TAN SRI ABDULLAH AHMAD
Pendeta Zaaba,
Profesor Diraja Ungku Aziz mahir bahasa Melayu (BM) dan Inggeris (BI). Datuk
Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Razak, Dr Mahathir Mohamad dan
Perdana Menteri Najib bisa bicara dalam dwibahasa dengan baik. Samad Ismail,
Adibah Amin, Mazlan Nordin, Kadir Jasin dan ramai lagi penulis, wartawan,
editor terdidik dalam BM dan BI. Sebelum kemerdekaan (1957) ramai orang kita
yang terdidik dalam BI sahaja , baik di dalam negeri atau di United Kingdom.
Selepas 1970-an ramai lebih fasih dalam BM daripada BI.
Di bawah
pemerintahan penjajah, pasaran pekerjaan
untuk mereka yang hanya berpendidikan dalam BM amat terhad. Kini - pada umumnya
- yang menerima didikan dalam BM - pasaran pekerjaan terjamin apalagilah kalau
pula pandai dwibahasa.
Pada saya, sama
ada tebal, nipis atau tiada langsung perasaan kebangsaan tiada kena mengena
dengan bahasa pengantar di sekolah. Sebelum merdeka, anak bangsa yang dididik di Universiti Malaya
dan luar negara yang menggunakan seratus peratus BI tebal rasa nasionalisme
mereka.
Sekarang ramai
yang monolingual (hanya tahu satu bahasa sahaja) tidak langsung
mempunyai perasaan kebangsaan atau kemelayuan. Mungkin mereka salah asuhan, bukan disebabkan bahasa pengantar di sekolah.
Kita mesti
berfikir secara rasional, tanpa emosi, mengenai kesan pendidikan satu bahasa
sahaja yang bakal diterima anak bangsa kita dalam pasaran pekerjaan global juga di pasaran lokal. Ibu bapa Melayu atau Peribumi
mesti fikir tentang hal ini secara pragmatis, mengambil kira
perkembangan geopolitik semasa dan akan datang.
Saya tidak nampak
ada kontradiksi dalam dasar pendidikan negara andainya sekolah Inggeris atau kata speaking English Schools diwujudkan bersama
seperti sekolah Cina, Tamil, Arab dan agama. Sekolah kebangsaan sudah begitu
dominan, ia tidak bisa lagi tercabar atau diketepikan oleh sekolah jenis lain.
Sudahpun ada
banyak sekolah Inggeris tempatan private dan international di
seluruh negara. Sebenarnya satu cara terbaik bagi menggalakkan anak bangsa
menguasai BI ialah melalui memulihkan semula sekolah seperti MCKK, Penang Free
School, Victoria Institution, Sultan Abdul Hamid College, Sultan Ismail
College. Sultan Abu Bakar College, Muar High School, TKC, Convent, St Michael
Institution dan lain-lain lebih kurang semuanya 70 hingga 100 sekolah kepada
status asal mereka iaitu menggunakan BI sebagai bahasa pengantar sepenuhnya.
Menung sejenak
adakah alumni sekolah Inggeris seperti Johan Jaafar, Muhyiddin Yassin, Rejal
Arbee, Tengku Razaleigh Hamzah dan ramai lagi kurang semangat kebangsaan,
kurang Melayu? Malah Dr Wee Ka Siong (fasih tribahasa - Mandarin, BM dan BI)
Timbalan Menteri Pelajaran menyatakan bahawa kerajaan sedang “pondering” iaitu
memikir dengan teliti tentang mewujudkan kembali English - medium schools sebelum
membuat keputusan. Jangan terlampau lama mem’pondering’kan nanti kita
tertinggal kereta api! Saya kira kita orang Melayu atau Peribumi sudah pun confident,
tidak seperti dahulu lagi.
Saya sedar dasar
pendidikan negara dan falsafahnya menetapkan bahasa pengantar semua pendidikan dalam negara (kecuali sekolah
Cina, Tamil, agama dan international schools ) mesti dalam BM. Kalau
begitu kenapa pula wujud English schools private tempatan yang hanya
memanfaatkan golongan elit sahaja? Saya faham kewujudan international
schools.
BI di sekolah
kebangsaan kononnya satu mata pelajaran teras (core), is it?
Betulkah? Kalau sahih kenapa kualiti, mutu dan proficiency dalam BI,
pada umumnya, kian merosot? Saya tegaskan di sini English schools dan
sekolah kebangsaan boleh co-exist, hidup bersama dengan baik. Kan dahulu
pun begitu? Di Kuala Kangsar, ada MCKK, Clifford School juga Madrasah Idrisiah
di Bukit Chandan serupa di Kota Bharu - Sultan Ismail College, Islah School dan
Sekolah Jamek (kini dikenali Maahad Mahamadi); di Kuala Terengganu, Sultan
Sulaiman School, Grammar School dan Sekolah Arab Sultan Zainal Abidin; di Alor
Setar Sultan Abdul Hamid College dan Maahad Mahamud.
Seperti kata
peribahasa kita kalau hendak seribu daya, tak hendak satu juta dalih!
Terfikir juga jawapan kerajaan melalui Dr Wee itu satu helah ringan. Takkanlah
orang Melayu akan memberontak sebab BI? Dalam 1960-an mungkin berlaku demikian
tetapi kita sekarang berada dalam era dan abad baru. Di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pengumuman dalam pelbagai bahasa pun kita
tidak kisah lagi kerana bangsa kita pada hari ini sudah yakin pada diri
sendiri, sudah confident. Dulu orang Melayu bagai mahu mengamuk
menentang multi-lingualisme; itu lima dekad dahulu!
Kita bukan lagi
bangsa yang hina, bukan lagi kelas dua, bukan lagi orang kampung; kita kini
orang bandar, orang global. Menang sorak pun jadilah!
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
SILA KEMUKAKAN PANDANGAN ANDA...
SILA KEMUKAKAN PANDANGAN ANDA...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan