Rabu, 18 September 2013

ISU PENDIDIKAN : Menjana kepakaran guru


Oleh : MD ISHAK A. RAHMAN

Pada alaf ini, pendidikan di sekolah tidak harus memencilkan diri dan bergerak tanpa hala tuju yang jelas dan selaras. Sekolah perlu melihat kejayaan sekolah lain untuk dijadikan model melalui perkongsian bestari.

Demikian juga, guru sebagai petugas pendidikan tidak seharusnya berpuas hati dengan kemahiran yang diterima semasa di kampus. Sebaliknya, mereka perlu menggali dan mencari kepakaran dalam bidang mereka melalui perkongsian bestari.

Mereka boleh membentuk kumpulan rakan sekerja untuk membangunkan program di sekolah. Aktiviti ini dapat meningkatkan kepakaran mereka dalam tugas yang dipertanggungjawabkan.

Setiap sekolah mudah mengakses maklumat daripada pelbagai sumber untuk mendapat maklumat. Pengetua atau guru besar selaku pengurus sekolah mempunyai peranan penting untuk memilih hala tuju masing-masing dan tidak hanya menunggu arahan daripada pihak lain.

Pengetua atau guru besar harus melakukan perkongsian bestari di sekolah dengan institusi pendidikan di tempat lain.

Perkongsian bestari dapat difahamkan sebagai pertukaran pendapat, program, modul, aktiviti dan sebagainya di sekolah atau tempat lain untuk dilaksanakan di sekolah masing-masing.

Program perkongsian ilmu dapat dilaksanakan oleh kumpulan pemimpin dan pelaksana pendidikan di sekolah. Tegasnya, mereka tidak boleh berseorangan untuk membina kecemerlangan sekolah.

Perkongsian bestari harus dimulakan secara mikro hingga peringkat makro.

Mikro melibatkan sekumpulan guru di sekolah. Contohnya program lesson study iaitu sekumpulan guru yang merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersama-sama.

Akhirnya, mereka bukan sahaja mendapat hasil yang cemerlang, malah memperoleh kepakaran yang menjadi rujukan pihak lain.

Sementara program makro melibatkan guru dan pelajar di sekolah dengan guru-guru sekolah lain di peringkat daerah, negeri, kebangsaan atau antarabangsa.

Selain mengakses media massa, mereka boleh mengadakan lawatan ke negara lain untuk mengadakan perkongsian bestari. Langkah ini membolehkan mereka melihat sendiri dan merasai pengalaman orang lain.

Sekolah telah melaksanakan program Kumpulan Mutu Kerja (KMK), kajian tindakan dan sebagainya yang diubah suai dengan ukuran pendidikan untuk mencari jalan meningkatkan kecemerlangan di sekolah.

Mereka membuat kajian serta pelaksanaan aktiviti di sekolah berdasarkan kekuatan dan ancaman yang terdapat di sekolah. Penemuan mereka sudah pasti boleh menjadi rujukan guru-guru lain atau sekolah-sekolah lain.

Sekolah juga boleh membuat perkongsian bestari dengan sekolah berhampiran. Mereka duduk bersama dengan mengadakan seminar, pembentangan kertas kerja atau sebagainya. Mereka boleh memanfaatkan guru cemerlang di sekolah masing-masing atau menggunakan kepakaran dan kejayaan sekolah untuk dikongsi bersama dengan sekolah berhampiran.

Sekolah juga boleh mengadakan lawatan penanda aras di sekolah-sekolah yang telah berjaya melaksanakan program mereka. Lawatan tersebut boleh dijadikan asas untuk dilaksanakan di sekolah mereka selaras dengan keperluan dan kekuatan yang ada di sekolah masing-masing.

Sementara sekolah yang telah terbukti dan diiktiraf mencapai kecemerlangan dengan penganugerahan sekolah bestari, sekolah berprestasi tinggi atau sekolah yang mendapat bai'ah, seharusnya menguar-uarkan program mereka melalui media massa atau blog agar dapat dikongsi bersama dengan sekolah-sekolah lain.

Sekolah kluster cemerlang ini boleh menjemput sekolah lain untuk datang ke sekolah mereka bagi melihat program yang telah dilaksanakan. Langkah ini secara tidak langsung membantu negara untuk meningkatkan mutu pendidikan.

Guru yang kreatif boleh merancang dan melaksanakan program kecemerlangan dengan memilih aktiviti yang sesuai di sekolah masing-masing berdasarkan latar belakang dan persekitaran sekolah.

Situasi sekolah di bandar berbeza dengan sekolah di luar bandar, sekolah asrama, sekolah berprestasi tinggi dengan sekolah harian. Kepakaran guru di sekolah berkenaan masih boleh diterapkan di sekolah lain melalui usaha kreatif guru.

Melalui perkongsian bestari dapat membuka minda guru melaksanakan sesuatu di sekolah serta meningkatkan kepakaran mereka. Langkah ini amat dituntut demi melahirkan lebih ramai guru yang benar-benar menguasai pedagogi pendidikan. Pengalaman mereka amat diperlukan untuk melaksanakan program Rakan Peningkatan Sekolah (SiPartners+) dan Pembimbing Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) yang akan dilaksanakan menjelang 2014.

SMK Ledang, Johor

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 24 buah sekolah diiktiraf SBT


PUTRAJAYA 18 Sept. - Kementerian Pendidikan mengiktiraf 24 lagi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) membabitkan 14 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah di bawah kohort keempat tahun ini.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan SBT di seluruh negara sebanyak 115 buah sekolah.

Beliau berkata, sasaran kementerian bagi membangun dan mewujudkan 10 buah SBT setiap tahun dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 telah tercapai dengan jayanya, lebih membanggakan melepasi sasaran apabila 24 buah sekolah mendapat pengiktirafan itu.

Peruntukan khas akan diberikan kepada 24 SBT terbaharu ini berjumlah RM16.8 juta iaitu RM700,000 untuk tahun pertama, tahun kedua RM500,000 dan RM300,000 untuk tahun ketiga bagi setiap sekolah.

Jumlah itu khusus untuk membantu bagi mengangkat kualiti pendidikan murid-murid negara ini ke satu tahap setanding dengan standard antarabangsa," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching; Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan I, Datuk Dr. Madinah Mohamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan II, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.

Menurut Idris, kementerian sangat berpuas hati pelaksanaan dan pencapaian cemerlang 91 SBT terdahulu yang telah diiktiraf mulai tahun 2010, sehubungan itu kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan SBT sehingga 2015.

Katanya, pada tahun ini kesemua SBT berkenaan telah menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang merangkumi akademik, kokurikulum dan juga sukan di peringkat antarabangsa.

Dengan pengiktirafan terbaharu ini, diharapkan kesemua SBT mampu menghasilkan murid cemerlang yang merupakan pewaris negara di masa hadapan.

Selaras dengan hasrat SBT, pelajar mestilah mampu mendahului dalam memperoleh pencapaian yang cemerlang yang menjadi aspirasi kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang diperkenalkan kerajaan," katanya.

Senarai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)  Tahun 2013 Kohort 4 :

JOHOR
SK Tengku Mariam
SJKT Ladang Rem
SMK Dato’ Penggawa Barat

KEDAH
SM Sains Kubang Pasu

KELANTAN
SM Sains Machang

MELAKA
SK Convent of the Infant Jesus 1 (M)
SMKA Sharifah Rodziah

NEGERI  SEMBILAN
SBP Integrasi Jempol

PAHANG
SK Convent

PERAK
SK Sultan Idris II
SK Marian Convent
SM Sains Raja Tun Azlan Shah
SBP Integrasi Gopeng

PULAU PINANG
SK Convent Green Lane
SJK (C) Han Chiang
SMKA Al-Irshad

SELANGOR
SK Taman Megah
SK Bukit Jelutong
SK Sri Petaling
SMA Persekutuan Kajang
SBP Integrasi  Rawang

PUTRA JAYA
SK Putrajaya Presint 11 (1)

KUALA  LUMPUR
SK Convent Bukit Nanas (1)
SJK (C) Kuen Cheng 2

Sumber:  http: //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Kisah stigma negatif orang gemuk di Malaysia


Oleh : Fauziah Arof

MALAYSIA negara untuk orang gemuk? Negara yang kecil ini dikatakan mempunyai bilangan orang gemuk yang paling ramai di Asia Tenggara dan berada di tempat keenam di seluruh Asia dan membelakangi beberapa buah negara Asia Barat.

Ini bukanlah sesuatu kenyataan yang melucukan atau isu remeh yang boleh dibuat lawak apatah lagi mengaitkannya dengan pencapaian yang cemerlang, jauh sama sekali.

Sememangnya masalah obesiti dalam kalangan rakyat di negara ini sudah lama berlaku. Sebelum-sebelum ini pun kita sudah didedahkan dengan banyak statistik mengenai bilangan obesiti yang membabitkan golongan tua, muda dan kanak-kanak di negara ini.

Dan semua orang pun tahu, obesiti boleh mengakibatkan penyakit jantung, strok, tekanan darah tinggi, diabetis, dan kanser. Justeru, banyaklah kempen kesedaran dan peringatan dilakukan oleh Kementerian Kesihatan terhadap orang ramai tentang bahayanya berat badan yang berlebihan ini.

Dalam pada itu, kita juga pun mengakui, negara kita ini mewah dengan makanan-makanannya. Kita memang mewah dengan budaya menjamu selera itu dan ini, rumah terbuka diadakan di sana sini walaupun Hari Raya sudah habis, sering ada majlis makan-makan, sehingga mesyuarat-mesyuarat yang kecil di pejabat-pejabat pun mesti ada jamuan makan.

Pun begitu, ada satu stigma negatif atau persepsi dalam masyarakat kita, yang tidak seharusnya ada tentang obesiti ini iaitu memandang rendah kepada keupayaan orang gemuk.

Bukan semua mempunyai tanggapan begitu tetapi pandangan mengejek apabila melihat orang gemuk kadangkala kelihatan walaupun tanpa disedari.

Dan disebabkan itu, ada yang tidak melihat kepada bakat dan kemahiran yang ada pada orang gemuk ini. Dan lebih teruk, sesetengah majikan pula tidak mahu mengambil pekerja yang gemuk.

Bukan kerja itu memerlukan dia berlari pun, bukan kerja itu menyuruh dia memanjat pokok kelapa, bukit atau gunung pun. Tetapi itulah, sebab dia gemuk, bakat dan pendidikan yang ada padanya diketepikan. Penampilan amat perlu!

Saya pernah mendengar rintihan seorang kawan yang gemuk. Dia memang berbakat besar dalam bidang penulisan dan saya mengakuinya. Membaca tulisan-tulisannya yang tajam dan adakalanya menyentuh perasaan, saya tahu dalam usia semuda itu, dia memang boleh pergi jauh.

Tetapi apabila dia meminta kerja dalam sebuah organisasi media, dia telah dihina semasa sesi temuduga. Dia dinilai melalui penampilannya, first impression kata orang, bukan dinilai daripada bakatnya.

Saya memahami jika dia tidak diambil bekerja kerana mungkin syarikat berkenaan tidak mahu menanggung bil-bil hospital atau klinik yang tinggi kerana bimbang dia akan mengalami banyak penyakit, tetapi janganlah sampai memperlekeh dan menghinanya.

Jika bukan kerana minatnya itu, sudah tentu dia tidak meminta bekerja di situ. Dia kini, saya kira sudah berjaya. Dia bekerja sebagai seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi dan saya amat bangga dengan ketabahannya.

Kita lihat sajalah dalam bidang seni pun, berapa ramai sangat orang gemuk diberi peluang dan sentiasa ke depan. Yang ada pun sebab mereka benar-benar bagus, menyerlah dan bakatnya memang tidak boleh dinafi dan diketepikan. Tetapi untuk mencapai ke tahap itu pun tentu ada cerita-cerita duka yang dilaluinya.

Saya juga mendengar daripada rakan-rakan saya yang gemuk, betapa berlakunya macam-macam diskriminasi terhadap mereka dalam kerja. Dan yang lebih menyakitkan hati mereka ini disifatkan sebagai bahan lawak dan memberi komedi dalam pejabat sahaja.

Itulah antara mentaliti kebanyakan orang kita, menilai orang melalui penampilan paras rupa. Yang diutamakan, wajah cantik dan segak bergaya. Kualiti kerja tolak ke tepi dulu. Dan persepsi atau stigma-stigma negatif yang telah berlarutan sekian lama ini, akhirnya berterusan ke generasi-generasi seterusnya.

Sebab itu, kita masih mendengar, anak-anak kecil yang gemuk diejek dan dijadikan bahan persenda oleh kawan-kawan mereka di sekolah.

Jika kanak-kanak itu tidak mudah sensitif atau jenis tidak kisah, tidak mengapa, bagaimana kalau yang cepat merasa rendah diri? Sudah tentu ini sedikit sebanyak menganggu proses pergaulan dan pembelajaran mereka di sekolah.

Itulah kadang-kala kita fikir bahawa penyakit diabetis, penyakit jantung dan penyakit-penyakit berkaitannya memberi stress atau tekanan kepada orang yang obes ini, tetapi hakikatnya yang mendatangkan lebih stress kepada mereka adalah stigma negatif masyarakat sekeliling!

Sumber : http : //www.utusan.com.my/