SEORANG pelumba superbike warga
Itali Andrea Antonelli terkorban selepas terjatuh daripada motosikalnya dan
kemudian dilanggar pula oleh pelumba lain ketika menyertai pusingan pembukaan
perlumbaan Kejohanan Supersport Dunia di Litar Moscow baru-baru ini. Dengan
kelajuan kira-kira 250km sejam kesilapan yang sedikit pastinya membawa padah
walaupun kebiasaannya mereka dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang
canggih dan termoden masa kini.
Bayangkan pula bagaimana
segelintir kenderaan penumpang dibawa pada kelajuan tinggi di atas jalan raya
awam sambil berlumba sesama sendiri. Terdapat pula yang seolah-olah menjadi
samseng jalan raya hingga merasakan bahawa mereka sahaja yang berhak
menggunakan kemudahan tersebut dan mengetepikan hak pengguna yang lain.
Perbuatan yang seperti ini adalah
salah dan jauh menyimpang daripada nilai-nilai yang murni. Golongan yang suka
memandu laju dan berbahaya sebenarnya mendedahkan diri mereka kepada
kecelakaan. Malah yang lebih memilukan apabila disebabkan oleh kecuaian mereka
pengguna jalan raya yang lain pula terpaksa menanggung sengsara.
Ada yang terlibat dengan
kemalangan dan ada pula yang terpaksa menunggu berjam-jam lamanya di atas jalan
raya hanya kerana sikap segelintir pemandu yang tidak berhemah dan mementingkan
diri sendiri.
Di sudut yang lain terdapat pula
segelintir pemandu yang memandu terlalu perlahan sehingga menimbulkan kemarahan
dan cacian. Dalam hal ini syariat Islam yang suci menggalakkan umatnya untuk
sentiasa bersederhana dalam apa jua keadaan. Malah berhemah dan bertimbang rasa
ketika di jalan raya dilihat mampu mengurangkan statistik kemalangan terutama
pada musim perayaan yang bakal menjelang tiba.
Pengguna jalan raya juga
dinasihatkan supaya banyak-banyak bersabar, tidak memandu melebihi had kelajuan
ditetapkan dan cuba sedaya upaya untuk mengikut peraturan lalu lintas demi
kebaikan bersama.
Nabi Muhammad SAW bersabda
maksudnya: "Berhati-hati merupakan perintah Allah manakala tergesa-gesa
adalah amalan syaitan". Untuk itu umat Islam diseru mempraktikkan sunnah
ini dalam segenap lapangan pekerjaan termasuklah ketika pulang berhari raya di
kampung halaman masing-masing. Suruhan ini sangat bertepatan dengan perintah
Allah SWT yang melarang umatnya menjerumuskan diri kepada lembah kebinasaan
yang merugikan.
Firman-Nya yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan
dan perelokkanlah perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang
yang berusaha supaya baik amalannya." (Surah al-Baqarah:195)
Malah jika diperhalusi aspek
pemeliharaan nyawa menurut perspektif Islam terkandung dalam objektif utama
penurunan syariah ke atas umat manusia sehingga segala sesuatu yang boleh
menyebabkan kehilangan nyawa hendaklah dipandang serius dan seboleh-bolehnya
dielakkan.
Seyogia diingatkan agar setiap
pemandu sentiasa bertimbang rasa dan bersabar semasa memandu. Perancangan rapi
dan mengikut cadangan perjalanan yang dicadangkan oleh pihak PLUS untuk pulang
ke kampung halaman masing-masing juga mampu mengelak sebarang musibah dan
kemalangan yang tidak diingini.
Dalam hal ini umat Islam
digalakkan banyak berdoa dan bertawakkal kepada Allah SWT agar sentiasa
dipelihara sepanjang perjalanan dan dijauhi daripada sebarang musibah yang
menimpa. Antara doa tersebut ialah firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya" (Surah Hud:41)
dan firman-Nya lagi yang bermaksud: "Maha suci Tuhan yang telah memudahkan
kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya."
(Surah al-Zukhruf:13).
Menurut kenyataan Polis Diraja
Malaysia, kira-kira 600,000 kenderaan menggunakan lebuh raya PLUS pada waktu
kemuncak di hujung minggu pada hari-hari biasa. Ia kemudiannya bertambah
menjadi sehingga tiga kali ganda kepada kira-kira 1.5 juta kenderaan pada waktu
kemuncak ketika musim perayaan. Dengan peningkatan bilangan kenderaan yang
begitu tinggi sikap berhati-hati sangat dituntut untuk direalisasikan oleh
semua pengguna jalan raya.
Justeru, sempena cuti umum
menjelang Hari Raya Aidilfitri setiap pengguna jalan raya dinasihatkan tidak
hanya memandu secara berhemah apabila mengetahui terdapat operasi had laju oleh
PDRM ataupun ketika Ops Selamat yang berlangsung mulai 1 Ogos hingga 15 Ogos
ini. Peraturan lalu lintas sedia ada hendaklah sentiasa dipatuhi demi menjaga
keselamatan diri dan orang tersayang. Semoga dengan cara itu musibah dapat
dielakkan dan semua dapat sampai ke destinasi masing-masing dengan penuh
keceriaan dan kegembiraan.
Ajal maut sememangnya ketentuan
Tuhan begitu pula musibah dan kemalangan ketika di jalan raya tidak dapat
dijangka. Akan tetapi jika setiap pengguna jalan raya mengamalkan sikap
berwaspada dan mematuhi had laju dan peraturan jalan raya ia secara umumnya
dapat dielakkan.
Malah bagi kaum Muslimin inilah
masanya untuk mula melestarikan nilai kesabaran yang diperoleh sepanjang
Ramadan. Selama hampir setengah hari setiap individu Muslim sanggup bersabar
menahan lapar dan dahaga, takkan berada hanya beberapa jam di jalan raya nilai
kesabaran mula sirna lalu memandu secara berbahaya serta membabi buta.
Perlu juga diingat Ramadan yang
masih berbaki memerlukan para Muslimin memecut laju mengejar keistimewaan
Ramadan yang akan berakhir menjelang ketibaan 1 Syawal yang mulia. Semangat
juang yang tinggi untuk mengharunginya dengan penuh keimanan dan ketakwaan
kepada Ilahi juga sangat diperlukan pada masa ini. Ramai yang dikhuatiri
tertewas kerana tidak sanggup menanggung ujian di penghujung Ramadan yang
ternyata lebih sukar berbanding sebelumnya.
Umat Islam turut diseru mempersiapkan
diri mencari malam lailatulqadar dengan segala kudrat yang ada kerana ia
peluang seumur hidup yang kemungkinan tidak diberikan lagi pada tahun-tahun
mendatang.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Johor Bahru.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/