Kematian akibat nahas di
Malaysia 6.3 kali lebih tinggi berbanding UK, Sweden, Belanda
Berjuta-juta pengguna dan
kenderaan akan berada di jalan raya dan lebuh raya ketika balik ke kampung pada
musim Aidilfitri beberapa minggu lagi. Kesesakan akan berlaku dan ini sekali
lagi bakal menguji emosi dan sikap pemandu.
Namun, jika hasil kajian Institut
Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) baru-baru ini dipegang,
kita mempunyai alasan kuat untuk berasa khuatir sikap pemandu Malaysia. Kajian
itu dijalankan antara 2009 hingga tahun lalu, mengukur tahap keberangan 5,248
pemandu di lebih daripada 103 daerah di seluruh negara.
Satu daripada sikap buruk rakyat
Malaysia mengikut rakan saya dari negara asing dan pelancong yang saya temui
ialah pemanduan yang buruk.
2.4 juta pemandu berang aras
tinggi
Pemandu kita mudah berang dan
gagal mengawal emosi ketika memandu. Berdasarkan kajian tadi, 18 peratus atau
2.4 juta daripada 13.3 juta pemandu kita berada pada kategori berang aras
tinggi. Dari segi sikap buruk itu, wanita dikatakan mempamerkan sikap negatif
itu lebih teruk daripada lelaki. Saya sering menyaksikan sikap berang pemandu
di jalan raya terutama di kota dan bandar besar. Perangai mereka bertukar
agresif sehingga nekad membuli pengguna jalan raya lain atau mengejar pemandu
yang dimarahi.
Mengikut kajian itu, pemandu kita
tiga atau empat kali lebih berang berbanding pemandu di Amerika Syarikat,
Britain, Australia, New Zealand, Sepanyol dan Turki. Mungkin pemandu kita perlu
belajar daripada pemandu di negara berkenaan dan juga di Jepun untuk memahami
maksud pemandu berdisiplin. Mereka yang pernah ke Britain dan Jepun, pasti
faham bagaimana tertib dan berdisiplinnya pemandu terbabit. Mereka sentiasa
menghormati pemandu dan pengguna jalan raya lain. Sebaliknya, pemandu kita
mudah dikuasai emosi dan kemarahan sehingga menjejaskan pengguna lain.
Sabar sebahagian daripada iman,
tetapi itu dianggap tidak lebih sebagai slogan. Pemandu kita mudah marah,
antaranya disebabkan perlakuan buruk pemandu lain, pemanduan tidak beradab dan
berhemah, kehadiran polis, pemanduan perlahan dan sekatan jalan raya.
Segelintir pemandu seolah-olah berasa diprovokasi jika pemandu lain memintas
kenderaan mereka atau memandu terlalu perlahan. Kalaulah pemandu menjaga
perangai, disiplin dan emosi, pasti, jumlah kes buli dan kemalangan di jalan
raya tidak akan meledak.
Ops Sikap yang diadakan lebih 20
kali seolah-olah tidak mendatangkan kesan terhadap pemandu kenderaan bermotor
di negara ini. Berdasarkan data rasmi, ada 200 peristiwa kemalangan jalan raya
yang membabitkan kematian dan 230 insan terkorban sepanjang kempen Ops Sikap
ke-22. Semua itu bertolak daripada sikap pemandu yang tidak berdisiplin dan
tidak dapat mengawal perasaan ketika memandu. Berbanding di bandar kecil dan
pekan kecil, pemandu bandar dan kota lebih tidak berdisiplin dan dikuasai
emosi.
Kenderaan semakin bertambah
Adakah jumlah kenderaan yang semakin
meningkat sehingga kesesakan semakin teruk menjadi punca? Jumlah kenderaan
berdaftar di Malaysia tahun lalu meningkat 21,401,269 unit berbanding
20,188,072 pada tahun sebelumnya.
Amat penting bagi pemandu bukan
saja mematuhi segala peraturan, tetapi juga sentiasa mengawal emosi ketika
memandu. Pemandu yang berang boleh dianggap berisiko tinggi kerana emosi
berkenaan besar kemungkinan menguasai perasaannya sepanjang perjalanan. Pemandu
jenis ini tidak boleh diprovokasi kerana emosinya mudah terganggu, malah dia
sanggup melakukan sesuatu di luar pemikiran manusia biasa. Pemandu jenis ini
turut menyumbang kepada jumlah kemalangan yang tinggi.
Forum Pengangkutan Antarabangsa
Paris mencatatkan ketika 30 negara menunjukkan penurunan kadar kematian jalan
raya dari 2000 hingga 2009, hanya tiga negara merekodkan peningkatan. Paling
ketara antara tiga negara itu ialah Malaysia, Argentina dan Kemboja. Malaysia
berada pada kedudukan teratas dengan kadar kematian tertinggi iaitu seorang
bagi 100,000 penduduk. Angka ini bukan sesuatu yang menggembirakan dan
membanggakan.
Berdasarkan 23.8 kematian bagi
setiap 100,000 penduduk tahun lalu, kadar kematian akibat kemalangan di
Malaysia ialah 6.3 kali lebih tinggi berbanding dengan United Kingdom (UK),
Sweden dan Belanda. Bagi 22 Ops Sikap dalam tempoh 2001-2010 itu 279,204 kes
kemalangan, dengan 3,909 peristiwa kemalangan membabitkan sekurang-kurangnya
seorang mati. Jumlah yang mati pula ialah 4,479 orang.
Adakah kemarahan ini cerminan
tekanan di tempat kerja dan di rumah atau ini hasil peribadi yang lemah? Adakah
kita kurang menekankan soal etika dan cara pemanduan berhemah ketika mereka
menjalani latihan pemanduan?
Penulis ialah pensyarah di
Universiti Malaysia Sarawak
Sumber : http : //www.bharian.com.my/