Tengku Razaleigh |
SHAH ALAM : Sistem pendidikan negara dilihat tidak berkesan dan memerlukan perubahan drastik dan radikal jika negara mahu melonjakkan daya saing di peringkat serantau dan global.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri
Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kegagalan sistem pendidikan ini dilihat dalam
pelbagai aspek antaranya penilaian antarabangsa, integrasi kaum, modal insan
serta penguasaan komunikasi.
Berucap pada majlis
penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat (Kewangan), UiTM sempena istiadat
konvokesyen UiTM ke-80, dekat sini, pagi tadi, Tengku Razaleigh menyatakan
kebimbangannya dengan tahap pendidikan negara yang dinilai rendah oleh Bank
Dunia pada akhir Mac 2014.
Malah, jelas beliau penilaian
menggunakan International Standard (PISA, TIMSS) turut meletakkan pendidikan
negara di tahap yang rendah.
“Kita memerlukan sistem
pendidikan yang dikagumi dan diidami; sistem di mana ibu bapa berebut dan
berlumba untuk mendapat tempat bagi anak mereka di sekolah awam aliran
kebangsaan yang tinggi nilai ekonominya dan sekaligus tidak menghiraukan sistem
persekolahan saingan,” ujarnya.
Menurut beliau, sistem pendidikan yang dilaksanakan sekarang
tidak melahirkan insan berilmu yang mampu berfikir dengan berkesan dan
cemerlang dalam keadaan yang berbagai, tidak menentu, mencabar dan cepat
berubah.
“Saya masih ingat satu waktu
dahulu bilamana kita dihormati dan disanjungi oleh masyarakat dunia. Di forum
antarabangsa, kita sering diberi penghormatan untuk menyediakan ‘laporan
perbincangan’, ‘kenyataan kesepakatan (communiqué)’, menjadi pemudahcara
(moderator) dan sebagainya.
“Hal ini terjadi kerana secara
relatif, kemampuan berfikir dan penguasaan bahasa kita adalah lebih baik.
Malangnya keadaan berbeza sekali sekarang,” kesal beliau.
Tengku Razaleigh turut melahirkan
kebimbangan terhadap keutuhan integrasi kaum di negara ini apabila polarisasi
antara kaum dilihat pada tahap yang parah dan mengkhuatirkan.
“Sebagai orang lama yang telah
menyaksikan pahit getir perjalanan panjang Malaysia, saya sangat sedih dengan
apa yang berlaku,” ujarnya.
Paling menyedihkan, tambah
beliau, polarisasi kaum juga wujud di institusi pengajian tinggi di
mana masyarakatnya terpelajar.
Di bidang ekonomi, beliau memberikan
contoh bagaimana negara yang pada awalnya menjadi contoh rujukan kepada Korea
Selatan kini jauh ditinggalkan negara itu dalam segenap aspek termasuk sukan.
Menurutnya, jika dahulu Malaysia
dianggap lebih kehadapan berbanding Hong Kong, Taiwan, Singapura dan Korea
Selatan di bidang pembangunan ekonomi namun kini keadaan berlaku sebaliknya.
Tengku Razaleigh yakin keberkesanan sistem pendidikan Korea Selatan
meletakkan negara itu di posisi sekarang.
“Pada tahun 1980, pendapatan per
kapita mereka (Korea Selatan) adalah USD 2,322 dan lebih rendah daripada kita
pada kadar USD 2,351. Tetapi hari ini, pendapatan per kapita mereka adalah USD
24,328 dan dua kali lebih besar daripada kita pada kadar USD 10,547.
“Kini ekonomi Korea Selatan lebih
handal daripada kita,” jelasnya.
Beliau mahu semua pihak menerima
hakikat tidak berkesannya sistem pendidikan negara sehingga ia memerlukan
perubahan drastik dan radikal.
“Kita gagal dalam penilaian
antarabangsa, kita gagal dalam memupuk integrasi kaum, kita gagal dalam
menghasilkan modal insan berilmu, berprinsip dan mampu berfikir.
“Kita juga gagal menguasai
komunikasi sehingga kedudukan kita yang dihormati satu waktu dahulu terhakis,”
ujarnya.
Sehubungan itu Tengku Razaleigh
mahu Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 –
2025 mengambil kira pandangan yang diutarakan beliau untuk dilaksanakan.
Sumber : HARAKAHDAILY, 10/5/2014