Jumaat, 26 Jun 2009

ISU PENULARAN VIRUS INFLUENZA H1N1 (SELESEMA BABI)

Tangkap, buang, bunuh virus Influenza A

PENULARAN Influenza A (H1N1) kian membimbangkan. Berdasarkan laporan di laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sudah 109 negara dijangkiti dengan lebih 55,867 kes, termasuk 245 kematian sehingga Rabu lalu.

Wabak itu juga terus menular di Malaysia dengan lebih 100 kes dicatat, kebanyakannya kes import sehingga menyebabkan beberapa sekolah terpaksa ditutup.

Apa yang menggerunkan virus ini boleh membawa maut sehingga ada yang menyifatkan bahawa di Amerika Syarikat, setiap 1,000 orang yang dijangkiti, 40 perlu dirawat di hospital dan seorang akan meninggal dunia.

Fakta ini bukan bertujuan membawa panik kepada masyarakat, cuma dengan sedikit maklumat dan pengetahuan, kita akan lebih berhati-hati dan berusaha mengambil segala langkah berjaga-jaga untuk mengelak diri menjadi mangsa.

H1N1 adalah sejenis jangkitan pernafasan dan mempunyai elemen daripada virus yang dijumpai dalam khinzir. Sungguhpun begitu, saintis antarabangsa menyatakan masih belum ada bukti menunjukkan bahawa penyakit ini tersebar kerana khinzir dan siasatan saintifik dari mana penyakit ini berasal sedang dilaksanakan di seluruh dunia.

Jika disoroti sejarah virus ini, ia pernah dikesan pada tahun 1918 dan ketika itu khinzir dan manusia mendapat selesema pada masa sama. Wabak terbaru 2009 ini adalah pertama dikesan pada April 2009 di Amerika Syarikat dan negara seperti Mexico dan Kanada.

Virus ini boleh merebak daripada air liur atau hingus seseorang yang sudah dijangkiti kepada individu yang lain. Antara cara termudah membendung jangkitan ialah dengan menutup hidung dan mulut ketika bersin atau batuk dengan tisu dan terus membuang tisu ke dalam tong sampah.

Jika kita hanya menutup dengan tangan, virus boleh merebak ke permukaan lain yang disentuh dengan tangan itu. Jika orang lain pula menyentuh permukaan itu dan menyapu muka mereka, sistem badan mereka juga boleh dijangkiti.

Namun, buat masa ini, pengkaji di Amerika sendiri masih belum mengenal pasti betapa mudah atau sukarnya virus ini merebak antara manusia. Namun satu kajian di Kolej Imperial London menjangkakan virus ini merebak dengan agak cepat dan mudah dengan anggaran setiap orang yang dijangkiti selesema ini boleh menyebarkannya kepada 1.4 dan 1.6 orang yang lain.

Ia merebak melalui batuk dan bersin individu yang dijangkiti kepada individu lain yang berhampiran dengannya. Antara tanda mereka yang dijangkiti virus ini serupa dengan tanda selesema biasa seperti demam, batuk, kesukaran pernafasan, sakit tekak, hidung berhingus, sakit-sakit badan, sakit kepala, kesejukan dan lemah-lemah badan.

Ada juga sesetengah individu yang dijangkiti melaporkan sakit perut dan muntah-muntah. Virus baru dikesan ini masih tidak diketahui asalnya membuatkan pengkaji dan pakar tidak senang duduk. Berikutan virus yang berterusan merebak, menyebabkan WHO mengisytiharkan tahap amaran fasa enam iaitu peringkat tertinggi pandemik terbabit.

Di benua Eropah saja, jumlah kes yang disahkan oleh pakar perubatan mencecah 3,000 kes dengan sehingga kini membawa kepada satu kematian. Negara Eropah itu termasuk Austria, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Itali, Belanda, Swizerland dan United Kingdom (UK).

Di UK, mangsa dikesan dijangkiti selesema babi kini mencapai 1,500 orang manakala di bahagian Timur dekat Tengah England di mana Nottingham terletak, sudah ada 18 kes dikesan namun tiada kematian dilaporkan.

Kes pertama dikesan pada 27 April lalu daripada mangsa yang pulang dari Mexico. Kematian pertama membabitkan jangkitan ini di UK disahkan oleh kerajaan Scotland pada 14 Jun lalu dengan beberapa lagi mangsa dalam keadaan kritikal.

Laporan akhbar aliran perdana di UK, Daily Telegraph baru-baru ini menyatakan berjuta-juta warga Britain mempunyai kebarangkalian dijangkiti virus ini. Jika terlalu teruk, sekolah mungkin akan ditutup. Sehingga kini, sehingga 20 sekolah pernah ditutup di England dan Scotland kerana sudah ada pelajar yang dijangkiti wabak.

Polisi menutup sekolah, menurut Profesor Neil Furgeson dari Kolej Imperial London menjangkakan ia boleh membendung satu dalam tujuh kes jangkitan dan seorang daripada lima kanak-kanak yang berpotensi dijangkiti.

Antara langkah pencegahan dilakukan oleh Jabatan Kesihatan UK adalah dengan menghantar maklumat selengkapnya mengenai virus ini kepada rumah-rumah di UK. Selain itu, media massa juga diminta memainkan peranan menyedarkan masyarakat mengenai bahaya selesema ini.

Pelbagai kempen melalui laman web juga serta edaran di klinik-klinik turut dilaksanakan untuk memberi kesedaran serta maklumat cara pencegahan dan tindakan jika dijangkiti. Memandangkan pada peringkat ini, masih belum ada vaksin untuk selesema ini yang masih dalam peringkat kajian, kerajaan UK menggunakan ubat antivirus seperti Tamiflu dan Relenza yang cukup untuk separuh populasi masyarakat UK dalam tempoh menghasilkan vaksin.

Dalam menangani kes ini, Kerajaan UK menyatakan langkah menangani yang diambil adalah antara yang terbaik dan praktikal di dunia. Sistem yang diperkenalkan mudah difahami dan dilaksanakan penduduknya iaitu dengan menyarankan semua orang membawa tisu ke mana-mana, tutup mulut ketika bersin atau batuk dan buang tisu itu.

Slogan 'catch it, bin it, kill it (tangkap, buang, bunuh virus) diaplikasi kepada segenap masyarakat supaya virus tidak terus-terusan merebak. Nombor penting untuk dihubungi disertakan dalam risalah 11 bahasa termasuk bahasa Inggeris serta laman web untuk memberi panduan apa yang perlu dilakukan jika ada tanda-tanda wabak itu pada diri seseorang.

Risalah dalam bentuk CD audio, cetakan besar kepada orang tua-tua yang bermasalah penglihatan serta versi tulisan Braille boleh didapati secara percuma dengan membuat permohonan kepada Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) yang bertindak seperti hospital kerajaan di Malaysia.

Infoline H1N1 juga dibuka untuk membolehkan masyarakat mendapat maklumat terbaru mengenai wabak ini dari semasa ke semasa. Langkah di pihak komuniti pula ialah dengan menyarankan masyarakat mewujudkan jaringan 'rakan demam' atau 'flu friends' yang terdiri daripada rakan taulan, saudara atau jiran tetangga.

Jika berlaku tanda-tanda H1N1 pada diri kita, maka rakan demam boleh membantu mengambil ubat atau membeli makanan. Dengan itu, individu yang dijangkiti tidak perlu keluar rumah dan merisikokan orang lain.

Buat masa ini, tiada warta yang menyarankan keperluan memakai topeng muka kerana kajian saintifik di UK mendapati topeng ini tidak melindungi manusia daripada dijangkiti H1N1. Cara terbaik ketika ini ialah dengan 'menangkap' virus terbabit dengan tisu dan membuangnya serta jangan benarkan ia menjangkiti orang lain. Mudah dan berkesan buat masa ini, namun kita tetap mengharapkan agar vaksin H1N1 dapat dihasilkan secepat mungkin.

Sumber : http : //www.bharian.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan