Ahad, 18 Mei 2014

ISU PENDIDIKAN : Guru dekat di mata, melekat di sanubari


Oleh : Dato' Seri Haji Idris  Jusoh

Sekurang-kurangnya ada dua perkara besar yang berlaku dalam hidup saya pada tarikh 16 Mei. Pertama, pada tarikh itulah saya diberikan kepercayaan memulakan tugas sebagai Menteri Pendidikan Kedua. Kedua, dan lebih penting, pada tarikh itu jugalah seluruh negara menyambut Hari Guru sebagai penghargaan kepada pengorbanan warga pendidik.

Salah satu elemen penting dalam pendidikan adalah peranan guru. Oleh sebab itu, sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun amat tinggi nilainya kepada saya. Saya meletakkan martabat profesion guru ini pada kedudukan amat tinggi.

Dalam Islam sendiri, banyak hadis yang menekankan betapa mulianya seorang guru. Imam At-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Abu ‘Umamah al-Bahili telah berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Kelebihan orang alim (ulama) atas ahli ibadat seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah antara kamu. Baginda bersabda lagi, sesungguhnya malaikat dan penduduk langit dan bumi hinggakan semut dalam lubangnya berserta ikan berselawat (berdoa) untuk orang yang mengajar kebaikan kepada manusia.”

Melihat kepada hadis ini sahaja sudah cukup menggambarkan betapa tingginya martabat guru. Hari Guru mengingatkan saya kepada bekas Pengetua Cemerlang di Sekolah Menengah Tengku Mahmud, Besut, Allahyarham Cikgu Fatimah yang sentiasa berjumpa dengan ibu bapa untuk mengatasi isu murid kesayangan.

Sentiasa beri motivasi

Beliau sentiasa memberi motivasi dan sokongan kepada muridnya walaupun di luar waktu persekolahan. Ketika Cikgu Fatimah sakit, murid menjaganya sehinggalah beliau meninggal dunia. Sayangnya murid kepada guru apabila guru sayang kepada murid.

Saya sendiri tidak dapat melupakan jasa dan budi guru yang begitu sabar mengajar saya ketika bersekolah dahulu. Ketika saya bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Pusat Jerteh, Besut, Terengganu, saya masih ingat kesabaran Cikgu Masnah, Cikgu Mariam, Cikgu Ali Yusof, Mr Wong, Cikgu Rahim dan Cikgu Tengku Norizan melayan kerenah budak-budak kampung termasuk saya.

Mereka begitu komited memastikan kami memahami setiap apa yang mereka ajar. Masih terbayang dalam ingatan saya wajah Cikgu Ali Yaacob, Guru Besar sekolah saya dahulu. Saya masih melawatnya dari semasa ke semasa.

Berkat kesabaran cikgu Sekolah Kebangsaan Pusat Jerteh, keputusan yang baik dalam peperiksaan melayakkan saya memasuki Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR). Pengalaman di STAR banyak mematangkan saya. Gurunya amat berdedikasi. Di hadapan saya bagaikan terlihat semula kelibat Cikgu Lau Hut Yee yang begitu bersemangat mengajar Sains. Tidak dapat saya lupakan Cikgu Sarjit Singh, warden Rumah Hijau yang amat saya hormati walaupun garang.

Wajah guru STAR seperti Cikgu Ong Bee Jeng, Ustaz Mohamad dan Cikgu Ali masih kekal dalam ingatan saya. Mereka tanpa mengenal bangsa dan agama, gigih mengajar saya menjadi pemikir, olahragawan dan pemimpin. Merekalah yang membentuk persepsi saya bahawa menjadi guru bukan setakat satu profesion, tetapi menuntut lebih daripada itu. Profesion ini menuntut seluruh jiwa, keikhlasan dan pengorbanan. Profesion ini memerlukan ‘jiwa guru’.

Kemungkinan itulah sebabnya saya tertarik hati dan ditakdirkan berkahwin dengan seorang guru. Secara dekat saya berpeluang melihat bagaimana isteri saya memainkan peranan sebagai guru dengan bersungguh-sungguh dan sabar, dan pada masa yang sama di rumah sebagai ibu yang mendidik lima orang cahaya mata kami.

Bincang cabaran dihadapi guru

Semua anak kami mendapat pendidikan awal di dalam negara. Ada yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi tempatan dan ada yang murah rezeki berjaya ke luar negara. Kami bersyukur, semua mereka sekarang menjadi anak kebanggaan kami dan kini kami dikurniakan tiga cucu. Alhamdulillah. Saya juga kadangkala berbincang dengan isteri mengenai cabaran yang dihadapi guru. Insya-Allah, pandangannya memberi perspektif berbeza kepada saya dalam menjalankan tugasan saya.

Di peringkat Kementerian Pendidikan, usaha memperkasakan profesion guru ini tidak pernah ada noktahnya. Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan (2013-2025), kementerian komited menjadikan profesion guru ini pada masa yang akan datang, hanya dipilih dalam kalangan graduan yang cemerlang dari segi akademiknya dan terbaik dalam pencapaian kokurikulumnya.

Stigma sebelum ini yang menyatakan bahawa profesion guru adalah pilihan terakhir harus segera dikikis. Bukan itu guru yang kita mahukan untuk mendidik anak bangsa kita menjadi bangsa yang dikagumi dunia.

Saya sedar cabaran guru sekarang dalam mendidik murid sudah jauh berbeza daripada zaman ketika saya bersekolah dahulu. Ekoran kepesatan pembangunan teknologi komunikasi, murid sekarang adalah Generasi Y yang sentiasa terdedah dengan pelbagai pengaruh di sekeliling mahupun di dunia langit terbuka.

Murid sekarang bukan sahaja bersaing dengan rakan sekelas, tetapi juga dengan rakan media sosialnya di dunia. Senario ini menuntut perhatian dan iltizam guru yang bukan sedikit. Namun percayalah, Kementerian Pendidikan tidak akan membiarkan guru mengharungi gelombang perubahan ini bersendirian. Kementerian menyusun pelbagai strategi sebagai persediaan.

Secara peribadi, saya sentiasa menghulurkan tangan membantu guru melaksanakan tugas mulia mereka. Guru mempunyai tempat yang istimewa di hati saya. Selamat menyambut Hari Guru untuk semua guru yang tercinta.

Penulis ialah Menteri Pendidikan II Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Kejayaan murid kebahagiaan guru


Oleh : Mohamad Abdullah

KISAH sumbangan dan pengorbanan guru bukanlah baharu. Malah setiap kita ada cerita tersendiri. Ada guru yang diingati dan ada guru yang kita cuba jauhkan diri kerana pelbagai sebab antaranya segan, malu dan mungkin ada kenangan yang kekal dalam ingatan.

Ketika di sekolah rendah, seorang guru sementara dan masih muda mengubah keseluruhan sudut pandang penulis terhadap buku dan ilmu. Sebagai anak kampung di pedalaman negeri Kedah, buku bukanlah mudah diperoleh  pada tahun 70-an.

Guru ini yang tinggal di pekan berhampiran setiap minggu membelikan akhbar Utusan Pelajar terbitan Utusan Melayu yang popular ketika itu dan Dewan Pelajar, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) saban bulan. Malah, guru ini juga memberi peluang kepada penulis untuk membaca buku-buku baharu yang tiba di perpustakaan yang selalunya lebih banyak disimpan daripada dihayati oleh para pelajar di kampung.

Peluang inilah yang membentuk penulis berminat dengan buku dan menghayati dunia luas bagi seorang anak miskin. Sesekali dibawanya pulang ke rumah sebagai seorang anak untuk melihat keluarganya yang sebahagian besar berjaya dalam hidup sebagai satu sumber inspirasi.

Perwatakan lembut dan keibuan serta sering membimbing, menegur dan memberikan peluang dengan kasih sayang kekal dalam ingatan penulis sehinggalah guru ini meninggal dunia beberapa tahun lalu, yang hubungan akrab itu kekal biarpun setelah penulis bekerja.

Kisah ini bukanlah luar biasa. Namun inilah antara cebisan pengaruh guru dalam kehidupan kita seharian terutamanya dalam kalangan mereka yang sangat komi­ted dengan tugas dan tanggungjawabnya.

Guru-guru berupaya mencetuskan satu sudut pandang hidup yang dipegang dan kekal dalam kehidupan kita dengan cara tersendiri. Mungkin ketika itu bukan atas nama inovasi dan kreativiti, tetapi atas nama keikhlasan dan kasih sayang yang ditunjukkan melalui tindakan dan cara yang berbeza dalam membentuk pemikiran baharu.

Lihat sahaja guru-guru bersara yang berada di sekeliling kita, yang dengan bangga bercerita tentang kejayaan pelajarnya. Kejayaan pelajar adalah kepuasan luar biasa bagi diri mereka.

"Kebanyakan kami guru lama berkhid­mat dengan penuh dedikasi dan melihat tugas guru sebagai amanah besar yang walaupun gaji tidak seberapa pada tahun 60-an dan 70-an, tetapi puas apabila melihat murid-murid mencapai kejayaan, malah sebahagiannya rasa malu untuk berdepan jika masih melakukan perkara-perkara yang tidak disenangi guru seperti merokok," cerita Allahyarham Datuk Abdul Razak Abdul Hamid, salah seorang yang terselamat dalam Tragedi Hiroshima kepada penulis.

Hari ini, zaman telah jauh berubah. Pe­ranan guru-guru bukan sahaja mengajar malah juga sebagai fasilitator dan pembim­bing sekali gus rakan luar biasa kepada pelajar, di sekolah rendah mahupun menengah.

Tepat sekali apabila tema ‘Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi’ digunakan untuk sambutan Hari Guru 2014 yang sewajarnya dikekalkan untuk beberapa tahun ini.

Guru bukan sahaja membuka ruang fikir dan perubahan set minda anak-anak hari ini, malah perlu mencetuskan kaedah, pengalaman dan inovasi baharu dalam mendidik dan membawa mereka ke mercu kejayaan. Sekali gus perlu berusaha bersama-sama menggerakkan kreativiti untuk membuka pemikiran baharu yang lebih bebas selaras dengan perkembangan teknologi dan lebuh raya maklumat masa kini.

Guru bukan lagi meluahkan apa yang ada dalam buku teks atau semata-mata melihat kepada kurikulum untuk dihabiskan tetapi seharusnya berupaya menggerakkan pemikiran-pemikiran yang dapat membo­lehkan anak-anak muda kita bermain de­ngan inovasi dan kreativiti ke arah menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menyeronokkan.

Mereka perlu mampu menarik para pelajar ke sekolah dan melihat sekolah sebagai syurga untuk bereksperimen dengan pemikiran dalam sains dan teknologi mahupun sastera dan budaya yang sepatutnya berjalan seiring.

Setiap kita terhutang budi kepada guru dan menghargai apa yang telah dilakukan mereka untuk menjayakan proses pendidikan negara. Walaupun terdapat dalam kalangan guru yang merungut tentang bebanan tugas yang dipikul, namun jika mereka cinta akan profesion dan kejayaan anak bangsa, maka tekanan itu mampu bertukar menjadi keseronokan.

Malah tentunya lebih bahagia jika bekas pelajar dan murid dapat sesekali kembali bersalaman dan memberikan penghargaan kepada guru dan sekolah di mana kita bermula.

Jika setiap kita dapat menghantar satu kad ucapan penghargaan berserta sebuah buku untuk perpustakaan sekolah saban tahun pada sambutan Hari Guru, tentunya sekolah-sekolah kita akan meriah dengan buku-buku untuk kegunaan anak-anak yang ada sekarang ini di samping membahagiakan hati seorang guru. Lalu akan hilanglah penat lelah dan tekanan yang dihadapi selama ini.

Selamat Hari Guru!

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/