Oleh : TARMIZI ABDUL
RAHIM
SETIAP tahun, Jun dan Disember
adalah dua bulan keramat yang sentiasa ditunggu-tunggu kelibatnya oleh para
guru yang terpaksa berjauhan daripada keluarga termasuk isteri, suami dan
anak-anak.
Hal ini kerana dalam kedua-dua
bulan itu, penantian mereka akan terjawab sama ada permohonan pertukaran
sekolah diterima atau sebaliknya. Bagi yang berjaya, maka bergembiralah tetapi
yang gagal, seperti biasa akan mengulangi permohonan sama sehingga berjaya.
Mungkin bagi guru yang bertugas
di Semenanjung dan keluarganya juga berada di sana, tidak seberat beban,
keluh-kesah dan kerinduan melampau terpaksa ditanggung oleh para guru yang
bertugas di Borneo tetapi keluarganya pula berada jauh di 'seberang laut'.
Dalam kes pertama, alternatif
pengangkutan banyak terhidang iaitu selain daripada jalan udara, jalan darat
juga pada bila-bila masa boleh digunakan. Tetapi berbeza dengan mereka yang
berada di Borneo, tiada pilihan melainkan hanya melalui jalan udara.
Semua sedia maklum bahawa kos
'hangus' yang terpaksa ditanggung bukannya murah, hingga terkadang boleh
melangkaui gaji bulanan para guru tersebut.
Bagaimanapun, situasi ini sedikit
menampakkan jalan penyelesaiannya apabila Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk
Mary Yap Kain Ching dalam jawapannya di Dewan Rakyat baru-baru ini mengakui
bahawa guru-guru yang hidup berjauhan dengan pasangan masing-masing, dari segi
kemanusiaannya tidak elok dan kurang sesuai.
Sehubungan itu, beliau berkata,
pihak kementerian sedia mengkaji semula isu tersebut bagi membolehkan masalah
berkenaan dapat diatasi.
Perkara ini sebenarnya agak
kritikal dan perlu ditangani sebaik mungkin kerana dikhuatiri falsafah
pendidikan negara yang antara lain bertujuan melahirkan modal insan terbaik
gagal tercapai.
Secara semula jadi, mana-mana
manusia waras yang ditimpa kerinduan melampau, emosi mereka yang tidak stabil
akan terganggu sekali gus menyebabkannya gagal memberikan persembahan atau
output terbaik.
Situasi ini bukan berlaku secara
satu hala tetapi sebaliknya dua hala iaitu anak-anak, suami atau isteri yang
ditinggalkan itu juga mengalami permasalahan sama. Sila betulkan sekiranya
penulis tersilap.
Malah sekiranya dibiarkan,
kebarangkalian berlakunya perkara yang tidak diingini juga agak tinggi, sesuatu
yang tidak perlu dihuraikan kerana majoriti daripada kita maklum mengenainya.
Penulis ingin berkongsi sedikit
masalah seorang rakan yang pada masa ini hampir putus asa setelah
bertahun-tahun usahanya untuk berada lebih dekat dengan keluarganya sehingga
kini masih lagi belum tertunai!.
Guru wanita di sebuah sekolah
rendah di Sarawak ini mempunyai tujuh cahaya mata dan terpisah jauh daripada
suaminya di Kota Bharu, Kelantan sejak enam tahun lalu. Anak-anaknya berusia
antara 15 dan empat tahun, lima daripadanya tinggal bersama suami di Kelantan,
manakala dua lagi tinggal bersamanya di Sarawak.
Guru tersebut, seorang guru JQAF
mula ditempatkan di sini sejak Julai 2008, manakala suaminya bekerja di
Kelantan. Sehingga bulan ini, beliau telah memohon pertukaran sebanyak 6 kali
iaitu setiap tahun dan malangnya kesemuanya ditolak.
"Saya takut kerana berjauhan,
hubungan saya, suami dan anak-anak menjadi renggang. Sebagai seorang ibu, saya
cukup sedih bila tidak dapat mengasuh dan berkongsi masalah dengan anak-anak
yang semakin meningkat remaja.
"Sebagai pendidik saya ingin
mendidik anak bangsa dengan penuh semangat tetapi memandangkan masalah saya
yang berlarutan, membuatkan saya sentiasa tertekan kerana terpaksa menguruskan
dua anak seorang diri dan pada masa sama teringatkan nasib anak-anak lain yang
berada jauh, tambahan lagi anak sulung akan menghadapi Penilaian Menengah
Rendah tahun ini," katanya.
Keluhnya lagi kepada penulis,
beliau dan suami seboleh-bolehnya ingin berulang-alik antara Sarawak dan
Kelantan sekerap mungkin tetapi masalah kewangan menjadi penghalang kerana kos
pengangkutan yang terpaksa ditanggung terlalu tinggi.
Penulis beranggapan, kes guru ini
mungkin hanya sekadar kes terpencil bagi pegawai-pegawai bertanggungjawab,
tetapi percayalah bagi beliau dan keluarganya, kes ini adalah yang paling
besar, paling utama dan amat ditagih oleh anak-anaknya.
Terpulanglah kepada mereka yang
terbabit untuk melakukan sesuatu yang wajar atau sebaliknya, ini kerana guru
ini akan tetap sekali lagi melakukan rutin sama, iaitu mengisi permohonan
pertukaran yang hanya boleh dilakukan secara online sahaja itu.
Sementara anak-anaknya pula dalam
masa beberapa kali setahun semasa berjumpa dengan ibunya akan mengulangi soalan
sama, "bila ibu nak balik".