OLEH : ROHAMI SHAFIE
KEWANGAN merupakan faktor
terpenting dalam kehidupan seseorang pekerja.
Umpamanya, menurut laporan
Persatuan Akauntan Berkanun dan Bertauliah (ACCA) yang bertajuk "Wanita
Dalam Kewangan: Papan Anjal Menganggotai Lembaga Pengarah" menekankan
bahawa faktor bijak kewangan menjadi teras bagi wanita untuk menyertai lembaga
pengarah bagi syarikat yang diindekskan di bawah FBM KLCI.
Bahkan, faktor kewangan jugalah
yang menyebabkan persatuan-persatuan pekerja sering kali memperjuangkan nasib
pekerja seperti kenaikan gaji dan elaun serta pemberian bonus untuk para
pekerja.
Dunia moden sekarang berpaksikan
wang ringgit. Tanpa kewangan yang kukuh, banyak masalah bakal menimpa kepada
empunya diri.
Bagi sesiapa yang pernah menonton
filem Titanic versi moden, mereka pastinya teringat bagaimana kekayaan dapat
membezakan darjat seseorang. Filem itu juga mengingatkan kita betapa nyawa bagi
orang kaya lebih bernilai berbanding orang miskin. Meskipun tragedi Titanic
sudah lama berlaku, namun kisahnya masih berguna sehingga ke hari ini untuk
dijadikan iktibar betapa manusia amat menghormati orang kaya.
Tidak keterlaluan, penangan wang
ringgit lebih hebat pada masa kini berbanding dahulu. Setiap detik kita berada
di dunia ini memerlukan wang ringgit. Bermula daripada bangun pagi sehinggalah
lena dibuai mimpi, wang dapat membantu seseorang menjalani kehidupan dengan
selesa.
Malangnya, bukan semua manusia
dapat menjalani kehidupan selesa terutamanya dari sudut kewangan. Salah satu
sebabnya adalah kerana pendapatan yang rendah walhal kos sara hidup semakin
menekan saban hari. Tidak terkecuali ada golongan yang berpendapatan tinggi
tetapi dek kerana terlalu boros maka wang yang diperoleh tetap tidak mencukupi.
Maka, wujudlah ceti-ceti haram
atau ah long menunggu mangsanya. Ditawarkan pinjaman yang cukup mudah. Dahulu
ceti-ceti haram tidaklah ganas terhadap peminjam.
Berbeza kini, ceti-ceti haram
amatlah berbahaya kepada peminjam yang tidak mampu membayar hutangnya. Membuat
pinjaman dengan ceti-ceti haram amatlah mudah. Tidak memakan masa lama, bahkan
sesiapa yang disenarai hitamkan oleh bank sekali pun boleh meminjam dengan
mereka. Mangsa-mangsanya tidak kira pangkat mahupun pekerjaan.
Daripada golongan yang berniaga
sehinggalah yang bekerja sebagai tentera pun terlibat dengan ceti haram. Apa
yang akan terjadi bagi anggota keselamatan yang terlibat dengan ceti haram.
Mereka ini sudah tidak lagi bebas dan tidak digeruni oleh sesiapa pun. Ceti
haram telah berjaya "menakluk" mereka tanpa menggunakan sebarang
senjata.
Dikhuatiri, anggota keselamatan
ini tidak mampu bekerja dengan baik sedangkan keselamatan negara di bawah
jagaan mereka. Jika terlalu ramai anggota keselamatan terlibat dengan tekanan
kewangan dan akhirnya terpaksa meminjam dengan ceti haram, keselamatan negara
juga berada dalam keadaan amat berbahaya.
Pujian harus diberikan kepada
ketua-ketua jabatan yang sentiasa menitikberatkan kebajikan kewangan anak-anak
buahnya. Misalnya, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) amat menekankan
mengenai pinjaman anak-anak buahnya dengan ah long.
Beliau berperang dengan ah long
agar kebajikan kewangan anak-anak buahnya terbela. Mengikut rekod, TLDM dapat
menyelesaikan 102 kes pinjaman ah long yang berjumlah RM139,000, di samping 76
anggota TLDM telah mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit
(AKPK).
Jarang sekali kita mendengar
ketua jabatan mahupun korporat sentiasa memantau kewangan para pekerja
terutamanya yang melibatkan ah long. Yang selalu kedengaran, para pekerja yang
mengalami masalah kewangan yang teruk sehingga terpaksa meminjam dengan ah long
tidak dipedulikan langsung. Seorang pemimpin yang baik sewajarnya menjaga
kebajikan kewangan para pekerja.
Malangnya, ramai pemimpin hanya
memikirkan kedudukan kewangannya sahaja walhal anak-anak buahnya mengalami
masalah kewangan. Masalah kewangan para pekerja tidak diendahkan sedangkan
masalah sebeginilah mampu menjejaskan prestasi kerja seseorang.
Sudah sampai masanya satu polisi
yang jelas bagi setiap jabatan kerajaan dan swasta untuk membela kewangan para
pekerja agar mereka ini tidak terlibat dengan pinjaman ah long. Peranan
ketua-ketua jabatan untuk menggubal polisi yang sedemikian.
Di samping itu, terdapat juga
majikan yang terlalu menekan para pekerja dengan pelbagai kerja yang terpaksa
dilakukan melebihi waktu yang sepatutnya.
Pada masa sama, gaji yang dibayar
terlalu murah dan akhirnya ramai yang rela hati berhenti bekerja dengan
syarikat berkenaan. Majikan langsung tidak ambil pusing. Bagi mengatasi masalah
kekurangan pekerja mereka sanggup mengupah warga asing. Bagi mereka keuntungan
adalah segala-galanya. Manakala, kebajikan pekerja adalah perkara terakhir.
Itu belum lagi menyentuh gaji
minimum yang wajib dilaksanakan oleh majikan. Seperti biasa, kedengaran
segelintir majikan yang sanggup menipu kononnya telah melaksanakan gaji minimum
para pekerja walhal sebenarnya tidak.
Majikan sebegini menggunakan
taktik pengiraan gaji minimum dengan mengambil kira elaun dan kerja lebih masa
dalam pengiraan gaji pokok. Pihak berkuasa jenguk-jenguklah kes-kes sebegini
supaya tidak ada yang menjadi mangsa majikan yang tamak haloba.
Mereka ini mungkin tidak sedar
atau buat-buat tidak sedar bahawa faktor kewangan boleh memotivasikan para
pekerja mereka agar bekerja dengan lebih baik lagi.
Walau apa pun alasan yang
diberikan, kebajikan kewangan para pekerja perlu dibela dan dijaga oleh majikan
dengan ikhlas dan sejujurnya.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) Universiti Utara Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/