Selasa, 16 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Perlu sokong usaha berani


Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Jika mahu dihitung usaha kerajaan mentransformasi bidang pendidikan negara, pasti tidak terhitung banyaknya.

Bermula dengan Penyata Razak 1956, kini kepada imej global melalui Pelan Pembangunan Pendidikan, usaha itu wajar dihargai.

Usaha paling proaktif dan berani itu bukan saja bagi menjenamakan semula bidang pendidikan negara malah meletakkan modul pendidikan dalam kelas tersendiri.

Apatah lagi dengan rantaian sistem yang semakin komprehensif, ramai tidak sabar melihat hasil transformasi itu yang dianggap pembaharuan paling berani untuk bidang pendidikan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Justeru apakah harapan tinggi itu juga boleh membuka minda masyarakat supaya melihatnya dalam skop lebih luas?

Atau hanya sekadar sokongan dengan tindakan tunggu dan lihat. Dan apakah mereka punya keyakinan bidang pendidikan boleh dijenamakan semula hingga menjangkau pering­kat antarabangsa atau sebaliknya.

Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia ( UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, masyarakat perlu melihat usaha proaktif ini sebagai anjakan keberanian menjenamakan semula bidang pendidikan negara.

Beliau berkata, transformasi ini komitmen pihak berkenaan yang mahu melihat sistem pendidikan negara melangkah ke frasa baru yang lebih dinamik dan berkeupayaan tinggi demi generasi masa depan.

“Boleh dikatakan, ini adalah usaha berani yang melangkau frasa sedia ada sejajar hasrat menjadikan dunia pendidikan negara lebih berwibawa.

“Transformasi ini juga adalah satu keberanian untuk membawa bidang pendidikan negara ini ke tahap profesional, berkualiti serta mempunyai jenama antarabangsa.

“Justeru, mengapa perkara yang baik ini perlu dipertikaikan?

“Semua ini ada manfaatnya khususnya kepada pembinaan masa depan pelajar kita akan datang,” katanya.

Malangnya di tengah kesediaan bidang pendidikan negara melakukan transformasi itu, ada pihak mengang­gapnya begitu drastik serta mempunyai standard sasaran terlalu tinggi.

Beliau berkata, pihak tertentu boleh melahirkan kebimbangan namun pada masa sama perlu melihatnya dari sisi berbeza terutama kesan jangka panjang.

Menurutnya, transformasi itu tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa,  bahkan dilakukan mengikut saluran, frasa, kaji selidik masyarakat serta kajian pakar pendidikan.

“Memang ada pihak menganggap transformasi dunia pendidikan negara hari ini sangat drastik hingga mewujudkan pertikaian tertentu.

“Ditegaskan, transformasi ini dilakukan dengan profesional dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

“Masyarakat perlu yakin dan meletakkan penuh kepercayaan terhadap usaha ini. Cuba dalami hasrat kerajaan mengapa transformasi ini perlu dilakukan,” katanya tidak menafikan pasti wujud keraguan perkara berbangkit terhadap pembaharuan yang cuba dilaksanakan.

“Setiap pembaharuan pasti ada masalah dan kepincangan namun kita tidak boleh menganggapnya sebagai masalah yang tidak boleh diselesaikan.

“Bidang pendidikan negara kita dalam proses belajar dan setiap yang terbabit dengannya perlu melalui proses yang sama.

“Ia adalah proses yang baik. Dari situ kita dapat menilai, melihat, memperbaiki dan mempertingkatkan kelemahan mahupun kekurangan sedia ada.

“Yang penting, kita ada keberanian melakukan perubahan. Jika tidak selamanya kita akan berada di takuk lama,” katanya.

Beliau turut optimis sistem pendidikan negara berada pada landasan betul dan sedang sedaya upaya menjadikan segala perancangan satu kejayaan jangka panjang.

Katanya, penggunaan penilaian standard antarabangsa seperti TIMMS (Trends in International Mathematics and Science Study) dan PISA (Programme for International Student Assessment) sering dijadikan rujukan.

“TIMMS adalah penilaian antarabangsa yang menilai kurikulum mata pelajaran Matematik dan Sains dalam sesebuah sistem pendidikan.

“PISA adalah penilaian antarabangsa yang menilai tiga jenis kecekapan, iaitu membaca, menitikberatkan pengetahuan matematik dan pengetahuan sains dalam keadaan sebenar oleh pelajar dalam sesebuah sistem pendidikan.

“Malaysia ingin menempah kedudukan dalam kategori satu pertiga teratas negara-negara di dunia yang mempunyai sistem pendidikan bermutu, justeru transformasi ini adalah antara langkah awal,” katanya.

Ditanya sama ada sistem yang digunakan sekarang mempunyai kelemahan hingga perlu diberi perubahan, beliau berkata setiap sistem pendidikan negara di dunia perlukan perubahan bagi tujuan penambahbaikan.

“Negara yang mempunyai pendidikan terbaik di dunia pun melakukan perkara sama kerana perlu selari dengan peningkatan kualiti dan permintaan semasa.

“Kita tidak perlu mempertikaikan apa yang sedang dilakukan sistem pendidikan negara kerana objektifnya untuk kebaikan.

“Dalam sejarah dunia, tiada sistem pendidikan yang diperkenalkan bertujuan sebaliknya,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Gajet IT bentuk sikap antisosial, agresif generasi Y


Oleh : NORILA DAUD

SEJAK kebelakangan ini golongan tua sering merungut tentang sikap sesetengah anak muda yang tidak menghormati mereka, enggan menegur sapa, tidak memberi salam atau bersalaman jika bertemu di khalayak ramai, di majlis keramaian, di rumah dan pejabat.

Sikap tidak menghormati golongan tua ini amat jelas berlaku di pejabat-pejabat apabila kakitangan dan para pegawai kanan tidak disapa oleh pendatang baharu sehingga mereka dilabelkan sebagai golongan cerdik pandai yang tidak beradab dan 'kurang ajar'.

Jika dibandingkan pada tahun 1980-an hingga 1990-an, kakitangan muda walaupun lepasan pelbagai universiti dari dalam dan luar negara, namun mereka bertegur sapa dengan golongan lebih senior di pejabat kerana bersopan santun memang sinonim dengan orang Melayu malahan menjadi amalan sejak zaman datuk nenek kita sehingga ke hari ini.

Anak-anak muda sepatutnya memanggil tuan, puan, abang, kakak, makcik, pakcik, datuk atau nenek kepada golongan yang lebih dewasa mengikut peringkat usia dan pangkat seseorang serta mengucap terima kasih kepada setiap pemberian yang diterima. Ucapan selamat pagi dan petang atau Assalamualaikum bagi yang beragama Islam setiap kali bertemu sepatutnya menjadi amalan murni ke arah kesejahteraan.

Malangnya, ucapan demikian semakin hilang dibaham era Internet. Generasi muda kini sebaliknya hanya berkata ' hai.. .'  ketika bersua muka dan 'bye-bye' ketika berpisah. Ucapan tersebut lebih ringkas, trendy dan universal.

Apakah media sosial seperti  Facebook, Twitter, khidmat pesanan ringkat (SMS) serta Whatsapp yang sangat dekat di hati insan yang celek teknologi maklumat (IT) boleh dikaitkan dengan hilangnya nilai-nilai ketimuran dan unsur keagamaan dalam kalangan generasi muda?

Jika dikaji kesan dan pengaruh teknologi telekomunikasi kepada manusia dan kemanusiaan, sepatutnya gajet-gajet berhubung IT yang terdapat dalam pasaran itu membantu mendekatkan yang jauh dan mengecilkan jurang perbezaan antara manusia di dunia.

Dari sudut lain, perkembangan IT ini turut melalai dan mengalpakan anak-anak generasi Y ini kepada alam sekeliling sehingga terbentuknya budaya anti sosial, individualistik dan tidak mesra dengan orang di sekeliling mereka.

Bukan sahaja generasi muda menjadi sedemikian, malah generasi tua juga sudah semakin terpisah dengan jiran-jiran kerana terlalu ghairah melayan kerenah Facebook, Twitter dan blog-blog pilihan mereka. Ringkasnya, manusia hari ini disogokkan dengan terlalu banyak informasi sehingga lupa kepada dunia nyata di sekeliling mereka.

Apa yang penting bagi kumpulan ini ialah mengemas kini status mereka dalam facebook dan membaca SMS walaupun berada dalam majlis ilmu dan keramaian. Majlis berkenaan sepatutnya digunakan untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dan beramah mesra dengan para hadirin. Semua SMS yang dianggap tidak penting sepatutnya dibalas ketika berada di rumah.

Sehubungan perkembangan itu, Malaysia berada pada kedudukan ke-19 dengan jumlah pengguna Facebook sebanyak 13.22 juta daripada 28 juta penduduk. Statistik ini berdasarkan jumlah pengguna Facebook dalam senarai 50 negara utama di dunia sehingga Oktober 2012. Sehubungan itu, sebanyak 50 peratus daripada jumlah pengguna Facebook tinggal di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Malaysia berada di belakang Jepun yang mempunyai 16.36 juta pengguna Facebook manakala Thailand di tempat ke-16 dengan 17.47 juta manakala Indonesia berada di tangga keempat dengan 50.53 juta pengguna media sosial itu. Sehubungan itu, 50 peratus daripada jumlah pengguna Facebook di Malaysia tinggal di Kuala Lumpur.

Gajet-gajet IT ini terbukti telah membentuk satu fenomena tidak menghiraukan orang lain kerana dunia alam maya lebih menyeronokkan dan memaklumkan perkembangan terkini yang berlaku di dunia sehingga sanak saudara dan orang tua yang berkunjung ke rumah mereka tidak dihiraukan oleh anak-anak muda.

Fenomena tidak menegur dan bermesra dengan rakan-rakan sepejabat dan jiran di sebelah rumah mungkin berpunca daripada latar belakang keluarga dan pergaulan sosial mereka yang terbatas. Sejak kecil lagi ibu bapa menasihatkan anak-anak supaya tidak mudah mesra dengan orang yang tidak dikenali berikutan kes culik dan rogol yang kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sejak kebelakangan ini.

Sehubungan itu, golongan berkenaan apabila memasuki dunia remaja sudah dipupuk dengan sikap berhati-hati sehingga terbawa-bawa ke alam pekerjaan. Sikap remaja sedemikian membuat golongan dewasa melontar tuduhan sehingga melabel anak-anak muda hari ini sebagai 'kurang ajar' dan kadangkala mendakwa sistem pendidikan semasa kurang menitikberatkan kepada nilai-nilai sivik dan adat ketimuran.

Dalam apa juga perkembangan teknologi, sepatutnya masyarakat khusus Melayu mestilah mengekalkan amalan dan adat ketimuran yang diwarisi turun temurun kerana hanya nilai-nilai tersebut membezakan antara Melayu dengan bangsa dan adat kaum lain walaupun mereka tinggal di Malaysia.

Kemodenan dan perkembangan teknologi jika diikuti tidak akan habis-habis dan tiada penghujungnya kerana setiap hari model terbaharu dengan teknologi terkini akan dijual di pasaran. Sebaliknya nilai ketimuran dan adat istiadat Melayu akan hilang di muka bumi ini sekiranya Generasi Y enggan mewarisinya.

Dikhuatiri satu hari nanti bangsa Melayu tidak akan dikenali sebaliknya yang tinggal hanya pada nama Yusof, Kadir atau Fatimah yang bangsa Arab dan orang Islam lain di dunia turut mempunyai nama demikian kerana mereka beragama Islam.

Jadi fikir-fikirkanlah anak-anak muda apakah masih mahu atau tidak untuk mengekalkan kebudayaan dan adat istiadat dan sopan santun orang Melayu?

Sumber : http : //www.utusan.com.my/