Ahad, 22 September 2019

ISU ALAM SEKITAR : Sampai bila kita 'lemas' dalam udara beracun


Oleh Zainuddin Isa
zainud@bh.com.my

Hampir saban tahun masalah jerebu melanda negara dan sejak lebih sebulan lalu, majoriti penduduk kita menyedut udara tidak sihat. Maka ramai rakyat Malaysia yang mengalami masalah kesihatan akibat lelah, jangkitan pernafasan serta iritasi kulit dan mata.

Memandangkan kanak-kanak adalah golongan yang paling rentan, sesi persekolahan ditangguhkan di beberapa negeri. Sekiranya tiada tindakan diambil bagi mengatasi masalah ini, rakyat Malaysia tiada pilihan lain dan terpaksa menghirup udara yang terjejas akibat pencemaran berterusan ini.

Lebih daripada itu, industri pelancongan multi bilion Malaysia yang menyumbang lebih 14 peratus kepada ekonomi Malaysia setiap tahun terjejas akibat jerebu.

Walaupun ada banyak aduan dibuat oleh Malaysia dan Singapura, Indonesia masih gagal menghentikan ‘fiesta’ asap ini, malah ia menjadi semakin serius setiap tahun.

Masih segar dalam ingatan, konflik jerebu atau asbut ini yang menggila pada 1997 dan 2015, menyebabkan Malaysia mengisytiharkan darurat dan yang terburuk dalam sejarah negara.

Tarikh 19 September 1997 mengingatkan kita apabila Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan darurat jerebu di Sarawak, apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 650, paras ‘berbahaya’ paling tinggi dalam sejarah.

Tahun ini, ‘jerebu import’ kembali lagi walaupun Malaysia tidak menuding jari kepada Indonesia. Namun, pada awal bulan lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) sendiri mengakui berasa malu kepada Malaysia dan Singapura, yang turut terjejas akibat jerebu ekoran kebakaran hutan di Indonesia.

“Saya kadang-kadang malu. Minggu ini saya mau ke Malaysia dan Singapura. Tapi, saya tahu minggu kemarin (minggu lepas) sudah jadi headline (tajuk berita), jerebu masuk lagi ke negara tetangga kita. Saya check (semak) jerebu ini apa, ternyata asap,” kata Jokowi dipetik media tempatan.

Berdasarkan rekod yang disiarkan Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan (KLHK) Indonesia, lebih 42,000 hektar kawasan hutan dan ladang direkodkan terbakar sejak Januari lalu di republik itu.

Ketika ini, beratus-ratus hektar dilaporkan masih terbakar di enam wilayah dan beberapa daerah di seluruh Indonesia.

Rabu lalu, Dr Mahathir dilapor akan mengutus surat kepada Jokowi berhubung isu jerebu merentasi sempadan ini. Kita amat menghormati usaha diplomatik Malaysia-Indonesia dalam merungkai pendekatan menangani jerebu bersama rakan jirannya.

Malah, kesepakatan ASEAN sendiri mewujudkan pusat pemantau cuaca dan berkongsi data, termasuk imej satelit mengenai sebarang bencana.

Misalnya, Khamis lalu, Pusat Meteorologi ASEAN (ASMC) mencerap bahawa terdapat 474 tompok panas di Kalimantan dan 387 di Sumatera, tetapi Malaysia hanya tujuh.

Dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan ini, ratifikasi berhubung Perjanjian Menangani Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) yang dimeterai 10 negara Asean pada 2014 sudah ada namun, ia harus diperkasakan lagi.

Sebenarnya kebergantungan kerjasama kolektif negara di rantau sahaja tidak mencukupi, selagi ada syarikat atau entiti menyebabkan jerebu tidak diambil tindakan. Mereka ini mengaut keuntungan lumayan tetapi menyebabkan jutaan rakyat menderita.

Sebagai sebuah negara anggota Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD), Indonesia berperanan untuk memelihara dan memulihara kepelbagaian bionya dan berusaha melestarikannya.

Kebakaran hutan secara tidak terkawal di Borneo dan Sumatera, jelas menunjukkan Indonesia tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagaimana yang disarankan oleh CBD.

Bagi Malaysia pula, memandangkan jerebu sudah menjadi fenomena tahunan, Malaysia patut mencari jalan perundangan yang sesuai bagi mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang terbabit.

Di bawah undang-undang antarabangsa, sesebuah negara adalah bertanggungjawab untuk memelihara keselamatan rakyat negara lain sewaktu berada di wilayahnya.

Justeru, menyimpulkan permasalahan ‘jerebu import’ ini, adakah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) adalah jalan perundangan ke arah penyelesaiannya?

Penulis adalah Pengarang Bersekutu Berita dan Digital

Sumber : http : www.bharian.com.my/



Khamis, 12 September 2019

Puisi Pilihan : Nak Jumpa Perdana Menteri

NAK JUMPA PERDANA MENTERI
 (impian sang gelandangan)

Aku ingin mengetuk pintu rumah perdana menteri
namun dilarang dan diusir berkali-kali
di pintu ukiran pagar besi warna emas yang cukup tinggi
kerana aku tidak buat temu janji aku sedar siapalah aku ini.

Aku ingin mengetuk pintu rumah perdana menteri
untuk mengajak tidur jengah barang sehari melihat lorong-lorong kota ini
anak-anak yang mengutip sisa makanan
di tong-tong sampahan ... di kaki lima tempat tiduran.

Aku ingin mengetuk pintu rumah perdana menteri
bertanya dia dengan ikhlas dan jujur hati pernahkah dicatat untuk mesyuarat
kisah nasib gelandangan ini
itu sahaja yang ingin kuketahui
dalam rutin sibuknya tentu sekali.

Aku akan cuba lagi dan lagi
mengetuk pintu rumah perdana menteri mungkin berjaya satu hari nanti
atau tidak kutemui barangkali
kerana aku sudah pergi atau dia yang dulu pergi
bukan doa di kalbu hati ... hanya pergi itu pasti.

MAZLAN NOOR ALONG
Pondok Gemahati

Sumber : fb Sdr Mazlan Noor



Selasa, 10 September 2019

ISU UMUM : Pecahkan ruyung, dapatkan sagu


OLEH : DR ZAFIR KHAN MOHAMED MAKHBUL

MALAYSIA dijangka mengalami cuaca panas sehingga pertengahan September ini. Dalam cuaca panas ini, alangkah indahnya hidup jika dihidangkan sagu gula melaka atau cendol sagu. Ia pasti menghilangkan kehausan dan kepanasan.

Menikmati apa jua juadah berasaskan sagu amatlah membahagiakan, tetapi pernahkah kita terfikir betapa sukarnya menghasilkan sagu? Sagu terhasil daripada pokok rumbia yang mempunyai ruyung atau kulit kayu yang keras.

Bagi mendapatkan sagu, kulit pada pokok rumbia tersebut perlu dipecah-pecahkan terlebih dahulu. Pokok rumbia sukar didekati kerana tumbuh berdekatan paya dan di dalam hutan belukar.

Oleh yang demikian, usaha mendapatkan sagu bukanlah suatu yang mudah. Pencari sagu harus bersedia dari segi mental dan fizikal. Selain itu peralatan seperti parang, kapak dan pisau semestinya tajam. Gigitan haiwan berbisa seperti lipan dan lain-lain kemungkinan juga harus difikirkan. Kiasan kisah ruyung serta cabaran yang terpaksa diredah demi mendapatkan sagu ini amat sesuai dijadikan perlambangan tentang kesukaran mencapai kejayaan.

Kita sering beranggapan bahawa mudahnya seseorang itu berjaya, tetapi pernahkah kita membayangkan kesukaran dan cabaran yang terpaksa mereka lalui sebelum mencapai kejayaan seperti si penebang pokok rumbia? Bagi mencapai kejayaan, seseorang perlu berusaha dan berkorban kerana ia tidak datang bergolek.

Jika anda seorang pelajar, anda harus belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya. Jika anda seorang atlet, anda perlu berlatih bermati-matian untuk menjadi juara. Jika anda seorang pekerja, anda harus ‘pulun’ untuk mendapatkan kedudukan dan pendapatan yang lebih baik.

Ringkasnya, kejayaan tidak akan mampu dicapai tanpa usaha yang jitu. Kajian psikologi dan kelakuan organisasi menunjukkan kejayaan yang dicapai atas usaha sendiri akan menambah baik kematangan diri dan menjadi pencetus kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

Kita memerlukan beberapa strategi untuk berjaya. Pertama, kita perlu mempunyai kemahuan yang kuat untuk berjaya. Kemahuan yang tinggi untuk berjaya menjadikan seseorang terus mencuba dan berusaha. Semangat itu juga boleh menjadi pendorong kepada individu lain yang mungkin menemui kegagalan dalam usaha mereka memburu kejayaan.

Hanya dengan semangat yang kuat akan membolehkan kita bangun kembali apabila bertemu kegagalan pada peringkat awal. Harus juga diingat bahawa kegagalan kali pertama bukan pengakhiran kepada suatu matlamat.

Kedua, kita perlu mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa usaha yang hebat akan menghasilkan kejayaan. Ketidakyakinan pada kebolehan diri sendiri biasanya menyebabkan pencapaian matlamat lambat dicapai atau terus gagal dicapai.

Ketiga, semasa kita gigih berusaha memburu kejayaan, kita harus sanggup membantu orang lain mencapai kejayaan yang sama. Kesanggupan membantu orang lain berjaya bukan sahaja suatu sikap mulia, malah ia dapat mengelakkan buruk sangka dan rasa cemburu dalam diri kita sendiri dan orang yang dibantu.

Pemikiran ‘orang lain tidak boleh lebih daripada aku’ atau ‘dia mesti alami kepayahan yang aku rasa untuk berjaya’ harus dibuang sama sekali. Sekiranya kita telah berada di atas, kita janganlah pula menjadikan pengalaman dan kesukaran kita sebagai penanda aras untuk orang lain.

Perbuatan mengubah penanda aras atau syarat untuk berjaya itu akan mematikan semangat mereka yang masih tercari-cari hala tuju.

Akhirnya, kita mesti mempunyai perancangan rapi bagi membolehkan kejayaan dicapai dalam tempoh yang lebih singkat. Mengamati dan mencontohi pengalaman individu yang telah berjaya adalah langkah terbaik untuk kita bersiap siaga menempa kejayaan yang lebih besar. Melalui pengalaman orang lain, kita akan berupaya membuat analisis kendiri, mencari dan menerima kekuatan dan kelemahan diri.

Mimpi dan angan-angan adalah sesuatu yang percuma. Walaupun begitu, mimpi dan angan-angan tanpa sebarang usaha umpama angan-angan Mat Jenin. Selain itu, usaha yang sedikit pasti menghasilkan kejayaan ala kadar sahaja. Sebagaimana kita meletakkan impian dan matlamat yang tinggi untuk dicapai, maka usaha juga perlulah luar biasa dan lain daripada yang lain. Kesemua impian tidak mustahil dicapai jika ia diikuti dengan usaha, tekad dan fikiran positif. Jadi, mari letakkan matlamat kita setinggi langit, jika jatuh pun kita masih mencapai bintang.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/ 2 September 2019




ISU BAHASA : Bahasa Melayu, peradaban tinggi dan penyatuan bangsa

Oleh : Dr. Mohd. Farid bin Mohd Shahran

“Bahasa Jiwa Bangsa” merupakan satu kata hikmah yang tepat bagi menggambarkan kedudukan bahasa dalam hubungannya dengan kekuatan sesebuah bangsa atau negara. Malah lebih luas dari itu, bahasa bagi seseorang adalah cerminan alam yang ada di sekelilingnya sebagaimana yang diungkapkan oleh Ludwig Wittgenstein, “the limits of my language are the limits of my world.”  

Bahasa adalah alat perhubungan yang mencerminkan semangat, falsafah dan cita rasa dan hala tuju sesebuah bangsa. Walaupun ia berperanan sebagai alat bagi menyampaikan sesuatu yang lebih mendalam iaitu pandangan alam  yang juga dipengaruhi oleh aspek-aspek lain seperti sistem kepercayaan dan kerangka nilai, namun bahasa adalah alat ampuh yang menjadi acuan dan corong keluarnya aliran pemikiran sesebuah bangsa sepertimana yang digambarkan oleh pepatah Arab “Bahasa adalah corong pemikiran” (al-lughatu wi’a’ al-fikr).

Kehebatan sesuatu bahasa akan lebih terserlah sekiranya ia  sememangnya mempunyai ciri-ciri kewibawaan dan keindahan yang diiktiraf oleh sejarah. Ini kerana bahasa yang berwibawa dan indah mampu menyampaikan sesuatu isi pemikiran yang besar dan tinggi dengan lebih menarik dan berkesan serta berkeupayaan untuk menampung pemikiran yang sarat dengan makna-makna yang halus dan rumit. Sesuatu bahasa juga akan menjadi lebih unggul apabila ia terkait dengan satu peradaban besar yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Inilah yang alami oleh Bahasa Melayu. Khususnya setelah kedatangan Islam ke Nusantara, Bahasa Melayu telah digunakan dengan begitu meluas sebagai lingua franca lebih 200 juta penduduk rantau ini. Ia berperanan sebagai  bahasa perantaraan dalam perniagaan, perundingan dan perjanjian. Ia merupakan bahasa para pedagang Arab, Cina dan India yang datang berdagang di Kepulauan Melayu sekitar abad ke-13. Seorang pelayar dan pedagang Inggeris bernama Thomas Bowrey yang menulis kamus Bahasa Inggeris- Melayu pada tahun 1701, membuat pemerhatian bahawa “ … in all the the islands of Sumatra, Java, Borneo, Maccassar, Balee, Cumbava, Sallayer, Bootoon, Booro, Ceram and Mollucas, the Malay language is received and generally used in all the Trading Ports of those islands.”

Yang lebih penting, bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa ilmu dan intelektual. Penggunaannya bukan sekadar terbatas sebagai bahasa ilmu  oleh para mubaligh yang menjalankan dakwah dan guru-guru yang mengajar di sekolah, malah ia juga menjadi alat untuk menyampaikan pemikiran intelektual yang tinggi seperti falsafah teologi dan tasauf Islam oleh para ilmuan Islam tersohor yang berperanan membina akal dan jiwa ilmiah masyarakat di Nusantara.

Menurut Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, aspek intelektual inilah yang telah membawa semangat rasionalisme dan akliyah dalam pemikiran agama di Alam Melayu berbanding kerangka sebelumnya yang lebih banyak dipengaruhi unsure-unsur mitos dan khayal. Dengan Bahasa Melayu sebagai pengantar, peranan menterjemah pemikiran tinggi ini telah menjadikan bahasa ini semakin kaya dari segi perbendaharan kata dan istilah teknikal (technical terminology) sehingga mampu untuk mengenepikan penguasaan bahasa Jawa yang lebih banyak dipengaruhi oleh seni sastera agama Hindu.

Antara faktor kekuatan Bahasa Melayu ialah kaitannya yang rapat dengan peradaban Islam yang merupakan sebuah tamadun ilmu yang telah sedia menguasai tiga perempat dunia ketika ia sampai ke Alam Melayu dan juga telah maju ke hadapan dalam perkembangan ilmu pengetahuan di pelbagai bidang melalui perantaraan bahasa Arab. Bahasa Melayu sendiri banyak dipengaruhi oleh perbandaharaan kata bahasa Arab yang secara tidak langsung telah meningkatkan keupayaannya sebagai bahasa ilmu yang bersifat antarabangsa sebagaimana bahasa Arab berperanan mengembangkan pelbagai ilmu dalam tamadun Islam.

Sementara itu wahana bagi menterjemahkan Bahasa Melayu dalam bentuk penulisan ialah tulisan Jawi. Walaupun  penggunaannya secara rasmi sebagai alat penulisan bahasa Melayu hari ini agak kurang, peranan asalnya sebagai tulisan yang mampu menyampai dan menterjemah kandungan makna Bahasa Melayu sehingga menjadikan ia juga sebagai tulisan lingua franca satu ketika dulu membuktikan tulisan Jawi juga merupakan tulisan ilmiah yang berwibawa. Sebagaimana Bahasa Melayu telah berjaya menjadi bahasa ilmu yang mampu untuk menghuraikan bukan sekadar kandungan agama akan tetapi juga bidang-bidang ilmiah yang lain, tulisan jawi yang menjadi alat penulisan Bahasa Melayu juga merupakan tulisan ilmu yang berkongsi kewibawaan yang sama.

Kekuatan sesuatu bahasa sebagai bahasa ilmu juga membuktikan bahawa ia juga mampu untuk menjadi bahasa penyatu masyarakat. Ini jelas tercermin apabila Bahasa Melayu telah menyatukan umat Nusantara walaupun rantau ini terdiri dari pelbagai bangsa dan suku kaum. Masyarakat di rantau ini mungkin sukar disatukan atas dasar agama dan kaum disebabkan sifatnya yang majmuk akibat dari proses migrasi dan globalisasi, namun faktor bahasa masih mampu untuk menjadi unsur penyatu sekiranya ia benar-benar digunakan  dengan baik dan berkesan.

Hari ini, keperluan bagi menyatukan masyarakat berbilang kaum yang tinggal di negara ini kekal penting seperti dahulu.  Rekod kecemerlangan Bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca dan bahasa penyatu tidak seharusnya diketepikan. Lebih-lebih lagi apabila penggunaannya telah diiktiraf di dalam Perlembagaan negara dan diakui sebagai jiwa kepada keutuhan bangsa. Justeru itu segala usaha untuk memantapkan bahasa Melayu harus di dokong oleh semua pihak termasuklah pengukuhan semula tulisan Jawi yang pernah dan masih menjadi penulisan ilmiah yang berwibawa dalam system pendidikan negara. Apa sahaja bentuk penafian terhadap kepentingan Bahasa Melayu akan hanya menyumbang kepada retaknya kesatuan bangsa yang menjadi impian setiap warganegara yang setia kepada negara ini. 

Sumber : Berita Harian, 10 September 2019.