Isnin, 25 Mei 2015

ISU BAHASA : OUM, DBP bekerjasama martabat bahasa Melayu


KUALA LUMPUR 22 Mei – Kerjasama antara Open University Malaysia (OUM) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berupaya melahirkan lebih ramai pakar dalam bahasa Melayu di samping memartabatkan bahasa berkenaan ke peringkat antarabangsa.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, ini adalah inisiatif terbaik dalam usaha mengangkat bahasa berkenaan ke peringkat global melalui program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu dan Ijazah Sarjana Muda Pengajaran (Pendidikan Rendah) dengan pengkhususan Bahasa Melayu yang bakal ditawarkan di Universiti Pengajian Antarabangsa Beijing (BFSU), Beijing, China

Katanya, pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian tersebut berpeluang mendapat pengiktirafan ilmiah dan mempunyai kepakaran dalam pengajian bahasa tersebut, sekali gus mampu melestari, memperkenal serta memperkasa penggunaan bahasa berkenaan kepada komuniti bukan masyarakat Melayu.

“Saya yakin dengan pendekatan dan penyampaian yang disediakan oleh pihak OUM bersama-sama DBP melalui pelbagai program, latihan, input dan aktiviti berasaskan pengetahuan akademik bahasa Melayu, dilihat mampu menarik minat bangsa lain untuk mendalami keunikan dan keindahan bahasa tersebut serta budaya yang diamalkan penuturnya.

“Saya lihat perkara ini akan memberi impak positif kepada pelajar di Universiti Beijing agar mereka mampu menguasai, mengamalkan bahasa Melayu dan fasih bertutur menggunakan bahasa tersebut ,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara OUM dengan DBP bagi menawarkan Program Bahasa Melayu dan Program Pengajian Melayu di China dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden OUM, Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Prof. Dr. Zaharani Ahmad; Naib Presiden Kanan OUM, Prof. Datuk Dr. Mansor Fadzil; Ketua Akademi DBP, Dr. Amran Joned dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Meteor OUM, Prof. Dr. Ahmad Hashim.

Menurut Awang Sariyan, pihaknya bersama-sama dengan OUM akan saling bertukar kepakaran dan berkongsi maklumat dalam hal-hal pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu bagi memastikan matlamat memartabatkan bahasa tersebut berjaya.

Sementara itu, Anuwar berkata, pihaknya akan menyediakan program-program yang bersesuaian dengan pengajian bahasa Melayu sekiranya mendapat kelulusan secepat mungkin dari Universiti Beijing berkenaan penawaran bidang di universiti berkenaan.

Katanya, pihaknya menyasarkan pengajian Bahasa Melayu yang pertama akan bermula pada awal tahun depan sejurus mendapat kelulusan dan melihat program tersebut bakal mendapat potensi besar melalui program jarak jauh dan pendekatan e-Learning.

“Kami juga menyediakan platform e-Learning yang memudahkan pelajar untuk mengakses pembelajaran pada bila-bila masa dengan menggunakan internet. Pengajian melalui e-Learning ini merupakan satu nilai tambah yang terbaik, malah sedikit-sebanyak membantu dan tidak tertumpu kepada pengajaran secara bersemuka bersama-sama tenaga pengajar.

“Saya berharap kerjasama ini dapat mencapai matlamat dalam menyemarak dan memperkukuh pengajian bahasa Melayu agar dapat berkembang dan diangkat sebagai bahasa antarabangsa untuk digunakan di negara-negara lain,” katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/