Jumaat, 30 September 2016

ISU BAHASA : Memperkasa bahasa Melayu


Oleh : ABDULLAH MOHD YASSIN

PADA 22 Disember 2005 dijelmakan oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 yang berjudul Langkah-Langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam yang dijangkakan menjadi satu penawar keramat untuk merealisasikan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negara.

Kerasmiannya meliputi wacana lisan dan tulisan di peringkat kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan sebagaimana termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. 

Dari tarikh keramat itu hingga kini usia pekeliling tersebut telah berusia lebih 10 tahun, namun sinar keramatnya agak menyesakkan nafas pencinta bahasa negara ini.

Rata-rata dan di mana-mana sahaja, penggunaan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) semakin longgar dan longlai. Dalam wacana ilmiah di pusat pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta, laluan bahasa Melayu melapah medan ilmu (kecuali ilmu bahasa Melayu) amat sempit dan meruncing. 

Kupasan pelbagai ilmu tinggi yang menjadi kebanggaan negara langsung tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai wahananya. Jika terguna pun diselitkan dengan bahasa asing yang menyedihkan kedudukan bahasa Melayu umpama ungkapan ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’. 

Akibatnya penggunaan bahasa menjadi cacamarba dan hilang sifat formal, rasmi dan ilmiahnya. Begitu juga dalam penyampaian pada peringkat pengurusan dan pentadbiran negara, penggunaan bahasa Melayu terutamanya dalam wacana lisan cukup menyedihkan lagi menyeksakan. Kemungkinan para ilmuwan dan para politikus beranggapan bahawa bahasa ibundanya ini sekadar sebagai bahasa ‘pertuturan kampung’ sahaja. 

Baru-baru ini kita sama-sama menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-59 yang penuh gilang-gemilang. Dengan sambutan kemerdekaan kali ini bererti perjuangan untuk menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah melebihi usia 60 tahun kerana perjuangannya dimulai beberapa tahun sebelum merdeka. 

Persoalannya, adakah kita menunggu dua jubli emas sambutan kemerdekaan untuk mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang perlu disegarkan dan disemarakkan dalam erti kata sebenar-benarnya?

Perkara yang paling bernilai dalam hal kebahasaan ini ialah pencinta bahasa Melayu sewajarnya terus menggalas semangat juang bahasa yang hakiki lagi luhur dan usah merajuk di persimpangan jalan kerana merajuk kepada mereka yang tidak kasih akan menghancur niat murni kita sendiri.

Bangsa Melayu khususnya dan warganegara Malaysia amnya harus sedar bahawa kita tidak ada masa lagi untuk bermanja dalam soal menegakkan kedudukan hakiki bahasa Melayu ini.

Jika masa kini banyak tolak ansur kita legar-legarkan dalam soal memartabatkan bahasa, mungkin satu ketika kelak rasa sayang akan hilang terhadap bahasa keramat kita oleh generasi anak cucu kita sendiri. 

Begitu juga ketika ‘orang kita’ berkuasa sekaranglah, harus kita meminta ‘dipulangpulihkan’ kemartabatan bahasa Melayu kerana kita layak meminta kepadanya. 

Begitu juga jika perjuangan ini kurang memancarkan cahaya kejayaan, ‘rayulah’ kerana kita yakin dan percaya para pemimpin kita masih sudi untuk meletakkan agenda perjuangan bahasa sebagai satu perjuangan suci nusa bangsa. 

Dalam hal begini ungkapan ‘meminta kepada yang ada, merayu kepada yang sudi’ harus sentiasa menjadi renungan para pemimpin kini. 

Ingatlah bahawa perjuangan satu-satu bahasa hanya layak dilakukan oleh bangsanya sahaja.  Oleh itu, dalam kemelut perjuangan memartabatkan bahasa ini, sama-samalah kita renung bersama baris-baris peribahasa kita;


Merajuk kepada yang kasih,

Manja kepada yang sayang,

Meminta kepada yang ada,

Merayu kepada yang sudi.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/