Hari itu hari ketiga Bengkel JUJ diadakan….Oleh sebab perbincangan
hari Khamis malam Jumaat berakhir agak lewat, aku mengambil keputusan untuk
tidur sahaja di hotel. Pilihan yang terakhir kerana tidur di rumah lebih selesa. Lagipun jarak
antara rumahku dengan tempat mesyuarat di Bukit Gambang Resort itu, tidaklah terlalu jauh..
Malam tersebut, aku tidur sendirian kerana tiga orang rakan sebilik yang lain, tidur di
rumah masing-masing.
Pagi hari kejadian, aku bangkit dari tidur kira-kira pukul 6.00 pagi….Selesai solat subuh, aku sempat membuka komputer ribaku untuk menyemak soalan dan skema yang telah kami siapkan buat kali terakhir, sebelum memuatkannya ke dalam cakera padat yang dibekalkan oleh pihak urus setia. Soalan dan skema sebahagiannya telahpun aku cetak pada malam tadi – sebelum aku pulang ke bilik penginapan
Kira-kira jam 7.30 pagi, aku menamatkan tugasku
mengedit soalan, lantas aku bergegas ke
bilik air. Seperti biasa , aku mulakan rutin harianku dengan menggosok gigi.
Seterusnya aku ke bahagian pancuran air
untuk mandi…Seusai mandi, perkara yang tidak kujangka berlaku. Permukaan lantai
yang licin itu menyebabkan aku hilang
kawalan. Aku jatuh ke belakang. Kepalaku terbentos ke lantai. Pandanganku gelap seketika.
Kalimat “tasbih, tahmid, tahlil dan takbir” aku
lafazkan berulang kali apabila aku mampu bangkit daripada tempat aku jatuh. Aku
lantas merangkak dengan memaut singki bilik air. Walaupun begitu, pada peringkat awal , aku seakan-akan hilang
perimbangan. Syukur alhamdulillah, akhirnya aku mampu bangkit seperti sediakala.
Aku cuba melihat wajahku di cermin dan seterusnya segera keluar dari bilik air
untuk bersiap kerana waktu mesyuarat
akan bermula tepat 8.00 pagi.
Sakit pada bahagian belakang kepalaku kian
terasa, namun aku cuba menahannya kerana
tiada siapa yang ada di bilik untuk kuminta pertolongan. Dalam keadaan kalut
begitu, tiba-tiba aku menerima panggilan daripada Cikgu Asmui yang telahpun sampai di Dewan
Mesyuarat. Aku segera mengadu kepadanya hal yang menimpaku. Cikgu Asmui bergegas datang mendapatkanku. Secara
kebetulan pula, Cikgu Nazir baru sampai. Justeru, setelah mendapat kebenaran
urus setia, aku dikejarkan ke klinik berdekatan (Klinik Gambng) untuk
mendapatkan pemeriksaan doktor serta rawatan susulan. Malangnya, tiada doktor
yang bertugas pagi itu. Yang ada hanya pembantu perubatan. Ramai pula pesakit yang menunggu untuk dirawat sedangkan
aku mendapat giliran ke-17.
Beberapa lama menunggu, tiba-tiba Cikgu Asmui
menerima panggilan daripada Zulhafnie @ Bob (Pegawai Yayasan Pahang) yang menawarkan
diri untuk membawaku ke bandar bagi mendapatkan pemeriksaan doktor di klinik swasta. Aku dibawa ke Klinik
Philips di Taman Tas. Kebetulan pula, Datuk Dr K. Kunaraj bertugas pada pagi
itu. Setelah membuat pemeriksaan, Doktor
Kunaraj menyarankan agar aku mendapat rawatan susulan di Hospital Besar
Kuantan.
Bob bagaimanapun membawaku ke Darul Makmur
Medical Centre (DMMC) , hospital pakar yang baru beroperasai untuk aku mendapat rawatan susulan. Sesampai
di hospital tersebut, kami disambut oleh seorang doktor berbangsa India.
Berdasarkan surat rujukan daripada Datuk
Dr Kunaraj yang kami bawa, Doktor tersebut menyarankan agar
aku menjalani CT Scan untuk memastikan tidak berlaku pendarahan dalaman.
Aku dibawa ke bilik
pengimejan menaiki kerusi roda.
Proses CT Scan mengambil masa hampir 30
minit. Imej kepalaku kelihatan daripada pelbagai sudut.
Alhamdulillah, berdasarkan pemerhatian awal, doktor memberitahuku bahawa tidak ada pendarahan dalaman dikesan.
Oleh sebab tidak terdapat sebarang simptom seperti muntah-muntah berlaku, aku dibenarkan
pulang untuk berehat di rumah. Namun
begitu, aku masih tidak boleh bersenang hati kerana laporan pemerhatian sebenar hanya akan
diberikan oleh Doktor Pakar Radiologi pada hari Isnin .
Walau bagaimanapun, aku amat terharu dengan
layanan mesra yang diberikan oleh kakitangan hospital berkenaan
sepanjang aku menerima rawatan. Terima
Kasih tidak terhingga kepada pihak urus setia, khususnya Encik
Mohamad Mat Lihim dan pihak Yayasan Pahang yang menanggung sepenuhnya kos rawatan
sepanjang aku berada di hospital. Juga rakan-rakan yang meneruskan tugas-tugas
akhir menyiapkan bahan JUJ Bahasa Melayu
1 sehingga selesai Terima Kasih!!