Rabu, 26 Ogos 2009

Ramadan, Aidilfitri lebih meriah tanpa mercun, bunga api

PADA hari pertama Ramadan, Sabtu lalu, sudah ada yang menjadi mangsa akibat mercun. Muhammad Nur Sufyan, 6, dari Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu, hilang tiga jari tangan kiri akibat terkena bahan bahaya itu. Muhammad Nur terpaksa menjalani pembedahan selepas kehilangan ibu jari, jari telunjuk dan jari hantu serta luka ringan di muka dan badan. Kejadian seumpama ini berlaku setiap kali tiba Ramadan. Malah saban tahun menjelang Aidilfitri, kes membabitkan kanak-kanak cedera gara-gara bermain atau terkena mercun, adalah antara berita sedih di sebalik kegembiraan umat Islam menyambut 1 Syawal, selain kes kemalangan jalan raya. Sepatutnya, kejadian seperti itu tidak berlaku jika ibu bapa memantau kegiatan anak mereka. Bermain mercun memang menyeronokkan, apatah di kalangan kanak-kanak. Bagaimanapun, malang tidak berbau. Keseronokan akan bertukar kesedihan sepanjang hayat. Umum mengetahui bermain mercun bahaya, tetapi ada juga ibu bapa yang membiarkan anak mereka bermain mercun tanpa pengawasan. Cara terbaik ialah menggunakan kaedah pencegahan - mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Jika berlaku kemalangan, ibu bapa wajar dipersalahkan kerana mereka paling dekat dengan anak. Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Api Berbahaya 1958, menyatakan jika tangkapan dilakukan terhadap orang ramai termasuk kanak-kanak yang sedang bermain mercun mereka boleh didenda RM100 mengikut kesalahan kecil Seksyen 3 kerana dianggap memiliki bahan berkenaan. Seksyen 8 pula menyatakan tindakan boleh diambil terhadap penjual kecil-kecilan atau di kedai yang menjual mercun kerana mereka seolah-olah memiliki bahan berbahaya itu dan sesiapa yang ditangkap kerana menjual mercun di mana saja boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Antara mercun yang ada di pasaran ialah mercun botol, mercun roket, mercun gila babi, mercun katak dan mercun bola. Ada juga mercun buatan sendiri seperti mercun paip, mercun palam pencucuh dan mercun bom. Kita berharap pihak berkuasa seperti polis, Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) dan Kastam Diraja Malaysia terus meningkatkan rondaan serta pemeriksaan bagi membendung kegiatan menyeludup mercun dan bunga api yang dijangka meningkat menjelang Aidilfitri. Penjualan dan permainan mercun adalah kesalahan mengikut Akta Kastam 1967 dan sesiapa didapati melindungi, menyimpan, menyembunyi atau memiliki mercun melakukan kesalahan mengikut Seksyen (1)(d) akta itu. Mereka yang disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai mercun dan tidak lebih 20 kali ganda nilai bahan letupan berkenaan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. Apa yang kita harapkan suasana Hari Raya Puasa disambut dalam keadaan meriah tanpa ada mana-mana ahli keluarga menjadi mangsa mercun.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan