KONSEP pemikiran Reset Minda
menekankan, betapa dalam hidup ini perlu menjaga atau mengawal akal dan hati.
Hal ini adalah kerana hati akan berkait dengan emosi dan akal pula berkait
dengan fikiran. Antara akal dengan hati, kedua-duanya saling berkait, yang
bermaksud emosi menentukan keadaan fizikal dan fizikal pula menentukan keadaan
emosi.
Contohnya jika emosi kita
baik/positif (bahagia, berbaik sangka dengan orang, suka bantu tolong orang,
mempermudah urusan orang dan seumpamanya) fizikal kita akan turut baik/positif
(sihat, cergas, pintar, cekap, bertenaga dan seumpamanya). Demikianlah
sebaliknya, jika hati kita buruk/negatif, emosi akan menjadi buruk/negatif dan
akhirnya memberikan kesan kepada fizikal/tubuh badan kita.
Analoginya, ambil sebatang besi
yang berkarat dan genggam besi itu sekuat-kuatnya. Tentu tangan kita berasa
sakit! Adakah kita akan terus menggenggam besi berkarat itu sampai bila-bila
atau kita segera melepaskannya? Dalam situasi ini adalah lebih baik jika kita
membalingnya sejauh mungkin dari diri kita, agar besi itu tidak mencederakan
kita lagi dan mencederakan orang sekeliling kita, terutama orang yang kita
sayangi.
Begitulah dalam keadaan menempuh
kehidupan ini, sesuatu yang menyakitkan hati kita, yang akan memberikan kesan
negatif kepada emosi dan memeningkan akal kita mestilah kita hindarkan
jauh-jauh dan sesegera mungkin. Hal ini adalah kerana apa-apa yang kita fikir
dan percaya akan menjadi tindakan dan hasil kehidupan (dari segi bahagia,
tenang, sihat dan kewangan kita) yang akhirnya memberikan kesan kepada fizikal.
Jika kita diumpat atau dihina
orang, adakah kita akan marah dan menyimpan dendam? Patutkah kita menyimpan
perasaan negatif itu hingga berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan atau
bertahun-tahun? Sedangkan orang yang mengumpat, mengata, dan mengutuk kita itu,
mungkin hanya menggunakan masanya lima minit sahaja untuk memuaskan hati
negatifnya dan melunaskan tabiat negatifnya itu.
Akhirnya akibat memendam rasa,
kita mengalami tekanan perasaan/stres dan mudah diserang pelbagai jenis
penyakit. Jangan menyalahi nasib diri, berasa rendah diri, tidak yakin kepada
kemampuan dan kebolehan diri sendiri. Ingatlah bahawa kita hamba Allah, kita
sama sahaja ada lebih dan kurangnya. Kelebihan kita melengkapkan kekurangan orang,
dan kekurangan kita dilengkapkan oleh kelebihan orang lain." Yang hebat
hanyalah Allah SWT.
Tip hidup bahagia
Tip untuk menjadikan kehidupan
ini bahagia, ceria dan bermakna. Pertama, belajar untuk tenang dan
rehat-rehatkan minda.
Kedua, masuk ke dalam bilik dan duduk bersendirian, untuk renungkan diri dan bermuhasabah diri atau melihat ke dalam diri kita. Cari di mana kekurangan diri kita yang perlu diperbaiki dan di mana kebaikan yang perlu dipertingkatkan. Ingat, orang yang tidak suka hidup bersendirian bermakna dirinya berada dalam kategori orang yang tidak menyayangi dirinya. Orang yang tidak sayang akan dirinya ialah orang yang tidak sayang Allah dan tidak bersyukur kepada-Nya.
Kedua, masuk ke dalam bilik dan duduk bersendirian, untuk renungkan diri dan bermuhasabah diri atau melihat ke dalam diri kita. Cari di mana kekurangan diri kita yang perlu diperbaiki dan di mana kebaikan yang perlu dipertingkatkan. Ingat, orang yang tidak suka hidup bersendirian bermakna dirinya berada dalam kategori orang yang tidak menyayangi dirinya. Orang yang tidak sayang akan dirinya ialah orang yang tidak sayang Allah dan tidak bersyukur kepada-Nya.
Ketiga, gunakan kaedah senaman cermin minda. Gunakan
otak atau minda untuk membuat keputusan hidup kita. Bayangkan apa yang kita
hendak jadi atau fokuskan pada masa akan datang, dengan tengok kekuatan dan
kebolehan kita (refleksi diri). Gambaran dalam fikiran kita itulah kehidupan
kita.
Keempat, cakap yang baik-baik sahaja
dan fikir yang baik-baik sahaja tentang diri kita. Kerana kata-kata kita adalah
doa dan tindakan Allah berdasarkan apa yang ada dalam fikiran kita. Jika kita
bersangka baik maka baiklah jadinya, sebaliknya jika bersangka buruk maka
buruklah jadinya.
Semoga sifat positif menjadi
amalan kita dan niat untuk bahagia dan membahagiakan sentiasa ada. Ingatlah
yang paling berharga dalam hidup ini ada dua. Pertama, masa. Iaitu masa lalu
menjadi sempadan kehidupan kita dan masa hadapan menjadi perjuangan hidup kita.
Masa yang berlalu tidak boleh ditebus, dibeli atau diganti, maka itu hargailah
setiap detik waktu dengan perkara yang berharga. Kurangkan bercakap tetapi
lebihkan tindakan yang cekap. Kata Profesor Hamka, Orang
yang bijaksana itu dikenali daripada ringkasnya kata-kata dan indahnya
pergaulan".
Janganlah jadi orang yang hidup
dalam kesedaran keegoan yang tinggi dan sangat menjaga reputasi berdasarkan
tanggapan orang lain atau terlalu memikir apa yang orang lain kata. Tetapi
jadilah, manusia yang kesedaran ketuhanannya sangat tinggi yang hanya fikirkan
apakah pandangan Allah. Jadilah orang yang menjaga hubungannya dengan Allah dan
sesama manusia serta bebas daripada penghargaan atau cemuhan manusia. Jadilah
orang yang berilmu, yang menggunakan ilmunya untuk memberi ilmu yang bermanfaat
kepada orang lain. Dan jadilah orang kaya yang menggunakan harta kekayaannya
pada jalan Allah.
Kitalah yang memimpin diri kita,
sama ada untuk mencorakkan hidup kita dengan warna-warni ceria atau warna-warni
suram dalam sepanjang kehidupan kita. Bagaimana kita melihat dunia ini, ibarat
kita memakai cermin mata. Jika cermin mata pilihan kita berwarna hitam, kita
akan melihat dunia ini dengan warna kehitaman. Jika memakai cermin mata
berwarna coklat, dunia yang kita pandang akan berwarna coklat.
Andainya kita memilih cermin mata
berkaca cerah, akan cerahlah dunia yang kita pandang. Sesungguhnya tangan
kitalah yang menentukan cermin mata kehidupan pilihan kita. Maksudnya, kita yang memimpin diri kita jalan
yang menjadi laluan hidup kita. Jom jaga
diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".
Penulis ialah Profesor Oftalmologi, Allianze University College of
Medical Sciences (AUCMS) dan Penceramah Utama Jelajah Celik Famili dan Felo
Dakwah Yadim.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/