Isnin, 8 Mac 2010

Iktibar apabila orang asing petah berbahasa Melayu

PROF. DR. TEO KOK SEONG

PIDATO Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri baru-baru ini, yang disertai 56 peserta daripada 51 negara, daripada enam benua di seluruh dunia, tidak dapat menafikan betapa tingginya nilai keantarabangsaan Bahasa Melayu (BM).

Sehubungan ini, BM dipelajari sebagai bahasa asing di lebih daripada 100 institusi pengajian tinggi di puluhan negara di luar Nusantara.

Rakyat Malaysia yang mengikuti pertandingan ini, selain kagum dan terpesona dengan kepetahan para peserta, ikut terasa terharu dengan kesungguhan masyarakat asing mempelajari BM dengan sebaik-baik mungkin, serta kebanggaan mereka terhadap BM serta budaya Melayu, dan keunikan Malaysia dari segi kemajmukan masyarakatnya.

Sesungguhnya PABM ini perlu dijadikan iktibar oleh seluruh rakyat Malaysia, baik oleh kaum Melayu dan juga bukan Melayu. Penggunaan BM yang baik lagi betul dan indah pula oleh sesetengah peserta, sebenarnya adalah sindiran tajam kepada kita yang banyak menggunakan BM yang kurang betul, selain yang sarat dengan campuran daripada bahasa Inggeris, terutamanya dalam domain rasmi/formal.

Kelakuan sebegini terhadap BM oleh kita sendiri, bukan sahaja memberi gambaran bahawa kita kurang bangga terhadap bahasa kebangsaan kita sendiri, tetapi yang lebih mudarat lagi ialah ia memberi implikasi tidak baik kepada bangsa dan negara Malaysia.

Ini antaranya kerana identiti bangsa dan negara Malaysia adalah melalui bahasa kebangsaan kita. Justeru kita perlu melindungi BM pada setiap masa dan di mana-mana sahaja, baik di dalam mahupun di luar negara!

Apabila masyarakat asing memperlihat penguasaan BM yang baik dalam PABM ini, sehingga peserta dari China berjaya muncul sebagai johan dalam kategori antarabangsa, hal ini perlu direnungi dengan serius oleh kaum bukan Melayu di Malaysia. Ini antaranya kerana masih terdapat dalam kalangan mereka, khususnya golongan muda, yang langsung tidak fasih dalam BM.

Adalah pelik sekali dalam ekologi BM yang begitu agam, sesetengah daripada kita tidak memanfaatkannya untuk tujuan penguasaan yang lebih baik.

Penguasaan ini amat membantu dalam usaha kaum bukan Melayu mengadunkan diri dengan lebih baik, dalam kehidupan nasional yang antaranya memerlukan penggunaan dan pemahaman BM yang sederhana baik, kalau tidak boleh yang baik. Pengadunan ini adalah sebahagian daripada proses perpaduan kaum di Malaysia.

Sesungguhnya, seorang warganegara itu perlu memiliki pengetahuan serta penguasaan yang baik tentang bahasa kebangsaan tanah airnya. Apabila ini tidak berlaku, nasionaliti yang dipegang oleh seseorang itu atau diakuinya tidak membawa banyak erti.

Pengertian ini bertambah kabur apabila beberapa pekerja asing di negara ini misalnya dari Bangladesh, Nepal, Myanmar dan Vietnam yang baharu sahaja tiba, dapat bertutur dengan fasih sekali dalam BM, berbanding dengan sesetengah daripada kita yang telah dilahir dan dibesarkan di Malaysia semenjak 1957!

Hasrat dan usaha murni kerajaan untuk mempertingkat pengetahuan dan penguasaan BM dalam kalangan yang kurang fasih ini, khususnya generasi muda dalam sistem pendidikan kebangsaan bukan sahaja perlu dialu-alukan, malah disambut dengan serius lagi ikhlas oleh semua pihak. Sambutan ini antaranya perlu berlaku dalam bentuk tindakan partisipasi yang integratif sifatnya, dan bukannya secara retorik semata-mata, apatah lagi tentangan!

Pengetahuan dan penguasaan BM selaku bahasa negara, yakni sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi oleh sesetengah kalangan kita perlu berubah daripada yang instrumental seperti untuk lulus dalam peperiksaan kepada yang integratif.

Orientasi integratif ini, selain untuk mempamerkan identiti linguistik yang jelas sifat Malaysianya, adalah syarat penting yang boleh mempermudah proses pengadunan membentuk negara-bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Identiti begini yang utuh bukan sahaja perlu dimiliki dan dipamerkan oleh setiap warganegara pada setiap waktu, lebih-lebih lagi untuk tatapan masyarakat dunia, tetapi juga kerana ia merupakan komponen penting dalam nasionalisme Malaysia.

Dalam konteks ini, simbol-simbol etnik yang dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan pelbagai akta lain, tidak wajar diangkat untuk menjadi atau menyaingi simbol-simbol nasional. Sepatutnya simbol-simbol etnik melengkapi simbol-simbol nasional, dan tempatnya adalah senantiasa di bawah dan tidak boleh sekal-kali di atasnya.

Pemahaman begini adalah penting agar pembentukan identiti nasional yang sama dan jelas pula sifat Malaysianya, terpupuk dalam kalangan semua sektor warganegara.

Pemupukan dalam bentuk pengidentifikasian dengan kaum Melayu, baik dari segi BM sebagai bahasa negara dan budaya Melayu sebagai teras utama kebudayaan kebangsaan, dan diikuti di bawahnya oleh bahasa-bahasa etnik dan cara-cara hidup pelbagai kaum bukan asal, adalah inti pati kepada ideologi nasional kita, iaitu "Bersatu dalam Kepelbagaian".

Dalam konteks BM selaku bahasa negara, semua sektor masyarakat Malaysia perlu memperlihat iltizam untuk menggunakannya dalam bentuk yang baik dan betul, serta yang tidak bercampur aduk dengan bahasa Inggeris dan lain-lain, khususnya dalam domain rasmi/formal.

Semua ini adalah penting untuk memberi mutu kepada BM daripada beberapa dimensi. Antaranya adalah identiti BM itu sendiri selain martabat, maruah dan imejnya, baik di Malaysia mahupun di persada dunia.

PROF. DR. TEO KOK SEONG ialah Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan