|
Anggota tentera bersiap ke
Kampung Tanduo untuk menghadapi
penceroboh yang berkubu di kampung itu, hari
ini. - Foto Bernama
|
2 komando, 12 anggota penceroboh maut
LAHAD DATU - Dua anggota
komando Polis Diraja Malaysia terkorban manakala 12 penceroboh bersenjata dari
selatan Filipina maut dalam insiden tembakan membabitkan kedua-dua pihak di
Kampung Tanduo di sini hari ini.
Kejadian kira-kira jam 10 pagi
itu turut menyebabkan tiga lagi anggota pasukan keselamatan cedera, kata polis.
Kesemua 12 penceroboh rakyat
asing yang terbunuh itu adalah antara 180 pengikut 'Sultan Sulu' yang dikepung
pasukan keselamatan di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo.
Mereka cuba keluar daripada
kepungan pasukan keselamatan dan mula melepaskan tembakan apabila terserempak
dengan anggota keselamatan yang sedang berkawal, kata Pasuruhjaya Polis Sabah
Datuk Hamza Taib.
Bercakap pada sidang akhbar di
sini, beliau berkata insiden tembakan antara pasukan keselamatan dan kumpulan
penceroboh itu berlanjutan selama 20 minit.
Menceritakan semula kejadian itu,
Hamza berkata kumpulan penceroboh rakyat asing yang terlebih dahulu melepaskan
tembakan ke arah pasukan keselamatan Malaysia.
"Pihak komando polis
terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan berlaku pertempuran
antara kedua pihak," kata Hamza.
Hamza berkata, turut ditemui pada
kumpulan kecil penceroboh itu ialah beberapa laras senjata api antaranya M16,
pistol dan rifel SLR, peluru dan beg-beg pakaian.
Beliau berkata, polis kini
mengepung Kampung Tanduo, yang masih diduduki sebahagian anggota kumpulan itu,
dan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan semakin diperketatkan.
"Polis telah mengawal segala
laluan dan sukar untuk pihak penceroboh untuk keluar atau masuk ke kawasan
kampung berkenaan," katanya.
Nafi laporan penceroboh serah
diri
Hamza turut menafikan laporan
termasuk yang disiar laman sosial dan agensi berita asing bahawa terdapat
anggota kumpulan penceroboh itu menyerah diri dan melarikan diri melalui jalan
laut.
Dalam pada itu, Hamza turut
menegaskan bahawa polis tidak mengeluarkan sebarang arahan perintah berkurung
di Lahad Datu ekoran insiden itu.
"Saya diberi kuasa untuk
melaksanakan perintah itu dan tiada sebarang perintah itu dikeluarkan seperti
yang dilaporkan," katanya sambil memberitahu bahawa keadaan di Kampung
Tanduo kini terkawal dan tenang.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak dilaporkan berkata beliau telah memberi mandat kepada ketua polis
negara dan panglima angkatan tentera untuk mengambil sebarang tindakan terhadap
kumpulan penceroboh bersenjata itu dan tiada kompromi lagi.
Najib juga dilaporkan berkata
kumpulan penceroboh itu sepatutnya menerima tawaran menyerah diri dan keluar
daripada kawasan itu secepat mungkin.
Sementara itu, mayat kedua
anggota polis yang terkorban itu dibawa ke Hospital Lahad Datu. Dua anggota
polis yang cedera pula diterbangkan ke hospital yang sama untuk dirawat
manakala seorang lagi diterbangkan ke sebuah hospital di Sandakan.
Pasukan keselamatan mula
mengepung Kampung Tanduo pada 11 Februari apabila kira-kira 150 lelaki
berpakaian ala tentera dan bersenjata menaiki bot pancung menceroboh ke kawasan
itu pada 9 Februari dan menjadikan beberapa premis termasuk rumah dan surau di
kampung berkenaan sebagai pangkalan mereka.
Kampung Tanduo yang diduduki
kumpulan itu terletak di kawasan terpencil, kira-kira 130 kilometer dari Lahad
Datu.
Kumpulan itu yang didakwa
diketuai Agbimuddin Kiram mendakwa mereka adalah tentera 'Raja Sulu' dan
menuntut Malaysia mengiktiraf Sabah sebagai milik Kesultanan Sulu.
Sejak itu, Malaysia mengadakan
beberapa siri rundingan dan menetapkan 22 Februari lepas sebagai tarikh akhir untuk pengusiran
mereka.
Bagaimanapun Malaysia melanjutkan
lagi tempoh pengusiran mereka kepada 26 Februari sementara menunggu sebuah
kapal tentera Filipina tiba untuk membawa kumpulan penceroboh itu pulang ke
tanah air mereka.
Isnin lepas, Hamza berkata, polis
akan bertindak berlandaskan undang-undang negara selepas mengambil kira
pelbagai faktor bagi merungkai isu pencerobohan rakyat Filipina itu.
Hamza menegaskan pihaknya akan
menggunakan undang-undang negara untuk mendakwa mereka yang kini dalam kepungan
pihak keselamatan bagi memastikan tiada yang terlepas keluar dan tiada orang
yang tidak berkenaan memasuki kawasan itu.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
INFO :
Kronologi Pencerobohan
Kumpulan Bersenjata Dari Selatan Filipina :
9 Feb - Kumpulan penceroboh
memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara
berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.
11 Feb - Sebahagian daripada
anggota kumpulan itu dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam dan
nelayan tersebut membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala
tentera dan bersenjata api berkampung di Kampung Tandou.
12 Feb - Kumpulan itu dikenal
pasti berpecah di beberapa lokasi di kampung itu iaitu di kawasan sungai bakau
kampung itu, sebuah surau di kampung itu dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali
Mad bon.
14 Feb - Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik
termasuk melalui perundingan, bagi menangani isu pencerobohan tersebut sebelum
mengusir mereka keluar dari kawasan itu.
14 Feb - Ketua Polis Negara, Tan
Sri Ismail Omar berkata polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang
mendarat di pesisir pantai Lahad Datu,
Sabah sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina. Ismail berkata kumpulan
terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan
mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal.
14 Feb - Laporan memetik salah
seorang anggota tentera Filipina yang merupakan pengikut setia Raja Muda Sulu,
Raja Muda Azzimudie Kiram sebagai berkata kedatangan kumpulan tersebut selepas
mendapat jemputan pihak pembangkang untuk membincangkan isu tanah di Sabah.
16 Feb - Menteri Dalam Negeri
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kumpulan tersebut bukan
kumpulan militan atau pengganas sebaliknya penyokong kuat 'Kesultanan Sulu' dan
menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalah terkawal. Kumpulan itu yang mahu
dikenali sebagai 'Askar Diraja Kesultanan Sulu' antara lain menuntut Sabah
dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu, kerana sebelum ia diambil British ia
di bawah kerajaan Sulu.
18 Feb - Hishammuddin berkata,
kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasa bekerja rapat dalam menyelesaikan
konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukan secara diplomasi tanpa sebarang
pertumpahan darah.
24 Feb - Kerajaan Filipina
menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan
180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah
sejak 12 Februari lalu.
26 Feb - Tempoh pengusiran mereka
tamat namun rundingan masih dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu.
28 Feb - Kerajaan Malaysia digesa
mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di Manila
untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang
berlanjutan selama lebih tiga minggu. Gesaan tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul,
Agbimuddin Kiram yangmenegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180
'tentera diraja' meninggalkan Felda Sahabat 17, Lahad Datu.
1 Mac - Pertempuran tercetus
antara pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh ketika
kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo,
menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera.
Dua belas penceroboh bersenjata terbunuh.-Bernama