Kajian IIM menunjukkan
institusi keluarga di negara ini semakin renggang dan longgar
Institusi kekeluargaan adalah
unit paling asas dan penting dalam proses pembentukan landskap masyarakat yang
harmoni. Fungsi institusi keluarga tidak hanya terbatas sebagai kesinambungan
keturunan saja sebaliknya meliputi skop yang begitu luas. Sekiranya institusi
keluarga berpecah-belah ia memberi impak terhadap pembangunan sosial dan
ekonomi secara keseluruhan
Justeru, banyak perkara perlu
diperhalusi termasuk membentuk sikap dan nilai murni yang menjadi tonggak ke
arah memantapkan integriti masyarakat.
Tumpuan pembentukan nilai murni
seharusnya bermula daripada peringkat awal dan ibu bapa adalah pembimbing yang
terbaik bagi menentukan hala tuju sesebuah keluarga.
Cabaran membina keluarga sudah
jauh berubah sejajar dengan pemodenan negara. Berjaya atau gagal terletak
kepada peneraju dalam rumah tangga.
Kajian Indeks Persepsi Integriti
Nasional (IPIN) oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) yang dijalankan sejak
tiga tahun lalu ke atas 16,000 responden di seluruh negara memperlihatkan
institusi kekeluargaan semakin longgar disebabkan pelbagai faktor.
Hasil kajian, mendapati 29
peratus responden menjelaskan mereka jarang dapat makan malam bersama keluarga,
manakala 27 peratus tidak mengambil tahu aktiviti dilakukan anak yang keluar
pada waktu malam.
Menerusi indeks kajian itu juga
mendapati, hubungan antara ibu bapa dengan anak semakin renggang, tidak kisah
anak balik lewat dan mengamalkan makan malam bersama keluarga.
Presiden IIM, Datuk Dr Mohd Tap
Salleh berkata hasil kajian menunjukkan masalah dalam institusi keluarga
semakin kritikal.
Katanya, kajian itu seharusnya
dijadikan penanda aras untuk merangka strategi lebih komprehensif agar masalah
dalam institusi keluarga dibina tidak bertambah parah.
Berdasarkan senario sekarang,
rata-rata terutama ibu bapa yang berkerjaya tidak mempunyai masa terluang dan
berkualiti bersama anak.
“Sepatutnya ibu bapa menggunakan
meja makan sebaik mungkin untuk berkomunikasi, mendengar, berbincang pelbagai
masalah dan menerapkan nilai murni dalam suasana yang harmoni.
“Kajian jelas menunjukkan
komunikasi terbina ketika seisi keluarga berkumpul bersama ketika waktu makan
yang dianggap masa begitu efektif,” katanya kepada FAMILI, baru-baru ini.
Jangan abai anak
Beliau berkata, statistik
menunjukkan setiap tiga daripada 10 keluarga mengalami kepincangan dalam
pelbagai aspek.
Katanya, walaupun kebanyakan
masyarakat di negara ini sibuk dengan kerja sepatutnya mereka tidak mengabaikan
keluarga sebaliknya menyeimbangkan antara kerjaya dan tanggungjawab sebagai ibu
bapa.
Antara cara untuk merapatkan
hubungan, beliau mencadangkan semua majikan sewajarnya menyediakan pusat jagaan
di tempat kerja untuk menempatkan anak bagi membolehkan mereka menjenguk atau
menyusukan pada waktu rehat.
“Apabila ada pusat jagaan di
tempat kerja kebajikan anak lebih terjamin. Ibu juga dapat menjadi pekerja yang
baik. Pada masa sama, ia dapat membantu meningkatkan kualiti kerja,” katanya.
Mohd Tap berkata, tenaga wanita
diperlukan dalam semua sektor.
“Wanita mempunyai peranan besar.
Selain membantu bebanan dan kewangan keluarga mereka juga menyumbang dalam
pembangunan negara. Cuma bagi saya kesibukan tugas di pejabat janganlah sampai
pula mereka semakin kurang meluangkan masa dengan keluarga,” katanya.
“Sebagai ibu bapa, perlu tahu apa
anak buat, apa aktiviti luar anak. Jika anak keluar malam, perlu tahu apa
tujuannya, dengan siapa dia bergaul atau berjumpa. Ia adalah proses integriti
dalam institusi kekeluargaan yang perlu diterapkan sejak usia kecil,” katanya.
IIM bincang kepincangan
institusi keluarga
Institut Integriti Malaysia
(IIM), antara institusi yang berperanan mengukuhkan pembangunan insan. Menerusi
Pelan Integriti Nasional (PIN) pihaknya menetapkan lima sasaran utama termasuk
untuk memantapkan institusi kekeluargaan di negara ini.
Walaupun tidak memfokuskan terus
kepada golongan wanita, dalam PIN turut menyediakan program berhubung kait
fungsi wanita dalam pembentukan keluarga bahagia.
Ibu bapa atau penjaga memainkan
peranan penting untuk menerapkan nilai murni. Bagi mencapai matlamat itu, ia
juga bermula daripada kestabilan dan kebahagiaan dalam rumah tangga termasuk
memastikan dari segi emosi dan kewangan.
Presiden Institut Integriti
Malaysia (IIM), Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata pihaknya memasukkan
program bagi meningkatkan peranan wanita sebagai ibu dan penjaga keluarga.
“Peranan wanita sebagai ibu
dianggap penting dalam membantu proses integriti. Wanita mempunyai peranan
untuk memantapkan institusi kekeluargaan dan melahirkan masyarakat sejahtera,”
katanya.
Pelbagai seminar kewanitaan
Sejajar itu, IIM menganjurkan
pelbagai seminar, bengkel, kursus dan poster secara berkala dengan memfokus isu
tertentu termasuk berkaitan pembangunan, kepimpinan wanita dan keluarga.
Seminar berbentuk itu kerap
diadakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan
Masyarakat serta Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kita menjalankan program
kewanitaan berintegriti dengan persatuan lain seperti dengan isteri penjawat
awam termasuk Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan Badan Kebajikan Keluarga
Angkatan Tentera (BAKAT). Di sini, kita menjadikan wanita sebagai pemangkin integriti
dalam keluarga.
“Sejak penubuhan IIM, setiap
tahun pelbagai program meningkatkan sistem keluarga dan peranan wanita
diadakan. Antara program yang mendapat sambutan ialah membabitkan program
pembangunan, kepimpinan dan kekeluargaan. Malah banyak program yang dijalankan
penyertaan wanita lebih ramai berbanding lelaki,” katanya.
Setiap lima tahun sekali, IIM
akan menjalankan kajian dinamakan Indeks Persepsi Integrasi Nasional (IPIN)
untuk menilai TEKAD yang disasarkan.
Indeks nombor antara sifar hingga
10 akan menentukan tahap sasaran tercapai atau tidak.
“Berdasarkan kajian, kemantapan
institusi kekeluargaan berada pada tahap 7.3 daripada indeks 10. Institusi
keluarga patut mencapai indeks lebih tinggi. Bagaimanapun banyak masalah sosial
seperti isu perceraian dan pembuangan bayi menjadikan indeks gagal mencapai
tahap tertinggi,” katanya.
Kepincangan institusi
kekeluargaan boleh diatasi dengan menekankan kepada sistem kekeluargaan yang
bersistematik dan meningkatkan kemahiran keibubapaan.
“Dulu pasangan yang mahu bernikah
tidak perlu menghadiri kursus kahwin seperti sekarang. Masalah perceraian juga
tidak terlalu ketara seperti hari ini yang berlaku kepada golongan muda. Dulu
anggota keluarga bertindak dalam mengukuhkan institusi keluarga berbanding kini
yang tidak menerima sokongan moral daripada keluarga,” katanya
INFO : Integriti
* Didefinisikan sebagai peribadi
mulia yang ada pada diri individu membabitkan nilai murni seperti amanah,
jujur, ikhlas, sabar, telus dan bertanggungjawab.
* PIN diadakan sejak 2004 dan
dinilai setiap lima tahun sekali.
* Menetapkan lima sasaran
dikenali sebagai TEKAD
Agenda Integriti untuk
keluarga:
* Pembangunan keluarga dan insan
berintegriti melalui pembinaan keluarga bahagia.
* Peningkatan integriti dalam
pengurusan kesihatan jasmani dan rohani.
* Pemantapan nilai murni sebagai
asas pembentukan identiti.
* Pembabitan keluarga dan
komuniti setempat untuk memperkasakan integriti budaya masyarakat dalam jangka
panjang.
* Masyarakat berorientasikan
keluarga dan komuniti.
* Nilai keluarga dan komuniti
kukuh bagi menghadapi pelbagai cabaran dalaman dan luaran.
Peranan IIM:
* Mengendalikan penyelidikan
berkaitan dengan integriti institusi dan masyarakat.
* Menganjurkan persidangan,
seminar dan forum.
* Menghimpunkan pendapat pelbagai
sektor mengenai kemajuan atau halangan kepada pelaksanaan integriti.
* Menerbitkan dan mengedarkan
bahan bercetak, menggubal dan melaksanakan program latihan dan pendidikan.
* Mengemukakan perakuan dasar
bagi peningkatan integriti dan etika.
* Memberikan khidmat nasihat
kepada kerajaan mengenai program dan strategi bagi meningkatkan integriti
* Mewujudkan jaringan dengan
organisasi antarabangsa bagi membolehkan peranan dan sumbangan IIM diiktiraf di
peringkat antarabangsa.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/