Oleh : Jal Zabdi bin Mohd Yusoff & Zulazhar
bin Tahir
Pengenalan
Kanak-kanak merupakan aset negara yang sangat penting kerana kepada
merekalah segala harapan dan cita-cita negara disandarkan selaku pemimpin di
masa hadapan. Kanak-kanak juga adalah golongan yang perlu diberi perlindungan
kerana di dalam keadaan-keadaan tertentu, mereka mungkin terdedah kepada
pelbagai bahaya sama ada mereka menjadi mangsa atau terlibat dengan perlakuan
jenayah. Menyedari hakikat ini, maka pertimbangan utama di dalam segala
tindakan yang menyentuh hal ehwal kanak-kanak adalah kebajikan dan
kesejahteraan kanak-kanak berkenaan. Ini boleh dilihat di dalam pelbagai
undang-undang yang terdapat di negara ini. Walau bagaimanapun, permasalahan
mengenai kanak-kanak masih terus berlaku di merata tempat sama ada di dalam
atau luar negara. Dalam hal ini kita sering mendengar atau membaca bahawa
terdapat kanak-kanak yang diabaikan, ditinggalkan di perhentian bas, di bawah
pokok, ada yang ditinggalkan di dalam kereta tanpa penjagaan sewajarnya. Kita
juga mendengar bahawa perlakuan jenayah oleh kanak-kanak semakin menjadi-jadi.
Jika dulunya perlakuan jenayah oleh kanak-kanak hanyalah jenayah yang kecil
atau petty offences tetapi pada masa sekarang terdapat kanak-kanak yang
berani melakukan rompakan bersenjata, merogol bahkan ada yang berani membunuh.
Persoalannya sekarang ialah siapakah yang harus dipersalahkan jika perkara
ini berlaku kepada kanak-kanak di negara ini? Apa yang pasti ialah kanak-kanak
ini tidak harus dipersalahkan seratus peratus kerana apa yang berlaku mungkin
disebabkan oleh pelbagai faktor yang di luar kawalan mereka. Walau
bagaimanapun, sebagaimana yang diketahui umum pihak yang terlibat secara
langsung dengan pembesaran dan pembangunan diri kanak-kanak adalah ibu bapa
atau penjaga. Ibu bapa atau penjaga telah diberi tugas dan tanggungjawab utama
untuk membentuk keperibadian anak-anak kerana mereka mempunyai impak yang besar
terhadap perkembangan anak-anak di dalam jagaan mereka. Ibu bapa atau penjaga
adalah mereka yang saban hari bercampur gaul dan sentiasa berada di sisi
anak-anak. Oleh itu, pasti banyak perkara yang dipelajari oleh anak-anak itu
daripada orang yang menjaganya. Sabda Rasullullah s.a.w. yang bermaksud:
Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan suci
(menganut agama yang benar iaitu Islam), kedua orang tuanyalah yang kemudiannya
menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.(Hadis
riwayat Abu Hurairah r.a.)
Apa yang jelas daripada hadis di atas ialah ibu bapa atau penjaga
kanak-kanak itu merupakan orang yang sangat penting dalam mencorakkan masa
hadapan anak-anak di dalam jagaan mereka termasuklah menentukan keadaan
persekitaran di mana kanak-kanak itu akan dibesarkan. Sehubungan dengan itu, di
dalam artikel ini, penulis akan cuba mengupas isu yang mencakupi tugas dan
peranan ibu bapa atau penjaga ke atas anak yang berada di bawah jagaan mereka.
Dalam kajian yang dijalankan oleh penyelidik-penyelidik seperti Diana
Baumrind, SM Dornbusch dan Stanley Coopersmith didapati cara bagaimana
seseorang kanak-kanak itu dibesarkan akan mempengaruhi personaliti dan
pembangunan sahsiahnya. Kajian juga
menunjukkan bahawa kanak-kanak yang kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa
atau penjaga mereka lebih berkecenderungan untuk terlibat dalam pelbagai
masalah sosial. Menyedari hakikat bahawa keluarga merupakan satu institusi
penting di dalam pembentukan masyarakat yang dinamik, maka kerajaan harus
campur tangan dari awal apabila telah dikenal pasti bahawa terdapat kaitan di
antara masalah sosial dan hubungan kekeluargaan. Campur tangan ini adalah
penting untuk mengelak keruntuhan sesuatu masyarakat secara keseluruhan. Di dalam
hal ini kerajaan boleh memainkan peranannya dengan menggubal undang-undang yang
mengenakan kewajipan tertentu atas ibu bapa atau penjaga bagi menjaga
kebajikan, kepentingan atau kesejahteraan kanak-kanak yang berada di bawah
jagaan mereka.
Asas Undang-Undang Perlindungan Terhadap
Kanak-Kanak Di Peringkat Antarabangsa
Kewujudan undang-undang yang memperuntukkan perlindungan terhadap
kanak-kanak bukanlah satu perkara yang baru. Sejarah menunjukkan bahawa
beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan England telah mempunyai
undang-undang dan perkhidmatan kebajikan kanak-kanak bagi melindungi
kanak-kanak yang didera atau diabaikan seawal abad ke 17 dan 18. Kebangkitan
sentimen mengenai isu kanak-kanak yang didera telah memuncak kembali pada awal
tahun 1960an berdasarkan penyelidikan yang telah dijalankan oleh Dr Henry Kempe
iaitu seorang pakar kanak-kanak di Amerika Syarikat. Sejak dari itu, kesedaran
dan usaha untuk menangani masalah mengenai kanak-kanak telah diperhebatkan.
Menyedari hakikat bahawa masa depan kanak-kanak semakin terancam, sama ada
oleh perbuatan individu atau perbuatan mereka sendiri atau kegagalan pihak
kerajaan mengambil langkah positif ke arah memastikan kesejahteraan dan
keselamatan kanak-kanak, maka satu inisiatif positif telah digerakkan oleh
masyarakat antarabangsa untuk meletakkan kepentingan kanak-kanak di landasan
yang sepatutnya. Inisiatif ini boleh dilihat di dalam Konvensyen Hak
Kanak-Kanak yang telah diratifikasikan oleh hampir semua negara di dunia ini. Malaysia
merupakan antara negara yang telah menandatangani dan meratifikasikan
Konvensyen Hak Kanak-Kanak. Antara perkara penting di dalam Konvensyen ini
ialah pengiktirafan terhadap hak kanak-kanak ke atas beberapa perkara asas
iaitu hak untuk hidup, hak kepada pembangunan, hak untuk dilindungi daripada
pengaruh yang merosakkan, penderaan dan eksploitasi dan akhir sekali hak untuk
bersama dengan keluarga, kebudayaan dan kehidupan sosial.
Artikel 5 dan 19(1) Konvensyen Hak Kanak-Kanak
berbunyi:
Artikel 5:
States Parties shall respect the responsibilities,
rights and duties of parents or, where applicable, the members of the extended
family or community as provided for by local custom, legal guardians or other
persons legally responsible for the child, to provide, in a manner consistent
with the evolving capacities of the child, appropriate direction and guidance
in the exercise by the child of the rights recognized in the present
Convention.
Artikel 19
1. States Parties shall take all appropriate
legislative, administrative, social and educational measures to protect the
child from all forms of physical or mental violence, injury or abuse, neglect
or negligent treatment, maltreatment or exploitation, including sexual abuse,
while in the care of parent(s), legal guardian(s) or any other person who has
the care of the child.
Jika kita merujuk kepada artikel 5, adalah dipersetujui bahawa ibu bapa
atau penjaga mempunyai tugas dan tanggungjawab di dalam pemeliharaan
kanak-kanak dan ini harus dihormati oleh kerajaan sesebuah negara. Walau
bagaimanapun, pada masa yang sama Konvensyen ini melalui artikel 19 menekankan
pentingnya kerajaan sesebuah negara untuk mengambil langkah-langkah perlu sama
ada dalam bentuk perundangan, pentadbiran, langkah sosial serta ekonomi untuk
melindungi kanak-kanak itu daripada penderaan oleh ibu bapa atau penjaga
mereka.
Asas Undang-Undang Perlindungan Terhadap
Kanak-Kanak di Malaysia
Undang-undang mengenai perlindungan terhadap kanak-kanak di Malaysia juga
boleh dilihat seawal tahun 1947 dengan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, Akta
Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta
Perlindungan Kanak-Kanak pada 1991. Walau bagaimanapun, menyedari hakikat
bahawa terdapat keperluan untuk mengubah hala tuju konsep perlindungan terhadap
kanak-kanak dan juga mengakui bahawa perlunya pembaharuan di dalam
undang-undang sejajar dengan perkembangan semasa, maka satu akta yang khusus
dan komprehensif mengenai kanak-kanak telah digubal dan diluluskan iaitu Akta
Kanak-Kanak 2001 (selepas ini akan disebut Akta 611) dan telah berkuat kuasa
pada 1 Ogos 2002. Tajuk panjang Akta 611 berbunyi:
Suatu Akta untuk menyatukan dan meminda
undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, pelindungan dan pemulihan
kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan
dan bersampingan dengannya. Akta 611 merupakan satu Akta yang merangkumi
pelbagai isu penting mengenai kanak-kanak. Antara perkara penting yang
diketengahkan oleh Akta 611 adalah tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga
dalam memelihara kesejahteraan kanak-kanak, tanggungjawab untuk memaklumkan
kes-kes penderaan kanak-kanak, penubuhan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, prosedur
perbicaraan, hukuman dan sebagainya.
Tanggungjawab Undang-Undang
Semua pihak mempunyai tanggungjawab dan tugas masing-masing sama ada
tanggungjawab dari segi moral atau dari segi undang-undang. Tidak dapat
dinafikan bahawa ibu bapa atau penjaga mempunyai tugas dan tanggungjawab ke
atas anak-anak di bawah jagaan mereka. Selaras dengan itu, peruntukan-peruntukan
yang mengenakan tugas dan tanggungjawab undang-undang kepada ibu bapa atau
penjaga telah diwujudkan di dalam Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan
kemudiannya telah diperkemaskan di dalam Akta 611. Apa yang pasti, antara
tujuan utama peruntukan-peruntukan seumpama ini dimasukkan adalah supaya ibu
bapa atau penjaga akan lebih bertanggungjawab dan mengambil berat akan keadaan
anak-anak mereka.
a) Tugas Untuk Memaklumkan
Akta 611 melalui seksyen 28(1) telah mengenakan tugas kepada ahli-ahli
keluarga kanak-kanak untuk memaklumkan kepada Pelindung jika mereka mempunyai
alasan-alasan yang munasabah bahawa kanak-kanak itu telah dicederakan dari segi
fizikal atau emosi akibat teraniaya, terabai, terbuang atau terdedah, atau
teraniaya dari segi seks. Rasional ahli-ahli keluarga kanak-kanak dikenakan
tugas untuk memaklumkan tentang kemungkinan seseorang kanak-kanak itu didera
adalah kerana mereka merupakan antara pihak yang dekat dengan kanak-kanak
tersebut. Mereka ini juga berkemungkinan besar mengetahui kenapa seseorang
kanak-kanak itu didera. Tambahan pula, perlakuan penderaan terhadap kanak-kanak
atau keganasan rumah tangga merupakan jenayah belakang tabir yang berlaku jauh
daripada pengetahuan pihak lain. Oleh itu, ahli-ahli keluarga kanak-kanak itu
sebenarnya berada dalam kedudukan terbaik untuk mengetahui jika berlaku
sebarang penderaan terhadap kanak-kanak yang mendiami rumah yang sama. Seksyen
2 Akta 611 mendefinisikan anggota keluarga sebagai "termasuklah ibu bapa
atau penjaga atau seseorang anggota keluarga luas yang merupakan seorang
anggota rumah". Seksyen 2 juga mendefinisikan anggota rumah sebagai
seseorang yang pada lazimnya tinggal serumah dengan seorang kanak-kanak.
Peruntukan ini amnya mensasarkan kepada sesebuah rumah tangga yang mempunyai
ahli yang ramai atau di mana sesebuah extended family itu tinggal. Oleh
itu, adalah diharapkan dengan pengenaan tugas ini sekurang-kurangnya masalah
penderaan terhadap kanak-kanak boleh dikesan pada peringkat yang lebih awal dan
tindakan sewajarnya boleh diambil.
Kegagalan mana-mana ahli keluarga itu untuk memaklumkan perlakuan penderaan
terhadap kanak-kanak yang berlaku di dalam rumah yang didiaminya merupakan satu
kesalahan. Namun begitu, jika disabitkan, ahli keluarga yang berkenaan boleh
dilepaskan dengan bon atas syarat-syarat yang ditentukan oleh mahkamah. Hanya
setelah ahli keluarga ini tidak mematuhi mana-mana syarat yang telah ditetapkan
di dalam bon berkenaan, barulah mereka boleh didenda tidak melebihi RM5,000.00
atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
b) Kehadiran Ibu bapa atau Penjaga Semasa
Perbicaraan
Seksyen 88(1) Akta 611 memperuntukkan bahawa jika seseorang kanak-kanak
dituduh atas apa-apa kesalahan, maka Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah
memerintahkan supaya ibu dan bapa kanak-kanak tersebut hadir ke mahkamah
kecuali Mahkamah berpuashati bahawa adalah tidak munasabah untuk mengehendaki
kehadiran mereka. Peruntukan mengehendaki ibu bapa atau penjaga hadir di mahkamah
semasa perbicaraan adalah satu peruntukan mandatori. Hal ini telah dijelaskan
di dalam kes Sia Yik Hung v Public Prosecutor. Di dalam kes ini, Mahkamah
Tinggi menyatakan bahawa kegagalan Majistret untuk memanggil ibu bapa ke
mahkamah sedangkan ia diperlukan mengikut seksyen 9 Akta Mahkamah Juvana adalah
suatu "failure of justice". Menurut Mahkamah, perkataan "and
shall" adalah peruntukan mandatori.
Walau bagaimanapun, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mempunyai kuasa untuk
memerintahkan supaya ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu keluar daripada
mahkamah. Keadaan ini mungkin berlaku apabila mahkamah berasa bahawa perintah
sedemikian adalah perlu untuk kepentingan kanak-kanak itu. Bagi ibu bapa atau
penjaga yang gagal untuk menghadirkan diri di Mahkamah Kanak-Kanak apabila
mereka dikehendaki berbuat demikian ia merupakan satu kesalahan dan boleh
didenda tidak melebihi RM 5,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak
melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
c) Penyempurnaan Bon Kelakuan Baik
Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman-hukuman
tertentu apabila kesalahan telah dibuktikan terhadap seorang kanak-kanak
tersebut. Sebagai kuasa tambahan, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak juga boleh
memerintahkan supaya ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu menyempurnakan suatu
bon bagi kelakuan baik kanak-kanak itu. Mahkamah Kanak-Kanak juga mempunyai
kuasa untuk mengenakan satu atau lebih daripada syarat-syarat tambahan di bawah
kepada bon berkenaan dan antaranya ialah:
a) Bahawa ibu bapa atau penjaga dengan ditemani
oleh kanak-kanak itu hendaklah melaporkan diri di jabatan kebajikan atau balai
polis yang berhampiran dengan kediaman ibu bapa atau penjaga pada lat tempoh
yang telah ditetapkan oleh mahkamah;
b) Bahawa ibu bapa atau penjaga dengan ditemani
oleh kanak-kanak itu menghadiri bengkel interaktif yang dianjurkan oleh
pusat-pusat tertentu;
c) Bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu
berunding dengan guru, guru besar atau pengetua kanak-kanak itu sebulan sekali
sepanjang tempoh bon jika kanak-kanak itu berada di sesuatu institusi
pendidikan;
d) Jika kanak-kanak itu dihantar ke sekolah yang
diluluskan atau Sekolah Henry Gurney, maka ibu bapa atau penjaga
kanak-kanak itu hendaklah melawat kanak-kanak itu secara tetap sebagaimana yang
ditentukan oleh mahkamah atau.
e) Atau apa-apa syarat lain yang difikirkan patut
oleh mahkamah.
Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ketika menjalankan
lawatan ke Sekolah Henry Gurney menunjukkan bahawa kurangnya ibu bapa atau
penjaga melawat anak-anak mereka yang ditempatkan di sekolah berkenaan. Antara
alasan yang telah diberikan ialah kekurangan wang dan jarak sekolah berkenaan
yang jauh dari rumah mereka. Sehubungan dengan itu, pihak Suhakam telah
mencadangkan supaya Jabatan Penjara Malaysia memberikan subsidi atau bantuan
perjalanan kepada ibu bapa kanak-kanak ini dan juga menyediakan tempat
penginapan kepada mereka yang datang daripada jauh. Ini adalah kerana sokongan
dan dorongan daripada ahli-ahli keluarga adalah penting untuk memberangsangkan
pemulihan penghuni-penghuni Sekolah Henry Gurney ini.
Menyedari hakikat bahawa kebanyakan ibu bapa atau penjaga tidak melawat
anak mereka yang dihantar ke Sekolah Henry Gurney, maka kerajaan telah memutuskan
untuk menjadikan lawatan sebagai satu tanggungjawab statutori ibu bapa atau
penjaga. Lantaran daripada itu, ibu bapa atau penjaga yang gagal mematuhi
mana-mana syarat yang telah dinyatakan di dalam seksyen 93(1) Akta 611, jika
disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM 5,000.00 dan Mahkamah Bagi
Kanak-Kanak boleh memerintahkan supaya jaminan dilucuthakkan. Walau
bagaimanapun, hak untuk didengar hendaklah diberikan kepada ibu bapa atau
penjaga sebelum perintah di bawah seksyen 93(1) Akta 611 boleh dibuat,
melainkan dapat dibuktikan bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu setelah
dikehendaki hadir, telah tidak berbuat demikian atau tidak ada atau tidak dapat
ditemui dalam masa yang munasabah.
d) Pemeliharaan dan Penjagaan Yang Sepatutnya Oleh
Ibu bapa atau Penjaga
Jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mendapati mana-mana kanak-kanak yang dibawa
ke hadapannya memerlukan pemeliharaan dan perlindungan, maka mahkamah antara
lain boleh memerintahkan supaya ibu bapa atau penjaganya menyempurnakan bon
untuk menjalankan pemeliharaan dan penjagaan yang sepatutnya selama suatu
tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak. Peruntukan mengenai
penyempurnaan bon ini adalah untuk memastikan kanak-kanak berkenaan bebas
daripada sebarang bentuk penderaan. Ia juga merangkumi keadaan di mana terdapat
pengabaian atau pertelingkahan antara kanak-kanak itu dengan ibu bapa atau
penjaganya. Selain itu, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak juga boleh membuat perintah
supaya kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan itu diletakkan
di bawah jagaan seseorang yang layak atau sesuai, atau membuat perintah supaya
kanak-kanak itu diletakkan di bawah jagaan seorang Pelindung atau orang lain
yang dilantik oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, atau membuat perintah meletakkan
kanak-kanak berkenaan di tempat selamat, atau bagi kanak-kanak yang tidak
mempunyai ibu bapa, mencari ibu bapa peliharaan yang didapati sesuai oleh Ketua
Pengarah Kebajikan Masyarakat bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan
kanak-kanak itu.
Apabila Mahkamah Bagi Kanak-Kanak membuat perintah seperti yang dinyatakan
di atas, beberapa arahan atau syarat sampingan boleh dibuat oleh mahkamah bagi
memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak itu. Antara arahan atau
syarat berkenaan adalah:
a) bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu
yang ditemani oleh kanak-kanak itu hendaklah menghadiri bengkel interaktif yang
dianjurkan di pusat-pusat yang ditetapkan yang ditubuhkan bagi maksud
sedemikian;
b) jika kanak-kanak itu diletakkan di suatu tempat
selamat, bahawa ibu bapa atau penjaganya hendaklah melawat kanak-kanak itu
secara tetap sebagaimana yang ditentukan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak; atau
c) jika kanak-kanak itu berada di sesuatu
institusi pendidikan, bahawa ibu bapa atau penjaganya hendaklah berunding
dengan guru atau guru besar atau pengetua kanak-kanak itu sebulan sekali.
Kesimpulan yang dapat dibuat apabila perintah-perintah seperti di atas
dikenakan teratas ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu adalah supaya
orang-orang yang sepatutnya rapat dengan kanak-kanak itu tidak menjauhkan diri
dari kanak-kanak apabila kanak-kanak tersebut dihantar ke tempat-tempat
tertentu. Kehadiran ibu bapa atau penjaga boleh menjadi perangsang kepada
kanak-kanak itu untuk meneruskan kehidupan mereka kerana kehadiran ibu bapa
atau penjaga itu menunjukkan bahawa mereka masih dihargai. Dalam kes Public
Prosecutor v Nazarudin bin Ahmad & Ors, tertuduh ketiga telah membuat
permohonan kepada mahkamah untuk ditempatkan di Penjara Taiping dan bukannya
Penjara Kajang. Menurut Yang Arif Hakim, sungguhpun mahkamah tidak mempunyai
kuasa untuk menentukan penjara manakah seseorang yang telah disabitkan dengan
kesalahan akan ditempatkan, tetapi mengambil kira faktor bahawa umur tertuduh
yang masih muda dan ahli keluarganya berada di Taiping, maka dicadangkan supaya
dia di hantar ke Penjara Taiping. Menurut Yang Arif Hakim:
Visitation and constant contact by the family are
crucial for a person of such young age serving a prison sentence. A term of
imprisonment in such a situation without constant family contacts may have the
adverse social problem of making a person of such youth and immaturity become a
hard core criminal.
Sungguhpun kes di atas melibatkan pesalah muda yang dijatuhkan hukuman
penjara tetapi mahkamah masih berpendapat lawatan dan pertemuan yang berterusan
oleh ahli keluarga adalah sangat perlu kepada pesalah muda yang sedang
menjalani hukuman penjara. Dari segi analogi, perkara yang sama juga diperlukan
apabila seseorang kanak-kanak itu dihantar ke Sekolah Henry Gurney atau Pusat
Pemulihan iaitu lawatan dan perhubungan yang berterusan dengan ahli keluarga.
Menurut Profesor Chiam Heng Keng:
The importance of imparting to children the
message that adults care and desire to be of assistance will go a long way in
reducing incidence of juvenile delinquency. Underlying every individual is the
need to be loved, accepted and to belong. This need is so strong that if it is
not possible to have this need be fulfilled in acceptable ways, the individual
will seek its gratification by hook or by crook.
Our reaction to the juvenile delinquents should
not be one of accusation. Instead, we should look for ways to restore them.
Pengenaan tanggungjawab undang-undang ini ke atas ibu bapa atau penjaga
sebenarnya adalah untuk mengelak kanak-kanak ini kembali melakukan perbuatan
jenayah apabila mereka dibebaskan kelak. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh
Profesor Abdul Hadi Zakaria, perlakuan kanak-kanak boleh diperbaiki dengan
meningkatkan hubungan mereka dengan ahli keluarga yang lain. Ini adalah perlu kerana apabila kanak-kanak
yang ditahan dibebaskan kelak mereka mungkin mengalami masalah untuk
menyesuaikan diri mereka kecuali masyarakat dapat menerima mereka. Berdasarkan
kajian yang dijalankan di pusat akhlak, hanya 35.7 peratus sahaja gadis yang
berada di pusat akhlak dilawati oleh keluarga mereka setiap bulan. Manakala
14.3 peratus yang lain dilawati sekali dalam dua hingga tiga bulan, 14.3
peratus berikutnya menerima lawatan sekali bagi setiap lima hingga lapan bulan
manakala yang lain langsung tidak dilawati sepanjang tempoh mereka berada di
pusat akhlak berkenaan.
Di samping itu, terdapat beberapa kategori pelatih yang tidak dibenarkan
menerima pelawat. Walau bagaimanapun, perhubungan dengan ahli keluarga atau
kawan masih boleh dibuat melalui surat. Berdasarkan kajian yang dijalankan,
hanya 14.3 peratus pelatih menerima sekurang-kurangnya sepucuk surat pada
setiap bulan. Manakala 48.9 peratus pelatih langsung tidak pernah menerima
surat sepanjang mereka berada di pusat akhlak. Berdasarkan temu bual yang
dijalankan, ada pelatih menyatakan bahawa ahli keluarga telah
"membuang" mereka ataupun ahli keluarga berasa bahawa tanggungjawab
mereka telah beralih kepada kerajaan apabila kanak-kanak berkenaan ditahan di
pusat akhlak. Tanggapan seumpama ini adalah salah dan harus dikikis oleh ibu
bapa atau penjaga kanak-kanak itu. Tanggungjawab terhadap kanak-kanak berkenaan
masih tidak berubah iaitu terletak di bahu ibu bapa atau penjaga. Peranan
kerajaan atau agensi-agensi yang berkenaan adalah untuk membantu memulihkan
kanak-kanak yang bermasalah dan ibu bapa atau penjaga perlu menyuntik sesuatu
yang sangat penting iaitu kasih sayang dan perhatian keluarga. Apabila
gandingan antara agensi-agensi kerajaan
dan ibu bapa atau penjaga ini berjalan dengan lancar, maka hasilnya sudah pasti
akan lebih memuaskan daripada membiarkan kanak-kanak ini tanpa kasih sayang
yang sewajarnya dari ahli keluarga.
Memandangkan bahawa tugas ini merupakan tanggungjawab undang-undang maka
kegagalan mana-mana ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu untuk mematuhi arahan
atau syarat yang telah dikenakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah satu
kesalahan dan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000.00 jika didapati bersalah.
e) Tanggungjawab Untuk Tidak Menganiaya, Mengabai,
Membuang atau Mendedahkan Kanak-kanak
Penderaan terhadap kanak-kanak sama ada dari segi fizikal, emosi atau
seksual bukanlah satu perkara yang baru di negara ini. Ada kanak-kanak yang
dirogol oleh bapa kandung, bapa tiri, datuk, abang dan sebagainya. Ada
kanak-kanak yang didera dengan pelbagai cara yang tidak pernah terfikir oleh
manusia normal - penderaan ini boleh dilakukan oleh seorang ibu bapa atau
penjaga ke atas anak-anak mereka. Lantaran itu, seksyen 31(1) Akta 611
memperuntukkan bahawa sekiranya mana-mana orang yang mempunyai tugas
pemeliharaan seorang kanak-kanak, menganiaya, mengabaikan, membuang atau
mendedahkan kanak-kanak itu atau menyebabkan atau membenarkan kanak-kanak itu
dianiaya, diabai, dibuang atau didedah hingga mungkin menyebabkan kecederaan
fizikal atau emosi atau seksual, maka orang berkenaan telah melakukan satu
kesalahan di bawah seksyen 31 Akta 611. Akta 611 juga telah memperuntukkan
bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu dianggap mengabaikan kanak-kanak
itu jika tidak menyediakan kepada kanak-kanak berkenaan makanan, pakaian,
rawatan perubatan atau pergigian, penginapan atau pemeliharaan yang mencukupi
sekiranya beliau berupaya mempersediakan perkara-perkara di atas. Jika
seseorang itu didapati bersalah di bawah seksyen 31 Akta 611, maka hukuman yang
berat boleh dikenakan iaitu denda tidak melebihi RM 10,000.00 atau penjara
tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya. Selain itu, mahkamah juga boleh
memerintahkan orang berkenaan menyempurnakan bon kelakuan baik.
f) Kanak-Kanak Digunakan Sebagai Pengemis dan
Lain-lain
Penggunaan kanak-kanak sebagai pengemis bukanlah satu fenomena yang baru
kerana di banyak tempat, terutamanya di kawasan bandar, kanak-kanak digunakan
untuk mengemis atau menjaja. Perkara yang sama juga berlaku di negara jiran di
mana kanak-kanak digunakan untuk menjaja di tepi-tepi jalan tanpa menghiraukan
bahaya yang datang. Terdapat keadaan di mana kanak-kanak telah digunakan oleh
pihak-pihak tertentu bagi memungut derma atas pelbagai tujuan. Menyedari
hakikat bahawa perlakuan ini adalah sangat berbahaya kepada keselamatan dan
kesejahteraan kanak-kanak maka satu peruntukan yang khusus telah dimasukkan di
dalam Akta 611. Seksyen 32 Akta 611 memperuntukkan bahawa mana-mana orang
termasuk ibu bapa atau penjaga yang menyebabkan atau mengakibatkan mana-mana
kanak-kanak itu mengemis atau meminta sedekah dengan cara menyanyi, bermain, membuat
persembahan atau menawarkan apa-apa untuk jualan atau menjalankan perniagaan
yang menyalahi undang-undang seperti loteri haram, perjudian atau lain-lain
aktiviti yang memudaratkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak itu adalah
melakukan kesalahan dan jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi
RM5,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau
kedua-duanya.
g) Membiarkan Kanak-Kanak Tanpa Pengawasan
Terdapat banyak kes yang mengakibatkan bencana kepada kanak-kanak yang ditinggalkan
bersendirian di rumah atau di dalam kenderaan. Pada 18 April 2001, tiga orang
kanak-kanak telah terkorban dalam satu kejadian kebakaran. Dalam kejadian ini,
kanak-kanak berkenaan ditinggalkan tanpa pengawasan oleh pengasuh. Seorang
kanak-kanak berusia lima tahun telah terbunuh apabila terjatuh daripada sebuah
pangsapuri. Kanak-kanak ini dilaporkan keluar untuk mencari ibunya tetapi
gagal. Manakala seorang kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di dalam
kenderaan bapanya telah dilarikan oleh pencuri yang cuba mencuri kereta
berkenaan. Begitu juga dengan kejadian di mana tiga orang kanak-kanak berserta
ibu mereka yang sedang sarat mengandung mati di dalam kereta kerana terhidu gas
karbon dioksida yang berlebihan. Di dalam kejadian berkenaan, bapa kanak-kanak
berkenaan telah meninggalkan anak-anaknya dan juga isteri di dalam kereta
dengan penghawa dingin yang terpasang selama beberapa jam.
Permasalahan ini cuba diratifikasikan dengan memperuntukkan bahawa ibu bapa
atau penjaga kanak-kanak yang meninggalkan kanak-kanak itu tanpa mengadakan
persediaan bagi pengawasan atau pemeliharaan yang berpatutan untuk satu tempoh
yang lama, atau meninggalkan kanak-kanak berkenaan di dalam keadaan yang tidak
berpatutan, melakukan kesalahan di bawah seksyen 33 Akta 611 dan boleh dihukum
dengan denda tidak melebihi RM5,000.00 atau di penjara selama tempoh tidak
melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Peruntukan ini lebih menjurus ke arah mengelakkan kecuaian di pihak ibu
bapa atau penjaga yang mengambil sikap kurang berhemat atau berhati-hati.
Peruntukan ini bukan hanya untuk ibu bapa atau penjaga yang meninggalkan anak
atau kanak-kanak di bawah jagaan mereka di dalam kereta tetapi juga dihujahkan
terpakai kepada mereka yang meninggalkan anak-anak tanpa penjagaan di dalam
rumah.
h) Sumbangan Oleh Ibu bapa atau Penjaga
Tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga tidak hilang hanya kerana
anak mereka telah diperintahkan supaya diletakkan di bawah jagaan orang yang layak,
atau kerana kanak-kanak berkenaan dihantar ke asrama akhlak, sekolah yang
diluluskan, Sekolah Henry Gurney, institusi atau pusat yang diluluskan atau
diletakkan di tempat perlindungan. Mengikut seksyen 108 Akta 611, Mahkamah Bagi
Kanak-Kanak yang membuat perintah seperti di atas boleh mengeluarkan satu
perintah sampingan iaitu mengarahkan ibu bapa atau penjaga membuat apa-apa
sumbangan atau sumbangan bulanan setelah mengambil kira keadaan kemampuan ibu
bapa atau penjaga. Perintah sumbangan seperti di dalam seksyen 108(1) Akta 611
juga hanya boleh dibuat setelah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak memberi peluang
kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut peluang untuk didengar.
Perintah sumbangan ini juga boleh dihapuskan, diperbaharui atau diubah jika
permohonan telah dibuat oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan,
Pelindung atau pegawai akhlak. Sesuatu perintah sumbangan yang telah dibuat
oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah berkuatkuasa selama kanak-kanak itu
berada di bawah pemeliharaan seseorang yang layak. Bagi kanak-kanak yang berada
di institusi yang diluluskan atau Sekolah Henry Gurney, perintah sumbangan ini
akan terus berkuatkuasa sehingga kanak-kanak itu tidak lagi berada di bawah
pemeliharaan orang yang sedang menjaga tempat perlindungan, asrama akhlak,
sekolah diluluskan, Sekolah Henry Gurney atau institusi atau pusat yang
diluluskan itu.
Apabila ibu bapa atau penjaga dengan sengaja mengengkari perintah sumbangan
ini, maka Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh dengan waran mengarahkan supaya amaun
yang tertunggak itu dilevi dengan cara yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Mahkamah Bagi Kanak-Kanak juga boleh menjatuhkan hukuman penjara sebagai
alternatif, iaitu satu bulan penjara bagi satu bulan sumbangan yang masih belum
dibayar. Walau bagaimanapun, tempoh pemenjaraan berkenaan akan tamat apabila
amaun sumbangan yang kena dibayar itu telah dijelaskan.
i) Pembayaran Pampasan Oleh Ibu bapa atau Penjaga
Jika seseorang kanak-kanak dituduh dengan kesalahan yang boleh dikenakan
denda dan pampasan atau kos atau kedua-duanya, dan mahkamah berpendapat bahawa
kes berkenaan boleh diselesaikan sebaik-baiknya dengan mengenakan kesemua atau
mana-mana penalti di atas selain daripada hukuman lain, maka mahkamah boleh
memerintahkan supaya denda yang dikenakan itu atau award pampasan atau kos itu
dibayar oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan. Walau bagaimanapun,
perintah ini tidak akan dibuat jika ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan
tidak dapat ditemui dalam masa yang munasabah ataupun mereka tidak terlibat
dalam membantu menyebabkan perlakuan kesalahan berkenaan kerana cuai dalam
memelihara kanak-kanak berkenaan dengan sewajarnya. Di dalam kes Public
Prosecutor v Saiful Afikin bin Mohd Firus, responden yang merupakan seorang
pesalah muda telah mengaku salah di atas tuduhan mematikan orang dengan salah.
Pada masa melakukan kesalahan berkenaan beliau berumur 16 tahun. Mahkamah
Juvana yang mendengar kes berkenaan telah membuat beberapa perintah dan
antaranya adalah supaya penjaga beliau membayar sebanyak RM 1,500.00 kepada
keluarga mangsa sebagai pampasan. Seksyen 13 Akta Mahkamah Juvana
memperuntukkan bahawa apabila mahkamah mendapati bahawa kesalahan terhadap
kanak-kanak itu adalah terbukti, mahkamah boleh membuat beberapa arahan yang
termasuk memerintahkan ibu bapa atau penjaga membayar pampasan. Sebelum ibu
bapa atau penjaga diarahkan untuk membayar pampasan, hak untuk didengar
hendaklah diberikan. Walau bagaimanapun, di dalam kes ini, ibu kanak-kanak
berkenaan tidak ditanya tentang pembayaran pampasan ini. Mahkamah Tinggi
memutuskan bahawa Mahkamah Juvana telah melakukan satu kesilapan yang serius
dan menjadikan arahan tersebut tidak sah.
Jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mendapati kesalahan terhadap kanak-kanak
berkenaan telah terbukti atau kanak-kanak itu mengakui fakta yang mewujudkan
kesalahan, maka mahkamah boleh membuat perintah yang mengehendaki ibu bapa atau
penjaga kanak-kanak berkenaan membayar pampasan atau kos atau memberi jaminan
bagi kelakuan baik kanak-kanak berkenaan. Apabila ibu bapa atau penjaga memberi
jaminan berkelakuan baik bagi seorang kanak-kanak, maka salah satu syarat di dalam
seksyen 93(1) Akta 611 boleh dikenakan
ke atas ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan. Kegagalan ibu bapa atau
penjaga kanak-kanak berkenaan mematuhi syarat-syarat jaminan tersebut boleh
menyebabkan jaminan yang diberikan itu dilucuthakkan.
Kesimpulan
Apa yang jelas daripada peruntukan-peruntukan yang telah dibincangkan di
atas adalah bahawa tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga kanak-kanak
tidak akan terlepas jika kanak-kanak di bawah jagaan mereka terlibat dengan
sebarang perlakuan jenayah. Kini ibu bapa atau penjaga diajak bersama-sama
untuk membantu menangani masalah sosial yang dialami oleh kanak-kanak di bawah
jagaan mereka. Adalah tidak adil kepada semua pihak jika ibu bapa atau penjaga
kanak-kanak itu bersikap "lepas tangan" selepas anak mereka didapati
melakukan sesuatu kesalahan. Pada masa yang sama, ibu bapa atau penjaga juga
harus menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepada mereka dengan sebaik
mungkin dan mengelak daripada sebarang perbuatan penderaan, pengabaian dan
kecuaian yang boleh mengakibatkan penderitaan sama ada dari segi fizikal atau
emosi kepada kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Pengenaan tugas dan
tanggungjawab melalui undang-undang ke atas ibu bapa atau penjaga kanak-kanak
merupakan satu kaedah untuk memastikan kanak-kanak yang telah terlibat dengan
jenayah atau yang menjadi mangsa deraan tidak terus hanyut dan menderita. Walau
bagaimanapun, menuding jari semata-mata tidak akan membantu, sebaliknya semua
pihak harus bekerjasama bagi mengatasi segala masalah yang berkaitan dengan
kanak-kanak. Tujuan dan matlamatnya adalah jelas iaitu supaya kanak-kanak di
negara ini dapat hidup di dalam keadaan yang sempurna dan sejahtera.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti
Undang-Undang, Universiti Malaya.
Sumber :
http://www.commonlii.org/my/journals/JMCL/2005/6