Sabtu, 30 Mac 2013

ISU JENAYAH : JSJK kurangkan mangsa jenayah siber


Oleh : ILAH HAFIZ AZIZ

TIADA siapa mampu menyangkal teknologi dan kemajuan Internet hari ini memberi kemudahan kepada semua pihak.

Bagaimanapun bagi pihak tidak bertanggungjawab, teknologi itu menjadi alat efektif untuk melakukan jenayah penipuan.

Maka sebab itulah, jenayah siber kini muncul sebagai cabaran yang paling sukar untuk ditangani oleh pihak berkuasa di seluruh dunia di abad ini termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Malah nilai kerugian direkodkan pula oleh mangsa bukanlah kecil tetapi boleh mencecah sehingga berbilion ringgit.

Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM, sebanyak RM1.6 bilion kerugian akibat jenayah siber dicatatkan di Malaysia pada tahun lalu, iaitu peningkatan daripada 1.1 bilion pada tahun sebelumnya.

Perkara berkenaan diakui Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan yang berkata, populariti Internet menjadi penyumbang besar berlakunya jenayah siber di negara ini berikutan kemudahan dan kemajuan yang dicapai Malaysia pada hari ini.

"Jenayah siber berlaku di seluruh dunia dan di Malaysia, jenayah seperti ini semakin rancak berikutan kemudahan dan infrastruktur yang baik menyebabkan banyak sindiket menyasarkan kita.

"Malah rakyat juga semakin menerima kehadiran teknologi dan Internet kini menjadi sebahagian keperluan yang melengkapi kehidupan mereka," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Syed Ismail berkata, warga daripada benua Afrika dikesan cenderung terlibat dalam jenayah itu dan modus operandi mereka juga sama, iaitu datang ke Malaysia atas tiket pelajar tetapi menjalankan penipuan dalam talian.

"Gerak kerja warga asing ini juga sama iaitu menyasarkan penduduk negara atau luar negara menyalurkan wang dalam jumlah yang banyak dengan menggunakan identiti individu yang tidak wujud. Kes-kes sebegini walaupun kerap kali dilaporkan namun masih tiada kesudahan hingga kini," jelasnya.

Kata Syed Ismail, selain jenayah membabitkan Internet, warga Afrika dikesan turut aktif melakukan pelbagai jenayah lain seperti pemalsuan wang, penipuan, sindiket bungkusan serta cakera video digital (DVD) haram di negara ini.

Perangkaan pada 2012 menyaksikan sebanyak 434 warga Afrika ditahan JSJK dan daripada jumlah itu, warga Nigeria mendominasi tangkapan iaitu 378 orang.

Selebihnya adalah dari beberapa buah negara Afrika Selatan, Cameroon, Sudan, Congo, Ghana, Guinea, Uganda, Sudan, Somalia, Zambia, Liberia dan Tanzania.

Sepanjang hampir 3 bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 61 orang ditahan dengan 50 daripadanya warga Nigeria manakala bakinya Guinea (4), Afrika Selatan (2), dan masing-masing satu dari Nigeria, Congo, Ghana, Zambia dan Liberia.

"Kita sentiasa melakukan pelbagai usaha untuk memerangi jenayah penipuan yang dilakukan warga Afrika kerana kita tidak boleh menyekat kemasukan mereka ke dalam negara ini sebagai pelajar.

"Ini kerana dasar kerajaan Malaysia adalah untuk menjadikan negara ini sebagai satu hab pengajian terkemuka. Kita tidak boleh menentang usaha dan dasar kerajaan kerana kelebihan yang diperolehi akan dinikmati oleh semua rakyat negara.

"Tetapi kita juga harus sedar kemudahan itu ternyata diambil kesempatan oleh warga asing untuk melakukan pelbagai aktiviti penipuan sekali gus menjejaskan banyak pihak," katanya.

Dalam usaha memerangi jenayah siber ini, Syed Ismail berkata, JSJK sentiasa memastikan anggota dan pegawai mereka bersiap-sedia sepenuhnya dalam menempuh cabaran semasa terutama sekali berkaitan perkembangan teknologi.

"Dengan kepantasan teknologi dan kemampuan setiap manusia untuk melangkaui pemikiran satu-sama lain, JSJK perlu bergerak bukan sahaja seiringan tetapi beberapa langkah ke hadapan bagi memastikan jenayah siber ini boleh diatasi.

"Oleh sebab itu, kita sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi dan institusi profesional yang akan membantu meningkatkan ilmu pengetahuan setiap anggota dan pegawai JSJK, terutama sekali ketika menjalankan siasatan," katanya.

Tambah beliau, pegawai JSJK yang berkebolehan dan memiliki integriti mampu meningkatkan perkhidmatan dalam penyiasatan kes.

"Apa yang kita mahu adalah setiap elemen jenayah dikenal pasti dan siasatan dipercepatkan supaya setiap pertuduhan di mahkamah akan dapat ditingkatkan.

"Oleh sebab itu juga, kita memilih pegawai-pegawai yang mempunyai pelbagai latar belakang pengajian bersesuaian sebagai nilai tambah dalam pasukan. JSJK kini mempunyai pegawai berkelulusan dalam perbankan, perakaunan, jenayah komputer dan pelbagai lagi," ujarnya.

Ditanya tentang harapan JSJK sempena sambutan Hari Polis yang disambut kali ke-206 ini, Syed Ismail memberitahu, pihaknya berharap aduan (mangsa) jenayah komersial akan berkurangan dari semasa ke semasa.

Ini berikutan, berbanding 2011, jumlah kes pada tahun lalu berkurangan sebanyak 36.21 peratus dan sebanyak 6,657 individu telah didakwa.

"Tahun lepas, kami menerima sebanyak 22,033 aduan tetapi berkurangan kepada 18,381 pada 2012. Ini ternyata membanggakan kita malah kita telah melepasi 10 peratus daripada sasaran pengurangan jenayah siber yang ditetapkan PDRM.

"Kami gembira jika orang ramai kurang membuat aduan sekali gus jenayah komersial turut berkurangan," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU JENAYAH : JSJN komited menggempur jenayah dadah


Oleh : Norhidayu Hassan

SEPERTI jabatan-jabatan lain dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) juga mempunyai misi dan visi - menggempur jenayah dadah dan memeranginya sebagai musuh negara.

Dalam era perubahan zaman, JSJN tidak ketinggalan bergelut dengan jenayah dadah yang semakin canggih dengan peralatan digunakan, berbahaya (pemilikan senjata api malah bom) dan kompleks menerusi modus operandi (MO) yang sentiasa bertukar-tukar.

Walaupun kerap kali mendengar kejayaan demi kejayaan JSJN menumpaskan sindiket tempatan dan antarabangsa serta rampasan dadah bernilai jutaan ringgit namun untuk menggempur sindiket itu secara habis-habisan bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

Hal ini diakui Pengarah JSJN, Datuk Mohd. Noor Rashid Ibrahim yang berpendapat PDRM hampir tidak mungkin menghapuskan jenayah dadah 100 peratus, masalah sama dihadapi negara-negara lain di seluruh dunia.

Ini kerana pasukan itu berhadapan dengan pelbagai taktik atau MO baru sindiket yang sentiasa mencari jalan agar tidak dikesan pihak berkuasa tidak kira melalui udara, perairan mahupun darat.

Ini termasuklah penyeludupan menerusi sempadan negara yang luas selain penghantaran menggunakan kurier dan juga 'keldai' dadah.

"Dasar negara yang liberal dan berdiplomasi dengan negara luar juga menjadi pendorong warga asing seperti Pakistan, Iran, Nigeria dan beberapa negara lain mengambil kesempatan untuk menyeludup masuk atau keluar dadah di negara ini.

"Sindiket-sindiket yang masuk melalui ruang perniagaan, pendidikan dan pelancongan kerap mengambil kesempatan atas dasar negara kita sehingga wujud persepsi negara ini adalah transit pengedaran dan penyeludupan barang terlarang itu," katanya kepada Utusan Malaysia sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-206 di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini.

Beliau berkata, perkara itu turut didorong oleh harga dadah yang melambung di negara ini ekoran kesukaran untuk penagih mendapatkannya yang disebabkan operasi besar-besaran dijalankan pihak berkuasa.

Hal itu menyebabkan ramai termasuk dalam kalangan warga asing yang sanggup mengambil risiko walaupun mengetahui harus berhadapan dengan hukuman mati.

"JSJN akan meningkatkan pengawalan dan pemantauan laluan yang dikenal pasti termasuk meningkatkan kerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang diakui semakin hebat menumpaskan jenayah ini bersama-sama," ujar beliau.

Menurut Mohd. Noor Rashid, berdasarkan statistik dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, JSJN telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM30.67 juta dan menahan sebanyak 30,297 orang atas pelbagai kesalahan jenayah narkotik.

"Jumlah itu bagaimanapun adalah lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas iaitu RM52.79 juta," ujarnya.

Kejayaan itu, ujar Mohd. Noor Rashid, tidak terhad kepada menumpaskan sindiket antarabangsa namun juga tempatan dengan yang terbaharu membongkar enam buah makmal haram di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri baru-baru ini.

Antaranya, merampas dadah berjumlah 74.98 kilogram dalam bentuk kristal dan 48.8 kilogram dadah serbuk bernilai keseluruhannya RM15 juta dalam serbuan Ops Lilac di enam lokasi di Kota Kinabalu. Dalam serbuan itu, polis menangkap sembilan lelaki tempatan serta tiga lelaki warga Hong Kong.

Pada 22 Februari lalu pula, polis melancarkan satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama di sini dan merampas 4.2 kilogram cecair disyaki syabu, 5.2 kilogram dadah ketamin, 30.33 kilogram pil ekstasi dan 3,500 biji dipercayai pil Eramin 5 yang keseluruhannya bernilai RM1.4 juta.

Malahan baru-baru ini juga, polis melancarkan gerakan yang menyasarkan sindiket warga asing yang beroperasi di ibu negara dan menahan lapan lelaki warga Nigeria dan Mongolia dan merampas 6.7 kilogram dadah bernilai RM1.38 juta.

Hasil kajian JSJN, ujar Mohd. Noor Rashid, pengedar dari Pakistan, Iran dan India sering menjadikan Malaysia sebagai pusat transit malah tangkapan warga India turut meningkat berbanding Nigeria dan Iran.

"Kalau kita kaji trend tahun ini tangkapan rakyat Nigeria menurun secara mendadak. Kebanyakan jenis dadah yang diseludup masuk ke Malaysia datangnya dari warga Pakistan yang membawa heroin, Iran (syabu) dan India (ketamin)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya sindiket dari Nigeria cenderung bekerjasama dengan semua negara luar antaranya China, Thailand dan Hong Kong untuk menyeludup masuk dan keluar dadah daripada Malaysia dengan menggunakan keldai dadah tempatan.

Jelasnya, sindiket dari India menggunakan lapangan terbang untuk menyeludup masuk dadah dengan membawa dalam bagasi manakala warga Pakistan pula menggunakan kontena dan agak sukar untuk menjalankan siasatan.

Walaupun dadah dianggap sebagai ancaman negara, Mohd. Noor Rashid memberitahu, situasi penyalahgunaan dadah dalam negara masih terkawal dan pihaknya mempunyai kerjasama yang baik dengan negara luar terutama negara serantau dalam perkongsian maklumat.

Apa yang membimbangkan pihaknya kini adalah penglibatan rakyat negara ini yang ditangkap sebagai keldai dadah di luar negara menunjukkan peningkatan saban tahun terutama di Indonesia dan Thailand.

"Statistik yang kita peroleh pada 2009, seramai 125 orang ditahan; 2010 (142 orang); 2011 (143 orang); 2012 (171 orang) dan bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini sudah seramai dua lelaki ditahan di Indonesia dan sembilan di Thailand dengan tangkapan terkini adalah 11 orang.

"Jumlah tangkapan itu dianggap serius kerana menunjukkan ramai rakyat kita mudah diperalat oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa untuk menjadi 'keldai dadah' setelah dijanjikan upah lumayan dan penularan ini perlu disekat segera," katanya

Dalam menangani penularan keldai dadah dari negara ini, PDRM selalu menjalankan kempen kesedaran dan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebagai langkah pencegahan dan memberi kesedaran kepada masyarakat dan penagih.

Mohd. Noor Rashid seterusnya memberitahu, beliau berazam melihat JSJN di bawah pentadbirannya terus komited untuk mencipta kejayaan demi kejayaan dalam menjayakan agenda memerangi najis dadah di negara ini.

"Saya mahu memastikan JSJN menjadi penyumbang kepada kejayaan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dan memantapkan lagi sumber manusia jabatan ini yang terdiri daripada kira-kira 4,000 pegawai dan anggota dalam beberapa aspek seperti pengetahuan undang-undang, serbuan, penyiasatan bekalan dan pengedaran dadah, tangkapan pengedar, pertuduhan dan sistem pengumpulan maklumat serta risikan.

"Jumlah seberapa ramai sumber manusia di dalam sesebuah jabatan itu tidak penting kerana bagi saya memastikan kualiti siasatan sesuatu kes adalah keutamaan dan fokus JSJN," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/