Khamis, 10 September 2015

ISU BAHASA : Harapkan pagar, pagar makan padi


Oleh : Muhammad Daud

KITA pasti pernah terbaca tentang pendapat yang mengatakan bahawa peribahasa yang sebenar ialah “harapkan pegar, pegar makan padi” bukannya “harapkan pagar, pagar makan padi”.

Penyokong pandangan ini memberikan hujah bahawa telah berlaku kesilapan semasa menterjemah peribahasa ini daripada tulisan Jawi kepada tulisan Rumi, lagipun tidak logik untuk mengharapkan pagar bagi menjaga padi kerana pagar merupakan objek yang tidak hidup.

Lebih logik jika diharapkan pegar iaitu sejenis burung yang memakan padi atau dikenali juga sebagai burung kuang untuk menjaga padi kerana burung pegar ini hidup.

Bagi menilai peribahasa yang sebenar antara dua peribahasa ini, pertama sekali kita perlu melihat sosiobudaya masyarakat Melayu terlebih dahulu.

Masyarakat Melayu yang hidup sebagai petani bekerja keras untuk menanam padi bagi menyara hidup mereka. Pada masa itu, kehidupan mereka seratus-peratus bergantung pada penanaman padi. Adakah logik jika masyarakat Melayu menyerahkan tanggungjawab untuk menjaga padi mereka kepada sejenis burung yang memakan padi?

Bukankah pekerjaan itu dianggap sebagai suatu perbuatan yang sengaja untuk mencari susah.

Berdasarkan kajian tentang sosiobudaya Melayu, peribahasa “harapkan pagar, pagar makan padi” lebih tepat kerana istilah pagar di sini bukan hanya merujuk pagar yang diperbuat daripada kayu-kayu yang dipacak ataupun diperbuat daripada kawat duri tetapi maksudnya lebih luas daripada itu.

Dalam kamus bahasa Indonesia, pagar bermaksud pengawal atau penjaga. Kalau diteliti maksud pagar dalam bahasa Indonesia ini yang merupakan bahasa serumpun kita, semakin kukuhlah pandangan bahawa peribahasa yang sebenar ialah “harapkan pagar, pagar makan padi”.

Maksud peribahasa “harapkan pagar, pagar makan padi” ialah harapan yang diletakkan pada bahu seseorang tetapi akhirnya orang itu pula yang merosakkan. Keyakinan terhadap kebijaksanaan masyarakat Melayu dahulu masih kuat kerana tidak mungkin mereka akan meletakkan harapan untuk menjaga tanaman padi mereka kepada sejenis burung yang memakan padi.

Sebenarnya nenek moyang kita tidak sewenang-wenangnya mencipta peribahasa mengikut kemahuan sendiri kerana peribahasa ialah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang khusus.

Peribahasa telah dicipta melalui pemerhatian dan kajian yang teliti. Pemilihan perkataan juga amat sesuai dengan maksud yang hendak disampaikan selain menonjolkan keindahan bahasa Melayu itu sendiri.

Kita dapat menerima peribahasa “harapkan pegar, pegar makan padi” jika maksudnya harapan yang diletakkan pada seseorang yang sudah diketahui kejahatannya kerana lebih relevan dan berkaitan. Konsepnya sama jika kita mengharapkan kucing untuk menjaga ikan kerana sudah pasti ikan itu akan dimakan kucing memandangkan ikan merupakan makanan kucing.

Tidak mungkin masyarakat Melayu menyerahkan kuasa menjaga ikan kepada kucing, mengamanahkan monyet untuk menjaga pisang ataupun meminta kambing bagi menjaga tanaman sirih. Kalau percaya akan haiwan-haiwan ini, tunggulah akibatnya.

Penulis pernah terbaca suatu pesanan daripada orang tua-tua supaya tidak bermalam di rumah perempuan muda bersuamikan orang tua. Pesanan ini jelas menggambarkan sikap berhati-hati masyarakat Melayu untuk mengelakkan perkara yang buruk daripada berlaku. Pemikiran ini jelas menggambarkan bahawa tidak mungkin leluhur kita itu percaya akan pegar untuk menjaga padinya.

Kalau dikaji peribahasa Melayu secara menyeluruh, sebenarnya kita dapat mempelajari jati diri dan imej orang Melayu yang menjadi pendokong kewujudan peribahasa  Melayu. Ciri-ciri yang terkandung dalam peribahasa membolehkan kita mengenali sifat dan perwatakan orang Melayu sejak dahulu lagi.

Orang Melayu sebenarnya suatu bangsa yang tersusun dalam pelbagai bidang sejak dahulu lagi. Kemantapan orang Melayu dari segi politik, ekonomi dan sosial dapat kita kaji dan pelajari melalui kisah-kisah sejarah dan hasil karya lama. Imej itu merupakan imej orang Melayu yang dapat diperhatikan melalui khazanah ciptaan mereka iaitu peribahasa kerana peribahasa itu sendiri merupakan ayat atau kelompok kata yang teratur, ringkas dan padat.

Penulis ialah Munsyi Dewan  dan Guru Cemerlang Bahasa Melayu SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/


ISU BAHASA : Dah jatuh, panjat tinggi lagi!


Oleh : MOHD HAZANI MAHAD

“IBU dah pesan banyak kali, jangan panjat tangga tu!”

“Sekarang dah jatuh, panjat tinggi lagi!”
   
Jika difikirkan, pelik sungguh kata-kata seorang ibu seperti ujaran di atas. Ayat pertama, beliau melarang anaknya memanjat tangga. Ayat kedua pula, setelah anaknya jatuh, disuruhnya pula anak itu memanjat tangga  lagi. Apakah maksud kata-kata ibu itu sebenarnya?

Penulis juga pernah mengalami pengalaman yang sama. Sebelum memulakan pengajaran di dalam kelas, penulis pernah menegur keadaan kebersihan kelas pada suatu pagi. Berikut merupakan antara dialog yang masih diingati penulis sewaktu bercakap dengan pelajar di dalam kelas tersebut.

“Cuba kamu perhatikan tingkap yang masih berdebu dan terdapat cebisan kertas di lantai.”

“Kelas lain kotor juga, cikgu.”

“Ya, kelas lain juga kotor. Tak patut kelas kamu saja yang ditegur. Lagipun, kelas kamu ni taklah kotor sangat.”

“Terima kasih, cikgu.”

Penulis ragu-ragu dengan ungkapan terima kasih yang diucapkan pelajar, sama ada mereka faham atau sebaliknya teguran yang diberikan penulis. Apakah anak-anak hari ini sudah tidak arif untuk memahami maksud tersirat? Begitu juga dengan situasi pertama, berkesankah ragam bahasa ini kepada anak-anak yang sedang membesar?

Bahasa yang merupakan alat komunikasi untuk menyatakan perasaan, buah fikiran, perkongsian ilmu tidak akan dapat berfungsi jika mereka tidak memahami maksud penutur yang bercakap dengannya. Mereka tidak dapat mentafsir maksud di sebalik kata-kata yang diucapkan. Sudah menjadi resam bagi orang-orang Melayu iaitu segala bentuk teguran, pertentangan pendapat, saranan, perasaan tidak puas hati tidak diungkapkan secara terbuka. Keadaan ini dapat mengelakkan salah faham dan rasa tersinggung pihak lain.

Bentuk bahasa yang dituturkan dalam dialog di atas ialah ragam bahasa terbalik. Terbalik kerana perkataan yang diungkapkan membawa makna berlapis dan tidak merujuk pada kata-kata yang digunakan. Mengapakah perlu digunakan bahasa terbalik, tidakkah berterus terang itu lebih baik? Jika penulis menggunakan contoh situasi pertama, ibu tersebut sebenarnya telah menegur anak tersebut dengan berterus terang iaitu “Ibu dah pesan banyak kali, jangan panjat tangga tu!” Namun begitu, teguran tersebut tidak diendahkan.

Apabila anak tersebut jatuh dan mendapat kecederaan, ibu tersebut tidak bermaksud untuk melukakan hati dan perasaan anak tersebut dengan menyindirnya. Sebaliknya, dia telah menggunakan ungkapan yang berbeza dengan maksud yang sama iaitu melarang anaknya daripada mengulangi perbuatan tersebut. Tindakan ini dapat menguatkan maksud dan mengukuhkan hasrat ibunya supaya anaknya tidak melakukannya lagi. Ibunya juga berharap agar anaknya memahami maksudnya tadi dengan menggunakan bentuk bahasa yang berbeza.

Belajarlah daripada orang-orang tua dahulu yang menggunakan kebijaksanaan fikiran dan keluhuran akal budi dalam menyelesaikan masalah. Peribahasa Melayu mengungkapkan, bagai menghela rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak terserak. Bagai menghela tali jala, rasa tegang dikendurkan, rasa kendur ditegangkan juga menjelaskan bahawa pekerjaan yang sukar hendaklah dilaksanakan dengan cermat dan berhati-hati. Persoalan faham atau tidak ungkapan tersebut, tentulah memerlukan masa dan didikan yang berterusan. Yang penting, anak dan pelajar tersebut perlu mengubah sikap dan berfikir terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan yang bijaksana, seperti nasihat pendeta, berhambakan tangan, bersaksikan mata, berhakimkan hati.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/