Ketika Penilaian Menengah Rendah
(PMR) diperkenalkan pada 1993 bagi menggantikan Sijil Rendah Pelajaran (SRP),
ramai pihak memberikan reaksi berbeza.
Bukan saja masyarakat, malah
pelajar dan pihak sekolah juga tidak ketinggalan kalut berdepan sistem
peperiksaan nasional bentuk baru yang diperkenalkan pada waktu itu.
PMR dilihat lebih mesra kerana
pelajar tidak berdepan masalah keciciran pembelajaran selepas tingkatan tiga
manakala SRP pula memerlukan pelajar bersedia mengucapkan selamat tinggal
kepada persekolahan andai kata tidak lulus subjek wajib.
Kini, senario sama sekali lagi
melanda masyarakat apabila PMR ditamatkan ‘perkhidmatannya’ dengan pengenalan
Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
PT3 yang dianggap sentuhan
terbaru daripada Kementerian Pendidikan Malaysia terhadap sistem peperiksaan
nasional terus dipersoalkan kemampuannya walaupun kejayaannya hanya boleh
diperoleh sekitar akhir tahun ini selepas keputusan diumumkan.
Alasan diberikan ialah
kebimbangan PT3 dikatakan mempunyai kaitan secara langsung dengan Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (PBS) yang pernah dianggap satu sistem penuh polemik.
PT3 juga dikhuatiri akan
mengulangi kembali sejarah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik
Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang kecundang di tengah jalan sebelum
kemampuannya dapat dibuktikan.
Justeru, tidak salah jika
masyarakat melahirkan kebimbangan terhadap kemampuan dan keberkesanan pelaksanaan
PT3.
Lebih mendatangkan persoalan,
adakah PT3 mampu melonjakkan lagi kejayaan pelajar agar bersikap lebih global,
mampu berfikir pada aras tinggi, selain mencapai matlamat mengembalikan semula
kuasa autonomi guru yang sudah sekian lama hilang?
Pengarah Pusat Penasihatan dan
Penempatan Kerjaya Graduan, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Sahandri Gani Hamzah berkata,
pengenalan PT3 bagi menggantikan PMR perlu dianggap fasa permulaan sistem peperiksaan
nasional berorentasikan kepercayaan guru dan kemampuan guru-pelajar.
Menurutnya, jika sebelum ini
semua kawal selia peperiksaan nasional terletak pada Lembaga Peperiksaan (LP),
PT3 pula bakal menjadi simbol pengembalian semula kuasa kepada guru untuk
menilai prestasi pelajar.
“Bermakna, PT3 melakar sejarah
sebagai satu sistem peperiksaan nasional yang menjadi perintis kepada guru
menentukan pencapaian pelajar bermula dari tingkatan satu hingga menduduki
peperiksaan.
“Jika dulu semuanya di bawah LP,
kini guru dan sekolah sendiri yang akan memantau sebahagian besar perjalanan
sistem peperiksaan itu.
“Dengan kata lain, kita
memartabatkan kedudukan guru dan sekolah serta pada masa sama mengangkat
keupayaan pelajar dalam bidang akademik, jasmani, sosial dan sebagainya,”
katanya.
Beliau berkata, walaupun PT3
terkait secara langsung dengan PBS, hakikatnya ia tetap mempunyai matlamat
lebih besar untuk jangka panjang, selain memenuhi piawaian keperluan semasa.
“Contohnya SRP, ketika
diperkenalkan pada 1960 bertujuan menggantikan LCE (Lower Certificate of
Education) yang diperkenalkan pada 1957.
“Selepas itu PMR dan kini PT3.
Setiap rentetan pengenalan sistem peperiksaan nasional mempunyai matlamat dan
visi tertentu yang disasarkan bagi mengisi keperluan semasa.
“Cuma kemampuan PT3 dipersoalkan
kerana ia diperkenalkan selepas konflik dan polemik PBS yang memeningkan
masyarakat. Tiada kaitan lain,” katanya yang tidak menolak persepsi mengenai
PT3 sukar ditepis.
Katanya, penolakan, pertikaian
dan persepsi adalah perkara biasa jika pembaharuan terhadap sesuatu sistem
diperkenalkan.
“Malah, ketika PMR menggantikan
SRP, ramai mengandaikan ia tidak mampu bertahan kerana mereka sudah biasa
dengan sistem peperiksaan sebelumnya.
“Namun, penambahbaikan yang
dilakukan dari semasa ke semasa mampu memantapkan PMR sehingga bertahan lebih
dua dekad. Dan itulah juga yang harus dilakukan untuk PT3,” katanya.
Menerusi PT3, tiada lagi
peperiksaan berpusat untuk pelajar tingkatan tiga seperti PMR sebelum ini.
PT3 membuka ruang lebih luas
kepada pihak sekolah untuk mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap
pentaksiran itu berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran yang
ketara disediakan LP.
LP dan pentaksir luar yang
dilantik akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan
dikeluarkan.
Beliau berkata, PT3 masih
menekankan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan bagi subjek
Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sama seperti PMR.
“Manakala Sains, Matematik,
Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Cina, Tamil, Iban dan Kadazan dusun
akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis saja.
“Sejarah dan geografi pula akan
ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis, ujian amali,
projek, kajian lapangan atau kajian kes,” katanya.
Biarpun tidak wujud perbezaan
ketara, instrumen pelbagai seperti bertulis, ujian amali dan projek memberi
peluang kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran sedia ada.
“Semua instrumen itu pada asasnya
adalah untuk melahirkan pelajar yang bukan saja memberi penumpuan pada akademik
semata-mata, malah mempunyai kemahiran untuk mempelbagaikan kemampuan.
“Kemampuan setiap pelajar tidak
sama. PT3 yang diperkenalkan adalah sebagai pemangkin kepada PBS untuk
melengkapi keperluan tertentu yang mungkin tiada pada seorang pelajar dengan
pelajar lain,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menolak
andaian bahawa kepincangan masih boleh berlaku menerusi pemberian markah
mahupun ketika membuat penilaian pelajar oleh guru.
Namun katanya, ia masih boleh
diatasi dari semasa ke semasa di samping menyuntik elemen etika serta
profesionalisme dalam tugasan.
“Ketidakadilan kerana sikap berat
sebelah memang tidak boleh dielakkan, namun guru masih boleh dididik supaya
berpegang pada prinsip ketelusan.
“Kepercayaan masyarakat kepada
guru juga sangat tinggi dan agak mustahil seorang guru yang beretika mahu
melangkaui profesionalisme perguruan.
“PT3 dan PBS ibarat mengembalikan
semula kepercayaan kepada guru yang sudah sekian lama tercalar. Inilah masanya
untuk membuktikan guru mempunyai ‘kuasa’ dalam hidup pelajar,” katanya.
PT3 juga memperlihatkan aspek
pengukuhan pelajar dalam mempelbagaikan kemahiran menerusi proses
pembelajaran.
“Jika PMR menilai kepandaian dan
prestasi pelajar menerusi akademik semata-mata, PT3 mencakupi aspek menyeluruh.
“Prestasi pelajar dinilai
mengikut tahap yang disokong melalui pencapaian ‘band’ juga kemahiran sosial
tertentu seperti kemampuan komunikasi.
“Ini menjadikan PT3 satu sistem
peperiksaan lengkap kerana semua kemampuan pelajar sama ada akademik mahupun
kemahiran dirangkumkan menjadi satu,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/