Saya beruntung kerana
berkesempatan belajar Bahasa Melayu (BM) daripada Allahyarham Cikgu Mokhtar bin
Talib atau Pak Matlob. Tokoh bahasa dan sastera ini meninggal dunia pada hari
Jumaat baru lalu, berusia 76 tahun. Negara kehilangan munsyi bahasa yang
terakhir.
Saya tidak tahu sejauh manakah
keberkesanan sistem pengajaran BM di sekolah-sekolah kita pada hari ini. Saya
hairan setelah belajar selama sebelas tahun (dari darjah satu hingga tingkatan
lima) pengguna BM masih membuat kesilapan penggunaan semudah penambahan ‘di’
misalnya. Atau tidak dapat membezakan ‘pada’ dan ‘daripada.’ Atau membuang
‘oleh’ sewenang-wenangnya dalam ayat.
Penguasaan bahasa yang lemah
tidak tertakluk pada BM sahaja malah Bahasa Inggeris (BI) juga. Ada yang tidak
boleh menulis ayat yang betul dalam BI apabila sampai tingkatan lima. Hal ini
ditambah buruk oleh dunia maya atau siber apabila singkatan digunakan tanpa
kawalan.
Saya melalui ‘Sistem Matlob’
untuk BM dan ‘Sistem Master Ismail’ untuk BI. Seperti Matlob, Cikgu Ismail Omar
(guru BI dipanggil ‘Master’), seorang guru bahasa yang baik, berdedikasi dan
tegas. Ismail pernah menjadi guru besar di Peserian Primary English School di
Semerah, Batu Pahat. Beliau tidak berkompromi dalam soal bahasa. Bagi anak
kampung yang mengetahui hanya tiga perkataan BI sewaktu masuk ke sekolah, saya
harus belajar lebih kuat berbanding dengan kawan-kawan saya. Kedua-duanya
percaya pada fahaman ‘kesalahan sifar’ dalam bahasa.
Beri penekanan nahu
Untuk mata pelajaran BM, Matlob
menekankan kepentingan nahu. Bahasa bukan bahasa namanya jikalau prinsip nahu
tidak dihormati. Soal perbendaharaan kata, stail, gaya dan lain-lain boleh
dikemudiankan. Beliau memberikan penekanan pada tatabahasa Melayu dan penggunaannya
seharian. Ini membabitkan aspek morfologi dan sintaksis.
Kami diajar tentang keperluan
memahami asas tatabahasa secara tuntas. Bahasa akan rosak jikalau tatabahasa
tidak dipatuhi. Beliau akan memberikan penekanan pada pelbagai aspek tatabahasa
serta kesalahan umum yang dilakukan oleh pelajar. Beliau memberikan penekanan
pada aspek membaca bahan bukan teks. Setiap pelajar diwajibkan membaca karya
sastera dalam pelbagai cabang – novel, cerpen, drama, sajak, syair dan
lain-lain.
Seperti juga Ismail yang
menggalakkan pelajar menghayati nursery rhymes yang popular dalam tradisi
sastera Inggeris, Matlob mengajak pelajarnya mengenal sajak, syair, gurindam
dan lain-lain. Kedua-duanya melihat perlunya pelajar memahami bagaimana
indahnya bahasa dalam karya-karya sedemikian. Novel dan cerpen pula digunakan
untuk mengenal lenggok dan gaya bahasa.
Matlob tidak patuh pada buku
teks. Malah beliau membuat buku panduan tatabahasa sendiri yang disikostail
untuk kegunaan pelajarnya. Mungkin ketika itu sukatan pelajaran lebih bebas dan
anjal dan para guru tidak perlu menganggap buku teks sebagai kitab mutlak. Pada
ketika itu juga pasaran tidak dibanjiri oleh buku kerja yang pada akhirnya
menjadi bahan pergantungan utama guru-guru.
Tentu tidak mudah mengembalikan
‘Kaedah Matlob’ atau ‘Master Ismail’ dalam sistem pembelajaran BM dan BI hari
ini. Tetapi ada baiknya sebahagian amalan mereka itu diguna pakai. Ini bagi
memastikan penggunaan bahasa yang lebih baik, betul dan tepat.
Pakar tulisan jawi
Matlob juga dianggap ‘pandai
jawi’, bermakna beliau pakar tulisan jawi. Sewaktu saya menjadi Ketua Pengarang
Kumpulan Utusan Melayu (1992-1998) beliau saya lantik sebagai penasihat jawi
untuk akhbar Utusan Melayu dalam tulisan jawi. Sayangnya akhbar itu sudah
dihentikan penerbitan hariannya mulai tahun 2002 setelah 63 tahun di pasaran
(bermula pada tahun 1939). Ejaan jawi nampaknya tidak ada tempat di tengah
masyarakat Melayu/Islam di negara ini.
Beliau juga menjadi salah seorang
perunding jawi apabila DBP melaksanakan ejaan jawi baharu. Bagi Matlob, tulisan
jawi teras dan roh orang Melayu/Islam. Tulisan itu mendekatkan kita kepada
tulisan Arab di dalam Al Quran. Bagi beliau, adalah menjadi tanggungjawab
setiap orang Melayu/Islam untuk menguasai tulisan yang satu masa dahulu menjadi
tulisan rasmi sastera, diplomasi dan dagang di rantau ini.
Matlob akan sentiasa diingat
kerana sumbangan beliau sebagai tokoh bahasa.
Sumber : http : //ww.bharian.com.my/