TULISAN seorang insan bernama
Shashi Kumar dari Shah Alam dalam sebuah akhbar bahasa Inggeris Sabtu lalu
membuka mata kita betapa kurang minat dan perhatian diberikan oleh sesetengah
rakyat negara ini terhadap bahasa negara mereka sendiri iaitu bahasa Melayu.
Anehnya mereka ini sering sahaja
mendabik dada bahawa mereka ialah orang Malaysia sejati apabila ditegur tidak
patriotik. Apa rakyat Malaysianya kalau bahasa negara sendiri pun tidak tahu
malah tergamak berkata 'gua tak boleh cakap Melayu' bila ditegur sapa atau
ditanya dalam bahasa Melayu.
Orang begini sememangnya tidak
patriotik sebagaimana dinyatakan Shashi Kumar. Apa tidaknya dengan negara sudah
pun lebih 55 tahun merdeka tidak sepatutnya masih wujud rakyat negara ini yang
tidak boleh bercakap Melayu dan sedikit pun tidak mahu berusaha untuk boleh
bertutur bahasa negara ini yang mereka sendiri akui sebagai negara mereka.
Apakah orang macam ini tidak
berasa malu bahawa pekerja asing baik dari Bangladesh, Nepal, India, Vietnam
atau dari mana sahaja pun boleh bertutur bahasa Melayu hanya setelah berada di
sini selama beberapa bulan sahaja? Inikan bagi mereka yang kononnya rakyat
Malaysia dilahirkan di sini selama berpuluh tahun lalu tetapi sedikit pun tidak
mahu berusaha untuk menguasai bahasa negara sendiri.
Kita masih boleh terima mereka yang
sudah pun berada di sini sejak sebelum merdeka tetapi tidak berpeluang untuk
menggunakan bahasa Melayu kerana telah bergaul sesama puak mereka sahaja.
Pengabaian terhadap penggunaan
bahasa Melayu di negara ini oleh anasir-anasir tertentu sedemikian termasuklah
beberapa pemaju perumahan. Ia memberi gambaran semacam ada arahan atau
peraturan daripada Persatuan Pemaju supaya ahli-ahlinya mengabaikan sahaja
penggunaan bahasa Melayu.
Apa tidaknya dalam
risalah-risalah jualan perumahan yang diedarkan hanya ditulis dalam bahasa
Inggeris dan Mandarin sahaja. Sepatah perkataan Melayu pun tidak terdapat dalam
risalah-risalah itu melainkan nama pemaju itu sahaja, seperti Keris Properties
Sdn. Bhd. atau nama Jalan di mana perumahan itu sedang dibangunkan.
Risalah demikian berterusan
diedarkan dengan menyelitkannya dalam akhbar yang diedarkan ke rumah-rumah
termasuk akhbar berbahasa Melayu.
Yang lebih menakjubkan pemaju
begini sanggup pula mengedarkan risalah mereka di kawasan-kawasan Melayu
misalnya di Shah Alam.
Ia memberi gambaran seolah-olah
mereka mencabar rakyat dan pihak berkuasa terhadap penggunaan bahasa negara
sendiri. Pihak berkuasa tempatan seharusnya lebih prihatin tidak membenarkan
pemaju demikian berleluasa mengabaikan bahasa negara sendiri.
Tentunya kita tidak terfikir
rakyat negara-negara seperti Perancis, Jepun atau pun Jerman akan mengabaikan
bahasa mereka sendiri.
Masalahnya warga negara macam ini
belajar di sekolah Cina di mana mereka diajar BM hanya untuk lulus mata
pelajaran itu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tidak ada usaha
sebenar untuk membolehkan murid-murid sekolah demikian dapat menguasai dan
boleh bertutur BM dengan baik.
Ini adalah kerana pelbagai
pertubuhan Cina seperti Dong Zong begitu sekali menekankan semua orang Cina
perlu menguasai bahasa Mandarin. Sememangnya tidak salah bagi mereka memberi
perhatian kepada bahasa mereka tetapi tentunya tidaklah sehingga mengabaikan BM
hingga nak bercakap Melayu pun tidak boleh.
Hasrat demikian inilah yang
menyebabkan kenapa begitu ramai lulusan sekolah Cina yang berterusan bergaul
sesama sendiri hingga berpendapat mereka tidak perlu tahu bercakap BM atau
tidak berusaha cuba dapat bertutur BM. Mereka seolah-olah bukan berada di bumi
Malaysia tetapi di Hong Kong, Taiwan atau China.
Sudah tiba masanya kerajaan
melakukan sesuatu untuk memastikan mereka ini sekurang-kurangnya boleh bertutur
BM. Jabatan Pelajaran harus membuat ketetapan agar seorang calon kertas BM
untuk SPM tidak akan diluluskan kiranya tidak lulus dalam ujian pertuturan bahasa
Melayu.
Peraturan demikian inilah sahaja
yang akan 'memaksa' murid-murid sekolah Cina berusaha lebih serius menguasai BM
atau sekurang-kurangnya boleh bercakap Melayu.
PENULIS ialah Fellow Kanan,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sumber : http : //www.utusan.com.my/