TULISAN saya tentang nama Melayu,
orang Melayu bandar dan penghinaan terhadap Melayu dan Islam mendapat reaksi
pembaca termasuk bukan Melayu. Terima kasih yang menyokong dan yang menghentam.
Tujuan utama topik itu
dibangkitkan bukan untuk mengkritik sesiapa tetapi untuk mengingatkan.
Perpaduan antara kaum hari ini semakin terhakis dan tergugat akibat permainan
sentimen yang mempertikaikan perkara-perkara asas dalam Perlembagaan
Persekutuan.
Dulu tidak ada siapa yang
terang-terang berani mempersoal dan menghina kedudukan istimewa orang Melayu,
agama Islam dan kedudukan Raja-raja yang sepatutnya bukan Melayu pun mesti
menghormatinya. Sekarang semua sudah berubah dan berbeza.
Tulisan saya tidak bertujuan mahu
kaum-kaum di Malaysia berpecah-belah. Saya hanya ingin mengingatkan bahawa perpaduan kaum di negara ini semakin longgar. Punca utamanya kerana sudah kurang
atau hilang rasa tolak ansur. Kadangkala terfikir, sampai bila kita hendak
bertolak ansur kalau sebelah pihak sahaja yang bersikap demikian.
Percaya atau tidak kalau
dikatakan generasi muda kaum bukan Melayu banyak yang tidak tahu bertutur dalam
bahasa Melayu dengan betul. Jawapannya tidak pelik - sebab generasi tua kaum
itu pun ada yang masih tidak tahu berbahasa kebangsaan.
Tapi penguasaan bahasa Melayu oleh
kaum itu di kawasan kampung lebih baik. Malah kita rasa bangga kerana mereka
berusaha bertutur dalam bahasa Melayu dengan betul. Hal ini jauh berbeza kalau
kita mendengar pelat kaum itu bila berbahasa Melayu di kawasan pekan dan
bandar.
Salah satu faktor keadaan ini
berlaku hingga sekarang sebab mereka kurang bergaul dengan orang Melayu dan ia
tidak jadi keutamaan. Bagi mereka, guna bahasa pasar pun orang Melayu boleh
faham.
Kalau begini situasinya bermakna
pekerja Bangladesh dan Pakistan lebih baik tutur kata bahasa Melayunya daripada
kaum itu.
Tidak adil jika kaum itu sahaja
dikatakan tidak tahu berbahasa Melayu, kaum satu lagi pun hampir sama.
Jika dibandingkan dengan
keturunan kaum bukan bumiputera, kaum satu lagi lebih ramai bermastautin dan
menetap di Asia Tenggara ini. Tetapi kaum itu di Malaysia, tidak sama sikap dan
semangat kenegaraannya seperti bangsa mereka yang bermastautin di Vietnam,
Kemboja, Thailand, Filipina dan Indonesia.
Melalui asimilasi, kaum itu di
negara jiran kita boleh berbahasa tempatan dengan fasih. Kadang kala kita jadi
tidak percaya mendengar dan melihat bahawa mereka bertutur bahasa tempatan
tanpa rasa kekok.
Contoh terdekat ialah kaum itu di
Indonesia yang tanpa segan silu bertutur bahasa Indonesia sesama kaum mereka,
apatah lagi berbual dengan rakyat Indonesia lain. Bukan sahaja di negara mereka
sendiri tetapi kalau datang ke Malaysia pun, bahasa itu juga yang mereka
tuturkan.
Begitu juga rakyat keturunan kaum
itu di negara jiran lain yang benar-benar menghayati semangat kenegaraan - di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung. Mereka patuh kepada kedaulatan bahasa negara masing-masing.
Cemburu kian bertambah apabila
melihat keadaan ini dengan mata sendiri. Kaum bukan peribumi di sana begitu akur
dan setia mendaulatkan bahasa kebangsaan masing-masing.
Di Malaysia keadaan sebaliknya
yang berlaku. Sekarang seolah-olah begitu kuat sikap tidak peduli kepada bahasa
kebangsaan. Hal ini mungkin disedari dan mungkin kita pun tidak sedar. Lihat
fenomena ini dalam sektor awam mahupun swasta.
Bila difikir dan direnung dengan
mendalam, fenomena itu terjadi kerana di negara jiran hanya mempunyai satu
sistem sekolah. Di sana tiada sekolah jenis kebangsaan yang mengekalkan bahasa
ibunda sebagai bahasa pengantara.
Anak-anak berbilang kaum diajar
menggunakan satu bahasa, belajar di bawah satu bumbung, bermain dalam satu
kawasan sekolah. Apabila masuk universiti, tidak rasa kekok bergaul. Jadi tidak
timbul masalah penggunaan bahasa pertuturan berlainan, tiada masalah perbezaan
budaya yang ketara. Oleh itu perpaduan antara peribumi dengan bukan peribumi
bertambah erat dan kuat ikatan kenegaraannya.
Kepura-puraan
Inilah formula yang tiada di
negara kita. Daripada peringkat sekolah, anak-anak kita dipisahkan oleh sistem
sekolah mengikut kaum. Budak Melayu dan bumiputera ke sekolah kebangsaan, budak
Cina ke SJKC dan India ke SJKT.
Sejak kecil mereka sudah
dipisahkan mengikut aliran bahasa ibunda masing-masing. Kita ada sekolah
kebangsaan yang diharap menjadi tempat untuk semua anak tanpa mengira kaum
dapat bergaul dan belajar bersama-sama. Anak Cina dan India bukan banyak pun,
tetapi atas fahaman perkauman yang kuat maka penyatuan dan perpaduan antara kaum
tidak dapat kita jayakan walaupun melalui sekolah.
Kalau hanya ada satu sistem
sekolah kebangsaan yang digunakan, mungkin masalah perkauman sekarang tidak
terjadi. Melalui satu bahasa, semua orang boleh saling memahami. Kesan sistem
pelbagai jenis sekolah ini sudah menampakkan kesannya. Kira-kira enam dekad
kita sudah mengguna pakai sistem sekolah pelbagai aliran bahasa ini, saya tidak
nampak sistem ini membantu pembinaan satu masyarakat yang bersatu padu dalam
erti kata sebenar.
Selama ini kita hanya
berpura-pura kerana ingin menjaga hati dan perasaan antara kaum. Sikap
berpura-pura ini akan berterusan untuk tahun-tahun akan datang. Hakikatnya kita
perlu teruskan hidup dalam kepura-puraandan
percaya perpaduan antara kaum kita masih utuh seperti dahulu.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/