Oleh : Imlan Adabi
Lelaki yang berbadan kecil dan
kelihatan serius itu lebih mesra dipanggil ustaz. Ramai pelajar mengakui Dr
Muhammad Uthman El-Muhammady bukan sekadar ulama, pensyarah atau guru. Malah,
ada yang menggelarnya ‘ayah’ kerana tidak jemu memberi nasihat dan galakan
kepada insan yang lebih muda.
Pengalaman menjadi pelajarnya
adalah detik yang menyenangkan. Uthman ‘mewajibkan’ pelajar lelaki berada di
barisan hadapan dalam kelasnya dan wanita di belakang.
Ketika ditanya, beliau hanya
menyatakan lelaki berada di saf hadapan ketika solat dan wanita di belakang.
Secara berjenaka, Uthman
menyatakan ‘bahaya’ lelaki berada di belakang wanita kerana mata dan akal
mereka sukar fokus.
“Lelaki mempunyai akal yang
lebih, tapi kerap disalahgunakan,” tutur Uthman sinis.
Beberapa bulan lalu kami bertemu
pada majlis kesyukuran di kediaman seorang ahli korporat kelahiran Kelantan.
Uthman kelihatan pucat dan kurang bermaya tapi tetap mesra seperti tiga dekad
lalu.
Penulis beberapa kali menelefon
Uthman ketika isu kalimah Allah begitu hangat diperkatakan. Penulis yakin
beliau tokoh berwibawa dan boleh memberi pandangan mengenai sejarah penggunaan
kalimah Allah dalam Bible dan kesannya terhadap tamadun ummah.
Pengalaman Uthman sebagai ulama
besar dan pernah mengiringi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke
Vatican menjadi kelayakan beliau mengulas isu kalimah Allah.
Malangnya, panggilan telefon
tidak berjawab dan penulis tidak menduga kesihatan beliau semakin terjejas.
Beberapa tahun lalu kami pernah
terserempak di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubur, Kelantan dan sempat minum
bersama. Uthman seorang yang kuat ingatan dan masih kenal pelajarnya walaupun tiga
dekad berlalu.
Apabila menerima perkhabaran
pemergian beliau pada 25 Mac lalu, tiada kata-kata yang dapat diucapkan selain
al-Fatihah dan mengenang semula seorang ustaz yang dihormati ramai.
Tokoh Maal Hijrah 2005 ini
meninggal dunia di kediamannya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan
Ketamadunan (ISTAC) pada jam 7.30 malam akibat sakit jantung.
Beliau meninggalkan balu Mariam
Hussain, 65, dan 11 anak iaitu tujuh perempuan dan empat lelaki, berumur antara
20-an dan 40-an serta lebih 40 cucu.
Pemikir Islam tanah air
Uthman adalah pemikir Islam tanah
air, dilantik Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sejak 1995
hingga 2008, sebelum dilantik semula hingga 2010.
Allahyarham juga Felo Amat Utama
Akademik ISTAC UIA dan anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Karyawan, juga
pensyarah sambilan peringkat ijazah sarjana dalam perbandingan agama di
Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Beliau dilahirkan di Kampung
Telok, Panji, Kota Bharu pada 1 Februari 1943. Mendapat pendidikan awal di
sekolah Melayu, sebelum Special Malay Class pada 1943 di Sekolah Sultan Ismail,
yang kemudian menjadi Maktab Sultan Ismail, atau Sultan Ismail College hingga
ke Tingkatan 5. Beliau kemudian mengambil Higher School Certificate (HSC) di
Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar Kedah. Pada 1963, beliau menuntut di
Universiti Malaya (UM) dan mendapat sarjana muda dalam Pengajian Islam pada
1966. Kemudian beliau menjadi tutor dan mendapat sarjana pada 1969.
Beliau terus mengajar di Jabatan
Pengajian Islam UM hingga 1973 apabila kembali ke Kelantan untuk menumpu masa
sebagai penulis dan pendakwah bebas. Pada 1995, beliau dikurniakan Ijazah
Doktor Persuratan Kehormat (D. Litt.) oleh Universiti Sains Malaysia (USM)
kerana usaha dan penulisannya dalam pemikiran Islam dan dakwah.
Minat kajian beliau adalah di
dalam bidang ilmu Islam dan falsafah Barat. Tidak hairanlah pelajar yang
mengkaji sejarah tamadun Barat akan merujuk kepada Uthman apabila timbul isu
mengenai peradaban dan krisis pemikiran Barat-Islam.
Antara karya beliau yang menjadi
rujukan adalah Al-Quranul-Karim, terjemahan dan Huraian Maksud terjemahan dan
huraian tambahan atas tafsir Inggeris oleh Abdullah Yusuf Ali (Dewan Bahasa dan
Pustaka), Fathul Mu’in, terjemahan dan Huraian Maksud (Majlis Ugama Islam
Negeri Kelantan), Peradaban dalam Islam (Pustaka Aman Press, Kota Bharu) dan
Memahami Islam (Pustaka Aman Press, Kota Bharu).
Pemergian beliau kehilangan besar
bidang akademik dan kesarjanaan Islam. Bagi bekas pelajarnya, beliau guru yang
kritikal menganalisis sejarah Islam. Uthman menempelak buku sejarah yang
menuduh pengasas Bani Umaiyah, Muawiyah Abu Sufyan (602-680) sebagai penipu
sedangkan tokoh Islam berkenaan adalah sahabat Nabi Muhammad yang sudah
dijanjikan syurga. “Mustahil seseorang ahli syurga menipu untuk mendapat
jawatan khalifah!” tegas Uthman.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/