Jumaat, 30 September 2016

ISU BAHASA : Memperkasa bahasa Melayu


Oleh : ABDULLAH MOHD YASSIN

PADA 22 Disember 2005 dijelmakan oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 yang berjudul Langkah-Langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam yang dijangkakan menjadi satu penawar keramat untuk merealisasikan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negara.

Kerasmiannya meliputi wacana lisan dan tulisan di peringkat kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan sebagaimana termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. 

Dari tarikh keramat itu hingga kini usia pekeliling tersebut telah berusia lebih 10 tahun, namun sinar keramatnya agak menyesakkan nafas pencinta bahasa negara ini.

Rata-rata dan di mana-mana sahaja, penggunaan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) semakin longgar dan longlai. Dalam wacana ilmiah di pusat pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta, laluan bahasa Melayu melapah medan ilmu (kecuali ilmu bahasa Melayu) amat sempit dan meruncing. 

Kupasan pelbagai ilmu tinggi yang menjadi kebanggaan negara langsung tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai wahananya. Jika terguna pun diselitkan dengan bahasa asing yang menyedihkan kedudukan bahasa Melayu umpama ungkapan ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’. 

Akibatnya penggunaan bahasa menjadi cacamarba dan hilang sifat formal, rasmi dan ilmiahnya. Begitu juga dalam penyampaian pada peringkat pengurusan dan pentadbiran negara, penggunaan bahasa Melayu terutamanya dalam wacana lisan cukup menyedihkan lagi menyeksakan. Kemungkinan para ilmuwan dan para politikus beranggapan bahawa bahasa ibundanya ini sekadar sebagai bahasa ‘pertuturan kampung’ sahaja. 

Baru-baru ini kita sama-sama menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-59 yang penuh gilang-gemilang. Dengan sambutan kemerdekaan kali ini bererti perjuangan untuk menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah melebihi usia 60 tahun kerana perjuangannya dimulai beberapa tahun sebelum merdeka. 

Persoalannya, adakah kita menunggu dua jubli emas sambutan kemerdekaan untuk mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang perlu disegarkan dan disemarakkan dalam erti kata sebenar-benarnya?

Perkara yang paling bernilai dalam hal kebahasaan ini ialah pencinta bahasa Melayu sewajarnya terus menggalas semangat juang bahasa yang hakiki lagi luhur dan usah merajuk di persimpangan jalan kerana merajuk kepada mereka yang tidak kasih akan menghancur niat murni kita sendiri.

Bangsa Melayu khususnya dan warganegara Malaysia amnya harus sedar bahawa kita tidak ada masa lagi untuk bermanja dalam soal menegakkan kedudukan hakiki bahasa Melayu ini.

Jika masa kini banyak tolak ansur kita legar-legarkan dalam soal memartabatkan bahasa, mungkin satu ketika kelak rasa sayang akan hilang terhadap bahasa keramat kita oleh generasi anak cucu kita sendiri. 

Begitu juga ketika ‘orang kita’ berkuasa sekaranglah, harus kita meminta ‘dipulangpulihkan’ kemartabatan bahasa Melayu kerana kita layak meminta kepadanya. 

Begitu juga jika perjuangan ini kurang memancarkan cahaya kejayaan, ‘rayulah’ kerana kita yakin dan percaya para pemimpin kita masih sudi untuk meletakkan agenda perjuangan bahasa sebagai satu perjuangan suci nusa bangsa. 

Dalam hal begini ungkapan ‘meminta kepada yang ada, merayu kepada yang sudi’ harus sentiasa menjadi renungan para pemimpin kini. 

Ingatlah bahawa perjuangan satu-satu bahasa hanya layak dilakukan oleh bangsanya sahaja.  Oleh itu, dalam kemelut perjuangan memartabatkan bahasa ini, sama-samalah kita renung bersama baris-baris peribahasa kita;


Merajuk kepada yang kasih,

Manja kepada yang sayang,

Meminta kepada yang ada,

Merayu kepada yang sudi.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Isnin, 26 September 2016

ISU PENDIDIKAN : Jadikan sekolah sebagai ladang pahala


Oleh : Prof Dr Muhaya Mohamad (bhagama@bh.com.my )

Islam mendidik kita menjaga akidah, ibadah dan akhlak. Lazimnya, jika ibadah khusus kita baik, akhlak juga akan baik. Untuk menilai tahap tawaduk dan ketakwaan seseorang dalam ibadah, contohnya solat, lihat perangai kita selepas solat.

Jika di luar solat kita tidak dapat menunjukkan akhlak yang baik, bermakna hati kita masih kotor. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan hatinya, dan kecewalah orang yang mengotorkannya." (Surah al-Syams, ayat 10)

Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda: "Bahawa Allah Taala tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu, tetapi Dia memandang kepada hati dan amal usaha kamu."

Hal ini menunjukkan pentingnya menjaga kesucian hati kerana hati menggambarkan akhlak seseorang yang saling berkait. Jika baik akhlaknya, bermakna baiklah hatinya dan begitulah sebaliknya.

Oleh itu jagalah hati kerana apabila hati terjaga, mulut pun terjaga. Jika mulut terjaga, emosi pun terjaga. Apabila emosi terjaga, tindakan pun terjaga. Maka tidaklah kita melakukan tindakan yang tidak berperikemanusiaan, khususnya mereka yang bergelar atau berjawatan profesional.

Panah syaitan

Dalam media sosial, banyak didedahkan mengenai tingkah laku buruk guru terhadap murid atau pelajarnya. Terbaru, kisah pelajar di sekolah tahfiz dikatakan cedera di belakang tubuh dan kepala akibat dibelasah guru dengan getah paip.

Kes itu bukanlah kejadian pertama kerana dikatakan sebelum itu di sekolah sama, seorang pelajar cedera hingga patah bahunya kerana dibelasah dengan kayu oleh guru tahfiznya. Apa pun kesalahan pelajar, adakah wajar mereka menerima hukuman sezalim itu?

Apatah lagi hukuman dilakukan oleh seorang guru tahfiz yang menghafal 30 juzuk al-Quran, yang sepatutnya tinggi nilai kesabarannya serta mampu mengawal kemarahannya.

Ciri-ciri orang yang tinggi ego ialah suka marah, baran dan tidak boleh kawal perasaan marahnya. Kata Imam Syafie, "Marah adalah antara panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindarilah ia supaya kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya."

Sifat pemarah itu datangnya daripada perasaan sombong dan ego. Lagi tinggi kesombongan dan keegoan kita, akan tinggilah tahap kemarahan. Jadikan kasih sayang sebagai tonggak kebahagiaan rumah tangga, keluarga dan masyarakat serta jauhi kebencian.

Guru diamanah mendidik

Bayangkan kasih sayang ini sebagai satu wangian atau air bersih yang mengalir dalam kehidupan yang menyamankan suasana. Apabila ada kebencian, bermakna sudah ada air keladak yang mencemari kehidupan kita.

Guru ialah orang yang memberikan atau menyampaikan ilmu, secara formal di sekolah. Jika terdidik guru akan terdidiklah negara kerana anak kita banyak masanya berada dalam pengawasan guru, terutama bagi anak bersekolah asrama.

Ibu bapa mengamanahkan guru mendidik dan mengajar anak mereka. Hakikatnya, semua guru berjaya melaksanakan tugas mengajar, tetapi tidak semua guru berjaya mendidik pelajarnya. Mengajar hanya setakat membabitkan akal, tetapi mendidik membabitkan sahsiah, emosi rohani, cara guru bercakap dan berinteraksi dengan pelajar.

Yang kuat dalam diri manusia itu ialah rohaninya. Keintelektualan mengajar mereka untuk faham sahaja, bukan menanamkan pada roh dan jiwa mereka suka kepada ilmu yang dipelajari. Sebab itu guru perlu melahirkan pelajar yang mampu memanfaatkan ilmu untuk dunia serta akhirat.

 Ikhlas mengajar

Sayangilah pelajar dan pandang mereka dengan kasih sayang, macam anak sendiri. Guru juga bermula dari tidak pandai dan nakal suatu masa dahulu. Apabila kita menjadi guru, bayangkan ketika kita bersekolah dahulu, macam mana kita hendak cikgu melayan kita.

Begitulah kita perlu melayan pelajar, mesti ada perasaan empati iaitu meletakkan perasaan kita dalam perasaan orang, barulah kita boleh bekerja dengan jiwa.

Jika guru berkasar dengan pelajar, macam manalah pelajar hendak berlembut dengan guru. Budaya memberi dan menerima mesti ada, kita baik dengan pelajar di sekolah, mereka juga akan baik dengan kita.

Atas keredaan Allah SWT kerana kita ikhlas mengajar, anak kita di rumah pun selamat, dijaga Allah daripada musibah. Jadikanlah sekolah itu ladang pahala dan pasanglah niat menjadi guru ikhlas untuk memberi manfaat dan mendapat reda Allah SWT.

Penulis adalah Pakar Motovasi dan Pakar Bedah Mata

Sumber: http://www.bharian.com.my/

Ahad, 25 September 2016

ISU SAINS & TEKNOLOGI : Peranan ibu bapa kawal anak-anak guna Internet


Oleh : KOH ABDULLAH 
 
Keadaan di dalam rumah senyap-sunyi, ibu bapa masing-masing baru sahaja pulang dari pejabat. Di meja makan, anak lelaki 16 tahun sibuk dengan laptop, mungkin melayari Faceook atau Instagram. Sementara adik perempuannya yang berusia 10 tahun sedang leka dengan tabletnya di ruang tamu.

Ibu bapa berfikir mungkin anak-anaknya sibuk membuat carian di Internet berkaitan kerja sekolah atau leka dengan permainan di tabletnya.

Apa pun, senario ini melegakan ibu bapa kerana anak mereka ada di dalam rumah dan dalam keadaan selamat. Ibu bapa yang beranggapan begini diharap berfikir semula!

Memang tidak dapat dinafikan Internet memberi banyak manfaat kepada manusia. Mereka boleh mengakses sebanyak mungkin maklumat, kebudayaan, komunikasi serta hiburan. Peluang ini sudah tentu menggalakkan daya kreativiti dan melahirkan peluang dalam setiap sudut kehidupan.

Malangnya, Internet juga mempunyai keburukan kerana mengandungi ancaman terutamanya kepada golongan kanak-kanak dan remaja. Membuli siber, pornografi, keganasan, penderaan perkauman dan penipuan kini adalah ancaman serius bagi mereka yang melayari Internet. Dalam konteks ini, peranan ibu bapa sangat penting dalam memantau dan membimbing anak-anak tentang penggunaan Internet.

Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mohd. Mustaffa Fazil Mohd. Abdan berkata, bagi mereka yang mementingkan nilai kesopanan dan adab menjaga kehormatan, kandungan lucah boleh menimbulkan rasa jijik lantaran gambaran memberahikan yang bertentangan dengan hukum agama serta norma masyarakat Timur.

CMCF ialah sebuah badan pengawal selia kendiri yang didaftar oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambah Mohd. Mustaffa Fazil, kandungan lucah sebenarnya mendatangkan pengaruh negatif dan merosakkan pemikiran masyarakat terutamanya generasi muda.

Justeru, ibu bapa perlu sedar risiko-risiko ini dan selalu perhatikan anak mereka sewaktu mereka dalam talian.

Kawalan Kendiri

Tegas beliau, penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak kecil atau pelajar tidak patut disekat, tetapi mereka perlu dibimbing untuk menggunakannya ke arah kebaikan.

“Oleh itu, kawalan kendiri sebenarnya bermula di rumah yang memerlukan pembabitan ibu bapa secara langsung dalam memantau aktiviti pelayaran Internet anak-anak.

“Sebagai contoh, ibu bapa perlu membeli perisian yang boleh menyekat anak-anak daripada menonton atau melihat kandungan lucah yang banyak terdapat di pasaran. Jangan sesekali membiarkan mereka melayari Internet sendirian. Walaupun sedikit kawalan kendiri dapat diamalkan, ia mampu memberi kesan besar dalam kehidupan anak-anak,” tuturnya yang melahirkan harapan terhadap ibu bapa agar tidak memandang remeh tentang perkara ini.

Kawalan kendiri membolehkan orang awam memilih dan menentukan sama ada kandungan itu baik ataupun tidak. Oleh itu, keputusan seseorang itu tidak bergantung pada pandangan orang lain mahupun dipengaruhi persekitaran.

Pada masa sama, ibu bapa perlu mengambil tahu mengenai aktiviti alam siber anak-anak memandangkan di peringkat sekolah rendah lagi mereka sudah mempunyai akses kepada media sosial.

Menurut beliau, ibu bapa perlu mengenal pasti kandungan baik dan tidak baik. Kandungan positif boleh ditakrifkan sebagai kandungan yang dapat memberikan maklumat, pendidikan, inspirasi positif dan lain-lain kepada penonton atau pembaca. Kandungan negatif boleh ditakrifkan sebagai kandungan yang boleh mengancam, memperdaya, menipu atau membawa kemudaratan termasuk bersifat lucah, dipenuhi bahasa kurang sopan, bersifat ganas, dipenuhi maklumat palsu, berisiko bagi kanak-kanak, mengancam dan bersifat memfitnah.

“Ini penting tertutamanya mengawal isu pedofilia misalnya, kerana golongan ini menggunakan ruang siber untuk mencari mangsa.

“Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil tahu tentang aktiviti anak-anak dalam ruang siber. Semuanya ini bertujuan untuk memastikan setiap aktiviti ruang maya anak-anak ialah bersih daripada sebarang aktiviti yang mengandungi bahan-bahan lucah, seks dan keganasan.

Tip keselamatan

Dalam pada itu, ibu bapa perlu tahu tip keselamatan agar anak-anak mereka selamat daripada ancaman keselamatan Internet dan media sosial.

“Mereka perlu bercakap dengan anak-anak tentang apa yang mereka lakukan di Internet. Ibu bapa juga perlu berbincang dengan anak-anak tentang risiko di Internet .

“Pada hari ini, kebanyakan ibu bapa diakui sibuk dengan kerjaya tetapi mereka juga perlu meluangkan masa libatkan diri dalam aktiviti dalam talian anak-anak. Dengan itu, mereka dapat membimbing anak-anak semasa menggunakan Internet ,” jelasnya.

Selain itu, ibu bapa juga perlu membaca terma dan syarat-syarat bersama anak-anak sebelum mereka mereka memasuki sebarang laman web dan bincangkan langkah-langkah keselamatan bersama-sama.

Sebagai ibu bapa atau penjaga, mereka juga perlu menetapkan beberapa peraturan asas dan memantau penggunaan Internet dan gajet anak mereka bagi memastikan peraturan dihormati. Walaupun keperluan gajet seiring dengan pembangunan teknologi global dan anak-anak dilihat perlu melaluinya, ibu bapa perlu mendidik mereka menggunakan Internet dengan bertanggungjawab.

“Ibu bapa juga perlu periksa dan pantau anak-anak di dalam talian. Bagi memastikan langkah-langkah keselamatan ini dilaksanakan dengan cekap, ibu bapa perlu sentiasa mempertingkatkan pengetahuan tentang isu-isu semasa berkaitan dengan keselamatan Internet,” katanya.

Tidak ketinggalan, ibu bapa perlu mengawal tabiat oversharing anak-anak di Internet. Jangan biarkan mereka mendedahkan butiran peribadi di Internet. Bagi memudahkan ibu bapa melihat aktiviti anak-anak mereka, pastikan komputer diletakkan di ruang terbuka di dalam rumah, dan bukannya di dalam bilik tidur anak-anak.

Tambah beliau, kini seawal usia tujuh tahun anak-anak sudah mempunyai akaun Facebook misalnya, jadi periksa identiti mereka yang meminta untuk menjadi rakan anak anda dan ingatkan mereka jangan terima orang yang tidak kenali sebagai rakan .

Sekiranya sebarang penyalahgunaan dikesan, lapor kepada pihak moderator laman web.

“Teknologi kini berkembang pesat pada kadar yang terlalu pantas. Di sebalik kelangsungan proses ini, pasti ada bahaya yang menanti. Justeru, CMCF mahu mendidik orang ramai tentang kepentingan mengamalkan kawalan kendiri dalam mengakses kandungan multimedia.

“Pada waktu dahulu, kandungan disiarkan hanya melalui radio atau televisyen, tetapi sekarang terdapat pelbagai cara penyampaian pesanan dan kandungan. Kami di CMCF menggesa semua pengguna multimedia supaya berwaspada apabila mengakses sesuatu kandungan multimedia,” jelasnya.

Tambah beliau, dalam usaha untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat mengenai kewujudan Kod Kandungan, CMCF telah melaksanakan pelbagai program.

Antaranya untuk menjadikan Kod Kandungan lebih mudah difahami, CMCF telah menerbitkan naskah Kod tersebut dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil dan boleh dimuat turun di www.cmcf.my.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CMCF di talian bebas tol 1-800-88- CMCF (2623) atau e-mel secretariat@cmcf.my atau layari www.cmcf.my

Sumber : http://www.utusan.com.my/(25 September 2016)

ISU BAHASA : Bahasa Melayu selepas 
59 tahun merdeka

Oleh : DR AMINUDDIN MANSOR (AMIMASRA@GMAIL.COM.)

ISU bahasa iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar seterusnya bahasa ilmu tidak pernah habis dan tiada titik noktah dalam perjuangannya. Para pejuang bahasa, pemimpin politik dan rakyat yang menjadi pendesak dan penggerak seharusnya sama-sama berusaha mendaulatkan bahasa Melayu.

Mendaulatkan bahasa kebangsaan mestilah dipraktikkan di sekolah, di peringkat universiti dan juga dalam kalangan pemimpin politik. Rakyat sangat mengharapkan pemimpin politik menjadi teladan dan orang pertama dalam usaha memperjuangkan kedaulatan bahasa ini dalam mengisi 60 tahun negara merdeka. Pengisian ini penting bagi menuju ke arah kebersatuan rasa dan cinta terhadap bahasa Melayu.

Rakyat tidak mahu lagi ada wakil rakyat yang tidak lancar berbahasa Melayu. Malunya kita kepada pendatang asing yang beberapa bulan sahaja datang ke negara ini sudah fasih dan lancar berbahasa Melayu. Mereka berasa bangga dapat menguasai bahasa Melayu.

Justeru, para pejuang bahasa kebangsaan mesti berusaha mendaulatkan Bahasa Kebangsaan supaya tidak hanya bertindak sebagai kumpulan pendesak semata-semata seharusnya memikirkan bersama khususnya melalui badan penulis dan tindakan pejuang bahasa dan pencinta bahasa.

Usaha menyemarakkan dan mendaulatkan bahasa perlu dilakukan setiap masa di mana sahaja melalui percakapan, penulisan dan sebagainya. Asas yang baik pendidikan bahasa ini mestilah bermula di peringkat sekolah rendah dan menengah. Berikan pendidikan, kefahaman dan kecintaan kepada murid agar mencintai dan menghayati keindahan bahasa Melayu.

Sebaliknya, golongan ini perlu bersama-sama kerajaan dan masyarakat untuk memupuk sikap positif rakyat terhadap bahasa Melayu. Justeru, para pejuang bahasa perlu sentiasa turun padang, berada di tengah-tengah masyarakat dan menjadi penggerak, memberi kesedaran kepada rakyat pelbagai kaum untuk membina keyakinan mereka terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu , bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi yang penting.

Justeru, usaha ini harus digerakkan bermula pada masa sekarang demi kelangsungan dan kedaulatan bahasa Melayu pada masa akan datang. Usaha mengajak rakyat sama-sama mendaulat bahasa Melayu perlu dilakukan pada setiap masa, bukan bermusim.

Pada masa ini, satu-satunya pilihan yang ada adalah dengan mempelajari bahasa asing untuk menguasai ilmu dalam bahasa itu dan pada masa sama rakyat atau penutur bahasa perlu memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan mengharung era globalisasi.

Bagi mencapai hasrat ini, rakyat mesti yakin dan rasa bangga terhadap bahasa Melayu, jika tidak kita tidak mungkin mampu pergi jauh dalam memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, dan bahasa saintifik dan menjadikannya sebagai salah satu bahasa terpenting di dunia. Kini, bahasa Melayu telah digunakan dalam kalangan lebih daripada 300 juta umat manusia yang terdapat di seluruh dunia. Oleh itu, pemantapan dan kemajuannya mestilah bermula di Malaysia.

Usaha memupuk sikap positif rakyat dan keyakinan terhadap bahasa Melayu ini perlu dilakukan oleh badan-badan penulis di setiap negeri, penubuhan badan penggerak bahasa Melayu di peringkat daerah dan juga negeri dengan mengadakan pelbagai acara seperti ceramah, syarahan, pidato, kempen membaca, pembacaan sajak dan juga kursus mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Di samping itu, guru dan pensyarah berperanan memupuk sikap positif dalam kalangan pelajar di sekolah rendah, menengah dan universiti dengan pelbagai aktiviti berkaitan bahasa dan sastera yang dapat memupuk sikap positif terhadap bahasa Melayu dalam kalangan mereka. Usaha “melentur buluh biarlah dari rebungnya” seharusnya dilakukan sekarang di peringkat sekolah dengan penggunaan bahasa yang betul tepat dan berkesan.

Seterusnya, pihak Majlis Perbandaran dan Dewan Bandaraya mestilah mewujudkan unit bahasa Melayu yang mempunyai kuasa tertentu bagi memantau iklan dan papan tanda yang menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan tepat,

Contohnya, di Kelantan, tulisan jawi dimartabatkan dan kebanyakannya ditulis di atas tulisan bahasa lain pada setiap papan iklan yang boleh dilakukan di negeri-negeri lain.

Penerbitan buku-buku dalam bahasa Melayu bukan sahaja di peringkat universiti malah perlu menggalakkan orang ramai menulis buku dalam bahasa Melayu dengan memberi insentif dan galakan yang memberangsangkan. Melalui penerbitan buku sastera, bahasa dan budaya yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan terus memertabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang indah, berilmu dan maju.

http://www.utusan.com.my/(25 September 2016)