Oleh : DR AMINUDIN MANSOR
Fitnah atau kata mengata dalam
ceramah politik sudah menjadi perkara biasa menjelang Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13). Tiada siapa dapat menyangkalnya.
Bagi mengelakkan fitnah dalam
ceramah dan perhimpunan seseorang ahli politik mestilah menggunakan akal budi
dan mata hati dalam menyampaikan ceramah kepada rakyat terbanyak. Bagi yang
mendengar tinggalkan sahaja ceramah tersebut.
Kebanyakan penceramah akan
menyentuh soal peribadi calon yang akan bertanding.
Fitnah menjadi senjata
terakhirnya. Penawar bagi hati adalah kesabaran bagi yang kena fitnah. Justeru,
pandangan tentang fitnah ada yang mengatakan daripada susah payah mempergunakan
waktu bagi memfitnah orang lain, jauh lebih baik mempergunakan waktu bagi diri
sendiri.
Oleh sebab itu, Nabi SAW pernah
mengingatkan, fitnah lebih kejam daripada pembunuhan.
Oleh hal yang demikian elakkan
daripada melakukan fitnah, dan tolak calon yang suka memfitnah dalam PRU13.
Fitnah itu adalah tuduhan liar, khabar yang tidak benar, kisah yang
diada-adakan atau dibuat-buat untuk memburukkan atau membencanakan seseorang.
Dalam hal ini, semua petugas
parti, pemimpin politik dan juga calon yang bertanding dalam PRU13 seharusnya
mengawal lidah dan percakapan agar tidak terjerumus dalam perbuatan memfitnah.
Justeru, bagi menabur fitnah,
orang tidak memerlukan wang, akhlak dan pengetahuan. Ini disebabkan fitnah
hanya memerlukan percakapan mengikut perasaan yang juga terdapat di media baru
di Facebook, Twitter dan Blog serta pelbagai saluran lain.
Fitnah merosak tiga jenis
manusia, iaitu yang mengucapkan, yang mendengarkan dan yang difitnah.
Dikatakan juga, orang yang suka
memfitnah mempunyai syaitan di lidahnya dan orang yang suka mendengarkan fitnah
mempunyai syaitan di telinganya. Jelaslah dengan fitnah seseorang itu tidak
akan berkurang, dengan pujian seseorang itu tidak akan bertambah kebaikannya.
Mengamalkan politik budiman
sangat digalakkan. Justeru, semua pihak sama ada Barisan Nasional (BN) dan juga
pembangkang wajar mengamalkannya bagi mengelakkan sebarang unsur fitnah
memfitnah yang boleh merosakkan dan memecahbelahkan ummah dan menjadi ikutan
rakyat di bawah.
Amanat pemimpin yang baik wajar
diikuti dan dipatuhi demi menjaga kedamaian dan kesejahteraan dalam kehidupan
ummah. Sebagai pengikut parti dan pekerja parti seruan dan saranan ini patut
dipatuhi sebagai etika dalam berkempen dan bekerja menjelang PRU13.
Ingatan imam al-Ghazali perlu
dijadikan pedoman. Menurutnya, moral rakyat akan menjadi buruk disebabkan
merosotnya peri kehidupan dalam kalangan pemimpin atau penguasa dan lemahnya
akhlak para pemimpin agama, sedangkan para ulama menjual hati nuraninya demi
harta dan kekuasaan.
Sikap keterbukaan pemimpin dalam menghadapi PRU13 wajar ditunjukkan kepada
rakyat. Banyak lagi isu seperti isu pendidikan, sejarah, ekonomi, budaya dan
sosial patut diketengahkan secara kritis dalam ceramah politik.
Ceramah yang membina tentang bidang-bidang
ini akan dapat diterima oleh semua pengundi. Rakyat bukan mahu semuanya
percuma, kadang-kadang rakyat sanggup membayar untuk mendapatkan perkhidmatan
yang terbaik seperti pendidikan dan kesihatan.
Penceramah yang budiman akan
sentiasa mengetengahkan perkara-perkara yang menjadi misi dan visinya dalam
politik masa depan. Inilah yang ditunggu-tunggu oleh semua pengundi dan rakyat
di peringkat akar umbi untuk kehidupan masa depan lebih baik.
Adalah lebih baik menghulur salam
dan memberikan senyuman kepada rakyat jelata.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Orang yang bahagia adalah yang dijauhkan daripada fitnah-fitnah dan orang yang
apabila terkena ujian dan cubaan dia bersabar.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).
Kebahagiaan seseorang pemimpin
terserlah apabila dia tidak memfitnah orang lain dan tidak menyentuh isu-isu
berkaitan dengan peribadi seseorang. Gaya bahasanya indah dan lunak didengar,
akhlak dan moralnya sentiasa terpuji. Bagaimanapun, seseorang pemimpin yang
sabar dan tabah menghadapi ujian dan cubaan fitnah, khususnya dalam PRU13
betul-betul diuji kehebatan dan daya kepimpinannya. Dia bagai permata semakin
digilap semakin bercahaya.
* Penulis pengamal media dan bekas pendidik
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/