Jumaat, 5 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Pengurusan kehidupan bermula daripada dalam diri manusia


Oleh : Sidek Baba
 
Proses pengajaran-pembelajaran yang dilalui oleh pelajar tidak saja pencapaian kognitif atau akliah yang diutamakan, tetapi aspek penghayatan juga penting. Pendidikan itu sendiri tidak sekadar suatu proses pemindahan ilmu, maklumat dan kemahiran tetapi juga perubahan diri manusia. Ia menyentuh langsung isu binaan watak dan peribadi pelajar.

Natijah akhir proses pendidikan tidak sekadar ukuran cemerlang dalam peperiksaan tetapi setakat mana pelajar memiliki kualiti sikap yang baik, disiplin berfikir yang matang, kemampuan menganalisis yang meyakinkan dan mempunyai peribadi contoh yang menjadi sumber ikutan dan teladan orang lain.

Ia bergantung kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang terjadi. Dalam tradisi Islam ada lima pendekatan bagaimana proses pengajaran-pembelajaran berlaku secara seimbang. Zaman yang membawa tamadun Islam ke puncak tradisi hafazan berkembang, asas kefahaman (tafahum) terjadi, kemahiran berfikir berlaku, proses internalisasi (penyerapan) mengambil tempat dan proses manifestasi (menterjemahkan pemikiran kepada amal) menjadi kenyataan.

Tradisi hafazan bermula di Madinah, apabila halaqah (usrah) dan suffah terjadi di sekitar Masjid Nabawi. Hafazan tidak saja merangsang upaya pengingatan tetapi yang dihafaz itu ialah al-Quran. Al-Quran adalah sumber petunjuk kepada manusia. Latihan menghafaz adalah penting kerana ingatan boleh membawa keinsafan mengenai peringatan Allah. Ia menjadi tradisi dalam kalangan umat Islam sehingga kini.

Dalam kalangan huffaz yang lahir sepanjang zaman al-Quran tidak saja dibaca secara harfiah tetapi diterjemah dan ditekuni tafsirnya. Ia membawa kepada perkembangan ilmu dan asas ketamaduan. Lahir kitab tafsir tersohor seperti dari Al-Qurtubi, Ibn Kathir, Syed Qutb, Mohd Yusof Ali, Muhammad Assad dan banyak lagi.

Faham tekstual, kontekstual

Menghafaz fakta dan data juga adalah disiplin yang baik terutama formula sains dan teknologi dan ia membantu proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan. Tetapi hafazan saja tidak memadai. Al-Quran tidak sekadar untuk dihafaz tetapi juga untuk difahami. Memahami al-Quran tidak saja dengan terjemah dan tafsir. Sumber ilmu ini memerlukan kefahaman secara tekstual dan juga kontekstual supaya manusia mampu menghubungkan faktor yang nyata dan tampak (empirikal) dengan faktor ghaib dan tidak nampak iaitu Pencipta.

Kefahaman tradisi konvensional tidak mengambil kira faktor agama atau wahyu dalam memberi faham terhadap faktor sains. Dalam al-Quran banyak ayat mengenai sains dan menjadi pedoman pentafsir menghubungkan al-Quran dengannya. Air, dalam tradisi konvensional secara mekanistiknya terhubung dan faktor oksigen dan hidrogen. Al-Quran menyediakan jawapan air itu sumber kehidupan. Gunung dalam geografi tidak lebih sebagai longgokan batu-batan dan banjaran panjang. Al-Quran menyediakan jawapan ia adalah awtad atau pasak bumi. Ia menjadi asas keseimbangan kepada kehadiran bumi.

Kemahiran berfikir

Perspektif ini penting difahami kerana akhirnya manusia akan mencari makna sesuatu. Maknalah yang memberi manusia fahaman sebenar mengenai hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam. Kalau ditanya apa makna kemajuan. Akan ada pendapat mengatakan bahawa kemajuan itu diukur dari segi kemajuan ekonomi dan teknologi dan kesejahteraan sosial.

Dalam tradisi Islam fokus kemajuan terletak pada diri manusia itu sendiri (rijal). Jika manusia terbangun dengan ilmu dan etika yang baik pengurusan ekonomi, teknologi dan kesejahteraan sosial akan berlaku dengan baik. Bermulanya keluarga yang baik adalah daripada individu yang baik. Terbinanya masyarakat yang baik adalah daripada keluarga yang baik. Pembinaan negara atau umat yang baik adalah daripada masyarakat yang baik. Inilah maksud al-Quran terhadap kehidupan dan pengurusan kehidupan itu sendiri.

Kefahaman dalam tradisi Islam harus diikuti dengan upaya artikulasi atau berfikir. Tanpa pemikiran penjanaan ilmu tidak akan terjadi. Perkara berfikir ini sangat-sangat diutamakan dalam al-Quran dan tradisi Islam. Dengan memiliki kemahiran berfikir umpamanya kita boleh menjadi kreatif, kritikal, reflektif, futuristik, strategik, lateral dan sebagainya.

Perkara utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah isu internalisasi iaitu proses penyerapan apa yang difikir dan hubungannya dengan faktor dalaman diri manusia ialah hati. Pembangunan akal-budi adalah sesuatu yang amat utama supaya berlaku sinergi antara faktor akliah dan faktor wahyu supaya wujud keinsafan yang seimbang yang sifatnya duniawi dan ukhrawi.

Kefahaman dan pemikiran seimbang bakal menentukan corak berfikir, cara tindakan dan amalan yang sentiasa menghubungkan Allah SWT sebagai rujukan puncak dan menginsafi manusia tidak lebih sebagai khalifah menguruskan manusia dengan amanah, jujur dan adil.

Penulis ialah Profesor Pendidikan UIAM

Sumber : http : //www.bharian.com,my/

ISU PENDIDIKAN : Alternatif terbaik sekolah satu aliran


Oleh : NURUL ANUAR KARI

MENYEBUT tentang perdamaian nasional, perkara paling utama untuk jangka panjang sebenarnya bukan dalam dunia politik tetapi dalam dunia pendidikan generasi muda.

Walaupun ada yang menyalahkan pelbagai aliran sekolah sebagai punca perpecahan seawal sekolah rendah, adalah lebih penting untuk mencari penyelesaian agar generasi berikutnya tidak hidup dalam kepompong bangsa sendiri sahaja.

Contoh mudah hidup dalam 'dunia berasingan' sejak zaman sekolah itu jelas boleh dilihat di kalangan muda mudi dan remaja yang tidak tahu bahasa kebangsaan malahan ada tidak tahu bahasa ibunda bangsa masing-masing.

Dalam media dan sektor pekerjaan juga nyata perkara asas seperti bahasa kebangsaan juga gagal diangkat martabatnya apabila bahasa Melayu dijadikan pilihan akhir pengiklan sehinggakan ejaan juga caca-merba.

Antara punca utama masalah ini adalah kelonggaran melampau yang diberikan kepada sekolah-sekolah sehinggakan bahasa kebangsaan malahan jati diri sebagai rakyat Malaysia gagal diterap kepada anak-anak kecil yang tidak tahu sejarah asal-usul mereka.

Oleh itu, semakin ramai yang mahu kerajaan lebih berani mengambil pendekatan agresif dalam pendidikan khususnya memperkasakan kembali konsep Sekolah Wawasan agar anak muda pewaris negara tidak berbalah sesama sendiri dan belajar berkongsi hidup di bumi bertuah ini kelak.

Ini bagi membolehkan murid berbilang bangsa belajar serta bermain bersama-sama, seterusnya memahami perbezaan antara mereka, dididik menghormati dan menjaga sensitiviti orang lain, dan lebih penting menerapkan nilai-nilai murni termasuk cintakan negara tanpa menggadaikan ciri-ciri bangsa atau agama masing-masing.

Tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom menjelaskan konsep Sekolah Wawasan cuma mengumpulkan beberapa aliran sekolah dalam satu kawasan bagi membolehkan murid-murid berkongsi kemudahan dan bergaul sesama mereka.

"Ada masanya murid akan berkongsi padang, dewan ataupun kantin, ini memberi peluang kepada mereka berada dalam satu tempat dan bercampur gaul walaupun sistem pelajaran berbeza-beza.

Beliau menegaskan aspek pergaulan di sekolah rendah amat penting dalam pendidikan anak muda negara ini mengikut pepatah 'melentur buluh biar dari rebungnya'.

Tambahnya, proses sosialisasi juga paling berkesan di usia muda selepas umur 3 ke 4 tahun kerana anak kecil tidak tahu beza kaum atau agama dan cuma menganggap semua orang sebagai kawan.

"Melalui konsep Sekolah Wawasan, sekurang-kurangnya murid-murid dapat bergaul, berhimpun ataupun melakukan bermacam aktiviti bersama-sama, dengan itu matlamat perpaduan akan lebih berjaya.

"Buat masa ini hanya lima Sekolah Wawasan sudah diwujudkan. Ia mengambil masa memandangkan terdapat beribu-ribu sekolah dan kesukaran mendapatkan kawasan sesuai," jelasnya.

Menurutnya lagi, sekolah sedia ada menghadapi kesukaran memandangkan aliran berbeza tidak dibina dalam satu kawasan khususnya di Kuala Lumpur yang sukar untuk mencari kawasan tanah dan kekangan tertentu yang melambatkan pelaksanaannya.

Beliau memuji kecantikan kawasan Sekolah Wawasan di Subang Jaya seluas 10 ekar dan merasakan masalah tanah dapat diatasi kelak dalam perancangan sekolah-sekolah baharu yang dibina mengikut konsep Sekolah Wawasan.

"Walaupun masih sukar diterima orang ramai yang tidak selesa dengan konsep 'pergaulan' itu, tetapi dari sudut pendidikan ia penting demi kesatuan dan perpaduan anak-anak kecil yang akan mewarisi negara kelak.

"Ini bukannya idea baharu, sudah 10, 15 tahun difikirkan pemimpin negara dan saya berharap lebih banyak Sekolah Wawasan dapat dibina selepas ini," ujarnya.

Alimuddin menegaskan Sekolah Wawasan perlu diteruskan kerana ia idea baik yang akan memainkan peranan besar dalam usaha perpaduan yang menjadi matlamat utama penyatuan rakyat pelbagai kaum dan agama.

"Apa yang tidak baiknya kalau murid-murid boleh bergaul mesra? Bukannya mengganggu sekolah mereka, semuanya berjalan seperti biasa di dalam darjah, cuma di luar mereka diberi peluang bergaul bersama.

"Jika murid-murid kecil ini tidak diberi peluang bercampur gaul, bila lagi? Selepas sekolah rendah ia semakin sukar diterap. Saya tidak nampak sebarang isu tidak baik dengan Sekolah Wawasan, mungkin orang tertentu yang mempunyai agenda lain sahaja nampak sebaliknya," tegasnya.

Felo Penyelidik Utama Institut Alam & Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Teo Kok Seong juga bersetuju Sekolah Wawasan alternatif terbaik untuk perpaduan jika sekolah satu aliran tidak dapat dilaksanakan.

"Idea ini sejak tahun 1990-an lagi, tetapi nampak kurang berjaya kerana kurang sokongan terutamanya masyarakat bukan Melayu, khususnya orang Cina yang mempunyai prasangka buruk terhadap inisiatif tersebut.

"Mereka fikir dan andaikan Sekolah Wawasan satu usaha menghakis jati diri dan melenyapkan identiti anak Cina, satu usaha memelayukan dan akhirnya mengislamkan anak-anak mereka," jelasnya.

Beliau menegaskan prasangka itu adalah tidak berasas kerana konsep tersebut cuma memberi ruang untuk murid-murid bergaul dengan berkongsi kemudahan tanpa mengganggu aliran pendidikan di sekolah kebangsaan (SK) mahupun sekolah jenis kebangsaan (SJK) yang dibina berasingan.

Tambahnya, tujuannya cuma untuk interaksi antara murid berlainan bangsa agar saling mengenali serta faham-memahami cara hidup dan budaya antara mereka, akhirnya memupuk persahabatan dan perpaduan antara rakyat.

"Lihat sahaja polarisasi kaum di sekolah, SK dengan majoriti murid Melayu, SJK(C) dengan majoriti murid Cina dan SJK(T) dengan majoriti murid India. Tiada pergaulan antara anak bangsa-bangsa ini, bagaimana mahu pupuk perpaduan bila dewasa kelak?

"Kerana tiada pergaulan itu, kini wujud curiga dan prasangka buruk antara satu sama lain. Sekolah Wawasan tiada agenda terselindung dan identiti setiap sekolah akan kekal, ia cuma beri anak-anak kecil peluang bergaul dan berkawan," katanya.

Beliau menjelaskan, anak kecil sekitar 3 ke 4 tahun boleh bergaul walaupun berlainan bahasa, hanya biarkan mereka bermain di padang permainan dan dengan sendirinya akan berkawan tanpa mengira kaum, walaupun menggunakan bahasa isyarat.

Menurutnya lagi, menjelang usia 7 tahun di sekolah rendah, anak-anak kecil itu sudah boleh membentuk persahabatan antara mereka tetapi jika tidak dapat bergaul, maka tiada peluang untuk anak-anak Melayu, Cina dan India itu bersahabat.

"Lihatlah orang dewasa, orang tua kini, mana ada bergaul. Jika urusan jual beli itu sekejap sahaja, tiada persahabatan tulen dibentuk. Lihat sahaja rumah terbuka semasa perayaan, semuanya duduk dengan bangsa masing-masing tanpa interaksi, pergi untuk makan sahaja.

"Jika tidak mahu terus begitu, tidak mahu anak-anak kita teruskan sikap tidak bergaul, perlu berfikiran terbuka dan mulakan dari usia muda, bermula di sekolah mereka. Kembangkan Sekolah Wawasan kerana ia alternatif terbaik jika tidak mahu sekolah satu aliran dilaksanakan," tegasnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/