KUALA LUMPUR – Baru-baru ini, heboh orang ramai bercakap mengenai tahap pencapaian pelajar Malaysia yang didakwa masih terkebelakang berbanding negara lain.
Tetapi kualiti pendidikan dijangka lebih
terjejas pada masa depan jika tinjauan mengenai tekanan guru yang dilakukan
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) diambil kira.
Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng
berkata, tinjauan terbaharu NUTP yang dibuat tahun lalu menunjukkan tekanan dihadapi
guru di Malaysia semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini,
terutamanya disebabkan pengenalan pelbagai program pendidikan baharu serta
penggunaan sistem elektronik (e-sistem) untuk merekodkan segala aktiviti di
sekolah.
Menurutnya, keadaan fizikal dan mental
guru yang ‘letih’ akibat beban tugas tambahan ini menyebabkan mereka tidak
mampu menyampaikan pendidikan berkualiti kepada pelajar.
“NUTP tahun lalu ada minta guru senaraikan
beban tugas mereka. Memang tugas masukkan data secara online ini antara yang
paling menimbulkan tekanan hebat. E-sistem ini menyebabkan guru menderita,”
katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian, baru-baru ini.
Menurutnya, guru terpaksa membazirkan masa
berjam-jam sehari untuk mengisi maklumat pelajar dalam pelbagai sistem
elektronik berbeza yang diperkenalkan kementerian di bawah program Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (PBS) sejak 2011.
"E-sistem ini ada berpuluh jenis,
(jabatan pendidikan) negeri ada, persekutuan ada, Kementerian Pendidikan ada.
Sedangkan data sama (contohnya e-kehadiran, e-salah laku, e-disiplin) yang
sudah dimasukkan dalam sistem A, perlu dimasukkan sekali lagi dalam sistem B.
“Disebabkan ini, ada guru yang akhirnya
memilih untuk bersara awal kerana tak lagi rasa seronok untuk mengajar seperti
dahulu kerana terlalu terbeban dengan tugas memasukkan data ke dalam e-sistem,”
katanya.
Menurutnya, ada aduan diterima mengenai
e-sistem tidak dapat diakses pada waktu puncak sehingga menyebabkan guru
terpaksa habiskan masa sehingga jam 2 atau 3 pagi hanya untuk memasukkan data.
“Guru manusia, bukan mesin. Kalau masukkan
data sampai jam 3 atau 4 pagi, datang sekolah dalam keadaan mengantuk, macam
mana dia nak fokus pada pelajar. Akhirnya kesan kepada pelajar, menjejaskan
kualiti pendidikan,” katanya.
Yim Pheng berkata, antara penyelesaian
masalah ini adalah melantik pembantu guru, iaitu cadangan NUTP yang sudah
diluluskan pada 2013 oleh Kementerian Pendidikan namun belum dilaksanakan.
Satu e-sistem tunggal dan berpusat perlu
diwujudkan supaya guru tidak perlu berulang kali memasukkan data sama dalam
sistem berbeza.
Jangan ‘humban’ semua program
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
2013-2025 (PPPM), katanya, juga menyebabkan terlalu banyak program baharu
diperkenalkan di sekolah dalam masa singkat, menyebabkan tekanan guru bertambah
kerana mereka tidak dapat menguasai sesuatu program secukupnya sebelum
diarahkan beralih ke program lain.
“Sepatutnya beri jarak masa yang sesuai
supaya guru dapat sesuaikan diri dengan sesuatu program dan berehat secukupnya
sebelum beralih ke program seterusnya,” katanya.
Beliau berkata, walaupun diakui guru
tertekan, dasar baharu di bawah PPPM adalah baik untuk pelajar pada masa akan
datang kerana menekankan kemahiran berfikir belajar.
Bilangan pelajar juga terlalu ramai
menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
“Satu kelas ada sampai 40 hingga 50 murid.
Di bawah PBS, seorang guru perlu beri perhatian secara individu kepada pelajar.
Itu yang menyebabkan guru tertekan kerana tidak cukup masa,” katanya sambil
menambah jumlah pelajar yang sewajarnya di bawah PBS adalah 20 hingga 20 orang
dalam satu kelas.
Beliau juga berkata, guru perlu menghadiri
terlalu banyak mesyuarat sehingga menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan
kelas.
Katanya, isu itu pernah dibangkitkan dalam
laporan NUTP bertajuk ‘Pandangan dan Syor NUTP: Beban Guru’ pada 2005 yang
mengkaji tekanan dalam kalangan guru berkaitan beban kerja tambahan.
Yim Pheng berkata, susulan penerbitan
laporan itu, Kementerian Pendidikan menubuhkan jawatankuasa menangani beban
kerja guru dan sejak itu, lebih 10 mesyuarat diadakan untuk membincangkan
kaedah dan penyelesaian sesuai.
Walaupun terdapat perubahan di peringkat
awal laporan itu diterbitkan 10 tahun lalu, semuanya kembali kepada asal kini
apabila rungutan diterima daripada guru yang terpaksa hadiri terlalu banyak
mesyuarat.
Menurutnya, isu ini boleh diselesaikan
jika pengetua atau guru besar sekolah mampu menyelesaikan masalah dengan cekap
tanpa memerlukan guru meninggalkan kelas untuk menghadiri mesyuarat.
“Kalau dapat agihkan tugas sama rata
kepada semua guru dan kendalikan sekolah secara lebih profesional serta ada
strategi, saya rasa kita dapat kurangkan terlalu kerap sangat mesyuarat.
Sekarang s ada e-mel, WhatsApp, banyak perkara boleh dapat maklum balas dan
bincang (tanpa mesyuarat),” katanya.
Beri cikgu rehat secukupnya
Katanya, tanggapan lapuk guru hanya
bekerja separuh hari tidak tepat kerana kajian dibuat NUTP menunjukkan guru
bagi sekolah sesi pagi yang hadir ke sekolah pada jam 7 pagi hanya pulang
paling awal jam 2 petang malah, ada yang perlu bertugas pada waktu petang atau
malam untuk program tambahan atau mesyuarat.
“Pada waktu mereka tidak ada kelas, mereka
gunakan masa itu untuk tanda buku, buat persediaan mata pelajaran seterusnya,
masukkan data dalam e-sistem. Sekarang
kita ada terima aduan ada sekolah yang ingin memasukkan kelas tambahan dalam
jadual tetap guru. Jadi bila guru nak rehat?,” katanya.
Katanya, guru juga kurang rehat apabila
perlu ke sekolah pada Sabtu dan Ahad serta cuti umum disebabkan pelbagai
aktiviti luar, program tambahan dan mesyuarat.
Selain itu katanya, kajian NUTP mendapati
sesetengah guru terutama guru muda mempunyai masalah keyakinan diri semasa
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, tidak tahu berkomunikasi dengan ibu
bapa serta tiada kemahiran menyelesaikan masalah pelajar di dalam kelas.
“Itu yang kadang-kala timbul isu guru
pukul pelajar sampai cedera. Ini semua disebabkan tekanan. Jadi kita cadangkan
Kementerian Pendidikan buat kursus psikologi untuk ajar guru imbangi emosi
semasa mereka tertekan,” katanya.
Selain itu, dasar pendidikan yang kerap
berubah punca tekanan guru meningkat, termasuk sistem PBS yang diperkenalkan
empat tahun lalu.
Ada sekolah balik kepada budaya
peperiksaan apabila diberi kelonggaran adakan ujian bawah PBS.
“Kita cadang kepada kementerian, sekolah
mesti hanya ada peperiksaan pertengahan dan akhir tahun. Ibu bapa mesti ada
keyakinan terhadap sekolah. Jangan bila tiada ujian, ibu bapa kata anak tak
belajar. Itu masih terikat mentaliti peperiksaan,” katanya.
Katanya, apa yang guru mahukan adalah masa
mencukupi dengan anak murid supaya mereka dapat mengembangkan potensi pelajar
dan melahirkan modal insan yang baik.
“Saya nampak Timbalan Perdana Menteri
(yang juga Menteri Pendidikan) Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup prihatin terhadap
beban kerja guru. Tetapi belum ada penyelesaian,” katanya.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/