Isu peningkatan gengsterisme
dalam kalangan remaja hari ini wajar diberi perhatian serius oleh pihak
berkuasa keselamatan negara. Pembabitan remaja dalam aktiviti itu jelas tidak
bertanggungjawab.
Ia bercanggah dengan nilai yang
terkandung dalam prinsip Rukun Negara. Tindakan mereka menunjukkan kurangnya
kefahaman dan penghayatan terhadap prinsip berkenaan.
Lima prinsip Rukun Negara adalah
tunjang penting yang perlu diamalkan oleh generasi kita bagi mengekalkan
keharmonian dan kesejahteraan negara. Jika ramai remaja kita terbabit dalam
aktiviti tidak sihat ini maka ia akan memberi kesan tidak baik kepada
masyarakat.
Remaja yang membabitkan diri
dalam kumpulan gengsterisme tidak mempunyai nilai kemasyarakatan yang tinggi.
Pastinya mereka tidak lagi menghormati undang-undang negara. Mereka juga
dianggap menyimpang daripada tata susila kehidupan sebagai rakyat Malaysia yang
cintakan keamanan, kemakmuran dan perpaduan.
Aktiviti tidak sihat ini juga
akan mendorong mereka terbabit dalam kegiatan lain seperti penagihan dadah,
alkohol, perjudian, peras ugut, kekerasan dan rogol.
Mengikut statistik, pembabitan
remaja dalam jenayah menunjukkan peningkatan dalam tempoh dua tahun
(2012-2013).
Peningkatan kes jenayah
Menurut Timbalan Menteri Dalam
Negeri, Datuk Wan Junaidi Jaafar, peningkatan dalam jenayah kekerasan yang
dilakukan remaja membabitkan tujuh kategori iaitu bunuh, rogol, samun
berkumpulan dengan senjata api, samun berkumpulan tanpa senjata api, samun
bersenjata api, samun tanpa senjata api dan mencederakan.
Jenayah harta benda yang
dilakukan remaja pula membabitkan curi motokar, curi motosikal, curi kenderaan
berat, ragut dan lain-lain. Menurut Wan Junaidi, walaupun berlaku peningkatan
kes jenayah yang serius agak terpencil serta tidak sampai ke tahap
membimbangkan masyarakat (BH 9 April 2014).
Pada pendapat penulis, walaupun
ia dianggap terpencil, namun berdasarkan statistik didapati setiap kategori
jenayah itu meningkat hingga dua kali ganda. Contohnya, bunuh meningkat
daripada 35 kes (2012) kepada 74 kes (2013), samun tanpa senjata api meningkat
daripada 39 kes (2012) kepada 116 kes (2013), samun berkumpulan tanpa senjata
api juga meningkat daripada 238 kes (2012) kepada 685 kes (2013) dan rogol
daripada 386 (2012) meningkat kepada 824 kes (2013).
Tindakan tegas
Justeru, polis wajar memberi
perhatian serius terhadap isu ini. Remaja yang terbabit dalam aktiviti
gengsterisme ini mesti dipantau dan diambil tindakan tegas. Bagi remaja yang
baru terbabit dalam aktiviti ini, tindakan awal dapat menyelamatkan mereka
daripada terus tersasar daripada landasan dan peraturan yang sepatutnya
dipatuhi.
Tindakan awal juga boleh
dilakukan oleh pihak sekolah dengan memberikan kaunseling dan bimbingan kepada
pelajar yang sering mempunyai masalah disiplin seperti kerap ponteng sekolah
dan buli. Pelajar bermasalah ini mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk
terbabit dalam kumpulan gengsterisme.
Ibu bapa juga tidak boleh lepas
tangan kerana kegagalan mereka memberikan didikan dan bimbingan yang sempurna
antara punca anak mereka terbabit dalam pelbagai gejala sosial.
Diingatkan bahawa negara
memerlukan remaja dan belia yang sihat bagi membolehkan mereka memperkukuh
kemajuan dan pembinaan negara bangsa.
Kesimpulannya, pembabitan remaja
dalam aktiviti gengsterisme perlu dibendung dan mereka yang terbabit wajar
dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang ada di negara ini.
Sebagai pelapis kepada negara,
mereka harus mempamerkan sikap terpuji dengan mematuhi undang-undang negara
agar negara aman dan rakyat dapat hidup harmoni.
Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara,
Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/