Khamis, 6 Februari 2014

ISU EKONOMI : Kenaikan harga perlu penyelesaian lestari


Oleh :  PROF. FATIMAH MOHAMED ARSHAD

TURUN naik harga makanan adalah norma pasaran. Rata-rata hakikat ini diterima oleh rakyat jelata. Malahan pasaran perlukan harga turun dan naik untuk membolehkan masalah lebihan atau kekurangan produk diatasi. Apabila berlaku lambakan, hanya melalui harga yang rendah, stok berlebihan boleh dijual, begitu juga sebaliknya. Ini adalah fungsi asas harga.

Tetapi, apabila kenaikan harga melebihi paras normal, atau harga meningkat berlebihan, gejala ini sukar diterima oleh pengguna terutama yang berpendapatan rendah. Kegelisahan mereka ini sebenarnya berasas.

Ini kerana sejak kebelakangan ini, harga makanan menampilkan peningkatan lebih daripada biasa atau berlebihan. Peratus peningkatan lebih tinggi daripada yang ditunjukkan sebelum ini.

Persoalan yang timbul adalah: Adakah peningkatan ini disebabkan oleh ketidakseimbangan penawaran dan permintaan atau disebabkan oleh orang tengah atau peniaga yang sengaja mahu menangguk keuntungan di dalam situasi pasaran yang menunjukkan trend harga menaik?

Menuding kepada orang tengah sudah menjadi jalan mudah untuk mencari jawapan. Hanya data boleh menjawab persoalan ini, iaitu dengan membandingkan kos pengeluaran dan keuntungan. Semudah itu. Tetapi nampaknya data bukan prioriti utama setakat ini.

Namun, penelitian ke atas dinamik perseki¬taran semasa merumuskan kenaikan harga disebabkan oleh gabungan faktor fundamental dan teknikal. Faktor fundamental merujuk kepada interaksi penawaran dan permintaan. Faktor teknikal merujuk kepada persepsi pengeluar, peniaga dan pengguna mengenai trend pasaran dan yang lebih penting, tindakan yang mereka ambil.

Apabila permintaan mengejar pena¬waran, harga akan meningkat. Dan apabila penawaran melebihi permintaan, harga akan jatuh. Ini hukum pasaran bebas. Peningkatan taraf hidup, penduduk yang bertambah (di mana dua juta lebih ialah pendatang), gaya hidup yang berbeza dan pola pemakanan yang berubah telah meningkatkan permintaan semua produk dan komoditi makanan.

Dalam kalangan pengguna berpendapatan rendah, permintaan ke atas beras meningkat dan makanan harian yang lain seperti sayur, buah, ikan dan ayam daging. Dalam kalangan pengguna berpendapatan tinggi pula, permintaan ke atas makanan ‘berkualiti’, ‘berkhasiat’ dan ‘segera’ telah meningkat. Ini termasuk ayam daging, produk tenusu, sayur segar dan buah-buahan temperate, daging lembu dan kambing import serta makanan proses.

Tetapi pengeluaran makanan dalam negeri tidak serancak permintaan.

Data menunjukkan bahawa pengeluaran makanan di Malaysia masih bergerak dalam kadar perlahan dan pergantungan kepada import masih lagi serius. Sektor pengeluaran masih di takuk lama terutama dari segi teknologi (pengeluaran dan lepas tuai) sehingga bekalannya sering tidak stabil. Ini kerana tanpa teknologi yang sesuai, pengeluar tidak dapat mengawal penyakit atau produktiviti rendah, kerugian lepas tuai tinggi dan tidak dapat menangani masalah cabaran cuaca.

Pensijilan dan pengawalan kualiti masih jauh di bawah apa yang diamalkan oleh Thailand. Produktiviti buah-buahan dan sayur-sayuran di Malaysia terendah di rantau ASEAN. Kemajuan dalam pengeluaran daging lembu dan kambing masih belum boleh dimegahkan.

Apabila pengeluaran masih di tahap tradisional, kecil-kecilan, sebarang kejutan seperti penyakit dan cuaca buruk menyebabkan penawaran menjadi tidak menentu dari segi kuantiti dan kualiti. Sering kita dengar, bila berlaku lambakan durian, buah dokong dan rambutan, harga sangat rendah kerana tiada laluan untuk diproses. Kegunaan untuk diproses adalah sangat-sangat minimum.

Pengeluaran komoditi makanan yang tidak menentu berdepan dengan permintaan makanan yang tidak anjal ataupun tidak berubah dengan pantas apabila paras harga berubah. Maka tidak menghairankan apabila harga meningkat dengan mendadak apabila berlaku kejutan seperti banjir, wabak penyakit dan cabaran lain.

Dalam kata ringkas, pengeluaran makanan di Malaysia tidak memiliki kapasiti bertahan kerana sangat sensitif kepada gejala alam dan perubahan pasaran. Inovasi yang ada tidak mencukupi untuk mem¬bendung masalah ini.

Import makanan nampaknya mewah, iaitu bekalannya terjamin dan boleh disumber dari banyak negara pengeluar. Ketersediaan import secara tidak langsung tidak mendorong sektor makanan negara untuk menjana pembaharuan.

Malaysia memilih untuk mengimport buruh murah dari luar negara bekerja dalam kebun sayur atau ladang daripada meningkatkan kecekapan dan produktiviti tanah, buruh dan modal. Ia mengatasi masa lah kekurangan buruh dalam jangka pendek tetapi tidak meningkatkan produktiviti dalam jangka masa panjang.

Kenaikan harga makanan juga didorong oleh kenaikan dalam harga input seperti baja, bahan kimia, tanah, buruh dan mesin. Walaupun kerajaan melindungi harga petrol dan diesel, namun harga baja telah meningkat 70% dalam dua tahun lepas dan tahap upah juga meningkat.

Dalam pasaran makanan yang tidak menentu dan berisiko tinggi, persepsi adalah pertimbangan utama kepada pengeluar, peniaga dan pengguna dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan.

Peserta industri membaca dan membentuk persepsi ke atas pengumuman mengenai pelaksanaan GST, penarikan subsidi gula, kenaikan kos input dan upah serta rancangan untuk menarik pelbagai subsidi terutama petrol secara berperingkat-peringkat. Besar kemungkinan peniaga mengambil langkah berjaga-jaga dengan meningkatkan paras harga untuk memi¬nimumkan impak perubahan semua ini ke atas perniagaan mereka.

Faktor di atas adalah yang mudah dipertahankan untuk menerangkan gejala kenaikan harga. Namun, faktor serius yang tidak disedari ramai adalah faktor sistemik yang menular sekian lama, iaitu peminggiran sektor makanan kerana penekanan kepada perindustrian mulai 1980-an. Seperti yang terbukti pada 2008, kejutan krisis mendedahkan daya tahan sektor makanan negara yang tipis sehingga menggugat sekuriti ma¬kanan.

Apakah opsyen kepada Malaysia untuk membendung kenaikan harga ini? Seperti biasa, penyelesaian jangka pendek mudah dilaksanakan. Tetapi penyelesaian yang lestari memerlukan perancangan dan komitmen politik yang jitu.

Strategi jangka masa pendek termasuk mengimport produk dan komoditi makanan. Penawaran boleh dianggap stabil kerana kebangkitan negara pengeksport seperti China, India, Vietnam, Myanmar selain pasaran yang telah bertapak lama seperti Thailand.

Memantau dan mengawal harga makanan memang strategi yang baik, tetapi  ia memerlukan sokongan seperti pasaran yang kompetitif, sistem maklumat pasaran yang cekap dan kesedaran dan keprihatinan dalam kalangan pengguna.

Dalam jangka masa panjang, apa yang lestari dan berkekalan adalah struktur industri makanan yang dinamik dan bertumbuh. Masalah struktur dan sis¬temik yang membatasi kemajuan sektor ini dalam dekad-dekad yang lepas perlu diperbaiki.

Pengalaman di Taiwan, Korea dan Thailand dan di negara Barat menunjukkan pendorong utama kepada pertumbuhan adalah teknologi. Teknologi boleh membantu dari segi kecekapan kos, produktiviti, nilai tambah yang tinggi.

Cabaran seperti tarikan sumber yang kuat daripada sektor industri dan bukan makanan, perlu perlu ditangani dengan lebih banyak suntikan pelaburan infrastruktur, insentif, sokongan institusi dan R&D. Semua ini telah tercatat dalam polisi pertanian negara, tetapi memerlukan penekanan yang lebih serius dan pendekatan baru.

PENULIS ialah Pengarah Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan (Infoport), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/