Rabu, 23 Januari 2013

ISU BAHASA : Prof Korea Mahu Popularkan Tulisan Jawi



KUALA LUMPUR : "Saya akan pertahankan warisan bahasa Melayu dan tulisan jawi yang amat saya cintai ini hingga ke hembusan nafas saya yang terakhir," demikian tekad Prof Dr Kang Kyoung Seok, seorang profesor berbangsa Korea.

Itulah antara kata-kata terakhir beliau setelah menamatkan tugas sebagai Profesor Tamu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, pada 3 Jan lepas dan akan pulang ke negaranya   bagi meneruskan tugas sebagai Ketua Pengajian Malaysia di Busan University of Foreign Studies, Korea Selatan.

"Saya mahu pulang ke Korea Selatan kerana di sana sekarang bahasa dan budaya Malaysia semakin kurang dikenali berbanding tahun 80an dan 90an dulu, terutama dalam kalangan pelajar kami yang sedang belajar dan mengkaji budaya dan bahasa Melayu. "Pelajar mahu belajar dan kaji ini semua, tetapi kebanyakan mereka menyangka bahasa dan budaya Indonesia itu sama dengan Melayu, jadi mereka hanya belajar bahasa Indonesia. Ini perlu diperbetul, pelajar mesti belajar bahasa Melayu dan tulisan jawi jika mahu mendalami Malaysia," katanya.

Kang berkata demikian dalam temu bual eksklusif dengan Bernama setelah menerima Anugerah Pakar Penyelidik Tulisan Jawi daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disampaikan Ketua Pengarahnya Dr Awang Sariyan di sini, pada Khamis.

Pada Januari tahun lepas, Kang yang bertugas di UPSI sejak 2010, melahirkan kebimbangan bahawa tulisan jawi semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda di Malaysia.

Mengulas perkara itu, beliau berkata tindakan masyarakat Melayu yang meletakkan tulisan jawi eksklusif kepada perkara berunsur Islam perlu dihindari bagi memastikan tulisan itu sesuatu yang lebih universal.

"Tulisan ini perlu digunakan untuk berbagai perkara, antaranya sebagai satu daripada teks utama universiti yang membolehkan generasi baharu Malaysia mempelajarinya lebih mendalam," katanya.

Ditanya apa yang perlu dilakukan bagi mempopularkan kembali tulisan jawi dalam  kalangan generasi muda Malaysia, Kang berkata inisiatif luar biasa seperti dilakukan penyanyi Korea Selatan, PSY yang mempopularkan budaya Korea melalui lagu 'Gangnam Style' boleh dilakukan. "Gangnam Style ini memang sesuatu yang luar biasa kerana mengambil kuda, iaitu sesuatu yang dilihat biasa di Korea dan dijadikan sesuatu di luar kebiasaan. Di Malaysia juga ada kuda, saya percaya kita boleh lakukan sesuatu yang serupa," katanya.

Bercerita tentang kajian terbaharunya, Kang berkata beliau sedang mengusahakan teori 'Jawiology', sebuah teori yang mampu memperkenalkan tulisan jawi itu kepada masyarakat dunia.

"Melalui teori ini saya mahu menerangkan tentang perkembangan tulisan jawi daripada sebuah tulisan dalam Al-Quran disesuaikan menjadi tulisan yang melambangkan Melayu itu sendiri. Teori saya juga memastikan tulisan jawi mudah difahami dan dipelajari masyarakat bukan Melayu seluruh dunia," katanya.

Bercakap mengenai kajian tulisan jawi yang amat dekat dihatinya, Kang memberikan contoh kajian batu bersurat di Terengganu yang dilakukannya sejak pertengahan tahun 80an.

"Saya masih mengkaji tulisan pada batu bersurat itu. Sukar memastikan apa yang dimaksudkan kerana tulisan itu ada sedikit kerosakan seperti hilang titik yang membezakan huruf seperti 'ba' dan 'nun'. "Setakat ini tiada tafsiran yang benar-benar tepat, hanya agak-agak sahaja. Saya sendiri mahu lakukan kajian lebih dalam lagi," katanya. Mengakhiri temu bual, Kang melahirkan azamnya untuk menjadi jambatan penghubung di antara masyarakat Korea dengan Malaysia terutama bagi generasi muda melalui perkongsian bahasa dan budaya. "Saya mahu kita menjadi rakan karib. Orang muda Malaysia amat minat dengan budaya K-Pop Korea jadi saya juga mahu orang muda Korea minat bahasa dan budaya Malaysia," katanya.

Sementara itu, Awang berkata DBP akan meneruskan kerjasama dengan Kang bagi mengkaji lebih 200 manuskrip Melayu lama yang kini berada dalam simpanan dewan itu.

"Walaupun Kang kini jauh, kita akan tetap bekerjasama dengan beliau. Melalui beliau juga kita akan bertindak sebagai penghubung melakukan pelbagai program bersama dengan Busan University of Foreign Studies bagi memperkenal bahasa dan budaya Malaysia di Korea Selatan," katanya. -BERNAMA

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Akhbar sudah tiada kuasa memukau



Oleh : NORDEN MOHAMED

Syarikat akhbar menghebahkan berita untuk tatapan ramai. Ia memperoleh sumber lisannya daripada ucapan rasmi, ceramah, sidang akhbar dan juga temubual. Ia mendapat sumber bertulis pula daripada kenyataan akhbar, Facebook, Twitter, blog dan laman web rasmi individu yang menjadi bahan berita.

Oleh sebab adanya pelbagai medium maklumat dan terbukanya individu atau sesuatu organisasi pada hari ini, kenyataan-kenyataan daripada ‘sumber yang layak dipercayai’ sudah tidak lagi layak dipercayai.

Taktik dan teknik memperoleh bahan berita daripada sumber ketiga mahupun keempat, secara intai-intai, agak-agak, spekulatif dengan rumusan yang condong ke kiri ataupun ke kanan sudah ketinggalan zaman.

Malah, semakin sehari, ia menjadi sumber yang tidak lagi digunakan oleh media, kecuali untuk tujuan sensasi daripada media yang kehabisan modal dan idea mencanai berita.

Pada hari ini, berita mesti dihidangkan pada bila-bila masa kepada para pembaca sebagai santapan minda mereka. Tidak seperti dahulu, bila mana berita hanya dipaparkan di akhbar pada pagi atau malam hari. Ataupun orang ramai hanya memperolehnya tatkala siaran berita pada masa-masa yang ditetapkan melalui televisyen atau radio.

Kini, berita mesti panas dan kerap terhidang sekurang-kurangnya pada setiap jam. Kerana itu, para wartawan perlu sentiasa bersiap siaga mendapatkan bahan berita, mengarang dan menyalurkannya ke pejabat untuk dipersembahkan dalam bentuk cetak, elektronik  mahupun melalui internet.

Kepantasan menghidang berita daripada pelbagai sumber rujukan membolehkan seseorang wartawan itu mudah dalam melaksanakan tugasnya. Justeru, adalah hampir mustahil  andainya seseorang wartawan pada hari ini berkata kepada pengarangnya yang dia tiada apa-apa berita untuk disampaikan.

Dalam dunia persuratkhabaran, no news is bad news. Bagaimana pun, bad news is not necessarily good news. Oleh sebab  itu, penyampaian berita itu perlu seimbang kerana para pembaca mahukan sesuatu yang dia boleh pertimbangkan.

Mereka tidak lagi boleh menelan berita yang muluk-muluk belaka mahupun berita yang hanya menyesakkan fikiran. Berita yang semata-mata pro atau pun yang kontra akan diketepikan. Hampir semua perkara ada baik dan buruknya. There are always two sides of a coin. Pembaca pada hari ini berhak mendapat maklumat yang seimbang. Mereka tidak akan menelan bulat-bulat apa yang diterima.

Kerana itulah, mereka yang menjadi bahan berita perlu menyedari pentingnya maklumat, pendapat dan buah fikiran mereka dikongsi dengan khalayak ramai. Mereka tidak boleh lagi jual mahal, berdiam diri dengan harapan sesuatu yang diperkatakan mengenainya itu akan sejuk dan tenggelam daripada radar ingatan orang ramai.

Dalam pada itu, mereka juga tidak boleh lagi cuba menguasai wartawan apatah lagi media cetak hingga mahu beritanya sahaja yang disiarkan pada setiap hari. Mereka yang memanggil sidang media dengan memberi persepsi seolah-olah media yang dijemput itu sahajalah yang terpilih secara khas; walhal apabila tiba masa sidang, berpuluh-puluh wakil media lain sudah berbaris menunggu.

Ini akan mengecewakan semua yang hadir kerana digula-gulakan seolah-olah mereka sahajalah yang istimewa. Di lain waktu, tidak ramai wakil media akan datang lagi ke majlisnya.

Jika memanggil media semata-mata untuk menyampaikan apa yang sudah diperkatakan sebelum ini, besar kemungkinan apa yang disampaikan itu tidak akan terpilih menjadi bahan berita. Jika diri sendiri bukannya newsmaker seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa mempunyai idea, saranan dan hujah baharu, tidak usahlah cuba menarik perhatian dengan kata-kata kosong yang berulang-ulang.

Para pembaca pada hari ini dihujani dengan pelbagai bahan komunikasi. Minda mereka sudah tepu. Ini menjadikan mereka punyai memori yang singkat kerana begitu cepat bosan dengan sesuatu. Justeru itu, kekerapan kemunculan seseorang di mata khalayak sebenarnya akan membuat dirinya over-exposed.

Ini bermakna, kekerapan kemunculan seseorang di khalayak ramai itu tidak semestinya akan mempopularkan dirinya. Malah boleh berlaku kesan sebaliknya iaitu imejnya sudah tidak mempunyai impak dan ingin dinyah segera daripada kotak fikiran pembaca.

Akhbar sudah tiada kuasa mahupun pengaruh untuk menaik mahupun menjatuhkan imej seseorang kerana khalayak sudah lebih berhati-hati dengan apa yang mereka tatap. Naik turun atau jatuh bangun seseorang itu sebenarnya ditentukan oleh individu itu sendiri.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Rakyat tidak prihatin penjagaan kebersihan


Oleh : SM MOHAMED IDRIS

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa amat kesal dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang masih belum mencapai tahap yang memuaskan dalam soal menjaga kebersihan terutama sekali di kawasan perumahan, taman awam dan tempat-tempat ibadat.

Pendedahan oleh akhbar tempatan berhubung tahap kebersihan tandas masjid dan surau yang seringkali dibangkitkan oleh khalayak umum sedikit sebanyak telah mendedahkan sikap kita yang masih belum mengutamakan kebersihan.

Kenyataan CAP ini tidak bermaksud untuk ditujukan khusus kepada umat Islam sahaja tetapi kepada semua rakyat Malaysia tidak kira apa bangsa dan agamanya. Ini kerana bukan sahaja tandas masjid dan surau yang menjadi rungutan bahkan tempat ibadat bukan Islam seperti kuil dan tokong juga turut mendapat rungutan berhubung tahap kebersihannya.

Selain tempat ibadat, terdapat juga sesetengah tempat makan, tandas awam di negara ini yang tahap kebersihan tandasnya masih tidak memuaskan. Pengalaman yang kami  lalui ketika menggunakan tandas di tempat awam mengukuhkan lagi dakwaan ini.

Tahap kebersihan tandas dan bilik air di Malaysia telah lama menjadi rungutan dalam kalangan pengguna sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan 'Kempen Kebersihan Tandas' di seluruh negara. Ini menguatkan lagi kenyataan bahawa sikap rakyat Malaysia yang masih tidak mengambil berat akan soal kebersihan.

Perbuatan membiarkan tandas dalam keadaan kotor serta tidak dipam selepas digunakan memburukkan lagi keadaan. Ini ditambah pula dengan segelintir mereka yang merokok serta membuang habuk dan puntung rokok merata-rata di dalam tandas juga menyebabkan keadaannya begitu kotor.

Lebih menyakitkan mata dan hati lagi apabila terdapat pelbagai contengan, tulisan dan lukisan yang tidak sewajarnya ditulis dan dilukis pada dinding tandas awam oleh mereka yang tidak bertanggungjawab walaupun rata-rata yang menggunakan tandas itu tahu kebersihan mestilah diutamakan.

Pihak berkuasa dan pihak bertanggungjawab terhadap kebersihan tandas juga perlu memikirkan semula terhadap penggunaan lantai tandas yang sering menggunakan jubin dari jenis yang berkilat kerana ia seringkali dalam keadaan basah. Ini menyebabkan ia menjadi licin dan membahayakan keselamatan penggunanya kerana ia boleh menyebabkan tergelincir dan jatuh.

Pihak pengurusan tandas dan bilik air di tempat ibadat dan tempat awam perlu mengambil tindakan segera bagi menukar jubin dari jenis yang licin kepada jubin yang tidak menyebabkan keadaan licin walaupun terdapat air di atasnya.

Pihak berkenaan juga perlu sentiasa memastikan lantai bilik air dan tandas awam dalam keadaan yang sentiasa kering bagi memastikan ia tidak licin dan membahayakan keselamatan penggunanya.

Pembaziran air juga perlu dielakkan . Penggunaan air secara berhati-hati sedikit sebanyak dapat mengelakkan ia daripada melimpah ke atas lantai yang menjadi punca utama lantai menjadi licin.

Semua orang perlu mempunyai sikap bertanggungjawab bagi memastikan segala kemudahan tandas dalam keadaan yang baik dan memastikan perkara seperti tandas tersumbat, pam tidak berfungsi, lantai tandas pecah, licin dan berlumut serta siling bersawang dan sinki tersumbat tidak lagi berlaku di negara kita.

Memastikan kebersihan pada semua tempat merupakan tanggungjawab kita semua. Kita tidak boleh menyerahkan tugas dan tanggungjawab menjaga kebersihan tandas awam kepada satu pihak sahaja tetapi kita semua sepatutnya mesti mengambil sikap bertanggungjawab untuk menjaganya seperti mana kita menjaga tandas di rumah kita sendiri.

Penulis ialah  Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Sumber : http : //www.utusan.com.my/