PUTRAJAYA : Hari pengundian bagi
pilihan raya umum ke-13 ditetapkan pada Ahad 5 Mei,manakala tarikh penamaan
calon pada 20 April,Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pada Rabu.
Pengundian awal ditetapkan pada
30 April.
Tempoh berkempen ialah selama 15
hari. Tempoh berkempen pada pilihan raya umum 2008 ialah selama 13 hari.
Ketika mengumumkan tarikh-tarikh
itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata seramai 13,268,002
rakyat Malaysia layak mengundi kali ini, berdasarkan daftar pemilih yang
digazetkan pada Khamis (11 April).
Pilihan raya umum kali ini
membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Abdul Aziz membuat pengumuman itu
pada pukul 12.30 tengah hari di ibu pejabat SPR di Putrajaya, yang disiarkan
secara langsung oleh RTM dan TV3.
SPR mengadakan mesyuarat khas
hari ini untuk menentukan tarikh pengundian dan pencalonan bagi PRU13 selepas
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat
pada 3 April lepas.
Sebelum dibubarkan, komposisi
Dewan Rakyat menyaksikan BN menguasai 137 kerusi, selebihnya DAP (29), PAS
(23), PKR (23), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Kesejahteraan Insan
Tanahair (KITA) masing-masing satu kerusi. Lapan lagi kerusi disandang anggota
Parlimen Bebas.
Abdul Aziz berkata SPR telah
menerima pengisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 3 April 2013 berhubung
pembubaran Dewan Rakyat.
Semua Dewan Undangan Negeri
kecuali Sarawak telah dibubarkan setakat 5 Aprildan menurut Fasal 4 Perkara 55
Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakanpilihan raya umum dalam tempoh 60
hari daripada tarikh pembubaran.
Sarawak telah mengadakan pilihan
raya negeri pada 2011.
Abdul Aziz berkata SPR menetapkan
writ pilihan raya dikeluarkan esok dannotis pilihan raya pada Jumaat, 12 April.
Beliau berkata berdasarkan daftar
pemilih, terdapat 12,992,661 pemilih biasa dan 275,341 pengundi awal.
Pengundi awal terdiri daripada
161,251 anggota tentera dan pasangan; 111,136 anggota polis dan pasangan; serta
2,954 pengundi tidak hadir (pengundi di luar negara).
Abdul Aziz berkata sebanyak RM400
juta diperuntukkan untuk pengendalian PRU13 melibatkan 234,905 petugas pilihan
raya.
Untuk tujuan pengundian
keseluruhan, SPR menyediakan 8,789 pusat mengundi dengan 26,219 tempat/saluran
mengundi.
Bagi pengundian biasa, 8,245
pusat mengundi dengan 25,337 saluran mengundi akan disediakan, manakala
pengundian awal membabitkan 544 pusat mengundi dengan 882 tempat/saluran
mengundi.
Empat peraturan baharu akan
diperkenal pada pilihan raya kali ini ke arah penambahbaikan proses pengundian
iaitu penggunaan dakwat kekal; pengundian awal oleh anggota polis dan tentera
menggantikan undi pos; membenarkan orang kurang upaya (OKU) membawa orang
dipercayai untuk membantu semasa pengundian, serta pemansuhan proses bantahan
dan penarikan balik pencalonan.
Peraturan itu dilaksanakan
berikutan pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan
Raya) 1981 (Pindaan) 2012 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos)
2003 (Pindaan) 2012. Ia diwartakan tahun lepas.
Peraturan dakwat kekal mewajibkan
setiap individu yang ingin mengundi untuk dicalit jari telunjuk kiri mereka
sebelum diberikan kertas undi. Bagi pengundi yang enggan mematuhi peraturan
itu, kertas undi tidak akan dikeluarkan kepada mereka.
Buat pertama kali dalam sejarah
pilihan raya umum Malaysia, semua petugas media termasuk wartawan, jurugambar,
jurukamera dan juruteknik yang bertugas di luar kawasan berdaftar mereka, juga
layak memohon untuk mengundi awal.-BERNAMA