Selasa, 7 Julai 2009

ISU PPSMI

Kabinet Akan Buat Keputusan Kedudukan PPSMI Esok

PAGOH, 7 Julai (Bernama) -- Kabinet akan membuat keputusan muktamad berhubung kedudukan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) esok, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata Kabinet akan membuat keputusan itu selepas beliau membentangkan hasil pelbagai kajian terperinci dan menyeluruh mengenai kedudukan PPSMI kepada Jemaah Menteri.

"Saya telah pun mengemukakan memorandum kepada Kabinet berkenaan kedudukan PPSMI, apa yang telah dilaksanakan dan bagaimana kedudukan penguasaan bahasa Inggeris dan kedudukan mata pelajaran Sains dan Matematik sejak kita melaksanakan sistem PPSMI ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Gerak Bakti Ujian Pencapain Sekolah Rendah (UPSR) Amanah Raya Berhad di Dewan Seri Pekembar di sini, Selasa.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata beliau akan turut membentangkan beberapa cadangan dan perakuan bagaimana kerajaan hendak terus memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkasa penggunaan bahasa Inggeris di semua peringkat sekolah rendah dan menengah.

"Saya sebutkan ini (bentang) selepas kita menemui pelbagai kumpulan yang berkepentingan dalam soal pendidikan. Banyak badan pertubuhan yang kita hubungi, mengadakan perbincangan, mengadakan meja bulat, pertemuan dan sebagainya," katanya.

Sumber : http://www.bernama.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan