TATKALA masyarakat Malaysia sudah semakin memahami istilah pedofilia, para ibu bapa terutamanya perlu menyedari bahawa kanak-kanak di Malaysia turut terdedah dengan bahaya jenayah seksual yang dilakukan oleh pedofilia.
Apatah lagi dalam era teknologi
komunikasi dan maklumat yang serba canggih pada hari ini, kanak-kanak kini
lebih terdedah kepada ancaman pedofilia apabila pelaku mudah mendampingi dan
memperoleh imej mereka menerusi rangkaian laman sosial. Yang sedemikian, sangat
penting bagi ibu bapa untuk melindungi dan mendidik anak-anak mereka mengenai
ancaman berkenaan.
Berbanding dengan negara-negara
barat, yang sudah lama mengenal pasti gejala ini dan mempunyai pangkalan data
pesalah laku pedofilia, kita tidak mengetahui sejauh mana gejala pedofilia
berlaku di Malaysia.
Baru-baru ini isu pedofilia
menjadi perbincangan hangat apabila masyarakat di negara ini dikejutkan dengan
berita seorang penuntut Malaysia dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh
sebuah mahkamah di London apabila mengaku bersalah atas 17 kesalahan memiliki
30,000 imej dan video pornografi kanak-kanak dengan niat untuk mengedarkannya.
Sudah tiba masa untuk para ibu
bapa di negara ini berbicara tentang seks dengan anak-anak, sekali gus mengajar
kemahiran melindungi diri daripada gangguan seksual termasuk diajar membezakan
cara sentuhan, sama ada ia wajar atau ia
satu perlakuan tidak senonoh. Cuma sejauh manakah sikap keterbukaan mereka dan
mendidik anak-anak mereka mengenai ancaman pedofilia?
Mengulas persoalan ini, pensyarah
kanan Psikologi Perkembangan Kanak-Kanak Jabatan Psikologi Kuliyyah Ilmu Wahyu
dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Dr Nazariah
Shar'ie Janon berkata ibu bapa harus lebih bersikap terbuka dan bersedia
menjawab persoalan tentang seks dengan rasional, sesuai dengan usia anak.
"Ibu bapa perlu memberitahu
anak-anak bahawa tubuh badan mereka adalah milik mereka sendiri dan mereka
tidak boleh membenarkan orang lain menyentuh tubuh badan mereka. Kita sebagai
(ibu bapa) terangkan kepada anak-anak tentang empat bahagian penting yang boleh
menjurus kepada penderaan seksual iaitu mulut, dada, punggung dan alat
kemaluan.
"Empat bahagian ini adalah
bahagian sensitif di mana orang lain tidak dibenarkan menyentuh, meraba,
mencium atau memegang. Kita perlu maklumkan kepada anak-anak supaya mereka
berhati-hati jika mengalami keadaan seperti itu," katanya kepada Bernama
ketika ditemui baru-baru ini.
Dr Nazariah berkata, penerangan
yang jelas amat penting agar penterjemahan kanak-kanak mengenai isu seks tidak
disalahertikan dan anak-anak memahami bahawa keselamatan diri daripada gangguan
seksual adalah satu perkara penting yang mesti diingat.
"Contohnya ibu bapa boleh
melukis gambar seperti orang lidi dan tandakan bahagian mana yang dikatakan
sensitif jadi kalau mereka (anak-anak) berasa sakit dan pernah disentuh ajar
mereka menjerit dan maklumkan kepada ibu bapa," katanya sambil menambah
kata ibu bapa juga harus mendidik anak-anak mereka supaya tidak mempercayai
orang yang tidak dikenali.
Dr Nazariah berkata, adalah lebih
baik jika kanak-kanak diberi pendedahan awal pendidikan seks apabila mereka
sudah boleh membezakan antara perkara baik dan buruk.
Beliau berkata, sedari awal
kanak-kanak perlu dididik mengenai perkembangan fizikal tumbesaran badan
peringkat demi peringkat.
"Contohnya, kalau kita (ibu
bapa) mempunyai anak-anak berumur dua tahun ke atas beritahu bahawa mereka
supaya tidak boleh tunjuk tubuh badan mereka kepada orang lain mahupun ahli
keluarga sendiri. Ajar mereka tutup tubuh badan dengan baju atau tuala selepas
mandi terutamanya, jadi tidaklah anak-anak ini berbogel selepas mandi,"
katanya.
Dr Nazariah turut menekankan
supaya ibu bapa mengamalkan komunikasi berkesan dan sentiasa meluangkan masa
bersama dengan anak-anak untuk berkongsi dan mendengar masalah yang dihadapi
mereka, sekali gus membina hubungan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak.
Melalui sentuhan kasih sayang dan
kepercayaan yang dibina dalam hubungan kekeluargaan ini, ibu bapa dapat
melahirkan anak-anak yang positif.
Mengenai penguatkuasaan
undang-undang berhubung jenayah seksual kanak-kanak, Dr Nazariah berkata
kerajaan harus sedar bahawa penguatkuasaan undang-undang yang efisien boleh
membantu mengekang masalah ini daripada berleluasa.
"Saya rasa dengan ada
teknologi hari ini, kita mampu mengakses lebih banyak maklumat.
"Mengapa tidak kita
mencontohi negara-negara maju yang sudah lama melihat isu penderaan seksual
kanak-kanak ini satu perkara serius dan saya harap kerajaan patut mempunyai
undang-undang khas terhadap pesalah jenayah seksual kanak-kanak seperti
pedofilia.
"Jangan menganggap isu ini
taboo kerana ia boleh menjadi perkara serius jika kita gagal menanganinya dan
setakat ini tiada penguatkuasaan atau undang-undang sangat efektif untuk
mengesan individu yang aktif memuat turun video dan imej pornografi kanak-kanak
di Malaysia," katanya.
Lebih membimbangkan apabila
anak-anak diberi kebebasan untuk mengakses internet tanpa kawalan ibu bapa.
Beliau berkata, ini akan memberi
jalan mudah kepada individu yang mempunyai keinginan seks terhadap kanak-kanak
untuk mencari peluang menjejaki mangsa.
Berikutan itu, Dr Nazariah
berkata, kerjasama daripada semua pihak amat penting untuk memastikan pesalah
jenayah seksual kanak-kanak dikenakan hukuman setimpal agar kanak-kanak tidak
terus menjadi mangsa individu tidak berperikemanusiaan.
Sumber : Bernama (22 Mei 2015)
Sumber : Bernama (22 Mei 2015)