Selasa, 26 Mei 2015

ISU SOSIAL : Didik kanak-kanak terhadap ancaman pedofilia


TATKALA masyarakat Malaysia sudah semakin memahami istilah pedofilia, para ibu bapa terutamanya perlu menyedari bahawa kanak-kanak di Malaysia turut terdedah dengan bahaya jenayah seksual yang dilakukan oleh pedofilia.

Apatah lagi dalam era teknologi komunikasi dan maklumat yang serba canggih pada hari ini, kanak-kanak kini lebih terdedah kepada ancaman pedofilia apabila pelaku mudah mendampingi dan memperoleh imej mereka menerusi rangkaian laman sosial. Yang sedemikian, sangat penting bagi ibu bapa untuk melindungi dan mendidik anak-anak mereka mengenai ancaman berkenaan.

Berbanding dengan negara-negara barat, yang sudah lama mengenal pasti gejala ini dan mempunyai pangkalan data pesalah laku pedofilia, kita tidak mengetahui sejauh mana gejala pedofilia berlaku di Malaysia.

Baru-baru ini isu pedofilia menjadi perbincangan hangat apabila masyarakat di negara ini dikejutkan dengan berita seorang penuntut Malaysia dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh sebuah mahkamah di London apabila mengaku bersalah atas 17 kesalahan memiliki 30,000 imej dan video pornografi kanak-kanak dengan niat untuk mengedarkannya.

Sudah tiba masa untuk para ibu bapa di negara ini berbicara tentang seks dengan anak-anak, sekali gus mengajar kemahiran melindungi diri daripada gangguan seksual termasuk diajar membezakan cara sentuhan, sama ada ia wajar  atau ia satu perlakuan tidak senonoh. Cuma sejauh manakah sikap keterbukaan mereka dan mendidik anak-anak mereka mengenai ancaman pedofilia?

Mengulas persoalan ini, pensyarah kanan Psikologi Perkembangan Kanak-Kanak Jabatan Psikologi Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Dr Nazariah Shar'ie Janon berkata ibu bapa harus lebih bersikap terbuka dan bersedia menjawab persoalan tentang seks dengan rasional, sesuai dengan usia anak.

"Ibu bapa perlu memberitahu anak-anak bahawa tubuh badan mereka adalah milik mereka sendiri dan mereka tidak boleh membenarkan orang lain menyentuh tubuh badan mereka. Kita sebagai (ibu bapa) terangkan kepada anak-anak tentang empat bahagian penting yang boleh menjurus kepada penderaan seksual iaitu mulut, dada, punggung dan alat kemaluan.

"Empat bahagian ini adalah bahagian sensitif di mana orang lain tidak dibenarkan menyentuh, meraba, mencium atau memegang. Kita perlu maklumkan kepada anak-anak supaya mereka berhati-hati jika mengalami keadaan seperti itu," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Dr Nazariah berkata, penerangan yang jelas amat penting agar penterjemahan kanak-kanak mengenai isu seks tidak disalahertikan dan anak-anak memahami bahawa keselamatan diri daripada gangguan seksual adalah satu perkara penting yang mesti diingat.

"Contohnya ibu bapa boleh melukis gambar seperti orang lidi dan tandakan bahagian mana yang dikatakan sensitif jadi kalau mereka (anak-anak) berasa sakit dan pernah disentuh ajar mereka menjerit dan maklumkan kepada ibu bapa," katanya sambil menambah kata ibu bapa juga harus mendidik anak-anak mereka supaya tidak mempercayai orang yang tidak dikenali.

Dr Nazariah berkata, adalah lebih baik jika kanak-kanak diberi pendedahan awal pendidikan seks apabila mereka sudah boleh membezakan antara perkara baik dan buruk.

Beliau berkata, sedari awal kanak-kanak perlu dididik mengenai perkembangan fizikal tumbesaran badan peringkat demi peringkat.

"Contohnya, kalau kita (ibu bapa) mempunyai anak-anak berumur dua tahun ke atas beritahu bahawa mereka supaya tidak boleh tunjuk tubuh badan mereka kepada orang lain mahupun ahli keluarga sendiri. Ajar mereka tutup tubuh badan dengan baju atau tuala selepas mandi terutamanya, jadi tidaklah anak-anak ini berbogel selepas mandi," katanya.

Dr Nazariah turut menekankan supaya ibu bapa mengamalkan komunikasi berkesan dan sentiasa meluangkan masa bersama dengan anak-anak untuk berkongsi dan mendengar masalah yang dihadapi mereka, sekali gus membina hubungan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak.

Melalui sentuhan kasih sayang dan kepercayaan yang dibina dalam hubungan kekeluargaan ini, ibu bapa dapat melahirkan anak-anak yang positif.

Mengenai penguatkuasaan undang-undang berhubung jenayah seksual kanak-kanak, Dr Nazariah berkata kerajaan harus sedar bahawa penguatkuasaan undang-undang yang efisien boleh membantu mengekang masalah ini daripada berleluasa.

"Saya rasa dengan ada teknologi hari ini, kita mampu mengakses lebih banyak maklumat.

"Mengapa tidak kita mencontohi negara-negara maju yang sudah lama melihat isu penderaan seksual kanak-kanak ini satu perkara serius dan saya harap kerajaan patut mempunyai undang-undang khas terhadap pesalah jenayah seksual kanak-kanak seperti pedofilia.

"Jangan menganggap isu ini taboo kerana ia boleh menjadi perkara serius jika kita gagal menanganinya dan setakat ini tiada penguatkuasaan atau undang-undang sangat efektif untuk mengesan individu yang aktif memuat turun video dan imej pornografi kanak-kanak di Malaysia," katanya.

Lebih membimbangkan apabila anak-anak diberi kebebasan untuk mengakses internet tanpa kawalan ibu bapa.

Beliau berkata, ini akan memberi jalan mudah kepada individu yang mempunyai keinginan seks terhadap kanak-kanak untuk mencari peluang menjejaki mangsa.

Berikutan itu, Dr Nazariah berkata, kerjasama daripada semua pihak amat penting untuk memastikan pesalah jenayah seksual kanak-kanak dikenakan hukuman setimpal agar kanak-kanak tidak terus menjadi mangsa individu tidak berperikemanusiaan.

Sumber : Bernama (22 Mei 2015)

Isnin, 25 Mei 2015

ISU BAHASA : OUM, DBP bekerjasama martabat bahasa Melayu


KUALA LUMPUR 22 Mei – Kerjasama antara Open University Malaysia (OUM) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berupaya melahirkan lebih ramai pakar dalam bahasa Melayu di samping memartabatkan bahasa berkenaan ke peringkat antarabangsa.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, ini adalah inisiatif terbaik dalam usaha mengangkat bahasa berkenaan ke peringkat global melalui program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu dan Ijazah Sarjana Muda Pengajaran (Pendidikan Rendah) dengan pengkhususan Bahasa Melayu yang bakal ditawarkan di Universiti Pengajian Antarabangsa Beijing (BFSU), Beijing, China

Katanya, pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian tersebut berpeluang mendapat pengiktirafan ilmiah dan mempunyai kepakaran dalam pengajian bahasa tersebut, sekali gus mampu melestari, memperkenal serta memperkasa penggunaan bahasa berkenaan kepada komuniti bukan masyarakat Melayu.

“Saya yakin dengan pendekatan dan penyampaian yang disediakan oleh pihak OUM bersama-sama DBP melalui pelbagai program, latihan, input dan aktiviti berasaskan pengetahuan akademik bahasa Melayu, dilihat mampu menarik minat bangsa lain untuk mendalami keunikan dan keindahan bahasa tersebut serta budaya yang diamalkan penuturnya.

“Saya lihat perkara ini akan memberi impak positif kepada pelajar di Universiti Beijing agar mereka mampu menguasai, mengamalkan bahasa Melayu dan fasih bertutur menggunakan bahasa tersebut ,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara OUM dengan DBP bagi menawarkan Program Bahasa Melayu dan Program Pengajian Melayu di China dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden OUM, Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Prof. Dr. Zaharani Ahmad; Naib Presiden Kanan OUM, Prof. Datuk Dr. Mansor Fadzil; Ketua Akademi DBP, Dr. Amran Joned dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Meteor OUM, Prof. Dr. Ahmad Hashim.

Menurut Awang Sariyan, pihaknya bersama-sama dengan OUM akan saling bertukar kepakaran dan berkongsi maklumat dalam hal-hal pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu bagi memastikan matlamat memartabatkan bahasa tersebut berjaya.

Sementara itu, Anuwar berkata, pihaknya akan menyediakan program-program yang bersesuaian dengan pengajian bahasa Melayu sekiranya mendapat kelulusan secepat mungkin dari Universiti Beijing berkenaan penawaran bidang di universiti berkenaan.

Katanya, pihaknya menyasarkan pengajian Bahasa Melayu yang pertama akan bermula pada awal tahun depan sejurus mendapat kelulusan dan melihat program tersebut bakal mendapat potensi besar melalui program jarak jauh dan pendekatan e-Learning.

“Kami juga menyediakan platform e-Learning yang memudahkan pelajar untuk mengakses pembelajaran pada bila-bila masa dengan menggunakan internet. Pengajian melalui e-Learning ini merupakan satu nilai tambah yang terbaik, malah sedikit-sebanyak membantu dan tidak tertumpu kepada pengajaran secara bersemuka bersama-sama tenaga pengajar.

“Saya berharap kerjasama ini dapat mencapai matlamat dalam menyemarak dan memperkukuh pengajian bahasa Melayu agar dapat berkembang dan diangkat sebagai bahasa antarabangsa untuk digunakan di negara-negara lain,” katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 16 Mei 2015

ISU PENDIDIKAN : HARGAI JASA DAN SUMBANGAN GURU


Oleh : NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED 

TEMA sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan ta­hun ini adalah Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak. Tema ini membawa makna yang cukup besar sekali gus menggambarkan betapa signifikan sumbangan dan peranan guru yang tidak pernah pudar mahupun ditelan dek zaman.

Peranan guru dalam pelbagai aspek kehidupan anak didik terutamanya dari segi ilmu dan akhlak digambarkan secara menyeluruh melalui tema ini. Tema ini juga memberikan mesej yang cukup jelas mengenai tuntutan dan harapan masyarakat dan negara terhadap peranan guru yang semakin hari semakin mencabar.

Seperti biasa tarikh keramat 16 Mei datang lagi sebagai memenuhi salah satu hari dalam kalendar ha­rian kita dan sekali gus menandakan hari yang telah dimasyhurkan sebagai Hari Guru di negara ini. Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada hari bulan yang sama dalam 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Fe­deral Legislative Council) telah me­nerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang selepas itu dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajar­an Kebangsaan maka tarikh keramat ini besar maknanya kepada kita semua terutamanya kepada institusi pendidik­an dan perguruan negara.

Saban tahun pelbagai isu mewarnai dunia pendidikan negara baik yang positif dan membanggakan mahupun yang kurang enak untuk kita dengar. Contohnya, beberapa kejadian buruk di sekolah yang melibatkan masalah disiplin pelajar, tindak tanduk guru serta campur tangan ibu bapa terus mewarnai kalendar persekolahan tahunan kita. Malah beberapa insiden di universiti melibatkan mahasiswa dan pensyarah turut mencuri perhatian khalayak. Namun kedudukan guru di mata rakyat tidak pernah pudar mahupun tenggelam.

Cuma ada ketikanya kita terfikir sejauh mana peranan dan sumbangan guru itu dihargai masyarakat. Sebagai peringatan bersama secara ringkas tetapi penuh bermakna marilah kita hayati antara bait-bait keramat dari sajak nukilan Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang pada 1979 yang bertajuk ‘Guru Oh Guru’. Antara lain sajak ini berbunyi:

“Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca”

Setiap satu rangkap sajak ini menceritakan sumbangan, peranan dan kejayaan besar guru dalam mendidik dan membentuk peribadi dan karakter dalam masyarakat kita. Hakikatnya, setiap seorang daripada kita pasti terhutang budi sekurang-kurangnya kepada seorang guru dalam apa jua keadaan sekalipun. Guru juga sentiasa diangkat sebagai agen perubahan sosial yang cukup berkesan. Ringkasnya, tiada kita seperti pada hari ini tanpa ajaran dan bimbingan daripada seorang insan mulia bernama guru.

Adakalanya kita rasa cukup sedih dan kecewa apabila berlakunya kejadian seperti pelajar menampar guru, ibu bapa memarahi guru, kenderaan guru dirosakkan oleh pelajar dan sebagainya yang jelas menunjukkan bahawa kita masih kurang rasa hormat dan sayang kepada insan mulia ini. Dapat dikatakan, guru bertanggungjawab membentuk tamadun manusia melalui penyebaran ilmu dan pembentukan akhlak yang mulia. Jasa guru sama ada guru sekolah, tadika mahupun pensyarah amatlah besar, begitu juga pengaruh mereka.

Justeru, usahlah kita asyik mencari kesalahan mereka semata-mata. Sekarang amat jarang kita dengar pelajar mahupun ibu bapa mengucapkan ‘terima kasih’ kepada guru. Ini adalah perkembangan yang cukup menyedihkan dan sepatutnya tidak berlaku dalam masyarakat kita yang begitu mementingkan gaya hidup yang sopan santun dan nilai-nilai murni sejagat. Walaupun kita juga akui bahawa memang ada segelintir guru yang mungkin bermasalah atas pelbagai faktor peribadi terutamanya bagi mereka yang memilih kerjaya guru kerana terpaksa dan tiada pilihan lain, tetapi adalah tidak wajar untuk kita menghakimi keseluruhan institusi perguruan hanya kerana nila setitik seperti ini.

Hakikatnya, tugas guru pada zaman yang semakin canggih ini dilihat cukup mencabar berbanding guru zaman dahulu. Pelajar sekarang juga didapati lebih tahu serba serbi dan cepat memberontak dan bertindak balas mengikut emosi masing-masing. Akibatnya, guru terpaksa melalui pelbagai dugaan dan rintangan baik di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat sekolah menengah, apatah lagi di peringkat universiti dalam memenuhi kehendak dan tuntutan pelajar dan juga ibu bapa mereka.

Maka dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan menyedarkan anak-anak mereka mengenai jasa dan sumbangan guru. Anak-anak perlu diajar untuk menghormati guru mereka. Pada masa sama ibu bapa juga perlu percaya dan membenarkan guru menjalankan tanggungjawab mereka tanpa sebarang gangguan jika mahu melihat anak mereka menjadi manusia berguna kelak.

Masyarakat perlu meletakkan guru dalam kedudukan sewajarnya. Perlu diingat bahawa gelaran guru pada seseorang itu akan kekal hingga ke akhir hayatnya yang menandakan tugas mendidik tidak pernah berhenti walaupun guru itu telah bersara dan dianggap sebagai tugas yang kekal hingga ke akhir hayat seseorang individu bergelar guru.

Walaupun ramai masih beranggapan kerja guru mudah, boleh pulang rumah awal, kerja separuh hari dan mempunyai cuti panjang namun tidak ramai sedar, tahu dan menyelami hakikat sebenar tugas seorang pendidik. Tidak ramai yang sedar guru perlu bekerja sehingga lewat petang walaupun mengajar sesi pagi, terpaksa bekerja di hujung minggu serta melayan pelbagai kerenah anak murid dan ibu bapa sepanjang masa. Itu belum lagi soal tugas pekeranian yang semakin bertambah.

Hakikatnya, waktu kerja guru bukanlah mengikut jadual kerja seperti penjawat awam lain iaitu 8 pagi hingga 5 petang tetapi kerja dan tanggungjawab mereka adalah berterusan sepanjang masa iaitu 24 jam tanpa mengira hari dan waktu. Justeru, kita perlu mengiktiraf sumbangan guru dengan sebaiknya. Untuk itu, dalam kita bergerak secara agresif untuk melaksanakan dan menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi mentransformasikan sistem pendidikan negara secara menyeluruh kita perlu juga memberi fokus kepada kepentingan guru yang merupakan antara komposisi dan pemain utama dalam ekosistem pendidikan negara.

Hal ini penting demi mengangkat martabat profesion perguruan ke tahap sewajarnya sekali gus memperkasakan laluan kerjaya guru itu sendiri. Ini kerana pemantapan profesion perguruan akan turut memantapkan sistem pendidikan negara yang sekali gus mampu melahirkan modal insan dan generasi masa depan yang hebat, berkaliber, serba boleh dan bijak.

Apapun kita tetap berharap agar guru itu sendiri memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh jujur dan ikhlas. Jagalah nama baik dan imej jawatan ini yang sentiasa menjadi sanjungan masyarakat. Jangan sesekali bertindak mengikut emosi. Bersabarlah dengan kerenah anak didik dan teruskan usaha dan niat murni untuk mendidik anak bangsa.

Sama-samalah kita mendoakan agar golongan guru terus memainkan peranan demi melahirkan modal insan dan generasi pelapis yang mempunyai nilai jati diri yang unggul dan boleh menjadi warga yang bertanggungjawab kepada diri, keluarga, agama, bangsa dan negara secara keseluruhannya. Apapun penulis mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga pendidik di atas jasa dan sumbangan ikhlas selama ini. Selamat Hari Guru, cikgu.


PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 11 Mei 2015

ISU BAHASA : Ada apa dengan bahasa Melayu?


Oleh : RIDHUAN TEE ABDULLAH

RAMAI ultra kiasu yang tidak puas hati apabila saya mencadangkan agar calon wakil rakyat perlu mempunyai kelayakan minimum kredit Bahasa Melayu dalam SPM, sebelum dibenarkan bertanding dalam pilihan raya.

Mereka kata itu tidak penting. Fasih bahasa Melayu tidak semestinya boleh jadi wakil rakyat baik dan berintegriti. Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (JPKP) yang mereka cadangkan itu lebih utama dari yang lain-lain. Cadangan saya itu dikatanya bodoh (stupid). Ada aku kisah!

Adakah bodoh mendaulatkan bahasa negara? Cadangan penambahbaikan JPKP SPR lebih bersifat politik, tidak banyak memberi kesan kepada pembangunan negara berbanding soal asas bernegara, seperti soal bahasa.

Tidak dinafikan bahawa wakil rakyat mesti menjadi YB yang sebenar, iaitu Yang Berkhidmat atau Yang Berkorban. Meletakkan kepentingan rakyat lebih utama dari diri sendiri. Inilah YB yang sebenar. Namun, bahasa adalah asas kenegaraan. Tanpa menafikan kepentingan belajar bahasa lain.

Setiap negara di dunia ini ada bahasa kebangsaan mereka sendiri dan wajib dikuasai. Kenapa bahasa Melayu begitu sukar dikuasai atas alasan berbilang bangsa?

Apakah bahasa negara perlu menjadi rojak hanya kerana berbilang bangsa. Banyak juga negara berbilang bangsa, tetapi bahasa negara mereka tetap didaulatkan.

Kenapa kita terlalu bebas, sehingga agenda negara tidak dipedulikan?

Apakah kita sudah lupa, apabila banci dilakukan pada 2010, sebahagian yang tinggal di bandar tidak boleh bercakap, memahami dan membaca bahasa Melayu?

Ada yang berkata, jika idea ini dilaksanakan, ramai wakil rakyat yang tidak layak kerana pada masa dahulu mereka tidak mengambil SPM. Mereka hanya ada sijil MCE dan HSC, yang tidak mengandungi kertas Bahasa Melayu. Ada juga yang langsung tidak ada sijil.

Cetek sungguh pemikiran. Cadangan saya itu untuk masa akan datang, bukan masa kini. Generasi tua hari ini akan bersara tidak lama lagi. Bukankah kita perlu bergerak ke hadapan?

Kenapa bahasa Melayu faktor yang sangat penting dalam pembangunan negara bangsa? Pertama, kerana ia bahasa negara. Sangat pelik apabila wakil rakyat tidak dapat bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu, walaupun telah bergenerasi tinggal di Malaysia.

Negara barat tidak menetapkan bahasa sebagai syarat kerana, bahasa negara mereka dikuasai dengan baik oleh semua rakyat mereka. Sebab itu, semangat patriotisme mereka sangat tinggi. Sanggup mati untuk negara. Kita belum tentu lagi.

Apa yang menyatukan Amerika Syarikat hari ini jika bukan bahasa? Mereka mempunyai 322 jenis bahasa. Jika dibiarkan setiap etnik menjuarai bahasa masing-masing, apakah Amerika seperti adanya hari ini? Bagi mencapai matlamat nasional, maka dipaksakan bahasa Inggeris sebagai bahasa negara satu-satunya.

Bukan itu sahaja, bukti menunjukkan, ekonomi kalangan pendatang (imigran) juga meningkat melalui penguasaan bahasa negara. Kenapa dalam banyak hal kita mahu belajar dari Amerika? Kenapa tidak dalam soal memperkasakan bahasa?

Kedua, dalam sesebuah negara, selain sempadan; nama, bendera, atau mata wang, apa yang menjadikan sesebuah negara yang dihormati dan unik adalah bahasa kebangsaannya.

Bahasa kebangsaan adalah petunjuk jelas yang mewakili identiti sesebuah negara. Bahasa adalah sebahagian daripada warisan dan sejarah negara. Apakah Malaysia tidak ada sejarahnya?

Kefasihan dalam bahasa kebangsaan pasti akan membolehkan orang untuk memahami sepenuhnya sesebuah bangsa itu. Jika kita mengakui kita adalah bangsa Malaysia, apakah elemen utama jika bukan bahasanya.

Bahasa kebangsaan adalah nadi perpaduan nasional, yang membezakan kita dengan negara lain. Sejarah membuktikan bahawa setiap pemimpin yang hebat, akan mencari jalan terbaik untuk mengukuhkan bahasa kebangsaannya.

Misalnya, pemimpin revolusi China, Mao Zedong, memberi penghormatan yang sangat tinggi terhadap bahasa sendiri. Walaupun mengetahui bahasa-bahasa lain, dia tidak pernah menggunakannya. Mao lebih suka menggunakan bahasa Cina sebagai medium komunikasi beliau.

Begitu juga negara lain seperti Jerman, Iran, Perancisdan sebagainya, komitmen kecintaan kepada bahasa dan kesusasteraan mereka sangat tinggi dan berjaya melonjakkan pembangunan negara.

Tidakkah kita nampak segak berucap dalam bahasa Melayu ketika perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu? Lagi pula mereka ada penterjemahnya.

Akhirnya, apakah tentangan terhadap syor saya disebabkan oleh terlalu ramai yang pelat atau tidak berbahasa Melayu? Jika begitulah keadaannya, sudah sampai masanya undang-undang dikuatkuasakan untuk mendaulatkan bahasa negara.


* Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UniSZA

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Khamis, 7 Mei 2015

ISU BAHASA : Jawatankuasa Bahasa Melayu-Indonesia ditubuhkan


KUALA LUMPUR - Jawatankuasa  Bahasa  Melayu  dan  Bahasa Indonesia akan ditubuhkan hujung tahun ini bagi mengkaji kerjasama menjadikan kedua-dua bahasa itu sebagai lingua franca di peringkat antarabangsa.

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, penubuhan jawatankuasa itu merupakan susulan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jakarta bulan lepas.

Katanya jawatankuasa itu bakal memainkan peranan penting sebagai penjaga warisan seni lingua antara dua negara, selain memberi nafas baharu ke arah memperjuangkan Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia ke pentas dunia.

"Jawatankuasa  sangat  penting  dalam  pembinaan  jiwa  kewarganegaraan  serta  kenegaraan  alam Melayu.

"Maka bermula tahun hadapan, kita boleh memulakan beberapa langkah positif menjadikan Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia sebagai bahasa ilmu, bahasa teknikal serta bahasa antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Bengkel Memartabatkan Pengajian Melayu 2015 di sini hari ini.

Sebanyak 150 anggota akademik menghadiri bengkel sehari bertemakan 'Memartabatkan Pengajian Bahasa Melayu' anjuran Majlis Dekan Pengajian Melayu Universiti Awam dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Kementerian Pendidikan dan Yayasan Warisan Negara.

Mengulas lanjut, Rais berkata pada masa ini pihaknya sedang menunggu senarai nama wakil dari Indonesia bagi menganggotai jawatankuasa itu yang akan diumumkan Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla, sebelum diserahkan kepada Muhyiddin.

Ketika diminta mengulas tindakan anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok menolak cadangan mensyaratkan individu yang ingin menjadi wakil rakyat harus fasih berbahasa Melayu dan memiliki kepujian bagi bahasa itu dalam Sijil Pelajaran Malaysia, Rais berkata tindakan Teresa itu sebagai tidak menghormati Perkara 152, Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan bahasa kebangsaan di negara ini adalah Bahasa Melayu.

"Kalau beliau nak jadi wakil rakyat, kena lulus Bahasa Melayu. Dan jika tak sanggup, maka harus dipersoal di mana kesetiaan kepada negara dan atas asas apa beliau mahu jadi pemimpin," katanya. - Bernama

Selasa, 5 Mei 2015

ISU PENDIDIKAN : Sistem digital, guru terseksa?


KUALA LUMPUR – Baru-baru ini, heboh orang ramai bercakap mengenai tahap pencapaian pelajar Malaysia yang didakwa masih terkebelakang berbanding negara lain.

Tetapi kualiti pendidikan dijangka lebih terjejas pada masa depan jika tinjauan mengenai tekanan guru yang dilakukan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) diambil kira.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, tinjauan terbaharu NUTP yang dibuat tahun lalu menunjukkan tekanan dihadapi guru di Malaysia semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya disebabkan pengenalan pelbagai program pendidikan baharu serta penggunaan sistem elektronik (e-sistem) untuk merekodkan segala aktiviti di sekolah.

Menurutnya, keadaan fizikal dan mental guru yang ‘letih’ akibat beban tugas tambahan ini menyebabkan mereka tidak mampu menyampaikan pendidikan berkualiti kepada pelajar.

“NUTP tahun lalu ada minta guru senaraikan beban tugas mereka. Memang tugas masukkan data secara online ini antara yang paling menimbulkan tekanan hebat. E-sistem ini menyebabkan guru menderita,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian, baru-baru ini.

Menurutnya, guru terpaksa membazirkan masa berjam-jam sehari untuk mengisi maklumat pelajar dalam pelbagai sistem elektronik berbeza yang diperkenalkan kementerian di bawah program Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sejak 2011.

"E-sistem ini ada berpuluh jenis, (jabatan pendidikan) negeri ada, persekutuan ada, Kementerian Pendidikan ada. Sedangkan data sama (contohnya e-kehadiran, e-salah laku, e-disiplin) yang sudah dimasukkan dalam sistem A, perlu dimasukkan sekali lagi dalam sistem B.

“Disebabkan ini, ada guru yang akhirnya memilih untuk bersara awal kerana tak lagi rasa seronok untuk mengajar seperti dahulu kerana terlalu terbeban dengan tugas memasukkan data ke dalam e-sistem,” katanya.

Menurutnya, ada aduan diterima mengenai e-sistem tidak dapat diakses pada waktu puncak sehingga menyebabkan guru terpaksa habiskan masa sehingga jam 2 atau 3 pagi hanya untuk memasukkan data.

“Guru manusia, bukan mesin. Kalau masukkan data sampai jam 3 atau 4 pagi, datang sekolah dalam keadaan mengantuk, macam mana dia nak fokus pada pelajar. Akhirnya kesan kepada pelajar, menjejaskan kualiti pendidikan,” katanya.

Yim Pheng berkata, antara penyelesaian masalah ini adalah melantik pembantu guru, iaitu cadangan NUTP yang sudah diluluskan pada 2013 oleh Kementerian Pendidikan namun belum dilaksanakan.

Satu e-sistem tunggal dan berpusat perlu diwujudkan supaya guru tidak perlu berulang kali memasukkan data sama dalam sistem berbeza.


Jangan ‘humban’ semua program

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM), katanya, juga menyebabkan terlalu banyak program baharu diperkenalkan di sekolah dalam masa singkat, menyebabkan tekanan guru bertambah kerana mereka tidak dapat menguasai sesuatu program secukupnya sebelum diarahkan beralih ke program lain.

“Sepatutnya beri jarak masa yang sesuai supaya guru dapat sesuaikan diri dengan sesuatu program dan berehat secukupnya sebelum beralih ke program seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, walaupun diakui guru tertekan, dasar baharu di bawah PPPM adalah baik untuk pelajar pada masa akan datang kerana menekankan kemahiran berfikir belajar.

Bilangan pelajar juga terlalu ramai menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

“Satu kelas ada sampai 40 hingga 50 murid. Di bawah PBS, seorang guru perlu beri perhatian secara individu kepada pelajar. Itu yang menyebabkan guru tertekan kerana tidak cukup masa,” katanya sambil menambah jumlah pelajar yang sewajarnya di bawah PBS adalah 20 hingga 20 orang dalam satu kelas.

Beliau juga berkata, guru perlu menghadiri terlalu banyak mesyuarat sehingga menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan kelas.

Katanya, isu itu pernah dibangkitkan dalam laporan NUTP bertajuk ‘Pandangan dan Syor NUTP: Beban Guru’ pada 2005 yang mengkaji tekanan dalam kalangan guru berkaitan beban kerja tambahan.

Yim Pheng berkata, susulan penerbitan laporan itu, Kementerian Pendidikan menubuhkan jawatankuasa menangani beban kerja guru dan sejak itu, lebih 10 mesyuarat diadakan untuk membincangkan kaedah dan penyelesaian sesuai.

Walaupun terdapat perubahan di peringkat awal laporan itu diterbitkan 10 tahun lalu, semuanya kembali kepada asal kini apabila rungutan diterima daripada guru yang terpaksa hadiri terlalu banyak mesyuarat.

Menurutnya, isu ini boleh diselesaikan jika pengetua atau guru besar sekolah mampu menyelesaikan masalah dengan cekap tanpa memerlukan guru meninggalkan kelas untuk menghadiri mesyuarat.

“Kalau dapat agihkan tugas sama rata kepada semua guru dan kendalikan sekolah secara lebih profesional serta ada strategi, saya rasa kita dapat kurangkan terlalu kerap sangat mesyuarat. Sekarang s ada e-mel, WhatsApp, banyak perkara boleh dapat maklum balas dan bincang (tanpa mesyuarat),” katanya.


Beri cikgu rehat secukupnya

Katanya, tanggapan lapuk guru hanya bekerja separuh hari tidak tepat kerana kajian dibuat NUTP menunjukkan guru bagi sekolah sesi pagi yang hadir ke sekolah pada jam 7 pagi hanya pulang paling awal jam 2 petang malah, ada yang perlu bertugas pada waktu petang atau malam untuk program tambahan atau mesyuarat.

“Pada waktu mereka tidak ada kelas, mereka gunakan masa itu untuk tanda buku, buat persediaan mata pelajaran seterusnya, masukkan data dalam e-sistem.  Sekarang kita ada terima aduan ada sekolah yang ingin memasukkan kelas tambahan dalam jadual tetap guru. Jadi bila guru nak rehat?,” katanya.

Katanya, guru juga kurang rehat apabila perlu ke sekolah pada Sabtu dan Ahad serta cuti umum disebabkan pelbagai aktiviti luar, program tambahan dan mesyuarat.

Selain itu katanya, kajian NUTP mendapati sesetengah guru terutama guru muda mempunyai masalah keyakinan diri semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, tidak tahu berkomunikasi dengan ibu bapa serta tiada kemahiran menyelesaikan masalah pelajar di dalam kelas.

“Itu yang kadang-kala timbul isu guru pukul pelajar sampai cedera. Ini semua disebabkan tekanan. Jadi kita cadangkan Kementerian Pendidikan buat kursus psikologi untuk ajar guru imbangi emosi semasa mereka tertekan,” katanya.

Selain itu, dasar pendidikan yang kerap berubah punca tekanan guru meningkat, termasuk sistem PBS yang diperkenalkan empat tahun lalu.

Ada sekolah balik kepada budaya peperiksaan apabila diberi kelonggaran adakan ujian bawah PBS.

“Kita cadang kepada kementerian, sekolah mesti hanya ada peperiksaan pertengahan dan akhir tahun. Ibu bapa mesti ada keyakinan terhadap sekolah. Jangan bila tiada ujian, ibu bapa kata anak tak belajar. Itu masih terikat mentaliti peperiksaan,” katanya.

Katanya, apa yang guru mahukan adalah masa mencukupi dengan anak murid supaya mereka dapat mengembangkan potensi pelajar dan melahirkan modal insan yang baik.

“Saya nampak Timbalan Perdana Menteri (yang juga Menteri Pendidikan) Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup prihatin terhadap beban kerja guru. Tetapi belum ada penyelesaian,” katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/