Oleh : SITI NUR HAFIZAH
ZAKARIA
MENURUT Menteri Kesihatan, Datuk
Seri Liow Tiong Lai, penjualan bahan dan produk e-rokok adalah salah mengikut
Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Mereka yang didapati bersalah
menjual dan mengedar produk itu dan cecair nikotin untuk kegunaan rokok
e-elektronik boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu
tahun atau kedua-dua sekali.
Rokok elektronik ataupun e-rokok
adalah satu percubaan untuk menghasilkan sejenis rokok yang kononnya mampu
mengurangkan kadar penagihan rokok sedia ada yang dihasilkan menggunakan
tembakau.
Tembakau adalah faktor utama
masalah berkaitan jantung dan seumpamanya. Biarpun risiko penggunaan tembakau
ke atas kesihatan sudah diketahui umum, usaha mempromosikan hidup bebas rokok
masih tidak begitu berkesan.
E-rokok dikatakan selamat
digunakan kerana tidak mempunyai kandungan tembakau. Walaupun rasanyanya agak
sama seperti merokok rokok asli, ia tidak mengeluarkan sebarang asap, karbon
monoksida dan sudah tentu tidak menghasilkan abu.
Dianggarkan sekurang-kurangnya
4,400 kanak-kanak menjadi perokok tegar apabila menginjak dewasa. Sehubungan
itu, pelbagai kaedah dicipta termasuklah rokok elektronik ini bagi membantu
perokok.
Rokok e-elektronik atau e-rokok
ini kononnya bertujuan membuang tabiat merokok secara beransur-ansur, tanpa
disedari mereka yang menggunakannya terdedah kepada pelbagai jenis penyakit
kronik.
E-rokok sebenarnya menggunakan
sejenis cecair dan seterusnya menghasilkan wap air. Tetapi tahukah anda cecair
nikotin juga terkandung di dalam e-rokok? Kandungan nikotin akan meningkatkan
ketagihan untuk merokok.
Ini menunjukkan e-rokok yang
dikatakan selamat itu juga mampu merosakkan paru-paru seperti rokok biasa.
Nikotin juga akan meningkatkan kadar denyutan nadi dan pembebasan hormone
adrenalin serta melambatkan sistem saraf.
Nikotin boleh memberi tindak
balas terus ke atas otak dengan memberi kesan rangsangan yang disokong oleh
pelbagai faktor lain. Ia mempunyai nikotin bervariasi seperti nikotin pelarut,
propilenglikol, dietilenglikol, dangliserin yang menghasilkan nitrosamine
apabila dipanaskan. Larutan nitrosamine ini akan menjadi faktor terhasilnya
kanser.
Satu kajian saintifik mendapati e-rokok mengandungi karsinogen dan bahan-bahan kimia
bertoksik seperti diethylene glycol.
China sebagai penemu awal rokok
elektronik ini pada tahun 2003 juga melarang penggunaan rokok ini kerana
dipercayai menjejaskan kesihatan. Ia juga didapati mengakibatkan kekurangan
oksigen yang diserap oleh darah sehingga mewujudkan peningkatan mendadak dalam
rintangan udara paru-paru.
Alat elektronik ini diimport dari
China dan dikatakan tidak menjalani sebarang pemeriksaan keselamatan sebelum
dijual kepada orang ramai.
Rokok elektronik mempunyai
bateri, atomizer, dan katrij nikotin. Cip elektronik akan mengesan pergerakan
udara di dalamnya apabila pengguna menyedut rokok itu. Nikotin cair dan udara
kemudiannya akan dicampurkan menerusi atomizer yang dihidupkan oleh
microprocessor.
Proses ini akan menghasilkan wap
yang kelihatan sama dengan asap rokok biasa. Ia tidak mengandungi karbon
monoksida dan tidak berbau. E-rokok juga dilengkapi LED yang berwarna oren jika
dinyalakan oleh microprocessor, yang kelihatan seperti rokok yang terbakar
ketika dihisap.
Di sebalik kecanggihan penciptaan
rokok moden ini, ia juga dikatakan lebih berbahaya daripada rokok biasa jika
dikaji bahan-bahan yang menghasilkan proses pengewapan sepertimana yang di
atas.
Rokok versi digital ini semakin
mendapat sambutan dan dijual secara berleluasa di negara ini. Rakyat seharusnya
sedar akan bahayanya penggunaan rokok sama ada rokok biasa atau rokok
elektronik.
USIM, Nilai
Sumber : http : //www.utusan.com.my/