SETIAP kali sambutan Hari Guru
diadakan penulis teringat akan sebuah pantun yang berbunyi:
Berburu ke padang
datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak
jadi.
Secara tersiratnya, pantun ini
memperlihatkan betapa pentingnya guru dalam memberi tunjuk ajar kepada pelajar
manakala di pihak pelajar pula, mereka mesti belajar dengan bersungguh-sungguh
kerana jika belajar alang kepalang, ilmu yang dicurahkan oleh guru tidak dapat
diterima sepenuhnya.
Tugas guru akan menjadi lebih
mudah jika para pelajar memberi tumpuan ketika kelas berlangsung. Ini
menunjukkan bahawa usaha untuk mengangkat martabat pendidikan di sesebuah
sekolah itu bukan hanya terletak kepada guru semata-mata tetapi tugas ini juga
dipikul oleh para pelajar.
Di samping guru terpaksa berdepan
dengan pelajar yang celik ilmu dan pelbagai teknologi maklumat, guru-guru juga
terpaksa menghadapi kerenah para pelajar yang mampu menjejaskan imej sesebuah
sekolah.
Masalah disiplin dalam kalangan
pelajar adalah salah satu daripada masalah yang membelenggu institusi
pendidikan negara. Isu ini bukanlah isu baharu kerana dari semasa ke semasa,
pelbagai kejadian berlaku membabitkan institusi pendidikan terutamanya di
sekolah.
Jika pada zaman dahulu, ketika
pelajar sangat menghormati dan takut akan guru, jawatan atau khidmat kaunselor
tidak diperlukan di sekolah tetapi sekarang kaunselor sudah diwujudkan
semata-mata untuk menangani pelbagai masalah pelajar. Salah satu tugas
kaunselor adalah untuk merungkai permasalahan pelajar berkaitan disiplin.
Tugas guru yang murni mesti
difahami oleh pelbagai pihak apatah lagi ibu bapa dan masyarakat sekeliling.
Ibu bapa mesti memberi kerjasama kepada pihak guru dan sekolah untuk memastikan
kejayaan anak-anak mereka dan yang paling penting mereka mesti menyedari bahawa
sekolah merupakan satu tempat untuk membentuk sahsiah anak-anak mereka.
Ibu bapa mesti mengambil bahagian
dalam setiap perjumpaan yang membabitkan mereka di sekolah. Persatuan Ibu Bapa
dan Guru [PIBG] merupakan satu wadah untuk memahami dengan lebih jauh
pencapaian anak-anak mereka di sekolah, masalah anak-anak mereka di sekolah dan
sebagainya.
Masyarakat sekeliling mesti
memainkan peranan dengan cara memahami peranan dan tanggungjawab guru. Masyarakat
sekeliling mesti membantu meringankan bebanan guru di sekolah dengan menjadi
mata dan telinga terhadap salah laku pelajar sekolah di luar sekolah.
Sikap membiarkan salah laku atau
bersekongkol dengan sebarang tindakan negatif pelajar di luar sekolah akan
menjejaskan institusi pendidikan.
Ada pelajar sekolah yang terbabit
dengan gangsterisme, pergaduhan, mat rempit, melepak dan sebagainya. Masyarakat
yang peka akan masalah ini tidak akan membiarkan gejala ini berterusan,
sebaliknya cuba membendung demi masa depan anak-anak bangsa.
Gejala-gejala negatif yang
membabitkan pelajar sekolah memperlihatkan bahawa ada dalam kalangan pelajar
sudah tidak menghormati guru dan ilmu yang diberikan kepada mereka. Malah,
tujuan dan matlamat mereka memasuki sekolah untuk menimba ilmu pengetahuan
sudah terpesong jauh dari landasannya.
Sumbangan besar guru dalam
mendidik setiap insan mesti dibalas dengan rasa hormat dan mengenang jasa-jasa
guru yang telah memberi didikan semasa di sekolah. Mereka tidak mengharapkan
apa-apa balasan berbentuk wang ringgit , harta atau hadiah tetapi ingatan tulus
ikhlas dan ucapan Selamat Hari Guru sudah memadai sebagai tanda ingatan
sepanjang zaman.
Maka, kesempatan pada sambutan
hari guru ini, eloklah kita mengenang jasa mereka, mendoakan kesejahteraan
mereka atau menziarah mereka yang sudah bersara.
Sasterawan Negara, Datuk Usman
Awang dalam sajaknya antara lain menyebut bahawa dengan gurulah lahir pemimpin,
sasterawan terkenal, dan pelbagai jenis pekerjaan lain yang mengangkat kemajuan
negara.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/