KUALA LUMPUR 23 Feb. - Guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sehingga kenyataan mengenainya dibuat
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr.
Khair Mohamad Yusof dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan
memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula berkaitan PBS setelah Menteri
Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan penambahbaikan yang
dicadangkan.
Katanya, penambahbaikan itu
mengambil kira dapatan kajian terbaharu KPM, rungutan guru dan mengambil kira
pandangan masyarakat termasuk Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).
"KPM telah mengambil
inisiatif meneliti semula pelaksanaannya agar dapat mengurangkan bebanan tugas
guru, dengan memfokuskan kepada rombakan perkara yang melibatkan kekerapan guru
memasukkan data termasuk pengisian borang perekodan prestasi murid yang boleh
membebankan guru," katanya.
Selain itu, antara tindakan yang
diambil KPM ialah menubuhkan Jawatankuasa Task force PBS di peringkat
kementerian yang akan mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan
menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS.
"War Rooms PBS di peringkat
KPM juga diwujudkan untuk menangani isu-isu berbangkit berkaitan pelaksanaan
PBS dengan segera dan berkesan termasuk membuat maklum balas segera mengenainya
dari semasa ke semasa," katanya.
KPM juga sedang melaksanakan
usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (SPPBS) bagi memastikan guru boleh mengakses sistem itu dengan lebih
mudah dan berkesan.
Beliau juga memaklumkan bahawa
KPM turut menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah
seluruh negara bermula 17 Feb lalu untuk mengelakkan kekeliruan terhadap
pelaksanaannya.
KPM juga, katanya, telah
mengadakan perbengkelan melibatkan guru termasuk kesatuan-kesatuan guru dalam
usaha penelitian dan kajian semula pelaksanaan PBS pada Februari lalu dan
hasilnya akan dibentangkan dalam tempoh terdekat.
"Kesemua tindakan itu
diambil bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran
secara holistik terhadap murid dan dalam masa sama mengurangkan beban guru yang
melaksanakannya," katanya.
Sumber : BERNAMA