PETALING JAYA : Malaysia adalah antara 25 negara yang paling
berbahaya bagi pengguna jalan raya, dengan mencatatkan 30 kematian bagi setiap
100,000 individu, menurut kajian oleh Universiti Michigan.
Dikendalikan oleh Institut Penyelidikan Pengangkutan universiti
itu menggunakan data 193 negara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), senarai
kajian pada Februari 2014 menunjukkan Malaysia sebagai negara ke-17 yang paling
berbahaya untuk pemandu.
Satu-satunya negara Asia Tenggara lain yang berada dalam
ranking 25 yang paling berbahaya ialah Thailand yang menduduki tempat kedua
paling berbahaya untuk pemandu, dengan 44 kematian bagi setiap 100,000 orang.
Dalam perbandingan yang dilakukan, Amerika Syarikat hanya 14
mencatatkan kematian, Perancis tujuh, Jerman dan Singapura enam, dan United
Kingdom hanya lima kematian bagi setiap 100,000 orang.
Purata kematian dunia adalah 18 kematian bagi setiap 100,000
orang.
Namibia mendahului senarai yang paling berbahaya dengan 45
kematian dan tempat paling selamat adalah negara dengan pulau kecil, Maldives
yang mencatatkan dua kematian.
Semua 25 negara yang tersenarai sebagai paling berbahaya,
sama ada negara membangun atau negara kurang membangun.
Sebagai tindak balas mengapa Malaysia berada di kedudukan
antara yang paling berbahaya, penyelidik Brandon Schoettle mencadangkan bahawa
pembangunan mungkin mempunyai peranan yang besar dalam perkara ini.
"Walaupun saya tidak boleh bercakap secara khusus
mengenai Malaysia, kita tahu bahawa dengan peningkatan pembangunan bagi sebuah
negara, kemalangan maut juga sering meningkat, " katanya sambil merujuk
China dan India sebagai contoh.
Negara-negara pulau seperti Malta (tiga kematian bagi setiap
100,000), Fiji (empat), Kepulauan Marshall (empat) dan Tonga (empat) adalah
negara-negara di mana kurang kemungkinan kematian akibat kemalangan jalan raya,
mungkin kerana tahap kenderaan bermotor yang rendah.
Di seluruh dunia, didapati bahawa kematian akibat kemalangan
jalan raya membentuk hanya 2.1 peratus daripada kematian lain-lain.
Emiriah Arab Bersatu telah menduduki peratusan tertinggi
dalam kemalangan maut jalan raya dengan 15.9 peratus.
Kajian ini dijalankan untuk membandingkan nisbah kematian
kemalangan jalan raya dengan sebab-sebab utama kematian lain.
Kematian bagi setiap penduduk akibat kemalangan jalan raya
dibandingkan dengan kematian daripada sebab-sebab utama kematian yang lain
seperti 'neoplasma malignan' (kanser) dan penyakit jantung iskemia serta
penyakit serebrovaskular.
Mengikut purata dunia, didapati bahawa manusia enam kali
lebih berkemungkinan untuk mati akibat penyakit jantung daripada mati dalam
kemalangan kereta.
Rakyat Malaysia mempunyai 2.5 kali lebih berkemungkinan
untuk mati akibat kanser dan 2.8 kali lebih berkemungkinan untuk mati akibat
penyakit jantung berbanding dengan kemalangan maut.
Walau bagaimanapun, menurut satu kenyataan di laman web WHO,
data kajian yang dijalankan mungkin tidak sama dengan angka rasmi di Malaysia
kerana perbezaan metodologi yang digunakan oleh WHO dan bancian Malaysia.
"Banyak set data mewakili anggaran terbaik WHO
menggunakan metodologi untuk petunjuk tertentu yang bertujuan untuk
perbandingan antara negara dan masa.
"Oleh itu, ia tidak sentiasa yang sama dengan anggaran
rasmi kebangsaan, walaupun WHO, bila-bila sahaja yang mungkin, akan menyediakan
peluang kepada negara anggota meneliti kajian dan mengulas mengenai data dan
anggaran sebagai sebahagian daripada perundingan negara."
Oleh itu, pengelasan Malaysia sebagai sebuah negara yang
berbahaya untuk pemandu mungkin berbeza berbanding rekod rasmi tempatan.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/