Khamis, 7 Jun 2012

ISU BAHASA : Budi dan bahasa pengaruhi kehidupan


Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS

PEPATAH Melayu pernah berkata, 'orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.' Bahasa merupakan suatu elemen penting dalam kehidupan. Manusia menggunakan bahasa sebagai medium untuk berkomunikasi, sama ada secara lisan atau tulisan.

Percakapan atau tulisan yang menggunakan bahasa yang baik dan teratur akan memberi makna yang mendalam dan juga mampu menyentuh perasaan. Bahasa yang tinggi dengan nilai dan santun lebih mudah menarik orang memahami serta menghayati isi kandungannya.

Seringkali apabila dikatakan orang yang tidak menggunakan bahasa yang baik, ia sering dikatakan tidak beradab atau 'kurang ajar.' Walaupun pada sesetengah orang bahasa hanyalah medium untuk menyampaikan pendapat dan perasaan, tetapi bahasa juga merupakan lambang keperibadian dan olahan didikan yang diterima oleh seseorang.

Kerana itu, keindahan budi pekerti atau akhlak yang mulia seringkali juga dikaitkan dengan penggunaan bahasa yang indah dan elok kerana pentingnya hubungan antara kedua-dua faktor ini dalam aspek kehidupan.

Justeru, Islam menggalakkan umatnya menggunakan bahasa yang indah dan baik-baik apabila bertutur. Rasulullah SAW sendiri berdakwah menggunakan bahasa yang paling baik dan halus, serta tidak pernah menggunakan bahasa yang kesat dan kasar dalam pengucapan baginda walaupun kepada kaum Quraisy yang menentangnya.

Pentingnya penekanan Allah terhadap penggunaan bahasa yang baik boleh dilihat dalam banyaknya ayat Allah, selain banyak menggunakan perumpamaan yang indah dan baik untuk menggambarkan pentingnya bahasa dalam membentuk mahupun merubah minda dan keperibadian seseorang.

Antaranya, Allah SWT berfirman kepada Nabi Musa a.s supaya menggunakan bahasa dan perkataan yang paling lembut dan baik apabila berdakwah kepada raja Firaun yang zalim (rujuk surah Taaha: 20).

Allah juga memerintahkan supaya menggunakan percakapan yang paling lembut dengan ibu bapa dan menegah sekalipun berkata 'Ah!' kepada ibu bapa. Luqman Al-Hakim juga berpesan dengan anaknya, menggunakan istilah 'Wahai anakku' yang menggambarkan kelembutan seorang ayah dalam menasihati anaknya. (rujuk surah Luqman: 12-19).

Menarik sekali apabila penulis buku motivasi terkenal, La Tahzan (Jangan Bersedih), Dr. Aidh Abdullah al-Qarni juga ada berkata dalam suatu temuramah, "Islamlah yang mengajak orang untuk memiliki kebebasan berekspresi. Tapi ada dua syarat dalam hal ini. Jangan sampai menghina suatu agama dan kedua, jangan sampai merosak dan memfitnah orang lain." Ini menunjukkan bahawa bersuara tidak mengehadkan batas pemikiran manusia, tetapi ia harus dilakukan dengan batas lingkungan yang benar dan beretika.

Remaja hari ini sering dikaitkan dengan golongan yang tidak pandai 'berbudi bahasa' dengan golongan yang lebih tua. Remaja atau golongan belia juga dijadikan sasaran dalam mengetengahkan isu-isu kerana suara mereka lebih ramai dan lebih bertenaga.

Cabaran sosial, globalisasi dan taraf hidup yang mencabar menjadikan remaja terdedah dengan contoh dan teladan yang tidak menepati kehendak Islam dan budaya Timur.

Kebebasan berekspresi dalam lingkungan yang terlalu bebas serta tanpa tujuan adalah sesuatu yang harus dibendung supaya luahan minda dan pendapat dapat dilontarkan dalam suasana yang kondusif, baik dan teratur.

Di tahap remaja, idealisme atau berfikir secara ideal selalunya menjadi pegangan. Pada tahap remaja, pemikiran yang membentuk remaja masih lagi belum di tahap matang dan sempurna. Pengalaman hidup masih belum banyak dan kerenah cabaran realiti masih belum banyak ditempuh.

Oleh itu, idealisme yang dikutip hasil pembacaan dan juga pengajian sering menjadi landasan persepsi dan perjuangan remaja. Idealisme kadang-kadang memimpin remaja berfikir secara sempurna mengambil pendekatan hitam putih dan lebih cenderung mengkritik status quo.

Inilah yang terpancar pada pemikiran sebahagian para remaja terhadap sesuatu isu yang terserlah dalam blog-blog mereka, rangkaian sosial mahupun dalam forum-forum Internet. Lalu kadangkala keluarlah pendapat dan komen-komen yang diungkapkan dalam bahasa yang kurang enak dibaca atau didengar.

Adab dalam berbudi bahasa menyentuh tentang peri pentingnya disiplin hati bagi seorang manusia. Ada orang berkata mulut celupar tetapi hati baik. Jika dihalusi, ia adalah gambaran hati yang bercelaru, walaupun asalnya mungkin berniat baik. Kadang-kadang ia adalah perlambangan ego yang tinggi dalam diri.

Apabila merasakan diri lebih baik daripada orang lain, senang sahaja kata-kata sinis dan pedih keluar dan ini akan menyerlahkan sifat egois dalam diri. Apabila hati telah tergores, maka mudah berlaku perpecahan, umpat-mengumpat serta keji-mengeji.

Maka inilah hikmah Allah menyuruh manusia berkata-kata dengan baik, kerana fitrahnya manusia memang suka mendengar sesuatu yang baik dan indah. (rujuk surah Ali Imran: 159)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen