan keagungan sesuatu masyarakat dan negara bermula
dan berjalan seiring dengan kemajuan ilmu dikalangan masyarakat dan
universiti-universitinya.
Tamadun Yunani sinonim dengan
pemikir-pemikirnya dan juga intitusi-institusi kelimuannya seperti Academy yang
ditubuhkan oleh Plato dan Lyceum yang ditubuhkan oleh Aristotle.
Zaman kegemilangan Islam pula
menyaksikan kelahiran ilmuan-ilmuan seperti Al-Ghazali, Al-Farabi dan Ibn Sina
serta terbangunnya Bait Al-Hikmah di Baghdad dan Al-Azhar di Egypt. Di Morocco
pula, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa
Bersatu(Unesco) telah mengiktiraf
Al-Qarawiyyin sebagai institusi pertama yang mengeluarkan ijazah lantas
diiktiraf sebagai universiti yang pertama di dunia.
Kemajuan ilmu seterusnya
disambung oleh masyarakat di hemisfera barat bermula dari Zaman Pencerahan
sehinggalah ke hari ini. Nama-nama seperti Isaac Newton, Gauss, James Clerk
Maxwell, Einstein, Steve Job, Bill Gates
mula terbit di jurnal-jurnal ilmiah bersama rekaan dan inovasi mereka.
Dan berdasarkan ranking QS yang
terkini, universiti-universiti di UK dan US menduduki senarai sepuluh yang
terbaik di dunia; MIT (1), Harvard (2), Cambridge (3), UCL (4), Imperial
College (5), Oxford (6), Stanford (7), Yale (8), Chicago (9) dan Caltech (10).
Di Asia pula,
universiti-universiti di timur jauh seperti Universiti Hong Kong, Universiti
Tokyo, Universiti Peking dan Universiti Kebangsaan Seoul pula mengungguli
kedudukan terbaik.
Maka, bukanlah satu kebetulan
apabila masyarakat berkulit putih dan berkulit kuning ini yang mencaturkan
dunia pada era ini dalam segenap segi. Ia bukanlah satu kebetulan kerana mereka
hanya mengulangi sejarah “Siapa berilmu dialah kudrat”.
Berdasarkan ini, seharusnya kita
berasa khuatir dengan kedudukan dan pencapaian universiti-universiti kita
apatah lagi pada hakikat kedudukan kita adalah yang tertinggi jika dibandingkan
dengan negara Islam yang lain.
Bagaimana kita hendak mencapai
wawasan 2020 iaitu menjadi negara yang setanding dengan negara-negara maju jika
universiti-universiti kita yang sepatutnya menjadi penjana kepada kemajuan
masih lagi belum setanding?
Berdasarkan pengalaman dan
pemerhatian saya, permasalahan utama yang kita sedang hadapi ialah
universiti-universiti kita masih belum mampu menjalankan tugas-tugas akademia
yang sebenar iaitu melahirkan ilmu dan teknologi baru serta graduan-graduan
yang mampu mencari ilmu secara kendiri serta bersifat inovatif.
Sebaliknya, universiti-universiti
kita masih lagi ditahap pengajian teknikal dan vokasional dimana ia hanya
melahirkan graduan yang lebih layak digelar juruteknik kerana hanya mampu
membuat kiraan-kiraan yang telah ditetapkan dan melakukan kerja-kerja yang
tipikal.
Pelajar-pelajar kita masih lagi
hanya diajar menggunakan rumus-rumus terakhir, jadual-jadual yang telah
tersedia dan mengikuti prosedur-prosedur piawai tanpa didahului dengan
perbincangan berkenaan penerbitan dan prinsip serta falsafah saintifik yang
membelakangi rumus-rumus, jadual-jadual dan prosedur-prosedur tersebut.
Tanpa pemahaman yang fundamental,
bagaimana mungkin pelajar-pelajar dapat memahami sedalam-dalamnya sesuatu ilmu
tersebut. Tanpa pemahaman yang mendalam pula,bagaimana mungkin kita dapat
menghasilkan output saintifik seperti ilmu-ilmu dan rekaan-rekaan terbaru.
Dan tanpa output saintifik
sebegini, bagaimana mungkin universiti-universiti kita dapat tersenarai tinggi
di ranking dunia tapi lebih penting, tanpa output sebegini, bagaimana mungkin
negara dapat menyediakan ekonomi lestari (sustainable economy) kerana ekonomi
sebegini amat bergantung kepada inovasi dan produk berasaskan pengetahuan
(knowledge-based product).
Tetapi pelajar-pelajar adalah
pihak terakhir yang patut dipersalahkan kerana mereka hanya menerima apa yang
diajarkan kepada mereka. Pihak yang sepatutnya dipertanggungjawabkan adalah
pentadbir dan pensyarah-pensyarah di universiti itu sendiri.
Sama ada mereka tidak sedar akan
permasalahan ini atau mereka tidak mampu menyelesaikannya.
Mereka tidak mampu kerana ada
kemungkinan mereka sendiri tiada kepakaran dan kefahaman yang mendalam dalam
bidang tersebut. Ini tidak mustahil kerana jika kita menilai semula kelayakan
akademik terutamanya kajian-kajian PHD pensyarah-pensyarah kita, amat sedikit
yang benar-benar berkecimpung dalam arena fundamental dan berunsurkan
matematik.
Saya menyatakan perkara ini bukan
sahaja berdasarkan pengalaman saya sebagai pensyarah, bukan sahaja melalui
komunikasi saya dengan pensyarah-pensyarah yang lain tetapi berdasarkan juga
keterlibatan saya dalam beberapa program yang berbentuk penjalinan
subjek-subjek matematik, fundamental dan aplikasi terutamanya yang berkaitan
dengan kejuruteraan. Program-program yang boleh saya nyatakan tidaklah begitu
berjaya.
Mungkin di sini saya boleh
mencadangkan dua kaedah yang boleh diambil untuk menyelesaikan permasahan ini.
Yang pertama, proses pengambilan pensyarah-pensyarah dimasa akan datang dan
perlanjutan pengajian PHD mereka perlu fokus kepada bidang yang fundamental
tetapi masih hampir dengan aplikasi terutamanya yang berunsurkan inovasi.
Bentuk pengajian sebegini kerap ditawarkan di universiti-universiti terkemuka
di dunia, maka hantarlah mereka ke sana.
Yang kedua, pensyarah-pensyarah
sedia ada perlu digalakkan untuk mengulang kaji aspek-aspek fundamental dan
unsur-unsur matematik yang berkaitan dengan bidang mereka. Ini boleh dilakukan
melalui kempen-kempen kesedaran ataupun melalui langkah yang lebih formal
seperti menghadiri kursus dan bengkel.
Maka boleh disimpulkan bahawa
ranking universiti dunia ini, walaupun mempunyai pelbagai pandangan dan respon,
masih boleh menjadi kayu ukur kepada pencapaian universiti universiti kita.
Ukuran ini adalah penting kerana
ia boleh menentukan halatuju universiti-universiti kita terutamanya dalam
membantu negara menyediakan ekonomi lestari menjelang 2020 melalui penghasilan
ilmu-ilmu dan rekaan-rekaan terbaru serta inovatif. Sesungguhnya, sejarah telah
membuktikan “Siapa berilmu dialah kudrat”.
Penulis ialah Pensyarah Kanan
di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru
Rabu, 18 September 2013
ISU PENDIDIKAN : Menjana kepakaran guru
Pada alaf ini, pendidikan di
sekolah tidak harus memencilkan diri dan bergerak tanpa hala tuju yang jelas
dan selaras. Sekolah perlu melihat kejayaan sekolah lain untuk dijadikan model
melalui perkongsian bestari.
Demikian juga, guru sebagai
petugas pendidikan tidak seharusnya berpuas hati dengan kemahiran yang diterima
semasa di kampus. Sebaliknya, mereka perlu menggali dan mencari kepakaran dalam
bidang mereka melalui perkongsian bestari.
Mereka boleh membentuk kumpulan
rakan sekerja untuk membangunkan program di sekolah. Aktiviti ini dapat
meningkatkan kepakaran mereka dalam tugas yang dipertanggungjawabkan.
Setiap sekolah mudah mengakses
maklumat daripada pelbagai sumber untuk mendapat maklumat. Pengetua atau guru
besar selaku pengurus sekolah mempunyai peranan penting untuk memilih hala tuju
masing-masing dan tidak hanya menunggu arahan daripada pihak lain.
Pengetua atau guru besar harus
melakukan perkongsian bestari di sekolah dengan institusi pendidikan di tempat
lain.
Perkongsian bestari dapat
difahamkan sebagai pertukaran pendapat, program, modul, aktiviti dan sebagainya
di sekolah atau tempat lain untuk dilaksanakan di sekolah masing-masing.
Program perkongsian ilmu dapat
dilaksanakan oleh kumpulan pemimpin dan pelaksana pendidikan di sekolah.
Tegasnya, mereka tidak boleh berseorangan untuk membina kecemerlangan sekolah.
Perkongsian bestari harus
dimulakan secara mikro hingga peringkat makro.
Mikro melibatkan sekumpulan guru
di sekolah. Contohnya program lesson study iaitu sekumpulan guru yang merancang
dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersama-sama.
Akhirnya, mereka bukan sahaja
mendapat hasil yang cemerlang, malah memperoleh kepakaran yang menjadi rujukan
pihak lain.
Sementara program makro
melibatkan guru dan pelajar di sekolah dengan guru-guru sekolah lain di
peringkat daerah, negeri, kebangsaan atau antarabangsa.
Selain mengakses media massa,
mereka boleh mengadakan lawatan ke negara lain untuk mengadakan perkongsian
bestari. Langkah ini membolehkan mereka melihat sendiri dan merasai pengalaman
orang lain.
Sekolah telah melaksanakan
program Kumpulan Mutu Kerja (KMK), kajian tindakan dan sebagainya yang diubah
suai dengan ukuran pendidikan untuk mencari jalan meningkatkan kecemerlangan di
sekolah.
Mereka membuat kajian serta
pelaksanaan aktiviti di sekolah berdasarkan kekuatan dan ancaman yang terdapat
di sekolah. Penemuan mereka sudah pasti boleh menjadi rujukan guru-guru lain
atau sekolah-sekolah lain.
Sekolah juga boleh membuat
perkongsian bestari dengan sekolah berhampiran. Mereka duduk bersama dengan
mengadakan seminar, pembentangan kertas kerja atau sebagainya. Mereka boleh
memanfaatkan guru cemerlang di sekolah masing-masing atau menggunakan kepakaran
dan kejayaan sekolah untuk dikongsi bersama dengan sekolah berhampiran.
Sekolah juga boleh mengadakan
lawatan penanda aras di sekolah-sekolah yang telah berjaya melaksanakan program
mereka. Lawatan tersebut boleh dijadikan asas untuk dilaksanakan di sekolah
mereka selaras dengan keperluan dan kekuatan yang ada di sekolah masing-masing.
Sementara sekolah yang telah
terbukti dan diiktiraf mencapai kecemerlangan dengan penganugerahan sekolah
bestari, sekolah berprestasi tinggi atau sekolah yang mendapat bai'ah,
seharusnya menguar-uarkan program mereka melalui media massa atau blog agar
dapat dikongsi bersama dengan sekolah-sekolah lain.
Sekolah kluster cemerlang ini
boleh menjemput sekolah lain untuk datang ke sekolah mereka bagi melihat
program yang telah dilaksanakan. Langkah ini secara tidak langsung membantu
negara untuk meningkatkan mutu pendidikan.
Guru yang kreatif boleh merancang
dan melaksanakan program kecemerlangan dengan memilih aktiviti yang sesuai di
sekolah masing-masing berdasarkan latar belakang dan persekitaran sekolah.
Situasi sekolah di bandar berbeza
dengan sekolah di luar bandar, sekolah asrama, sekolah berprestasi tinggi
dengan sekolah harian. Kepakaran guru di sekolah berkenaan masih boleh
diterapkan di sekolah lain melalui usaha kreatif guru.
Melalui perkongsian bestari dapat
membuka minda guru melaksanakan sesuatu di sekolah serta meningkatkan kepakaran
mereka. Langkah ini amat dituntut demi melahirkan lebih ramai guru yang
benar-benar menguasai pedagogi pendidikan. Pengalaman mereka amat diperlukan
untuk melaksanakan program Rakan Peningkatan Sekolah (SiPartners+) dan
Pembimbing Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) yang akan dilaksanakan menjelang
2014.
SMK Ledang, Johor
ISU PENDIDIKAN : 24 buah sekolah diiktiraf SBT
PUTRAJAYA 18 Sept. - Kementerian Pendidikan mengiktiraf 24 lagi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) membabitkan 14 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah di bawah kohort keempat tahun ini.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri
Idris Jusoh berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan SBT di
seluruh negara sebanyak 115 buah sekolah.
Beliau berkata, sasaran
kementerian bagi membangun dan mewujudkan 10 buah SBT setiap tahun dalam
Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 telah tercapai dengan jayanya, lebih
membanggakan melepasi sasaran apabila 24 buah sekolah mendapat pengiktirafan
itu.
Peruntukan khas akan diberikan
kepada 24 SBT terbaharu ini berjumlah RM16.8 juta iaitu RM700,000 untuk tahun
pertama, tahun kedua RM500,000 dan RM300,000 untuk tahun ketiga bagi setiap
sekolah.
Jumlah itu khusus untuk membantu
bagi mengangkat kualiti pendidikan murid-murid negara ini ke satu tahap
setanding dengan standard antarabangsa," katanya dalam sidang akhbar
selepas merasmikan majlis Pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi di sini hari
ini.
Yang hadir sama Timbalan Menteri
Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching; Timbalan Menteri Pendidikan II, P.
Kamalanathan; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan I, Datuk Dr. Madinah
Mohamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan II, Datuk Seri Dr. Zaini
Ujang.
Menurut Idris, kementerian sangat
berpuas hati pelaksanaan dan pencapaian cemerlang 91 SBT terdahulu yang telah
diiktiraf mulai tahun 2010, sehubungan itu kerajaan bersetuju melanjutkan
tempoh pelaksanaan SBT sehingga 2015.
Katanya, pada tahun ini kesemua
SBT berkenaan telah menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang merangkumi
akademik, kokurikulum dan juga sukan di peringkat antarabangsa.
Dengan pengiktirafan terbaharu
ini, diharapkan kesemua SBT mampu menghasilkan murid cemerlang yang merupakan
pewaris negara di masa hadapan.
Selaras dengan hasrat SBT,
pelajar mestilah mampu mendahului dalam memperoleh pencapaian yang cemerlang
yang menjadi aspirasi kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang
diperkenalkan kerajaan," katanya.
Senarai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Tahun 2013 Kohort 4 :
JOHOR
SK Tengku Mariam
SJKT Ladang Rem
SMK Dato’ Penggawa Barat
KEDAH
SM Sains Kubang Pasu
KELANTAN
SM Sains Machang
MELAKA
SK Convent of the Infant Jesus 1 (M)
SMKA Sharifah Rodziah
NEGERI SEMBILAN
SBP Integrasi Jempol
PAHANG
SK Convent
PERAK
SK Sultan Idris II
SK Marian Convent
SM Sains Raja Tun Azlan Shah
SBP Integrasi Gopeng
PULAU PINANG
SK Convent Green Lane
SJK (C) Han Chiang
SMKA Al-Irshad
SELANGOR
SK Taman Megah
SK Bukit Jelutong
SK Sri Petaling
SMA Persekutuan Kajang
SBP Integrasi Rawang
PUTRA JAYA
SK Putrajaya Presint 11 (1)
KUALA LUMPUR
SK Convent Bukit Nanas (1)
SJK (C) Kuen Cheng 2
Sumber: http:
//www.utusan.com.my/
ISU SOSIAL : Kisah stigma negatif orang gemuk di Malaysia
MALAYSIA negara untuk orang
gemuk? Negara yang kecil ini dikatakan mempunyai bilangan orang gemuk yang
paling ramai di Asia Tenggara dan berada di tempat keenam di seluruh Asia dan
membelakangi beberapa buah negara Asia Barat.
Ini bukanlah sesuatu kenyataan
yang melucukan atau isu remeh yang boleh dibuat lawak apatah lagi mengaitkannya
dengan pencapaian yang cemerlang, jauh sama sekali.
Sememangnya masalah obesiti dalam
kalangan rakyat di negara ini sudah lama berlaku. Sebelum-sebelum ini pun kita
sudah didedahkan dengan banyak statistik mengenai bilangan obesiti yang
membabitkan golongan tua, muda dan kanak-kanak di negara ini.
Dan semua orang pun tahu, obesiti
boleh mengakibatkan penyakit jantung, strok, tekanan darah tinggi, diabetis,
dan kanser. Justeru, banyaklah kempen kesedaran dan peringatan dilakukan oleh
Kementerian Kesihatan terhadap orang ramai tentang bahayanya berat badan yang
berlebihan ini.
Dalam pada itu, kita juga pun
mengakui, negara kita ini mewah dengan makanan-makanannya. Kita memang mewah
dengan budaya menjamu selera itu dan ini, rumah terbuka diadakan di sana sini
walaupun Hari Raya sudah habis, sering ada majlis makan-makan, sehingga
mesyuarat-mesyuarat yang kecil di pejabat-pejabat pun mesti ada jamuan makan.
Pun begitu, ada satu stigma
negatif atau persepsi dalam masyarakat kita, yang tidak seharusnya ada tentang
obesiti ini iaitu memandang rendah kepada keupayaan orang gemuk.
Bukan semua mempunyai tanggapan
begitu tetapi pandangan mengejek apabila melihat orang gemuk kadangkala
kelihatan walaupun tanpa disedari.
Dan disebabkan itu, ada yang
tidak melihat kepada bakat dan kemahiran yang ada pada orang gemuk ini. Dan
lebih teruk, sesetengah majikan pula tidak mahu mengambil pekerja yang gemuk.
Bukan kerja itu memerlukan dia
berlari pun, bukan kerja itu menyuruh dia memanjat pokok kelapa, bukit atau
gunung pun. Tetapi itulah, sebab dia gemuk, bakat dan pendidikan yang ada
padanya diketepikan. Penampilan amat perlu!
Saya pernah mendengar rintihan
seorang kawan yang gemuk. Dia memang berbakat besar dalam bidang penulisan dan
saya mengakuinya. Membaca tulisan-tulisannya yang tajam dan adakalanya
menyentuh perasaan, saya tahu dalam usia semuda itu, dia memang boleh pergi
jauh.
Tetapi apabila dia meminta kerja
dalam sebuah organisasi media, dia telah dihina semasa sesi temuduga. Dia
dinilai melalui penampilannya, first impression kata orang, bukan dinilai
daripada bakatnya.
Saya memahami jika dia tidak
diambil bekerja kerana mungkin syarikat berkenaan tidak mahu menanggung bil-bil
hospital atau klinik yang tinggi kerana bimbang dia akan mengalami banyak
penyakit, tetapi janganlah sampai memperlekeh dan menghinanya.
Jika bukan kerana minatnya itu,
sudah tentu dia tidak meminta bekerja di situ. Dia kini, saya kira sudah
berjaya. Dia bekerja sebagai seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian
tinggi dan saya amat bangga dengan ketabahannya.
Kita lihat sajalah dalam bidang seni
pun, berapa ramai sangat orang gemuk diberi peluang dan sentiasa ke depan. Yang
ada pun sebab mereka benar-benar bagus, menyerlah dan bakatnya memang tidak
boleh dinafi dan diketepikan. Tetapi untuk mencapai ke tahap itu pun tentu ada
cerita-cerita duka yang dilaluinya.
Saya juga mendengar daripada
rakan-rakan saya yang gemuk, betapa berlakunya macam-macam diskriminasi
terhadap mereka dalam kerja. Dan yang lebih menyakitkan hati mereka ini
disifatkan sebagai bahan lawak dan memberi komedi dalam pejabat sahaja.
Itulah antara mentaliti
kebanyakan orang kita, menilai orang melalui penampilan paras rupa. Yang
diutamakan, wajah cantik dan segak bergaya. Kualiti kerja tolak ke tepi dulu.
Dan persepsi atau stigma-stigma negatif yang telah berlarutan sekian lama ini,
akhirnya berterusan ke generasi-generasi seterusnya.
Sebab itu, kita masih mendengar,
anak-anak kecil yang gemuk diejek dan dijadikan bahan persenda oleh kawan-kawan
mereka di sekolah.
Jika kanak-kanak itu tidak mudah
sensitif atau jenis tidak kisah, tidak mengapa, bagaimana kalau yang cepat
merasa rendah diri? Sudah tentu ini sedikit sebanyak menganggu proses pergaulan
dan pembelajaran mereka di sekolah.
Itulah kadang-kala kita fikir
bahawa penyakit diabetis, penyakit jantung dan penyakit-penyakit berkaitannya
memberi stress atau tekanan kepada orang yang obes ini, tetapi hakikatnya yang
mendatangkan lebih stress kepada mereka adalah stigma negatif masyarakat
sekeliling!
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Selasa, 17 September 2013
ISU KENEGARAAN : Keinsafan, pengajaran sepanjang 50 tahun usia Malaysia
JIKA diibaratkan sebagai seorang
manusia, usia lebih separuh abad lazimnya membentuk kedewasaan, kematangan, dan
kebijaksanaan. Hal ini disebabkan pengalaman yang ditempuh sepanjang kehidupan
banyak menimbulkan keinsafan dan pengajaran.
Demikianlah juga dengan Malaysia.
Kemerdekaan yang dicapai lebih 50 tahun seharusnya menjadikan negara dan
rakyatnya dewasa, matang, dan berwibawa. Telah sedemikian banyak liku yang
dilalui. Sudah banyak pula onak dan duri yang ditempuh. Dengan kata-kata lain,
kita telah mengenal dunia dan mengetahui permainannya. Ibarat kata pepatah,
lebih lama kenal dunia, lebih lama tahu ranjau dan jurang hidup.
Resam kehidupan, ujian yang
datang tidak mungkin ada noktahnya. Seperti diungkap al-Imam al-Syafi r.h.,: Ujian zaman datang begitu banyak, silih berganti
tidak berhenti. Maka tidak hairanlah jika kita melihat semakin berusia negara
ini semakin banyak dan hebat ujian yang melanda.
Antaranya termasuklah
bentuk-bentuk ajaran dan pemikiran tertentu daripada Timur dan Barat yang tibanya
bersilih ganti. Sekadar menyebut sebahagiannya cuma; sekularisme, pluralisme,
liberalisme, dan yang sedang diberikan perhatian kini, iaitu ajaran atau
doktrin Syiah. Pemikiran atau doktrin yang tersasar jauh daripada landasan
sebenar dan menyesatkan itu hakikatnya tidak mudah disekat hanya dengan menutup
punca kemasukannya atau juga dengan menamatkan hubungan siasah yang telah sedia
terjalin.
Hal ini mengambil kira hakikat
dunia kini telah tiada sempadan atau batasannya. Manusia bebas berkomunikasi, menyampaikan
pandangan dan menyebarkan pemikiran serta doktrin yang dianuti melalui pelbagai
wadah seperti portal berita, blog, e-mel, web, dan media sosial.
Dengan yang demikian, matlamat
memelihara masyarakat daripada musibah yang dibawa pemikiran-pemikiran seumpama
itu harus terlaksana melalui tindakan yang tepat, berhikmah, dan berkesan.
Dengan kata-kata lain, segala aspek dikaji dan diteliti terlebih dahulu sebelum
langkah menangani atau membendung penularan sesuatu pemikiran diambil. Dalam
hubungan ini, pemerkasaan akidah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pemurnian
kefahaman, pemantapan akhlak di samping pembudayaan sepenuhnya prinsip menyeru
kepada kebaikan serta menghalang kemungkaran dilihat sebagai lebih utama dan
berkesan.
Tindakan ini tidak lain selain
bertujuan membina perisai atau benteng diri yang teguh dalam menghadapi
pelbagai bentuk ancaman yang melanda pada masa kini. Jika dikiaskan pada tubuh,
daya ketahanan tinggi yang dimiliki seseorang akan melindungi dirinya daripada
dilanda sesuatu penyakit dengan mudah. Begitulah pula sebaliknya.
Perhatian utama terhadap aspek
pemerkasaan akidah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pemurnian kefahaman dan
sebagainya itu perlu disusuli penilaian terhadap keberkesanan pendekatan yang
digunakan selama ini. Adakah misalnya kaedah penyampaian pengajaran dan
pendidikan bersesuaian dengan kehendak dan keperluan masyarakat yang telah
dilanda perubahan pesat dalam segenap sudut? Atau sebaliknya kaedah tersebut
gagal menarik minat anggota masyarakat untuk menerima pengajaran yang
disampaikan? Apatah lagi untuk menghayatinya.
Malang sekali jika sedemikian
banyak ruang dan masa diperuntukkan bagi menyampaikan ajaran agama; daripada
pendidikan pada setiap peringkat pengajian sehingga khutbah di masjid dan program
keilmuan di corong-corong radio serta kaca televisyen, namun akhirnya ajaran
tersebut gagal sampai kepada kelompok sasarannya. Malah sebaliknya sebahagian
kelompok berkenaan, khususnya golongan muda lebih mudah beralih kepada ideologi
dan pemikiran asing yang ditemui mereka dalam media baharu.
Sungguh menyedihkan jika
kebenaran tidak berupaya disampaikan dengan sebaik-baiknya kepada anggota
masyarakat hanya kerana kelemahan pada kaedah atau pendekatannya. Sedangkan
kebatilan pula dengan mudah menerobos dan menakluki pemikiran mereka hanyalah
disebabkan kehebatan kaedah yang digunakan. Tepat sekali apa yang diingatkan
oleh Khalifah Ali k.w. bahawa kebenaran yang
diperjuangkan secara tidak tersusun akan dapat ditewaskan oleh kebatilan yang
disusun secara sistematik.
Dengan yang demikian, seluruh
institusi yang terlibat seperti pendidikan, pemikir dan penyelidikan, dakwah,
termasuk media perlu menggembleng tenaga secara bersama. Tujuannya bagi
memastikan kaedah penyampaian pengajaran, pendidikan, serta dakwah diberikan
nafas baharu dan ditampilkan dengan wajah serta format lebih kreatif dan segar,
seiring dengan perubahan masa dan persekitaran. Walau bagaimanapun, pendekatan
baharu yang digunakan haruslah tidak sama sekali semata-mata menurut selera
masyarakat dengan mengabaikan kepentingan kandungan pengajaran, iaitu bagi
meningkatkan kefahaman tentang ajaran agama serta tahap keilmuan dan memperluas
ufuk pemikiran mereka.
Golongan ilmuwan dan agamawan
secara khususnya harus menyedari bahawa mahu tidak mahu, mereka telah pun
berada dalam medan persaingan untuk mendapatkan perhatian besar masyarakat
awam. Jika perkara ini tidak diberikan tumpuan sewajarnya maka sudah tentu ruang
yang ditinggalkan mereka dengan pantas diisi oleh pihak lain yang menanti untuk
merebut peluang tersebut. Justeru, para ilmuwan dan agamawan harus memiliki
daya tarikan yang kuat bagi memastikan bahawa mereka sentiasa dijadikan rujukan
dalam menyelesaikan setiap persoalan yang timbul dalam kehidupan. Sememangnya
pada dasarnya, masyarakat awam memikul tanggungjawab untuk merujuk kepada
mereka, iaitu sebagaimana diperintahkan al-Quran.
Kecenderungan untuk menjadikan
mereka sebagai rujukan sudah tentu pula didorong oleh keyakinan terhadap
kewibawaan yang dibentuk oleh sifat-sifat dan nilai-nilai terpuji. Namun
sekiranya, kewibawaan yang dimiliki telah pun lenyap sehingga meluputkan
kepercayaan masyarakat untuk bergantung pada mereka, maka selayaknya merekalah
yang bertanggungjawab atas kekhilafan yang berlaku itu.
PENULIS ialah Pegawai
Penyelidik Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Isnin, 16 September 2013
ISU PENDIDIKAN : ‘Ketaasuban’ ibu bapa terhadap peperiksaan ‘membahayakan’ perkembangan pelajar
Sukar untuk menafikan hakikat
bahawa sebahagian besar ibu bapa masih menganggap keputusan peperiksaan adalah
aspek terpenting dalam menentukan kejayaan masa depan pelajar.
Meskipun, transformasi dunia
pendidikan negara sudah dipelbagaikan dalam mekanisme tertentu termasuk
menggabungkan nilai kemahiran sebagai antara prasyarat penilaian pembangunan
pelajar, kejayaan akademik masih dijadikan penanda aras utama.
Malah, ketaasuban pada keputusan
peperiksaan biarpun pada aspek lain ada kelebihannya, namun masih dikhuatiri
mampu meninggalkan impak sampingan, sekali gus melahirkan golongan pelajar
seperti robot yang diprogramkan dengan kecemerlangan menerima arahan, tetapi
gagal berfikir sendiri.
Justeru, sejauh manakah
keberkesanan usaha untuk membantu pelajar, masyarakat dan ibu bapa agar
menerima hakikat bahawa keputusan peperiksaan hanya sebahagian proses menjana
kecemerlangan?
Bagaimana mahu meyakinkan bahawa
masih banyak lagi aspek lain boleh dijadikan penanda aras bagi mengukur erti
kejayaan dan bukan sekadar bergantung harap pada akademik semata-mata?
Naib Canselor Universiti Tun
Hussein Onn Malaysia (UTHM) merangkap Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia,
Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin
berkata ‘ketaasuban’ ibu bapa terhadap peperiksaan sebagai penentu utama masa
depan pelajar sukar diubah melainkan mereka memahami bahawa aspek itu boleh
‘membahayakan’ perkembangan diri anak-anak.
Menurutnya, tidak salah
meletakkan peperiksaan sebagai pengukur kejayaan, namun sikap itu boleh memberi
tekanan hingga membantutkan perkembangan normal lain yang seharusnya dinikmati
pelajar.
“Adakalanya ibu bapa tidak sedar
tindakan itu satu penyeksaan kepada anak (pelajar) kerana mereka dinafikan hak
untuk menikmati perkara lain dalam hidup.
“Memang tidak salah ibu bapa
menzahirkan hasrat untuk melihat kecemerlangan, namun mesti tahu cara atau
batasnya.
“Jangan berterusan memberikan
tekanan atau meletakkan sasaran untuk anak, kerana dikhuatiri timbul pula
masalah lain,” katanya.
Katanya, kebiasaannya pelajar
turut meletakkan sasaran untuk meraih keputusan cemerlang, malah ada desakan
lebih daripada ibu bapa.
“Dalam aspek ini, ibu bapa adalah
pihak yang lebih mendesak dan ternyata ia memang tidak baik untuk perkembangan
emosi anak.
“Ibu bapa diminta memberi peluang
anak meniti kedewasaan dan kematangan. Kejayaan bukan hanya melalui peperiksaan
atau akademik saja, tapi juga boleh digilap berdasarkan kelebihan diri dalam
aspek lain,” katanya.
Beliau turut mengakui ibu bapa di
negara ini masih melihat akademik sebagai kewajaran utama berbanding kemahiran
lain.
“Itulah masalah atau dilema
sektor pendidikan negara kita kerana ibu bapa masih kuat dibelenggu mentaliti
sedemikian, sedangkan aspek kemahiran juga ada peranannya dalam sistem
pendidikan negara.
“Cuma kita kurang
‘mengiktirafnya’ berbanding negara lain di dunia. Namun, Kementerian Pelajaran
tetap berusaha mengubah persepsi itu seperti menaikkan taraf sekolah teknik dan
vokasional kepada kolej supaya ibu bapa nampak ada nilai lain yang boleh
membentuk kejayaan,” katanya.
Ditanya sama ada mentaliti
sedemikian boleh diubah, sedangkan masyarakat sudah tepu dengan pemikiran itu,
beliau berkata perubahan boleh dibuat, tetapi mengambil masa lama.
Budaya peperiksaan akuinya, sudah
sebati dalam sistem pendidikan negara dan sudah menggantikan budaya ilmu.
“Bagaimanapun, usaha mengubahnya
sudah dilakukan sedikit demi sedikit seperti perubahan yang dibuat pada sistem
pentaksiran negara.
“Sebagai contoh, di peringkat
Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),
sudah ada elemen sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang bukan saja
menilai pelajar menerusi peperiksaan bertulis tapi kerja projek, kajian luar dan
amali.
“Pengenalan ini selari hasrat
kementerian untuk membangunkan modal insan seimbang serta memperluaskan
pendidikan lebih holistik,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak
menafikan bahawa sistem peperiksaan masih relevan bagi menilai keupayaan pencapaian
pelajar terutama dari segi pemahaman terhadap proses pembelajaran dan
pengajaran.
“Peperiksaan masih relevan kerana
di situlah kita boleh menilai sejauh mana hasil pemahaman pelajar dalam proses
pembelajaran dan pengajaran.
“Cuma pengubahsuaian dan
penambahbaikan dalam sistem atau format peperiksaan perlu dilakukan bagi
melahirkan pelajar yang mampu menjana kecemerlangan dalam seluruh aspek
global,” katanya mengakui antara impak negatif yang ketara menerusi sistem
peperiksaan ialah budaya menghafal untuk peperiksaan.
“Pelajar memang giat belajar,
tapi bukan untuk memahami, sebaliknya menghafal demi menjawab dalam peperiksaan
selain melupakan perkara yang gigih dipelajari sebaik tamat peperiksaan.
“Dengan kata lain, sistem
pendidikan kita hanya menggalakkan budaya menghafal bukannya pemikiran
menyebabkan pelajar lebih cenderung bergantung kepada jawapan contoh, hafalan
dan soalan ramalan berbanding memahami konsep dan teori.
“Ini yang kebanyakannya berlaku
menyebabkan peperiksaan tidak boleh dijadikan penanda aras kepada keupayaan
pelajar sebaliknya budaya ilmu perlu diterapkan,” katanya.
Beliau menekankan bahawa konsep
peperiksaan adalah untuk mengesan perkembangan pelajar secara menyeluruh
mengenai prestasi mereka dalam mencapai sasaran pembelajaran, untuk mengenal
pasti kekuatan dan kelemahan dalam pembelajaran dari semasa ke semasa, mengetahui
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, memantau kemajuan serta merangsang
pencapaian lebih tinggi, selain mengetahui pencapaian objektif pembelajaran.
“Konsep peperiksaan boleh dilihat
dari tiga sudut, iaitu penilaian untuk pembelajaran, penilaian sebagai
pembelajaran dan penilaian pembelajaran.
“Sebab itu, banyak pembaharuan
sudah dibuat supaya golongan sasaran celik mata dan minda bahawa sistem
pendidikan kita sudah tidak lagi terlalu berfokus pada peperiksaan tapi budaya
mendapatkan ilmu,” katanya.
Sumber : http: //www.hmetro.com.my/
PERUTUSAN PM SEMPENA HARI MALAYSIA KE-50
Selamat Hari Malaysia ke-50
Tahun ini adalah tahun yang amat
bersejarah buat semua rakyat Malaysia. Pada tanggal 16 September, negara kita
menyambut ulang tahun rasmi penubuhannya yang ke-50.
Pengisytiharan rasmi penubuhan
Malaysia telah dibuat oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada
tarikh bersejarah ini, dalam tahun 1963, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Pengisytiharan yang disaksikan
oleh oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau
Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30,000 orang rakyat telah memberi sinar
harapan kepada semua.
Pada ketika itu, rakyat berbilang
kaum dan agama, mengimpikan kemerdekaan, kebebasan dan kemakmuran dalam sebuah
negara yang berdaulat.
Satu kompromi telah dicapai bagi
melindungi kepentingan Sabah dan Sarawak bersama Persekutuan Tanah Melayu dalam
penubuhan Malaysia. Hak autonomi dan kedudukan kedua-dua buah negeri ini turut
dinyatakan dalam Perkara 20, Suruhanjaya Cobbold.
Ingin saya tegaskan bahawa Sabah
dan Sarawak tidak pernah dipinggirkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam
pentadbiran negara.
Sebagai Perdana Menteri, saya
sentiasa berusaha bagi memastikan pembangunan yang sama rata untuk semua negeri
di Malaysia.
Sejak tahun 2010, kerajaan
memperuntukkan RM2 bilion untuk melaksanakan sejumlah 79 projek pembangunan
infrastruktur asas luar bandar di Sabah dan Sarawak.
Pada tahun 2012 sahaja, sejumlah
RM62.3 juta dari jumlah ini telah diperuntukkan kepada Koridor Tenaga
Diperbaharui Sarawak (SCORE) bagi membiayai beberapa projek, termasuk
merekabentuk jalan masuk dan jalan dalam ke Hab Halal Tanjung Manis, bekalan
air di Samalaju dan kajian kebolehlaksanaan untuk Taman Sains di Mukah.
RM207 juta juga telah
diperuntukkan dalam Koridor Pembangunan Sabah bagi melaksana beberapa projek
infrastruktur dan pertanian.
Usaha berterusan bagi
membangunkan ekonomi Sabah dan Sarawak sentiasa menjadi keutamaan kerajaan
Malaysia. Kehidupan masyarakat di kedua-dua buah negeri ini telah banyak
berubah berbanding 50 tahun yang lalu, selaras dengan pembangunan global.
Walaupun dalam usia yang muda,
Malaysia telah berjaya membina sebuah negara yang disegani, sama ada dari aspek
politik, ekonomi dan pembangunan sosial. Pengorbanan dan usaha gigih semua
pihak dalam membentuk negara, mempertahankan keamanan dan kemakmuran selama ini
akan sentiasa dihargai.
Kepada semua rakyat Malaysia,
marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam membina kemakmuran ekonomi,
mempertahankan kedaulatan dan memelihara keharmonian dalam negara.
Datuk Seri Najib Tun Razak,
Perdana Menteri Malaysia
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
ISU KENEGARAAN : Cintai negara asas perpaduan kaum
TAHUN ini adalah tahun ke-50
penubuhan Malaysia. Kerajaan sentiasa mengharapkan rakyat bersatu padu,
mengerat hubungan pelbagai kaum dan hidup dalam keadaan aman dan harmoni.
Namun jelas sekali tahap
keharmonian yang diidamkan itu tidak kesampaian. Negara dilanda fitnah,
demonstrasi, peningkatan jenayah samseng dan kongsi gelap. Semuanya berlaku
gara-gara sentimen perkauman yang melampau. Tambahan pula semangat patriotik
semakin luntur dan rakyat tidak lagi segan silu mengecam Malaysia di dalam dan
luar Negara.
Bagi memupuk semangat patriotik,
sambutan kemerdekaan 31 Ogos lalu telah membawa tema 'Malaysiaku Berdaulat,
Tanah Tumpahnya Darahku'. Sesungguhnya kerajaan Malaysia mengajak 30 juta
rakyatnya yang berbilang kaum bersama-sama berganding bahu mempertahankan
maruah dan kedaulatan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran. Di samping itu,
rakyat juga diminta memperkasa semangat cintakan negara kerana ia adalah
tunjang perpaduan bagi mengekal kestabilan dan meneruskan kelestarian
pembangunan negara.
Insiden pencerobohan Lahad Datu
dan Semporna yang berlaku pada awal tahun ini memberi pengajaran bahawa
tanggungjawab mempertahan maruah dan kedaulatan negara bukan saja terletak di
bahu pasukan keselamatan. Rakyat Malaysia telah bersama-sama mengutuk pencerobohan
pengganas Sulu yang mendakwa Sabah milik mereka, tetapi telah digadaikan oleh
kerajaan British menerusi Perjanjian Brooke 1888. Usaha mempertahan bumi
berdaulat itu perlu diteruskan dengan menentang kuasa asing yang sedang
menghasut segelintir rakyat supaya melakukan pelbagai demonstrasi jalanan agar
tercetusnya 'Arab Spring' di negara ini, lantas memudahkan mereka masuk serta
menjajah Malaysia.
Ketika pasukan keselamatan
menyabung nyawa membenteng sempadan negara daripada dibolosi anasir subversif,
masyarakat perlu memperkukuhkan perpaduan dengan memupuk semangat cintakan
negara.
Semangat itu perlu diterjemah dan
dizahirkan dalam urusan seharian agar perpaduan yang terjalin selama ini terus
berkekalan kerana ia menjadi kunci yang membebaskan kita dari belenggu
penjajahan mental dan fizikal. Mengeratkan perpaduan antara kaum bukan sekadar
mengunjungi sahabat dan taulan di musim perayaan, menziarahi kematian atau
bersama-sama mengikuti program percutian dan riadah. Ia boleh dijalin dengan
lebih akrab menerusi kerjasama dan perkongsian ekonomi.
Kaum yang menguasai 80 peratus
kekayaan negara sepatutnya lebih mesra mengajak kaum lain bersama-sama
'menyemai dan menuai' kegiatan ekonomi. Realiti yang berlaku hari ini ialah
mereka yang memonopoli dagangan bank, industri pembuatan dan perkhidmatan tidak
mahu berkongsi kekayaan itu dengan bangsa lain, kecuali memenuhi kuota 30
peratus peluang pekerjaan bagi memenuhi syarat pemerintah. Sebaliknya mereka
terus menerus mendesak kerajaan agar melupuskan semua dasar ekonomi yang diberi
kepada bangsa majoriti yang masih terkial-kial menapak dalam bidang perniagaan
walaupun sudah bebas penjajahan selama 56 tahun.
Perbezaan jurang ekonomi yang
jauh itu mengakibatkan perpaduan antara masyarakat semakin melebar. Kesannya,
apa jua usaha yang dilakukan untuk mengeratkan semangat perpaduan menemui jalan
buntu.
Lebih parah lagi sekelumit rakyat
yang remuk hati telah menggadai maruah peribadi dan negara untuk bersekongkol
dengan kuasa asing, berusaha meranapkan Malaysia menerusi pelbagai tindakan
yang bercanggah dengan prinsip perpaduan nasional.
Malaysia sebenarnya negara
bertuah kerana dikurniakan hasil bumi dan tanah yang subur bagi menampung
kehidupan penduduk berbilang bangsa dan agama. Apa yang merisaukan adalah negara
menghadapi sedikit gangguan daripada pihak tertentu yang mahu mengancam
kestabilan sosial dan politik. Masyarakat terutama generasi muda cuba
diserapkan dengan dakyah yang boleh melunturkan semangat kesetiaan kepada
negara.
Tidak dapat dinafikan bahawa
kerajaan telah membawa keamanan kepada negara sejak merdeka. Dalam tempoh itu
Malaysia hanya diuji dengan tragedi berdarah 13 Mei 1969 sahaja. Kehidupan
harmoni di Malaysia dikagumi dunia. Ketika keganasan etnik sedang merebak di
seluruh dunia, Malaysia dinobatkan sebagai negara 'multi racial' paling selamat
di rantau Asia Tenggara. Lebih dari itu, suara Malaysia juga didengar di
persada antarabangsa apabila suatu ketika, Malaysia mempelopori usaha menentang
Dasar Apartheid di Afrika Selatan. Bagi mewakili PBB, Malaysia membawa misi
keamanan di negara-negara seperti Congo (1960-1963), Somalia (1993-1994),
Bosnia (1993-1998), Kampuchea (1991-1994), Angola (1991) dan Timor Leste
(2006).
Segala pencapaian cemerlang
negara adalah cetusan pemimpin dan aspirasi rakyat yang digembleng bersama
untuk menjadikan Malaysia benar-benar cemerlang. Sepanjang usia merdeka,
pertumbuhan ekonomi negara juga didapati berkembang pesat. Dengan memiliki asas
ekonomi dan pelaburan yang kukuh, negara tidak terlalu bergantung kepada persekitaran
global.
Buktinya, ekonomi negara mampu
bertahan dengan baik ketika beberapa negara di dunia kini dilanda muflis akibat
serangan krisis kewangan.
Perkembangan ekonomi Malaysia
yang cukup konsisten juga telah merancakkan banyak sektor termasuk pelancongan.
Pencapaian itu pasti berterusan jika rakyat Malaysia terus mendokong konsep
perpaduan dan integrasi nasional yang menghasilkan keamanan. Justeru, rakyat
Malaysia perlu bersama-sama memperkasa semangat cintakan negara dan mempertahan
kedaulatan Malaysia.
Penulis ialah Presiden Majlis Perunding Ekonomi Melayu
(MAPEM)
Sumber : http : //www. utusan.com.my/
Keputusan ujian MUET diumum Khamis Ini
KUALA LUMPUR 16 Sept. - Keputusan ujian Malaysian University English Test (MUET) Sesi Julai 2013 akan dikeluarkan Khamis ini.
Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM)
dalam kenyataan hari ini berkata, calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah
atau institusi masing-masing mulai 10 pagi hari tersebut manakala calon
persendirian individu akan memperoleh keputusan mereka melalui pos.
Calon juga boleh menyemak
keputusan ujian mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip MUET
RESULT NO. KAD PENGENALAN dan menghantarnya ke 15888,
mulai 12.01 tengah malam 19 Sept 2013.
Menurut kenyataan itu, mereka
juga boleh berbuat demikian melalui sistem dalam talian dengan melayari portal
MPM di http://www.mpm.edu.my mulai 9 pagi, pada tarikh tersebut.
"Calon yang tidak berpuas
hati dengan keputusan MUET boleh membuat rayuan penyemakan semula keputusan
MUET dengan bayaran RM70," menurut kenyataan itu.
Tarikh tutup rayuan semak semula
ialah 30 Sept dan maklumat lanjut mengenai perkara itu boleh didapatkan melalui
portal MPM. - BERNAMA
Ahad, 15 September 2013
ISU KENEGARAAN : Malaysia 2063 dan selanjutnya
Oleh : SAIFUDDIN ABDULLAH
HARI ini, kita merayakan sambutan
50 Tahun Malaysia. Ia satu tempoh masa yang amat penting. Banyak kejayaan telah
dicapai dalam banyak bidang. Namun, ada juga kejayaan yang sepatutnya diraih
lebih tinggi lagi.
Terdapat juga kelemahan di
sana-sini. Semuanya perlu dimuhasabah. Pada masa sama, kita perlu fokus masa
depan, iaitu Malaysia 50 tahun akan datang (tahun 2063) dan selanjutnya.
Sehubungan dengan ini, saya
melakukan proses pencarian roh. Antaranya ialah dengan perbincangan, pembacaan
dan trending #Msia50ThnAknDtg di Twitter dan Facebook. Berdasarkan maklum
balasnya, maka pada saya, haluan masa depan kita perlu meliputi perkara-perkara
berikut:
Pertama : Penegasan semula
teras-teras negara. Kita perlu meningkatkan kefahaman semua contohnya,
Perlembagaan, Rukun Negara, kontrak sosial dan perundangan. Sering berlaku
apabila tercetus sesuatu polemik, ia dilakukan tanpa kefahaman mendalam
terhadap teras-teras ini.
Dari satu segi, kita perlu
membawa perbincangan-perbincangan tersebut ke tahap lebih tinggi. Manakala dari
segi lain, mungkin juga ia perlu pendefinisian-semula supaya sesuai dengan
realiti semasa.
Kedua : Menyelesaikan
isu-isu mendesak. Kita perlu menerima hakikat bahawa kini wujud semacam defisit
keyakinan terhadap kerajaan. Oleh itu, isu-isu besar yang amat dekat dengan
naluri rakyat perlu diatasi segera.
Contohnya, rasuah, kos hidup dan
jenayah. Bagi rasuah, contohnya, perlu diwujudkan satu garisan permulaan baru
di mana urusan perbelanjaan kerajaan dilaksanakan secara teknologi e-perolehan
dan e-bidaan yang menyeluruh, manakala undang-undang digubal bagi menangani isu
kewangan politik.
Ketiga : Penyatuan
Nasional. Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyentuh perkara
ini pada ucapan kemenangan BN di PRU13 dan diikuti pengumumannya di Dewan
Rakyat bahawa kerajaan akan menubuhkan Majlis Perundingan Penyatuan Nasional,
ramai menunggu dengan antisipasi bercampur-aduk.
Tetapi, umum menyatakan ia perlu
dilaksanakan segera, terutamanya dalam konteks pembangunan inklusif dan
perpaduan sosial.
Keempat : Mendepani Zaman.
Dunia hari ini berubah dalam setiap spektrum pada kepantasan yang luar biasa
lajunya. Dalam keadaan begini, kita tidak boleh menunggu untuk perubahan itu
berlaku.
Sebaliknya, kita perlu mendepani
perubahan itu, iaitu dengan menjangka akan kedatangannya, dan lebih baik lagi,
jika kita dapat mempengaruhi corak, cara dan citranya.
Dalam konteks ini, kita perlu
menghayati disiplin yang dinamakan “pengajian masa depan” dalam perancangan
dasar-dasar dan program-program pembangunan. Supaya kita benar-benar ke
sini-kinian dan tidak ketinggalan zaman.
Kelima : Melipat ganda
transformasi. Pelan Transformasi Nasional ilham dan pimpinan Perdana Menteri
adalah amat baik. Ia komprehensif dari segi bidangan, penggubalan, pelaksanaan
dan penilaiannya. Kini, ia perlu diperluaskan dan diperdalamkan.
Contohnya, dari segi politik,
supaya mengamalkan politik baharu, iaitu demokrasi yang lebih matang dan
progresif, serta menjulang politik ilmu, hikmah dan bakti dan menamatkan
politik wang, rasuah dan kotor.
Dari segi governans, agar wujud
kerangka governans baru berasaskan integriti dan perundingan semua pihak
berkepentingan, termasuk soal hubungan persekutuan-negeri dan desentralisasi.
Dari segi pendidikan, supaya dipentingkan soal roh, matlamat, kualiti dan
pemikiran baru, bukan sekadar program rutin.
Dari segi sosiobudaya, supaya
memartabatkan budaya tinggi dan tidak tenggelam dalam keasyikan budaya rendah.
Manakala perkara baharu ialah meningkatkan peranan rakyat dalam proses membuat
keputusan tentang dasar luar negara, iaitu selaras dengan makna sebenar
diplomasi rakyat-pada-rakyat, dan tidak lagi semuanya diserahkan hanya pada Wisma
Putra.
Ini sesuai dengan dasar luar
negara yang berada dalam transisi, selari
kedudukannya bakal menjadi negara maju.
Dirgahayu Malaysia tercinta!
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Sabtu, 14 September 2013
ISU PENDIDIKAN : Guru Bahasa Inggeris perlu tingkat kemahiran
JOHOR BAHRU - Guru Bahasa
Inggeris perlu mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan kaedah pengajaran
mereka dan bukan hanya bergantung semata-mata kepada program Kementerian
Pendidikan.
Timbalan Menteri Pendidikan,
Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, inisiatif itu boleh jadi dalam bentuk
menghadiri kelas, persidangan malah bertukar-tukar pengalaman sesama kelompok
mereka.
"Salah satu bentuk
pembangunan profesionalisme ialah guru itu berusaha sendiri untuk meningkatkan
penguasaan Bahasa Inggeris melalui kelas tuisyen dan sebagainya.
“Sebagai contoh semasa saya jadi
guru besar, apabila dapat tahu Bahasa Inggeris akan jadi bahasa yang digunakan,
guru Bahasa Inggeris ambil inisiatif mengajar guru-guru lain. Itu sepatutnya
kita lakukan begitu. Jangan hanya berharap pada kementerian semata-mata,”
katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Bahasa Inggeris Negeri
Johor kali ke-5, di sini, semalam.
Persidangan itu dihadiri 200 guru
sekolah Bahasa Inggeris dari sekolah rendah dan menengah dari Johor serta
Tawau, Sabah.
Mary berkata, persidangan tiga
hari itu merupakan medan buat guru berkongsi idea dan pendapat dalam
meningkatkan pengajaran Bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.
Menurutnya, usaha Jabatan
Pendidikan Johor menganjurkan persidangan sedemikian patut dicontohi Jabatan
Pendidikan di negeri-negeri lain.
“Ini penting kerana apabila hanya
membaca dari buku teks sahaja, ia hanya konsep dan teori. “Tapi di sini kita
boleh berkongsi pengalaman dan idea bersama guru-guru dan pensyarah lain,”
katanya.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
ISU PENDIDIKAN : Bilik darjah makmal pembentuk generasi
Oleh : AHMAD FOA'AD HASHIM
KESUNGGUHAN Kementerian Pendidikan
membawa perubahan dan penambahbaikan terhadap sistem pendidikan memang nampak
jelas. Program demi program termasuk yang berskala besar seperti penggubalan
Pelan Pembangunan Pendidikan, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) atau
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sedang giat dijalankan.
Pada masa sama, program lebih
awal yang menjurus kepada usaha peningkatan kualiti sekolah terus juga
dijalankan seperti program Kluster Kecemerlangan Sekolah, Sekolah Berprestasi
Tinggi dan Tawaran Baru (New Deal). Semuanya memperlihatkan iltizam kementerian
untuk mendorong sekolah supaya bekerja lebih keras bagi meningkatkan
kecemerlangan masing-masing.
Memikirkan beban membuat
perubahan yang bukan sedikit, tentulah rakyat yang juga pelanggan perkhidmatan
pendidikan melihat dengan penuh debaran usaha-usaha mengimplimentasikan
program-program ini.
Tiada siapa dapat menolak hakikat
bahawa operasi teras sekolah sebagai institusi pendidikan adalah melaksanakan
pembelajaran dan pengajaran. Tidak hairanlah apabila pembaharuan dilaksanakan,
banyak pihak ingin tahu sejauhmanakah program-program ini telah benar-benar
sampai ke bilik darjah.
Melalui pembelajaran dan
pengajaran inilah berlakunya proses murid mempelajari sesuatu yang kemudiannya
membawa perubahan dalam tingkah laku mereka. Faktor ini menyebabkan proses
pembelajaran dan pengajaran dijadikan kayu ukur kemampuan mana-mana sistem
persekolahan.
Proses pembelajaran
Justeru 'The moment of truth'
sebuah sistem pendidikan adalah apabila beribu orang guru melangkah masuk ke
bilik darjah dan mengendalikan proses pembelajaran murid. Apa-apa yang mereka
mampu lakukan dan yang tidak mampu dilakukan ketika itu, itulah petunjuk kepada
keupayaan sebuah sistem pendidikan.
Walaupun ada kegiatan pendidikan
di luar bilik darjah seperti aktiviti kokurikulum tetapi kesan langsung
pendidikan yang kritikal masih lagi proses pembelajaran di bilik darjah. Bukan
untuk tujuan akademik sahaja, proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah
sebenarnya dipertanggungjawabkan untuk mencapai matlamat pendidikan yang lebih
unggul iaitu sebagai wahana membentuk dan membina generasi baru seperti yang
dicita-citakan oleh masyarakat semasa.
Semua kelompok masyarakat di
dunia ini menggunakan agenda pendidikan sebagai saluran untuk menjamin
keberlangsungan kelompok masing-masing. Hasrat inilah yang diolah oleh
kementerian dan diterjemahkan melalui penggubalan pelan induk kurikulum iaitu
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM)
dan yang terkini KSSR.
Justifikasi
Gagasan yang terkandung dalam
kurikulum ini kemudiannya diterjemahkan dengan lebih jelas dan tegas dalam
sukatan pelajaran. Hampir semua sukatan pelajaran menghuraikan selengkapnya
latar belakang, matlamat dan objektif pembelajaran masing-masing.
Satu usaha memberikan justifikasi
kepentingan mata pelajaran berkenaan untuk hadir dalam pembelajaran anak-anak
kita. Pembelajaran Sejarah yang diwajibkan dari Tingkatan Satu hingga ke
Tingkatan Lima misalnya menyebut antara lain objektif pembelajarannya untuk
membina semangat patriotik dan membangunkan kebijaksanaan dengan memanfaat
iktibar daripada sejarah.
Manakala matlamat pembelajaran
Sains termasuklah untuk menyubur sikap suka menyelidik. Secara ringkasnya,
tujuan asal proses pembelajaran dan pengajaran adalah untuk mengupayakan murid
mengalami perkembangan diri sehingga mampu mencapai tahap seperti yang
dinyatakan dalam matlamat dan objektif sukatan pelajaran.
Kepentingan pembelajaran dan
pengajaran juga adalah disebabkan wujudnya apa yang dikenali sebagai keupayaan
strategik dan tersendiri mata-mata pelajaran berkenaan. Misalnya pembelajaran
Muzik, Seni Visual dan Kesusasteraan berupaya menyentuh sisi halus jiwa manusia
yang sangat penting dalam pembentukan manusia yang harmonis.
Manakala pembelajaran berbahasa
pula dapat melatih kecekapan dalam berkomunikasi yang menjadi prasyarat kepada
berkembangnya pemikiran dan kematangan. Pendidikan agama dan moral dijadikan
mata pelajaran kerana keupayaan mata pelajaran ini dalam memupuk sifat diri
insan yang mulia. Atas sebab yang sama jugalah mata-mata pelajaran yang lain
diajarkan di sekolah.
Wahana
Mata pelajaran ini bila
digabungkan menjadi suatu pakej yang lengkap untuk pendidikan generasi muda
kita. Jelas sekali semuanya menggunakan pembelajaran dan pengajaran sebagai
saluran dan wahana. Demikian besarnya beban yang dipertanggungjawabkan kepada
proses pembelajaran dan pengajaran.
Oleh sebab itulah perancangan
penambahbaikan sistem pendidikan perlu dipastikan benar-benar sampai ke dalam
bilik darjah khususnya yang berkaitan soal kualiti pembelajaran dan pengajaran.
Dengan menyentuh titik kritikal proses pendidikan ini diharap lebih berupayalah
transformasi pendidikan ini meningkatkan kualiti pendidikan kita.
Sejarah menunjukkan kementerian
pernah melaksanakan pelbagai program yang berfokus kepada pengukuhan kurikulum.
Awal 80-an KBSR dilancarkan ketika warga pendidik diperdengarkan tentang
pembinaan insan kamil.
Diikuti pula dengan KBSM yang
menekankan pembentukan insan yang bersepadu ilmu pengetahuannya. Dalam tahun
90-an, digerakkan pula Sekolah Bestari dan Pembelajaran Bestari dengan sasaran
penguasaan kemahiran berfikir aras tinggi.
Di samping itu pelbagai program
berskala kecil turut dijalankan seperti KBKK (Kemahiran Berfikir Secara Kritis
dan Kreatif), Pembelajaran Masteri, Penyerapan Nilai Murni, Bahasa Melayu
Merentas Kurikulum, Penyungguhan Kendiri, Kemahiran Sempoa dan berbagai-bagai
lagi.
Satu tekad yang hadir merentasi
semua program ini adalah pembelajaran di bilik darjah mesti diuruskan
sedemikian rupa supaya mampu menjadi wahana pembangunan modal insan yang
unggul. Bagaimanapun hari ini program-program ini sukar dikesan kedudukannya.
Apakah ada halangan atau apakah
wujud arus bawah permukaan yang menyimpangkan pembelajaran dan pengajaran
daripada landasan matlamat murni pendidikan ini?
Mungkin elok juga dianalisis
mengapa dasar dan program yang digubal dengan begitu sempurna, yang mengadun
konstruk teoritikal yang terbaik daripada disiplin ilmu pendidikan; tidak pula
dapat bertahan setelah dihantar ke bilik darjah.
Para anggota pendidikan tentu
sedar di bilik darjah gagasan KBSR, KBSM atau Pendidikan Bestari tidak terdaya
bertahan setelah berhadapan dengan gelombang 'pembelajaran dan pengajaran untuk
peperiksaan'.
Persepsi pengajaran sebagai usaha
membantu murid lulus peperiksaan membawa kepada amalan pengajaran yang mudah
yakni 'menyampaikan pengetahuan dan kemahiran' kepada murid dengan menyebut
semula kandungan buku teks atau buku kerja.
Termasuk dalam pakej ini ialah
tekanan kepada hafalan, latih tubi, ujian berulang kali, kebergantungan kepada
buku kerja dan kepopularan soalan-soalan peperiksaan yang lepas.
Di bilik darjah contoh-contoh
soalan peperiksaan dan buku kerja mengatasi peranan sukatan pelajaran. Menghadiri
kursus memeriksa kertas jawapan pula menjadi pilihan utama guru. Latar
belakang, matlamat, objektif dan fokus sukatan pelajaran yang dicetuskan
melalui usaha berfikir dan berbincang dengan panjang lebar, hampir tidak
membawa makna lagi.
Pencapaian
Kesan pembelajaran tanpa
penyerapan ilmu sukar dilihat dengan mata kasar tetapi yang pasti ia berbahaya.
Misalnya, sudah bertahun-tahun kita mewajibkan pembelajaran Sejarah. Tetapi
pembelajaran sejarah tanpa menginsafi kandungannya menyebabkan banyak pihak
melihat generasi muda kita hari ini seperti tidak belajar sejarah.
Banyak masalah dalam masyarakat
hari ini dapat dielakkan jika setiap pembelajaran Sejarah disasarkan untuk
pencapaian matlamat pembelajarannya iaitu pemupukan semangat setia negara dan
jati diri.
Pembelajaran bahasa sepatutnya
melahirkan generasi baru yang mempunyai daya artikulatif yakni kepetahan dan
kebijaksanaan dalam mengemukakan pandangan.
Tapi pembelajaran bahasa yang
dipelajari sepanjang tempoh persekolahan oleh semua murid yang melalui sistem
persekolahan tidak dapat mengelakkan fenomena media sosial kita diserbu oleh
penulisan berbentuk emosi, bukannya kupasan dan penelitian yang berteraskan
daya keintelektualan.
Baru-baru ini sebuah panel 31
pemikir New York yang diketuai oleh Condoleezza Rice, mantan Setiausaha Negara
Amerika Syarikat menerbitkan satu kajian yang merumuskan sistem persekolahan
yang lemah adalah satu ancaman kepada keselamatan Amerika (laporan penuhnya US
Education Reform and National Security). Di mana-mana bahagian dunia ini
termasuk di negara ini, keselamatan negara dan ketenteraman masyarakat memang
boleh disusurgalurkan dengan sistem pendidikan.
Guru dari satu sudut merupakan
sekumpulan tenaga kerja yang beroperasi di bawah satu sistem pengurusan. Oleh
itu, kaedah mengurus dan mengelola kerja mengajar juga perlukan semakan semula.
Di sebalik pelbagai inisiatif
yang dijalankan di sekolah kini, belum pula ada pembaharuan, rombakan atau
anjakan dibuat ke atas struktur organisasi atau mekanisme pengurusan kerja
mengajar. Sekarang ini siapakah yang memberi inspirasi kepada guru ketika
bekerja di bilik darjah?
Mungkinkah kekaburan inspirasi
ini mewujudkan lompang (vakum) hingga kerja guru tanpa disedari terperangkap
dalam amalan yang menjulang peperiksaan lantas terseret pula ke kitaran
'memberi reaksi yang berlebihan' terhadap peperiksaan? Keadaan sudah amat ranum
untuk pembaharuan.
Akhir kata, petunjuk-petunjuk
yang ada kini sama ada di dalam atau di luar sekolah, semuanya memperlihatkan
adanya keperluan yang mendesak agar pelan transformasi pendidikan kita memberi
tumpuan yang konkrit kepada selok-belok pembelajaran dan pengajaran.
Bilik darjah perlu terus
dipastikan berupaya menjadi makmal pembentuk generasi baru Malaysia menurut
acuan yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara. Jika harapan ini
diletakkan kepada KSSR, kita masih perlu memikirkan murid di peringkat lain
kerana KSSR baru dilaksanakan setakat Tahun Tiga sekolah rendah.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/