Kuantan - Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengarahkan semua sekolah di daerah ini dan kawasan yang terjejas teruk akibat jerebu ditutup bermula esok (Isnin).
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira
faktor kesihatan para pelajar ekoran IPU di Kuantan yang mencecah paras tidak
sihat hari ini.
"Kalau kita tengok keadaan (jerebu) hari ini, memang
teruk...jarak penglihatan pun makin kurang, nak bernafas pun sudah tidak
selesa. Bayangkan kalau anak-anak kita ke sekolah esok, ini boleh membahayakan
kesihatan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri
majlis perasmian Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, The Zenith
Hotel dan Menara Zenith Putra Square, di sini hari ini oleh Sultan Pahang
Sultan Ahmad Shah.
Menurut laman web JAS setakat 11 pagi ini IPU dua kawasan di
Kuantan dilaporkan mencatat bacaan tidak sihat iaitu Balok Baru 149 dan Indera
Mahkota.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Pelajaran Pahang Rosdi
Ismail berkata arahan penutupan itu membabitkan 120 sekolah menengah dan rendah
di daerah ini.
"Sebelum ini pun kita sudah keluarkan arahan kepada
semua sekolah supaya tidak melakukan sebarang aktiviti kokurikulum,"
katanya.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan juga mengingatkan
semua guru besar dan pengetua mengikuti garis panduan dikeluarkan sebelum ini,
bagi menangani sebarang masalah jika jerebu melanda negara. - Bernama